Cantik Yang Beracun (1) - Tanyalah Ustaz 24.06.2013



بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ
Ustaz Dr. Sukki Othman


Bacaan surah At-Taubah, ayat 24:

Ayat ini menyatakan bahawa jika kita melebihkan kasih-sayang kepada keluarga dan kebendaan daripada berjihad di jalan Allah, maka Allah akan murka. Para ulama mengatakan bahawa ayat ini diturunkan kepada orang yang enggan berhijrah ke Madinah. Mereka telah dihasut syaitan yang menjadikan keluarga dan harta milik mereka kelihatan lebih cantik daripada ganjaran Allah kepada orang yang berhijrah.

Senarai soalan dan jawapan
S: Apakah yang dimaksudkan dengan “Allah itu cantik dan Allah suka kepada kecantikan”?
J: Ini berdasarkan hadis Nabi SAW riwayat Muslim. Dalam satu kisah, seorang yang selekeh berjumpa Nabi SAW. Lalu Nabi SAW bertanya, “Adakah kamu mempunyai harta?” Jawabnya, “Ya, Allah mengurniakan padaku harta dalam bentuk unta, kambing dll”. Kemudian, Nabi SAW menyambung, “Tunjukanlah nikmat Allah itu pada diri kamu”. Dengan kata lain, Nabi SAW menegur agar dia memperbaiki penampilannya agar nampak lebih cantik. Untuk cantik tidak semestinya yang baru sahaja. Asalkan bersih dan elok di mata, sudah memadai. Tambahan pula, adalah sangat digalakkan untuk bercantik-cantik ke masjid.

S: Bagaimana untuk menyeimbangkan agar kecantikan tidak mencari racun?
J: Yang paling utama ialah kecantikan itu mestilah perkara yang halal, dan bukan haram. Seterusnya, berhati-hati agar kecantikan yang dimiliki tidak membawa kepada riyak atau perasaan ingin menunjuk-nunjuk. Oleh sebab itu, kita perlu sentiasa mencari ilmu agar tahu membezakan mana yang hak dan yang batil.

S: Bagaimana untuk menjadikan hati cantik?
J: Dalam kisah Siti Hajar, ketika ingin ditinggalkan Nabi Ibrahim a.s. di padang pasir, bertanya pada suaminya, “Adakah ini perintah Allah?”. Inilah contoh seorang yang mempunyai hati yang cantik.  Imam Al-Ghazali banyak membincangkan soal hati dalam Kitab Ihya’ Ulumiddin . Hati yang cantik akan mendorong seluruh anggotanya pun melakukan kebaikan. Syeikh Ibrahim Al-Khawwas mengatakan bahawa untuk mencantikkan hati, ianya perlu di beri ubat, iaitu antaranya dengan mentadabbur Al-Quran, berkumpul dengan orang soleh dsb.

S: Adakah cantik yang mengundang kemurkaan Allah SWT?
J: Manusia kebanyakkannya melihat cantik pada luaran sahaja. Kita sepatutnya menilai kecantikan mengikut penilaian Allah.

S: Apakah hukum membuat pembedahan plastik untuk lebih cantik?
J: Perbuatan ini mengubah ciptaan Allah. Rupa yang pelbagai merupakan kurniaan Allah. Bayangkan jika kita semua sama saja rupanya, sudah jadi seperti robot pula nanti! Dalam Al-Quran dinyatakan bahawa syaitan berjanji akan menghasut manusia agar mengubah ciptaan Allah SWT. Allah melaknat orang yang membuat tatu, dan meminta ditatukan, mencukur kening, dsb. Tetapi jika untuk tujuan perubatan, ianya dibolehkan.

S: Bagaimana dengan orang yang meleburkan banyak wang demi kecantikan?
J: Tidak boleh kerana membazir tidak dibenarkan dalam Islam. Dalam satu kisah, Sy. Uthman membawa balik barang dagangan di atas seribu ekor unta ke Madinah. Peraih pun datang untuk membeli barang-barang tersebut. Mereka menawarkan gandaan 1, 2, 3, 4 dan 5 daripada modal yang Sy. Uthman keluarkan tetapi beliau mengatakan ianya sedikit dan tidak bersetuju. Peraih pun bertanya, “Siapa lagikah yang boleh menawarkan harga yang lebih tinggi daripada tawaran kami?” Jawab Sy. Uthman, “Allah”, dan semua baranganya itu pun diinfakkan kepada jalan Allah. Oleh itu, jika kita ada harta yang lebih, infakkan kepada jalan Allah kerana ianya akan menjadi asset berharga di akhirat.

S: Bolehkah wanita memperlihatkan kecantikannya?
J: Boleh, kepada orang yang dibenarkan. Namun, yang berlaku hari sebaliknya pula. Wanita ramai berhias ketika ke pejabat tapi selekeh di hadapan suami di rumah.

S: Bolehkan wanita bertudung dan berfesyen?
J: Tudung bukanlah syarat menutup aurat kerana ada orang pakai tudung tapi bajunya jarang, ketat dan seumpamanya. Seluruh pakaian wanita mestilah menepati syarat menutup aurat seperti yang dikehendaki syarak.

والله أعلمُ بالـصـواب

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab