Tafsir ayat 45-48, surah Ali Imran, MTDM 24.05.2013

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ


Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid
Majlis Ta'lim Darul Murtadza 24.05.2013
Masjid Muaz bin Jabal, Setiawangsa, KL


Huraian Ayat 45:

Ayat ini menyebut kisah Siti Mariam, ketika malaikat bercakap dengannya. Bagaimana malaikat bercakap dengannya? Adakah Siti Mariam mempunyai kekuatan bertemu malaikat? Adakah Siti Mariam seorang Nabi yang boleh menerima wahyu daripada Allah? Jibril datang menyerupai bentuk manusia lelaki dan masuk ke dalam mihrabnya. Mihrabnya itu bukanlah mudah dimasuki, tetapi tiba-tiba muncul seorang lelaki di kala Mariam duduk sendirian. Malaikat diperbuat daripada cahaya dan boleh berubah bentuk. Ini juga berlaku kepada Nabi Muhammad SAW. Jibril juga pernah mendatangi baginda SAW dalam bentuk seorang lelaki.

Mariam yang terperanjat terus berkata, "Aku berlindung kepada Allah daripada kejahatan yang mungkin engkau lakukan. Jika engkau seorang yang bertaqwa, tentulah kau takkan mengapa-apakan aku". Setelah itu, barulah malaikat menerangkan yang dirinya ialah malaikat. Cuma para Anbiya sahaja yang dapat melihat malaikat dalam bentuk asal mereka. Nabi SAW sendiri melihat rupa sebenar Jibril 2 kali: ketika di Gua Hira dan Israk Mikraj. Oleh sebab malaikat menyerupai manusia, maka komunikasi antaranya dengan Mariam juga sama seperti manusia biasa juga.

“Wahai Mariam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang  menggembirakanmu…”
Dalam ayat sebelum ini, Allah memberi khabar gembira (ucapan tahniah) kepada Zakaria dengan kurniaan zuriat. Allah memberi khabar gembira (tahniah) kepada orang yang baru dapat anak. Oleh sebab itu, kita juga perlu memberi ucap tahniah dan mendoakan kebaikan kepada orang yang mendapat anak.

”…dengan Kalimat daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa ibni Mariam,…”
Siapakah yang dimaksudkan dengan  Kalimat daripada Allah? Itulah Nabi Isa a.s. Ini adalah kerana Nabi Isa terhasil dengan kalimat  daripada Allah dengan huruf kaf dan nun - 'kun' (kun fayakun) - maka terjadilah dia. Allah menerangkan bagaimana kejadian Nabi Isa sebelum Mariam bertanya lagi.

nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Mariam…”
Nabi Isa ialah nama asalnya, dan beliau mendapat beberapa gelaran iaitu:

1. Al-Masih yang ada beberapa makna iaitu:

  • Beliau terusap (dibersihkan) daripada segala noda dosa yang zahir dan yang batin
  •  Badannya diselaputi krim putih ketika dilahirkan
  • Tiada satu tempat di dunia ini kecuali telah diusap (disentuh) telapak kaki Nabi Isa kerana beliau akan mengelilingi dunia untuk berdakwah. Gelaran yang sama juga di beri kepada Al-Dajjal. Dajjal bermaksud pendusta, dan dia digelar Al-Massih kerana tiada tempat yang dia tak pergi kecuali Mekah dan Madinah dan matanya buta sebelah.
2. Digelar Ibnu Mariam.

seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat dan dia juga dari orang-orang yang didampingkan.
Istimewanya Nabi Isa ialah kerana beliau akan berbual secara langsung dengan Allah. Walaupun belum berlaku, skripnya telah Allah tetapkan di dalam Al-Quran. Oleh sebab itulah, umat hari ini akan menjadi saksi kepada umat terdahulu kerana cerita-cerita mereka yang terkandung di dalam Al-Quran untuk difahami dan dipelajari.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                     

Huraian Ayat 46:

Dan dia akan berkata-kata ketika kecil…”
Setelah melahirkan anaknya, Mariam risau dan berkata andainya dia mati agar orang tidak menyebut kisah dirinya melahirkan anak tanpa ayah. Allah SWT berfirman kepada Mariam, Kamu tak perlu bercakap, biar anak kecil kamu yang bercakap. Setelah dibawakan anak yang dilahirkannya, kaumnya berkata kepada Mariam, Kamu ini adalah daripada keturunan yang baik, mengapa kamu melakukan perkara yang tidak baik? Kemudian Nabi Isa yang masih bayi berkata, "Aku ini hamba Allah". Semua orang pun terperanjat.

Ada beberapa orang bayi yang boleh bercakap ketika kecil. Pertama ialah Nabi Isa. Kedua ialah dalam kisah seorang abid (ahli ibadah) bernama Juraish yang sedang solat ketika ibunya datang. Ibunya datang 3 kali tetapi Juraish tidak pasti untuk meneruskan solat atau menjawab panggilan ibunya, dan dia mengambil keputusnmeneruskan solatnya. Ibunya marah dan tidak sabar lalu mendoakan agar anaknya itu difitnah. Oleh itu, ibu perlu berhati-hati ketika mengeluarkan kata-kata kepada anak-anak. Lalu seorang wanita mengaku berzina dengan Juraish dan Juraish pun dihalau keluar daripada tempat ibadatnya. Mereka ingin menghukum Juraish, tetapi Juraish suruh tunggu sehingga anak itu lahir. Setelah lahir, Juraish bertanya kepada anak kecil itu, Kamu anak siapa? Jawab bayi itu bapanya ialah seorang gembala kambing. Inilah sebahagian karamah yang Allah berikan kepada Juraish.

Bayi ketiga berlaku dalam kisah Ashabul Ukhdud (orang ramai yang dihukum raja kerana menyembah Allah). Dalam kalangan mereka termasuk ibu dan anaknya yang masih kecil. Melihatkan anaknya, ibu menjadi gementar untuk membiarkan dirinya diseksa atau bertukar agama menyembah raja. Allah membantu ibunya itu dengan mengizinkan anaknya bercakap dan berkata yang ibunya itu sedang berada di jalan yang benar. Baru tenteram hati ibunya dan merelakan dirinya diseksa.

Dalam kisah keempat: Seorang ibu sedang menyusu anaknya, bertemu seorang kaya yang sedang menunggang kuda lalu ibunya mendoakan, "Ya Allah jadikan anak aku seperti orang itu". Anak itu berhenti menyusu dan berkata, "Ya Allah, jangan jadikan aku seperti lelaki itu. Kemudian, ibunya bertemu seorang yang dipukul dan diheret lalu ibunya mendoakan, "Ya Allah jangan jadikan anak aku seperti orang itu". Anak itu berhenti menyusu dan berkata, "Ya Allah, jadikan aku seperti lelaki itu. Anak dan ibu ini bukannya Nabi tetapi Nabi SAW membawakan cerita ini untuk mengajarkan bahawa anak dan ibu mempunyai hubungan yang rapat dan ibu patut berhati-hati dengan apa yang diucapkan. Sebenarnya, orang kaya ialah seorang yang mungkar walaupun dia kaya, dan lelaki yang disiksa itu ialah kerana dia berada di pihak yang benar. Oleh sebab itu, kita jangan melihat apa yang terlihat pada zahirnya sahaja.

dan semasa dia dewasa..
Nabi Isa boleh bercakap ketika masih kecil dan kemudian Allah nyatakan dia bercakap ketika dewasa. Percakapan yang dimaksudkan di sini bukanlah percakapan yang biasa kerana sudah fitrah setiap orang boleh bercakap ketika dewasa. Namun, apa yang dimaksudkan ialah Nabi Isa akan bercakap tentang wahyu Allah semasa dia kecil, dan juga setelah besar agar tiada keraguan pada apa yang

dan dia ialah dari kalangan orang-orang soleh.
Nabi Isa merupakan Nabi, Rasul, Ulul Azmi, Kalimatullah, Roh Allah, Al-Masih. Beliau ialah Nabi yang unik ciptaannya. Sebelum mendakwa diri kita soleh, kita perlu melihat siapa kawan-kawan di sekeliling kita. Siapa yang tidak tengok wajah orang yang soleh, bagaimana dia akan berjaya menjadi orang yang soleh? Oleh itu, jika ingin menjadi orang yang soleh, kita perlu selalu berkumpul dengan orang-orang yang soleh. Jika tidak berkumpul dengan orang soleh di sini, jangan berharap untuk berkumpul dengan mereka di sana. Apa yang menjadi harapan kepada Nabi Yusuf ketika ingin meninggal dunia? Doanya, Matikan aku dalam Islam dan himpunkan saya bersama dengan orang yang soleh. Tidak cukup sekadar Islam, Nabi Yusuf turut meminta dikumpulkan dengan orang yang soleh!

Huraian ayat 47:

Mariam bertanya "Bagaimana saya beroleh anak sedangkan saya tidak pernah disentuh".
Beliau tidak menggunakan perkataan jimak dalam ayat ini untuk menunjukkan bahawa perbuatan sentuh itu juga merupakan perbuatan yang mungkar dan dilarang.

Huraian ayat 48:

Dalam ayat ini, disebutkan Allah mengajarkan Nabi Isa Al-Kitab, Al-Hikmah, At-Taurat dan Al-Injil. Al-Kitab ialah wahyu yang Allah turunkan kepada nabi-nabi sebelum Nabi Isa. Al-hikmah ialah kata-kata Nabi Isa, Al-Taurat ialah kitab yang diturunkan kepada Nabi Musa dan Al-Injil ialah kitab yang diturunkan kepada Nabi Isa. Ayat ini menerangkan pentingnya tentang ilmu pengajaran. Allah mengajarkan Nabi Isa dengan lemah-lembut.

Nabi SAW juga lemah-lembut ketika mengajar. Nabi SAW tidak akan menghukum seseorang dengan perkara yang orang itu tidak tahu. Dalam satu kisah seorang Badawi mendengar orang bersin dan dia pun menyebut Alhamdulillah dan Ya har kumullah. Sahabat lain sudah buat muka tanda marah kepadanya. Selepas solat, Nabi SAW memberitahu yang di dalam solat tidak dibenarkan bercakap. Badawi itu berjanji tidak akan mengulanginya dan dia berkata, Wallahi, dia (Nabi SAW) tidak marah kepadaku. Kisah yang sama berlaku ketika seroang Badawi buang air kecil di dalam masjid. Baginda tidak marah dan menegur dengan lemah-lembut. 

 والله أعلمُ بالـصـواب

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab