“Nak, Jom Solat” – Tanyalah Ustaz 02.06.2013


بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ


Ustaz Muhidin Mokhter


Bacaan surah Mariam, ayat 54-58:


[ Nota: Ayat (58) diatas merupakah salah satu daripada ayat sujud tilawah (sujud sejadah). Jom kita sujud sebentar usai membaca ayat ini. Maklumat lanjut di sini ]

Jika kita betul sayangkan anak kita, kita perlu jaga agar mereka terselamat daripada azab api neraka. Diri kita sendiri pun kita tidak sanggup biarkan masuk ke neraka, inikan pula anak-anak kita.
Di akhirat, Allah akan memandang orang tidak solat dengan pandangan yang murka. Jika solat bermasalah, maka segala amalan lainnya akan diperincikan Allah dan disoal-siasat.

Dalam satu hadis, Nabi SAW menegaskan bahawa anak perlu dilatih solat ketika berumur 7 tahun, dan jika mereka enggan solat pada umur 10 tahun, maka mereka boleh dipukul dengan tujuan mendidik.

Mula-mula kita ajar anak solat-solat wajib. Kemudian, ajar anak bangun malam untuk solat tahajjud. Orang yang cemerlang, tabiatnya ialah bangun lebih awal. Seterusnya, bawa anak solat Jumaat. Pastikan anak diajar adab ke masjid dan pastikan juga soal keselamatan. Ajar anak agar tidak bercakap ketika khatib berkhutbah. Paling baik, khatib perlu menegur dan memanggil anak kecil agar turut bersama memberi perhatian untuk mendengar khutbah. Kemudian, ajar anak solat istikharah agar mereka lebih terbimbing dalam membuat pemilihan dalam kehidupan. Nabi SAW sendiri mengajar Anas bin Malik ketika dia masih kecil lagi untuk isthikarah 7 kali sekiranya dia ingin memilih sesuatu perkara. Anak dan generasi muda yang solat akan memberi ketenangan kepada kita.

Sebagai kesimpulan daripada 3 hari bersiaran:
  • Mendidik anak solat merupakan tanggungjawab ibu bapa yang akan dipersoalkan di akhirat nanti.
  • Ibu bapa perlukan teknik agar anak terbiasa dengan suasana solat, contohnya: Pergi ke masjid bersama-sama dan solat berjemaah di rumah bersama keluarga
  • Menceritakan kelebihan solat di akhirat nanti (unsur motivasi) berulang-kali – muka berseri, dapat masuk syurga dsb.
  • Menceritakan akibat meninggalkan solat di akhirat nanti (unsur ancaman) berulang-kali – muka tiada seri, akan dihimpit di dalam kubur dsb.
  • Jadikan masjid tempat aktiviti sosial – buat perjumpaan di masjid
  • Beri ingatan dengan baik – Jika anak belum solat, tanya elok-elok.
  • Banyakkan aktiviti Qiyammullail berjemaah dalam masyarakat.
  • Hantarlah anak ke program motivasi seperti “Kem Smart Solat” dan seumpamanya.
Dengan cara ini, diharapkan kita akan dapat mendidik anak-anak dengan baik agar mereka ingat untuk mendoakan kita setelah kita meninggal nanti.

Setelah kita mati, hanya 3 amalan yang memberi manfaat kepada kita iaitu:
  • Sedekah jariah
  • Ilmu baik yang diajarkan
  • Doa anak yang soleh

Senarai soalan dan jawapan
S: Islam telah menggariskan cara mendidik anak – agama, akhlak dan akademik. Namun, hari ini ibu bapa melebihkan akademik, berbanding akhlak dan agama. Bagaimana mengubah persepsi ibu bapa yang mengutamakan rezeki kerana takut anaknya susah mendapat kerja?
J: Menuntuk ilmu (akademik) juga merupakan satu tuntutan dalam agama. Bahkan, Islam menggalakkan jika umatnya terpelajar, berjaya dan menjadi pemimpin. Oleh itu, ibu bapa perlu memahami konsep bahawa perlu ada kesimbangan antara semuanya – akademik, akhlak dan agama. Akhlak dan agama bukan semata-mata subjek di sekolah tetapi perlu di serap ke dalam hati dan diamalkan. Tunjuk-ajar terbaik ialah ibu bapa melakukannya dahulu dan menjadikan diri mereka sebagai contoh kepada anak-anak.

S: Pada umur berapakah anak kecil sesuai diajak ke masjid untuk berjemaah?
J: Anak kecil boleh dibawa ke masjid, tetapi beberapa perkat perlu dipastikan:
1 Anak sudah pandai beritahu untuk pergi tandas
2 Sudah diajar adab di masjid and boleh memahami arahan
3 Selesaikan urusan pergi ke tandas sebelum ke masjid agar tidak mengganggu di masjid kelak
Pada pengamatan saya – umur 3 tahun sudah boleh dibawa. Jika anak berumur 5, 6 tahun dan masih tidak tahu membaca, ibu bapa akan susah hati. Namun, jika mereka tidak tahu beradab dengan orang lain, ibu bapa tidak pula risau.

S: Bagaimana dengan sikap anak-anak kecil ke masjid dan melangkah beg-beg orang yang berisi kitab-kitab suci?
J: Inilah adab yang ibu bapa perlu ajar kepada anak-anak kecil. Jika kita marah anak-anak kita tidak berakhlak, tanya pada diri sendiri – Sudahkah kita menunjukkan akhlak yang baik kepada mereka? Di samping itu, kita perlu juga berdoa memohon bantuan Allah dalam mendidik mereka.

S: Bagaimana menghadapi anak dewasa yang masih liat untuk solat?
J: Ini bukanlah salah anak semata-mata, tetapi ibu bapa juga menyumbang kepada sikapnya itu. Oleh kerana mereka telah besar, kita perlu ajak mereka dengan lemah-lembut dan sebagai kawan. Jika kita berkasar, mereka akan lebih sukar menerima nasihat. Dalam mendidik anak-anak, kita perlu menghormati mereka sebagai seorang dewasa yang juga mempunyai pendapat dan perasaan tersendiri. Jadikan solat sebagai aktiviti keluarga yang ‘fun’.

S: Kita solat tapi masih gagal mengawal lidah daripada melakukan yang tidak sepatutnya. Mohon penjelasan ustaz.
J: Solat yang khusyuk ialah solat yang akan dapat membantu kita berubah kepada akhlak yang baik. Hadirkan rasa kusyuk/rasa diperhatikan Allah di dalam dan di luar solat agar kita dapat menjaga diri daripada melakukan maksiat.


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab