Tafsir ayat 49, surah Ali Imran, MTDM 31.05.2013


بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ



Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid
Majlis Ta'lim Darul Murtadza 31.05.2013
Masjid Muaz bin Jabal, Setiawangsa, KL



Huraian Ayat 49:

Ayat ini merupakan rentetan ayat sebelum ini yang menceritakan tentang peribadi Nabi Isa a.s. iaitu  -
  • Terkemuka dan agung, dan mulia di dunia
  • Terkemuka dan agung, dan mulia di akhirat
  • Termasuk golongan orang muqarrabin (orang yang didekatkan dengan Allah Ta’ala)
  • Berbicara dengan manusia ketika masih di buaian, dan juga ketika dewasa. Kenapa perlu disebut lagi ketika dewasa? Itu kerana perkataannya itu ialah wahyu Allah.
  • Termasuk golongan orang soleh
  • Kemudian Allah terangkan tugasan Nabi Isa iaitu Allah akan mengajarkannya dengan 4 perkara iaitu: Al-Kitab, Al-Hikmah, At-Taurat dan Al-Injil. Kitab Injil merupakan kitab yang melengkapkan Kitab Taurat ajaran Nabi Musa, dan bukan bertujuan memansuhkan kitab Taurat. Inilah yang orang Kristian rujuk sebagai 'old' vs 'new' testament. Kedua-dua kitab bersumberkan satu ajaran dan agama yang sama. Cuma terdapat beberapa pengecualian terhadap beberapa perkara dalam Taurat yang asalnya haram diubah kepada halal dalam Injil dan juga sebaliknya. Contohnya - asalnya daging unta, sebahagian ikan dan burung haram di makan, tetapi pengharaman ini dihapuskan dalam kitab Injil. Contoh yang sama berlaku dengan Al-Quran. Nabi SAW pernah mengharamkan ziarah kubur, kemudian menghalalkannya. Pada asalnya arak tidak haram, tapi kemudiannya diharamkan di dalam Al-Quran.
  •  Merupakan seorang Rasul - setiap rasul mesti seorang nabi, tetapi tidak semua Nabi ialah Rasul. Kita wajib beriman kepada Rasul dan ada 25 yang kita perlu hafal. Kita perlu juga tahu kisah Nabi sebagai tanda kasih kepada merekan. Nabi pula sangat ramai bilangannya. Beza antara Rasul dan Nabi ialah: Rasul perlu menyampaikan kepada orang lain, tetapi Nabi tidak. Ajaran Rasul akan memperbaharui ajaran sebelum ini (sama tapi ada sebagai tambahan atau untuk melengkapkan perkara sebelum ini).
Nabi dan Rasul yang pertama kepada kaum Israel ialah Nabi Yusuf, yang berasal daripada keturunan Nabi Yaakob. Israel merupakan nama lain kepada Nabi Yaakob yang bermaksud ‘hamba Allah’ dalam bahasa Hebrew. Nabi Isa juga ialah Rasul kepada bani Israil. Rasul-rasul sebelum ini hanya diutus kepada sesuatu kaum sahaja, melainkan Nabi Muhammad SAW yang diutuskan kepada seluruh manusia dan juga jin. Inilah salah satu daripada 5 keistimewaan baginda Nabi SAW – semakin besar tanggungjawab  yang diberikan bermakna semakin tinggi kedudukan seseorang itu. 

Beban yang ditanggung Nabi SAW itu sangat berat. Sy. Aisyah mengatakan yang Nabi SAW telah mula solat duduk pada umur yang tak sepatutnya lemah bagi orang biasa. Ini kerana Baginda solat terlalu lama untuk berdiri, dan kerana beban tanggungjawab yang dipikul baginda. Baginda SAW selalu risau kepada keadaan kita umatnya di masa akan datang. Sabda baginda, “Tiada satu pun pintu kebaikan yang aku tahu, yang aku tidak beritahu kamu tentangnya. Tidak akan pintu kejahatan kecuali telah aku ingatkan, ingatkan kepada kamu agar kamu menjauhinya”. Sahabat menceritakan pada suatu hari, Nabi SAW berkhutbah dari pagi sehingga Zohor, kemudian selepas solat Zohor, baginda sambung lagi berkhutbah sehingga Asar, kemudian selepas solat Asar, baginda sambung lagi berkhutbah sehingga Maghrib. Kata sahabat, tidak ada perkara yang sudah berlaku, sedang berlaku atau akan berlaku kecuali telah Nabi SAW sebutkan pada khutbah sepanjang satu hari itu.

“Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa mukjizat dari Tuhan kamu…”
Allah memberi bukti melalui mukjizat kepada para Rasul-Nya. Mukjizat yang diberikan pula bersesuaian dengan apa yang sedang menarik perhatian orang pada zaman itu. Pada zaman Nabi Musa, orang takjub dengan ilmu sihir dan oleh itu Nabi Musa diberi kebolehan serupa tetapi yang lebih baik daripada itu. Pada zaman Nabi Isa pula, orang takjub dengan ilmu kedoktoran.

“…iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung dengan izin Allah dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati…”
Nabi Isa diberi keizinan untuk:

  • menghidupkan patung tanah liat berbentuk burung - Imam Al-Bhagawi dan Al-Shakauni membincangkan tentang apakah jenis burung yanng dihidupkan dan mereka meriwayatkan bahawa burung itu hidup di siang hari saja, dan kembali kepada patung pada malam hari. Ini adalah untuk membezakan burung ciptaan Allah dan Nabi Isa.
  • menghidupkan orang mati - ada 4 orang yang Nabi Isa hidupkan sebagai bukti. Dalam riwayat disebutkan bahawa salah seorang yang dihidupkan oleh Nabi Isa ialah anak Nabi Nuh, yang sudah beribu tahun meninggal sebelum itu. Nabi Nuh ialah Nabi yang ketiga. Ketika dibangkitkan daripada kubur, dia mendapati rambutnya berwarna putih dan terkejut kerana pada zamannya tiada orang yang putih rambutnya. Itu kerana dirinya takut jika-jika dia dibangunkan kerana kiamat telah berlaku. Dia pun bertanya kepada Nabi Isa, “Kiamat sudah berlakukah?” Jawab Nabi Isa, “Belum”. Kemudian Nabi Isa ingin mematikannya semula tetapi dia meminta satu syarat iaitu agar diselamatkan daripada pedihnya sakaratul maut! Cukuplah sekali merasanya dan dia tidak sanggup mengulanginya. Nabi Isa pun berdoa dan dia dimatikan semula.
  • menyembuhkan orang yang buta dan sopak sejak lahir - jika suatu hari nanti, ada doktor di zaman moden boleh mengubati 2 penyakit ini, apakah perasaan kita? Adakah ia akan mencabar mukjizat Nabi Isa a.s? Tidak, kerana jika berjaya sekalipun mereka pasti guna alat canggih dan kajian tetapi Nabi Isa mengubati tanpa apa-apa ubat, dan semata-mata menggunakan doa. Setiap hari Nabi Isa mengubati lebih kurang 50 ribu pesakit yang datang kepadanya. Oleh itu, orang yang menjadi doktor perlu mengambil teladan daripada Nabi Isa dengan menyampaikan bahawa yang menyembuhkan itu ialah Allah SWT.
“…dengan izin Allah…”
Dengan mengingati segalanya adalah semata-mata dengan izin Allah agar membawa manusia beriman kepada Allah. Walaupun Nabi lain banyak diberikan mukjizat, tetapi tiada satu pun daripada mukjizat tersebut yang tidak diberikan kepada Nabi Muhammad SAW termasuklah kebolehan mengubati orang buta. Pada suatu hari, pernah seorang buta datang kepada baginda Nabi SAW dan meminta disembuhkan matanya. Nabi SAW menyuruh dia bersabar tetapi dia tetapi meminta diubati. Lalu Nabi SAW pun menyuruh dia berwudhuk, solat 2 rakaat dan berdoa seperti yang diajarkan Baginda Nabi SAW. Selesai berdoa, penyakit butanya pun sembuh.

“… dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu”
Pada ketika itu, syariat tidak membenarkan makanan disimpan. Tetapi kerana tidak yakin dengan rezeki yang dijamin Allah, kaumnya tetap menyimpan makanan dan walaupun mereka menafikan, Nabi Isa boleh menyatakan apa dan dimana makanan itu disimpan.

 والله أعلمُ بالـصـواب


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab