Taubat, Tunggu Seru (3) – Tanyalah Ustaz 23.12.2012
Ustaz Dr. Zaharuddin Abdul Rahman
Bacaan ayat 10-13, surah Nuh:
Ayat ini mengisahkan bagaimana kaum Nabi Nuh diminta untuk
bertaubat. Kadang-kadang kita mungkin nampak senang pada zahirnya – ada
pekerjaan yang bagus, keluarga yang ramai namun masih rasa tiada ketenangan,
atau kerasa ada kekosongan dalam kehidupan. Kekosongan yang dirasai itu adalah
kefakiran yang dirasai apabila seseorang tidak bertaubat kepada Allah SWT. Oleh
itu, adalah menjadi kewajipan ibu bapa, pemimpin-pemimpin rakyat, ketua
organisasi untuk mengajar dan mengingatkan agar anak-buahnya untuk bertaubat. Dalam
ayat ini juga Allah berikan tips untuk mendapatkan harta yang banyak, umur yang
diberkati, anak yang soleh atau untuk mendapatkan zuriat adalah dengan
membanyakkan bertaubat.
Ada satu kisah taubat yang hebat yang dicatatkan dalam kitab Al-Isabah Fi Tamyiz As-Sahabat oleh Imam Ibn Hajar. Sahabat ini bernama Sa’labah bin Abdul Rahman, dan dia diamanahkan
membuat satu kerja oleh Nabi SAW. Ketika dalam tugasan itu, dia ternampak aurat
seorang wanita yang sedang mandi. Dia melihatnya sehingga 3 kali kerana kuatnya
tarikan maksiat itu. Dia kemudian tersedar, beristighfar dan berasa sangat malu
kepada Allah. Dia menjadi sangat risau kerana dia adalah orang yang rapat
kepada Nabi SAW, dan dia malu jika ada wahyu diturunkan menceritakan
kesalahannya kepada Nabi SAW. Lalu, dia pun melarikan diri bersembunyi ke pergunungan
sehingga Nabi SAW pun tercari-cari. Setelah hampir 40 hari, Nabi SAW
mengarahkan sahabat, ‘Umar dan Salman, pergi mencarinya, dan diriwayatkan
bahawa Jibril datang kepada Nabi dan berkata, “Ada seorang daripada kamu yang
bersembunyi di pergunungan dan meminta keampunan daripada Allah dan takut
kepada api neraka”. Dikatakan bahawa Sa’labah berdoa dengan mengangkat kedua-dua
tangannya dan meminta Allah mematikannya dalam keadaan bertaubat, dan agar dia
dilindungi daripada tidak berpakaian di akhirat nanti kerana dosanya melihat
wanita tidak berpakaian.
‘Umar dan Salman menemui Sa’labah, tetapi dia keberatan
bertemu Rasulullah SAW, dan berharap agar kembali ketika Nabi SAW sedang
menunaikan solat. Permintaanya itu dikabulkan, dan mereka sampai ketika Nabi
SAW sedang mengerjakan solat sunat Dhuha. Maka mereka pun menunggu sehingga
Nabi SAW selesai solat. Setelah selesai, Nabi SAW pun melihat Sa’labah dan bertanya
apa yang berlaku. Dalam keadaan malu, Sa’labah menceritakan apa yang berlaku.
Kemudian, Nabi SAW berkata, “Kamu nak tak aku ajarkan satu doa yang dapat
memadam dosa-dosa dan kesilapan yang lalu?” Jawab Sa’labah, “Sudah pasti, Ya Rasulullah”. Lalu Nabi SAW
mengajarkan doa "Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil
akhiroti hasanah waqina 'adzabannar", seperti yang dipetik daripada ayat
201, surah Al-Baqarah:
Setelah mendengar doa itu, Sa’labah berkata, “Tetapi, dosaku
besar sungguh”. Nabi SAW pun berkata, “Ayat Allah lebih besar”. Sa’labah pun balik dan mengamalkan doa itu, tetapi hatinya
remuk dan masih tidak berasa tenang dengan dosa yang telah dilakukannya itu.
Dia menangis siang dan malam sehinggalah jatuh sakit. Setelah 8 hari sakit,
sahabat memberitahu kepada Rasulullah SAW dan mereka pun pergi melawat
Sa’labah. Ketika melawatnya, Rasulullah SAW meletakkan kepada Sa’labah ke atas
ribaannya, tetapi Sa’labah mengangkat dan mengalihkan kepalanya. Nabi SAW pun
bertanya, “Kenapa kamu mengalihkan kepalamu daripada ribaanku?”. Jawab
Sa’labah, “Kerana aku terlampau berdosa”.
Kemudian Nabi SAW bertanya lagi,
“Apakah yang kamu inginkan?”. Jawabnya, “Aku hanya inginkan keampunan daripada
Allah SWT”. Selepas itu, Jibril pun turun memaklumkan kepada Nabi SAW bahawa
Allah berkata, “Sekiranya dia ini datang kepada-Ku dengan dosa yang sebesar
bumi sekalipun, maka Aku akan memberi sebesar bumi juga keampunan-Ku”. Perkara
ini pun diberitahu kepada Sa’labah dan ketika itu juga dia pun nazak dan
meninggal dunia. Ketika menghantar jenazahnya ke kubur, sahabat melihat Nabi
SAW berjalan bertinjit-tinjit (berjalan dengan hujung jari kaki dengan
berhati-hati seolah-olah tidak ingin melanggar sesuatu). Lalu ditanya oleh
sahabat mengapa Nabi SAW berjalan sebegitu rupa. Baginda pun menjawab, “Kerana
terlalu ramainya malaikat yang bersama-sama tadi, lalu aku takut terpijak
kepak-kepak dan sayap mereka”.
Hari ini, berapa antara kita yang pernah melihat pornografi,
namun tidak pernah rasa malu atau menangis di hadapan Allah. Jadi, mari kita
sama-sama muhasabah diri kita.
Kita tidak boleh meminta orang bertaubat bagi pihak kita, contohnya meminta bantuan ustaz. Ada satu kisah seorang yang datang selepas zaman para
Tabiin. Khalifah Hisyam datang ke masjid dan bertanya kepada seorang yang
bernama Salim bin Abdullah, “Ya Salim, adakah apa-apa yang kamu ada hajat
kepadaku sebagai khalifah?” Salim berkata, “Aku malu untuk meminta daripada selain Allah
sedangkan aku berada di dalam rumah Allah”. Khalifah itu pun berkata, “Kalau begitu, nanti setelah
keluar daripada masjid kamu datanglah meminta kepadaku”.
Setelah berada di masjid seketika, Salim pun pergi berjumpa khalifah di luar masjid. Khalifah pun berkata, “Sekarang kamu telah berada diluar masjid, maka mintalah apa yang
kamu inginkan”. Salim pun bertanya, “Ya Amirul Mukminin, aku nak minta
tentang hal dunia atau akhirat kepadamu?”
Jawab khalifah, “Tentulah hal dunia, kerana aku tidak beri
apa-apa di akhirat”. Kemudian, Salim pun berkata, “Bagaimana mungkin untuk aku
meminta dunia daripada orang yang sebenarnya bukan pemilik dunia”.
Salim ini sebenarnya memang tidak ingin meminta apa-apa, dan
dia hanya ingin memberi pengajaran kepada khalifah itu sahaja. Begitulah dengan kita, jika ingin bertaubat, minta pada
Allah, bukan pada manusia.
Ada satu lagi kisah seorang sahabat, Lubabah, yang tidak sengaja terbocorkan
rahsia Nabi SAW kepada orang kafir. Dia kemudian tersedar dan segera balik
bertaubat dan mengikat dirinya ke tiang masjid. Cerita ini sampai kepada Nabi
SAW dan Nabi bertanya apa yang berlaku kepadanya. Setelah diceritakan, Nabi pun
berkata yang dia sepatutnya datang meminta Nabi memohon maaf baginya. Nabi SAW
pun membiarkan dia mengikat dirinya dan setelah 6 hari barulah sampai berita
gembira bahawa Allah telah mengampunkan dirinya. Setelah sampai berita itu,
sahabat pun datang memberitahunya dan ingin membuka ikatannya. Dia melarang dan
meminta Nabi SAW yang membukankan ikatan itu. Nabi SAW pun datang membukanya
dan mereka pun sama-sama bersyukur dengan pengampunan yang Allah berikan itu.
Jika ada orang kafir yang tertarik dengan Islam, ketahuilah
bahawa segala dosa yang kamu pernah lakukan akan diampunkan sebaik kamu memeluk
Islam.
Sebagai kesimpulan, bersegeralah kita semua dalam bertaubat
sebagai mengikut teladan yang ditunjukkan pada sahabat Nabi SAW. Dalam surah
An-Nisa’, ayat 17, Allah berfirman dan menyatakan kepentingan untuk segera
bertaubat:
Senarai soalan dan
jawapan:
S: Saya biasa berhubung dan rapat dengan makcik atau sepupu
yang membuka aurat di hadapan saya. Adakah saya perlu bertaubat kerana
berhubung dengan mereka?
J: Perlu lihat keadaan – jika hubungan rapat tidak
melibatkan perbuatan dosa kepada Allah, tidak mengapa kerana akhlak yang baik
adalah lebih utama daripada kata-kata yang baik. Jika begitu, dosa ini masuk ke
dalam dosa kecil. Walaupun kecil, jangam dipandang kecil dosa tersebut kerana
kita perlu melihat kepada siapa dosa itu dilakukan – iaitu Allah Yang Maha
Besar. Dosa-dosa kecil akan terhapus dengan kita mendirikan solat 5 waktu.
Walapun begitu, dalam bergaul kita perlu menjaga pandangan mata agar tidak
menaikkan nafsu syahwat sepertimana firmat Allah yang mengarahkan agar orang
mukmin untuk menundukkan pandangan mata yakni menjaga daripada memandang
sesuatu yang boleh menaikkan syahwat.
S: Adakah dikira bertaubat, jika kita beristighfar setelah
melakukan kesilapan atau kita perlu melakukan solat taubat terlebih dahulu?
J: Sebagai
teladan, kita kena melihat bagaimana kefahaman para sahabat. Dalam satu kisah
disebutkan bahawa Sy. Abu Bakar As-Siddiq lalu di hadapan 3 sahabat iaitu Bilal bin Rabah,
Sulaiman dan Suhaib Ar-Rumi. Tiga sahabat ini melihat Abu Suffian (yang belum
memeluk Islam ketika itu dan menjadi ketua orang kafir) dan berkata, “Alangkah
baiknya jika kami dapat meletak pedang di lebernya”. Abu Bakar terdengar perkataan itu dan menegur kerana hari itu
merupakan hari gencatan senjata, dan perkataan tersebut boleh menimbulkan
provokosi. Cerita itu sampai kepada Rasulullah SAW, dan baginda berkata kepada
Abu Bakar, “ Abu Bakar, kamu mungkin telah menyebabkan sahabat kamu marah dan
kamu telah menyebabkan Tuhan kamu marah kepada kamu”. Mendengarkan itu, Abu
Bakar segera pergi berjumpa sahabat yang tiga orang tadi dan memohon maaf daripada
mereka. Dia bertanya jika perkataanya menyebabkan mereka marah kepadanya.
Daripada kisah ini dapat dipelajari bahawa sahabat tidak menunggu untuk
berwudhuk atau solat sebelum meminta maaf kepada orang yang disakiti atau
diambil haknya itu.
Dalam satu lagi kisah, Nabi SAW ternampak Abu Mas’ud (bukan
Ibnu Mas’ud) memukul hambanya yang melakukan kesalahan. Nabi SAW pun menegur,
“Ya, Abu Mas’ud, sesungguhnya Allah lebih memberi hukuman berbanding kamu”. Mendengar
kata-kata itu, Abu Mas’ud pun berasa bersalah lalu membebaskan hamba tersebut. Abu
Mas’ud tidak cuba mencari alasan atau justifikasi untuk membela perbuatannya
itu. Kemudian Nabi SAW pun berkata yang jika dia tidak membebaskan hamba itu
tadi, ada kemungkinan satu pintu neraka akan dibuka untuknya juga. Oleh itu
sebagai pengajaran kepada kita, jika tersilap atau melakukan dosa dengan
manusia, segera minta maaf pada mereka. Kemudian, boleh dirikan solat sunat
taubat sebagai penyempurna taubat. Jika kesalahan pada Allah, barulah kita
solat sunat taubat kepada Allah.
S: Bagaimana untuk bertaubat nasuha, kerana saya takut saya
akan mengulangi kesalahan yang sama?
J: Ramai antara kita yang salah faham konsep taubat nasuha.
Dalam satu hadis, ada diceritakan kisah seorang yang bertaubat dan mengulangi
kesalahannya sehingga 3 kali dan Allah katakan buatlah apa yang kamu perlukan,
Aku telah mengampunkan kamu. Oleh itu, takut mengulangi dosa tidak boleh
dijadikan alasan untuk tidak bertaubat. Kita mesti bertaubat dan berazam untuk
tidak mengulangi dosa itu. Jika terulang juga kesalahan itu, bertaubatlah lagi.
S: Saya ada melakukan dosa kepada bekas suami dan
keluarganya dan ingin meminta maaf kepada mereka. Tetapi niat saya disambut
sepi dan saya terasa dihina oleh mereka. Patutkah usaha saya ini diteruskan?
J: Ini dosa yang melibatkan manusia. Kita perlu mengambil
teladan daripada kisah Abu Bakar yang diceritakan tadi. Sy. Abu Bakar tidak ada
rasa terhina untuk meminta maaf
kepada sahabat yang lebih rendah kedudukan berbanding dirinya. Niat kita
meminta maaf mestilah ikhlas kerana Allah. Oleh itu, tidak kiralah jika sama
ada niat itu disambut sepi atau dihina oleh orang sekalipun, ianya perlu
diteruskan. Kita mengharapkan redha Allah, bukannya sambutan ‘permaidani merah’
oleh manusia.
S: Adakah boleh bertaubat bagi pihak ibu bapa yang sudah
meninggal? Betulkah ada bahagian harta yang boleh difidyah kerana ibu bapa
meninggal dan meninggalkan solat dan puasa?
J: Anak boleh bertaubat jika dosa ibu bapa melibatkan
mengambil hak orang lain dengan memulangkan hak tersebut. Seterusnya, kita
boleh bersedekah bagi pihak ibu bapa dengan harapan pahala itu akan dapat
mengatasi dosa yang ibu bapa lakukan. Begitu juga, jika ibu bapa ada melakukan
kesalahan kepada orang lain, sebagai anak, kita boleh pergi berjumpa dan
meminta maaf bagi pihak ibu bapa kepada mereka yang pernah dizalimi. Puasa yang
ditinggalkan boleh diganti oleh anak
dan dibayar dengan fidyah, tetapi solat yang ditinggalkan tidak boleh
diganti oleh orang lain.
S: Adakah kaedah untuk menghalang kita mengulangi kesalahan
yang pernah dilakukan?
J: Panduan yang diberi Nabi SAW adalah seperti berikut:
- Ikhlaskan betul-betul taubat kerana Allah
- Tinggalkan manusia yang mendorong kepada maksiat seperti kisah seorang yang membunuh 99 orang, seperti yang diceritakan dalam hadis Nabis SAW di dalam kitab ‘Riyadus Solihin’. Jika tempat kerja mendorong kepada maksiat, jangan takut untuk berhenti kerana rezeki kita bukan di tangan manusia tetapi Allah yang berikan. Tinggalkan juga sahabat atau orang yang dicintai yang mengajak kepada maksiat.
- Banyakkan bersedekah kerana ianya boleh melindungi kita daripada ditipu oleh dunia.
Tambahan – jangan bertaubat dengan meminta kepada manusia
seperti dalam agama Nasrani. Oleh itu, jangan bercerita kepada ustaz tentang
dosa yang pernah dilakukan. Hanya tanya cara bertaubat, dan buat seperti apa
yang diajar. Jangan juga meminta ustaz bertaubat bagi pihak kita.
S: Bagaimana mencari jalan keluar daripada riba yang telah diambil?
J: Kita kena sedar bahawa dosa riba itu sangat besar, lebih
besar daripada dosa berzina dengan ibu sendiri, seumpama berperang dengan
Allah dan rasul-Nya. Kita perlu hentikan segera perbuatan riba. Jika kita
terpaksa kehilangan harta yang banyak untuk menghentikan, maka jangan berkira
kerana tujuan kita adalah keredhaan Allah.