Istimewanya Abdullah bin Mas'ud - Kitab Hadis 40, Masjid Al-Jenderami


Hadis ke-4 - Tahap Penciptaan Manusia, Ketentuan dan Kesudahannya, m/s 21 
Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid
Masjid Al-Jenderami, 05.12.2012

Bahagian pertama nota kuliah ini akan membincangkan kelebihan perawi hadis ini iaitu Sy. Abdullah Ibnu Mas'ud.


Siapakah Abdullah Ibnu Mas’ud?
Abdullah bin Mas’ud digelar sebagai Ahli Qiraat Kufah, yang merupakan seorang yang alim, faqih dan menjadi rujukan orang-orang di Kufah dan Irqa secara amnya. Beliau merupakan orang yang ke-6 masuk Islam. 

Kisah beliau masuk Islam terjadi sebegini: Pada satu hari, sedang Abdullah bin Mas’ud mengembala kambing, datang Rasulullah SAW bersama Sy. Abu Bakar yang cuba mengelak daripada kejaran kaum musyrikin. Oleh kerana mereka berjalan tanpa membawa bekal, maka ketika berjumpa Abdullah bin Mas’ud, Rasulullah SAW bertanya kepadanya jika boleh diberikan sedikit susu kambing? Abdullah bin Mas’ud  pun menjawab, “ Saya ini diamanahkan menjaga kambing, dan bukannya pemilik kambing ini”. Walaupun belum menjadi seorang Islam, Abdullah bin Mas’ud merupakan seorang yang amanah. Lalu baginda Rasulullah SAW pun bertanya sekiranya ada kambing yg berusia setahun ke atas, yang masih belum mempunyai susu (kambing dara). Abdullah bin Mas’ud pun berkata ada dan dibawa kambing itu kepada Rasulullah SAW. Baginda SAW pun menepuk pada kambing lalu  keluarlah susu dengan deras daripada kambing itu. Maka, terkejutlah Abdullah bin Mas’ud  melihat kejadian itu. Rasulullah SAW dan Sy. Abu Bakar pun minum dan diberi juga Abdullah bin Mas’ud meminumnya. Setelah puas meminumnya, Rasulullah SAW pun mengarakahkan agar susu kambing itu pun kembali kepada bentuk asalnya (yang tiada susu).

Salah satu mukjizat Rasulullah SAW ialah membanyakkan sesuatu yang sedikit, atau mengadakan sesuatu yang tiada. Contohnya, makanan sedikit mencukupi untuk beratus-ratus orang, air wudhuk sedikit menjadi banyak, ranting menjadi pedang, kambing yang tiada susu mempunyai susu. Ketika peristiwa Hijrah, Nabi SAW singgah di khemah orang Badawi yang bernama Ummu Ma'bad. Orang Badawi tinggal di padang pasir. Rasulullah SAW yang dalam keletihan dan kelaparan meminta izin untuk memerah susu kambing Ummu Ma’bad. Kambing itu kurus dan kelihatan tidak bermaya. Pada firasat Ummu Ma’bad, kambing itu terlalu letih untuk mengikut kambing-kambing lain milik mereka yang dibawa mencari makanan di luar oleh suaminya, Abu Ma’bad. Tetapi sebenarnya Allah menetapkan sebegitu untuk menjadikan kambing itu sebagai rezeki kepada Rasulullah SAW. Setelah ditepuk oleh Rasulullah SAW, keluar susu yang banyak dan semua orang dapat minum. Yang terakhir sekali minum ialah Nabi SAW.  Ketika Sy. Abu Bakar melihat Rasulullah SAWminum (yang terlalu kehausan sebelum itu), beliau berasa sangat puas. Rasulullah SAW yang minum, tetapi Sy. Abu Bakar yang merasa gembira. Kenapa? Kerana begitu tingginya kasih-sayang terhadap Rasulullah SAW. Nabi kemudian memerah lagi susu buat suami Ummu Ma'bad, Abu Ma’bad. Suaminya sendiri berasa pelik melihat susu kambing diperoleh daripada kambing yang kurus kering itu. Kambing itu kemudiannya hidup sehingga zaman pemerintahan Sy. Umar, lebih kurang 13 tahun umurnya, dan susunya tak pernah putus-putus.

Setelah melihat apa yang berlaku, Abdullah bin Mas’ud  berkata kepada  Rasulullah SAW, “Ajarkan kepadaku apa yang kamu baca tadi ketika menepuk kambing itu”. Lalu kata baginda Rasulullah SAW, “Kamu itu sudah terpelajar”. Rasulullah SAW merujuk kepada sifat amanahnya. Lalu Abdullah bin Mas’ud pun beriman dan memeluk Islam. 

Imannya Abdullah bin Mas’ud sangat istimewa di sisi Rasulullah SAW. Ada 5 keisitimewaanya:
  1. Orang yang tahu perkara yang rahsia kepada Rasulullah SAW, iaitu orang yang amat hampir kepada Rasulullah SAW. Contohnya, jikalau Rasulullah SAW tidur , yang berani mengejutkan baginda ialah Abdullah bin Mas’ud , kalau Rasulullah SAW mandi, Abdullah bin Mas’ud  yang akan memegang kain menutupinya, kalau Rasulullah SAW berjalan seorang diri tanpa teman, yang boleh  menemaninya hanyalah Abdullah bin Mas’ud, orang yang diizinkan masuk rumah Rasulullah SAW ialah Abdullah bin Mas’ud . Perkara-perkara ini bersifat ‘privacy’ dan tidak diberi kelebihan ini kepada sahabat yang lain.
  2. Menjaga bantal Rasulullah SAW, sama ada bantal untuk baginda SAW duduk atau  bersandar atau meletak alas tempat duduknya.
  3. Menjaga siwak Rasulullah SAW – Setiap kali Rasulullah SAW ingin bersiwak atau menyimpan siwaknya, Abdullah bin Mas’ud  yang akan memegangnya.
  4. Menjaga selipar Rasulullah SAW. Ada beberapa riwayat menceritakan bahawa apabila berjalan bersama Nabi SAW, Abdullah bin Mas’ud akan berjalan di hadapan Nabi SAW, tetapi bukan kerana ingin mendahului Nabi SAW, tetapi adalah untuk  menyediakan selipar dan tongkat Rasulullah SAW. Apabila Rasulullah SAW ingin memakai selipar, Abdullah bin Mas’ud menyediakan sehingga Nabi SAW tinggal menyarungnya saja. Apabila Nabi SAW berhenti, Abdullah bin Mas’ud sudah menanti untuk membuka selipar Nabi SAW, tanpa Nabi SAW perlu menundukkan dirinya, dan dia juga mengambil tongkat baginda. Bila Nabi SAW sudah masuk ke dalam majlis, Abdullah bin Mas’ud  pun ikut masuk bersama selipar Nabi SAW yang diletak dicelah jarinya. Begitulah hebatnya cara sahabat melayan baginda Rasulullah SAW.
  5. Menjaga keperluan wudhuk atau bersuci Rasulullah SAW, daripada bekas airnya, batunya dan sebagianya.

Kelima-lima sifat ini menunjukkan kepentingan khidmat kepada guru. Sy. Al-Qisai adalah seorang yag arif membaca Al-Quran dan mengajar 2 orang anak khalifah Harun Al-Rasyid yang bernama Al-Amin dan Al-Makmun. Mereka ini adik-beradik berlainan ibu. Selepas belajar, mereka akan tunggu di depan dan berebut untuk menyediakan selipar gurunya. Lalu, Al-Qisai mengarahkan setiap orang ambil sebelah seliparnya untuk memberi peluang kedua-duanya melayan gurunya. Ini bukanlah satu bentuk perhambaan kepada manusia. Dengan khidmat sebegitu, murid akan mendapat lebih daripada apa yang diharapkannya. Khidmat kepada guru itu bukan kerana gurunya, tetapi adalah kerana ilmu yang dimiliki guru tersebut. Hari ini, jika dilakukan sebegitu pasti akan dicemuh dan dikata orang. Sebenarnya mereka tidak faham bagaimana sahabat berkhidmat kepada Nabi SAW, hatta  kepada haiwan Nabi SAW juga sahabat memberikan khidmat. Setelah Nabi SAW wafat, sahabat bergilir-gilir memberi makan kepada dul-dul (haiwan peranakan daripada kuda dan keldai), iaitu haiwan peliharaan Nabi SAW.

Abdullah bin Mas’ud  merupakan orang yang banyak berkhidmat pada Nabi SAW. Orang yang banyak berkhidmat pada Nabi SAW (contoh lain Abdullah bin Abbas) masyhur dengan ilmu, kerana mereka mendapat barakah ilmu tersebut.

Ada seorang datang kepada Sy. Umar Al-Khattab dan berkata, “Ada seorang di Kufah, yang bila berkata tentang Al-Quran, tidak merujuk kepada apa-apa”. Sy. Umar pun marah dan bertanya siapakah orang itu. Apabila diberitahu orang itu ialah Abdullah bin Mas’ud, barulah Sy. Umar reda kemarahannya dan berkata, “Aku tidak nampak orang lain yang seperti dia saat ini tentang kepandaiannya dalam Al-Quran nul Karim”.

Abdullah bin Mas’ud berkata, “Aku mendengar dengan langsung 70 surah dengan telingaku sendiri daripada Rasulullah SAW”. Semua surah dalam Al-Quran ada 114 surah. Abdullah bin Mas’ud  juga banyak terkesan (terikut perangai) Nabi SAW, kerana rapatnya beliau dengan baginda Nabi SAW. Oleh itu, cara duduknya, diamnya, berdirinya, dan jalannnya mempunyai persamaan dengan cara Nabi SAW. 

Abdullah bin Mas’ud agak rendah orangnya berbanding sahabat Nabi yang lain. Suatu ketika Nabi SAW duduk bersama sahabat, dan Abdullah bin Mas’ud memanjat sebatang pokok, lalu kainnya dihembus angin  sehingga ternampak betis beliau yang kecil. Sahabat pun secara tak sengaja dan spontan tertawa melihat kejadian itu. Nabi SAW pun bertanya, “Adakah kamu ketawa kerana kecilnya betis Abdullah bin Mas’ud ?” Jawab sahabat, “Na’am (Ya)”. Kemudian Rasulullah SAW berkata, “Betis itu disisi Allah adalah lebih berat daripada Gunung Uhud.” Ini menunjukkan bahawa Allah tidak mengukur keimanan seseorang berdasarkan rupa fizikalnya sahaja.

Dalam setiap hadis yang diriwayatkannya, Abdullah bin Mas’ud akan memuji Nabi SAW, dan tidak cuma mengatakan , “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda…”. Contohnya, beliau akan berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW yang jujur, benar lagi dibenarkan, bersabda…”. Cuma sekali berlaku kesilapan dan dia cuma berkata, ““Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda…”, lalu dia pun beristighfar dan takut apa yang disampaikannya itu tidak benar. Begitulah berhati-hatinya sahabat dalam meriwayatkan hadis Rasulullah SAW.

In sha Allah akan bersambung bahagian kedua dengan isi perbincangan hadis ke-4.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab