Rahmat Allah - Huraian Hadis Bab Berharap Pada Allah, Kitab Riyadus Solihin m/s 233-235
Habib Ali Zaenal Abididin Abu Bakar Al-Hamid
Majlis Ta'lim Darul Murtadza, 30.11.2012
Rakaman video kuliah ini ada di Majlis Ta'lim 30.11.2012 - Riyadus Solihin
Hadis 7:
Dari ‘Umar bin Khattab r.a.
berkata: “Beberapa orang tawanan di hadapkan kepada Rasulullah, di situ ada seorang perempuan
yang bingung mencari anaknya, dan setiap ia melihat anak kecil dalam rombongan
tawanan itu diangkatnya dan disusukannya. Kemudian Rasulullah SAW bertanya,
“Adakah kamu sekalian berpendapat bahawa perempuan ini akan melemparkan anaknya
ke dalam api?” Kami menjawab, “Demi Allah, tidak”. Baginda bersabda, “Allah itu
lebih sayang kepada hamba-hambaNya melebihi sayangnya perempuan ini kepada
anaknya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis 8:
Dari Abu Hurairah ra berkata,
Rasulullah SAW bersabda, “Ketika Allah menciptakan makhluk, Ia menulis pada
suatu kitab, yang mana kitab itu berada di sisi-Nya di atas ‘Arasy, yaitu
tulisan yang berbunyi: Sesungguhnya rahmat-Ku mengalahkan murka-Ku.” (Riwayat
Bukhari dan Muslim)
Hadis 9:
Dari Abu Hurairah ra berkata, “Saya
mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Allah menjadikan rahmat itu 100 bahagian,
yang 99 Ia tahan disisi-Nya, dan yang 1 bahagian diturunka ke permukaan bumi.
Daripada 1 bahagian itulah semua makhluk berkasih-sayang sehingga binatang itu
mengangkat kakinya kerana khuatir kalau-kalau terpijak anaknya”.
Dalam riwayat lain dikatakan:
“Sesungguhnya Allah Ta’ala mempunyai 100 rahmat dan Ia turunkan 1 di antara 100
rahmat itu untuk semua jin, manusia, binatang dan serangga di mana dengan satu
rahmat itulah mereka saling berkasih-sayang, dan dengan 1 rahmat itulah
binatang buas mempunyai rasa kasih-sayang terhadap anaknya. Adapun rahmat
yang 99 itu Allah simpan untuk
diberi nanti pada hari kiamat sebagai rasa kasih-sayang terhadap
hamba-hamba-Nya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Muslim dan Salman
Al-Farisi ra berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah mempunyai rahmat 100, 1 di antaranya iaitu rahmat yang
menjadikan makhluk itu sayang-menyayangi. Dan yang 99 nanti akan diturunkan
pada hari kiamat”.
Dalam riwayat lain dikatakan:
“Sesungguhnya ketika Allah Ta’ala menciptakan langit dan bumi, Allah menciptakan
pula 100 rahmat di mana masing-masing rahmat itu memenuhi antara langit dan
bumi. Kemudian Allah menjadikan 1 daripadanya sebagai rahmat di muka bumi ini,
di mana dengan 1 rahmat itulah seseorang ibu mempunyai rasa kasih sayang
terhadap anaknya; demikian juga binatang dan burung yang mana salah seeekor di
antaranya mempunyai rasa kasih terhadap yang lain. Bila hari kiamat tiba, maka
dilengkapkanlah rahmat ini”.
Huraian:
Ketiga-tiga hadis di atas menceritakan luasnya rahmat Allah
dan kita dituntut untuk melihat rahmat Allah melalui rahmatnya makhluk. Beberapa
contoh yang diberikan ialah: Seekor haiwan yang mengelak dirinya daripada memijak anaknya
– perasaan itu tidak sepatutnya dilihat sebagai perasaan tabii haiwan itu
tetapi itu adalah serpihan kasih sayang Allah yang diberi kepada haiwan itu.
Sepatutnya, apabila melihat apa sahaja yang berlaku di sekeliling kita – kembalikan
pandangan itu kepada Allah. Jangan terhenti kepada kejadian makhluk itu.
Apabila kita melihat Allah melalui makhluknya, barulah iman akan semakin tinggi
dan mantap.
Ketika Nabi Sulaiman berjalan bersama tenteranya dan semut
berkata: “Wahai semut, masuk ke dalam rumahmu supaya kamu tak dipijak oleh
Sulaiman dan tenteranya”. Semut yang menyeru itu pun adalah kerana adanya
perasaan rahmat (kasih-sayang) kepada saudara-saudara semutnya. Perasaan
kasih-sayang itu adalah kurniaan Allah. Apabila seseorang menggunakan akal,
mata dan telinganya untuk melihat bahawa segala apa yang ada disekelilingnya
merupakan serpihan rahmat Allah, maka akan bertambah keyakinan dan kefahaman
bahawa luasnya rahmat Allah mengatasi kemurkaan Allah.
Orang yang paling banyak menerima rahmat Allah adalah orang
yang paling banyak mengasihi orang lain. Ketika berkhutbah, Nabi SAW melihat
Hasan yang ketika itu baru sahaja boleh berjalan, keluar dari rumahnya. Nabi
SAW pun turun dari mimbar dan pergi mendukung cucunya, dan dibawa ke mimbarnya.
Kemudian Rasulullah SAW bersabda, “Maha Benar Allah dalam firmannya - 'Sesungguhnya harta dan anak-anak kamu adalah merupakan fitnah(dugaan, ujian)
daripada Allah SWT'. Aku ingin
berkhutbah tetapi apabila ternampak cucuku ini, aku tidak dapat mengawal
perasaan kasih-sayangku ini sehingga aku mengambil dan mendukungnya sehingga ke
mimbar”. Inilah contoh perasaan kasih-sayang yang Allah kurniakan kepada makhluknya
termasuk manusia.
Nabi SAW selalu menunjukkan perasaan kasih-sayangnya kepada
cucu-cucunya, walaupun perkara itu tidak
biasa dilakukan oleh orang Arab ketika itu. Baginda pernah berkata,
“Hasan dan Husin adalah anak-anakku, walaupun mereka bukan daripada sulbiku”.
Ketika solat pun Nabi SAW mengangkat mereka. Pernah berlaku ketika sujud dalam
solat berjemaah, Husin naik ke atas belakang baginda Nabi SAW, dan baginda
sujud sangat lama sehingga sahabat mulai risau. Nabi SAW tidak pernah sujud
selama itu untuk solat fardhu. Setelah Husin turun barulah Nabi SAW bangkit
daripada sujud. Selesai solat, Nabi menceritakan bahawa baginda tidak mahu
bangun daripada sujud kerana risau akan
cucunya itu terjatuh.
Bahkan, Anas bin Malik menceritakan yang beliau melihat Hasan
menunggang Nabi SAW di atas belakangnya. Anas pun berkata Hasan, “Ya Hasan, sebaik-baik
tunggangan ialah apa yang kamu tunggangi itu”. Jawab Rasul SAW pula: “Sebaik-baik
orang yang menunggangnya adalah dia, Ya Anas”. Demikianlah keadaan Rasulullah
SAW bermain dengan cucu-cucunya dengan penuh kasih-sayang. Ada seorang sahabat datang kepada Nabi SAW dan
berkata: “Ya Rasulullah, aku ada sepuluh orang anak tetapi tak seorang pun yang
aku cium”. Nabi SAW pun berkata, “Orang yang tak mengasihi, tak akan dikasihi
oleh Allah SWT. Orang-orang yang mengasihi akan dikasihi oleh Yang Maha
Pengasih dan dikasihi oleh semua yang ada di bumi dan di langit”.
Oleh kerana adanya rahmat kasih sayang Allah, seekor ayam
mengembangkan sayap untuk melindungi anaknya ketika hujan, burung terbang ke
sana ke mari untuk mencari makanan buat anaknya. Perbuatan haiwan ini bukanlah berlaku secara semulajadi sahaja. Semuanya adalah kerana rahmat yang dikurniakan Allah
Ta’ala. Oleh itu, apabila melihat perbuatan kasih-sayang haiwan, jangan tengok
saja, tetapi ingatlah kepada pada rahmat Allah. Rahmat Allah tak terhad pada
makhluk yang bernyawa bahkan kepada makhluk lain seperti alam, gunung-ganang.
Contohnya: Gunung Uhud pun mencintai Nabi SAW.
Untuk mengetahui sejauh mana Allah merahmati kita, lihat
sejauh mana kita mengasihi manusia lain. Orang yang tak mengasihi, juga tak
akan dikasihi. Diceritakan bahawa ada seorang wanita solehah tapi menzalimi
seeokor kucing dengan tidak memberinya makanan. Oleh kerana itu, Allah campak
dia ke dalam neraka. Allah tidak pandang ibadatnya kerana dalam hatinya tiada
perasaan kasih-sayang.
Segala kasih-sayang yang ada di dunia ini – antara ibu dan
anaknya, antara sahabat-handai, antara jiran-jiran, haiwan sesama haiwan dan seumpamanya – semuanya itu
hanyalah 1 daripada 99 rahmat yang Allah miliki. Jika 1 pun sudah sebegitu
banyak, jika 99 rahmat pula, bagaimana agaknya rupanya? Pastilah luar biasa.
Oleh itu, rebutlah peluang untuk mendapatkan 99 rahmat yang Allah janjikan
untuk orang-orang beriman di akhirat nanti.