VIP Akhirat
Ustaz Muhammad Abdullah
(Ustaz Amin)
Mudah-mudahan sedikit bicara ini akan
dapat dijadikan panduan untuk membuat perubahan. Saban hari, kita
semua melangkah ke hadapan mendekati mati, tiada siapa yang melangkah
ke belakang menjauhi mati. Ada 5 fasa alam akhirat iaitu – alam
kubur, padang mahsyar, hisab, titian siratul mustaqim dan syurga.
Fasa 1: Alam kubur
Merupakan alam peralihan dari dunia ke
akhirat. Amalan utama yang perlu dilakukan khas untuk mendapat
keselamatan di dalam kubur ialah istighfar. Suatu hari, ketika Sy.
Aisyah membelek-belek rambut Nabi, dia melihat uban di rambut Nabi
lalu berasa sedih dan menitiskan air mata. Air mata itu terjatuh
kepada Rasulullah SAW yang tidur diribaannya. Nabi SAW pun terjaga
dan bertanya, “Wahai Humairah, mengapa kau menangis?”. Sy. Aisyah
menjawab, “Wahai Rasulullah, aku melihat uban di kepalamu, dan
seolah-olah uban ini memberitahu yang tak lama lagi kita akan
berpisah.”. Nabi pun berkata, “Tak perlu bersedih. Tahukah kamu
apakah yang paling menyedihkan bangsa manusia?” Sy. Aisyah
menjawab, “Apabila kita berpisah dengan orang yang kita sayangi”.
Nabi SAW membalas, “Itu betul, tetapi ada lagi yang paling
menyedihkan manusia.” Lalu Sy. Aisyah pun berkata, “Sesungguhnya
Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui”. Nabi SAW pun
menjelaskan, “Sesungguhnya perkara yang amat menyedihkan manusia
ialah apabila dia diiringi dosanya masuk sekali ke dalam kubur”.
Oleh sebab itulah, kita dianjurkan
beristighfar sentiasa. Apa erti istighfar? Istighfar ialah PENYESALAN
terhadap dosa-dosa yang pernah dilakukan. Hari ini, ramai antara kita
yang beristighfar dengan melagukan kalimahnya, dan rasa seronok
dengan lagunya itu. Istighfar sebegini, yang tidak disertakan
perasaan penyesalan di dalam hati akan menjadi zikir semata-mata,
tanpa berupaya menghapuskan dosa-dosa yang pernah dilakukan. Untuk
melupuskan dosa, istighfar yang dilafazkan mesti disertakan rasa
penyesalan dan berazam meninggalkan dosa tersebut.
Kehidupan ini mempunyai pelbagai
cabaran contohnya dalam hubungan suami-isteri, mertua dan menantu dan
sebagainya. Ada satu kisah yang berlaku kepada sepasang suami-isteri.
Suaminya sakit darah tinggi, dan isteri berjanji untuk mendapatkan
ubatnya suaminya yang sudah habis. Namun, isterinya lalai dengan
kesibukan sendiri dan terlupa tentang ubat itu. Ditakdirkan Allah,
setelah seminggu tak makan ubat, suaminya kena strok dan meninggal
terus pada malam yang sama. Walaupun sedar bahawa ajal suaminya sudah
ditentukan Allah, namun si isteri ada rasa terkilan dan menyesal
dengan kelalaiannya. Perasaaan penyesalan itulah yang boleh dinamakan
istighfar dan taubat. Di samping itu, orang yang ingin bertaubat
perlu mampu melihat keaiban dan kelemahan diri sendiri. Jangan pula
ada sikap yang hanya menyalahkan orang lain sahaja. Bila ada rasa
penyelasan, dan sedar kesilapan dan kelemahan diri, barulah istighfar
yang disebut dibibir betul-betul datang dari hati yang bertaubat dan
mengharapkan keampunan dari Allah. Jangan pula sekali-kali istighfar
digunakan untuk marah orang, contohnya, “Astighfirullah! nak kena
budak ni, nantilah..” Istighfar ini gunanya untuk koreksi diri
sendiri, bukannya koreksi orang lain pula ;P
Untuk selamat di sini juga, seseorang
perlu banyak menghadiri majlis ilmu, kerana setiap langkah yang
diambil, sebelahnya akan diberi kebaikan dan darjat yang lebih
tinggi, dan yang sebelah lagi diampunkan kesilapannya. Orang yang
menghadiri majlis didoakan olehs semua makhluk, hatta ikan di laut
pun mendoakan sekali. Begitu juga malaikat yang ramai yang berada
sekali dalam majlis-majlis ilmu.
Nabi SAW juga menganjurkan kita
membanyakkan membaca surah Al-Mulk, sebagai peneman di dalam kubur.
Bacalah paling kurang seminggu sekali. Jika keperluannya ialah
luasnya kubur, maka surah Al-Mulk akan membantu meluaskan kubur
untuknya, jika keperluannya ialah cerahnya kubur, maka surah Al-Mulk
akan membantu memberi cahaya di dalam kubur untuknya dan seumpamanya.
Surah ini cuma 30 ayat, tak ambil masa yang lama pun untuk dibaca.
Bawa surah ini kemana-mana dan isi masa yang terluang membacanya.
Fasa2: Padang Mahsyar
Kita beruntung
kerana tahu bagaimana rupanya kelkatu itu. Kita biasa melihat kelkatu
cuba menghurungi lampu yang terang, namun ia tidak tahu untuk
bergerak ke mana. Kemudiannya ianya akan patah sayapnya dan terus
mencuba lagi untuk terbang dalam keadaan itu sehinggalah akhirnya
mati begitu sahaja. Begitulah keadaannya manusia di Padang Mahsyar
nanti. Nak kedepan tak tahu arah nak dituju, nak ke belakang pun tak
tahu mana nak diarah, ke kanan pun sama, ke kiri pun sama. Itu belum
lagi manusia yang dirupakan dengan berbagai-bagai seperti dibutakan
matanya, dijalankan dengan kepalanya dan seumpamanya akibat dosa di
dunia dahulu.
Untuk selamat di
sini, pertama lakukan amal korban, kerana Nabi SAW bersabda bahawa
haiwan korban akan menjadi tunggangan seseorang di akhirat nanti. Tak
mahukah kita jika ada 'Ferrari' menunggu di sana nanti? Ada yang kata
mahal RM400 lebih. Jika bayar sekaligus, memang rasa begitu, oleh itu
buat perancangan dan simpan sebahagian wang setiap bulan untuk tujuan
korban. Kadang-kadang, bukanlah sebab kita tidak mampu sebenarnya,
sebaliknya kita tidak menjadikan ibadah itu sebagai satu keutamaan.
Kedua, Nabi SAW
ada berpesan: “Barangsiapa yang inginkan azzahrawan?” Sababat pun
bertanya, “Apakah itu azzahrawan?”. Jawab Nabi SAW, “Azzahrawan
itu ialah awan yang melindungi manusia daripada teriknya panas
matahati diakhirat. Bacalah surah Al-Baqarah dan Ali-Imran untuk
mendapatkannya”. Paling kurang baca setahun sekali, tetapi lagi
banyak lagi bagus. Orang yang melazimi surah ini akan dilindungi awan
ini pada saat dibangkitkan. Setelah tahu tip-tip ini, jangan
ditangguhkan untuk beramal. Terus buat.
Setelah ada
tunggangan dan awan yang melindungi, ke manakah yang ingin dituju?
Sesetengah riwayat mengatakan manusia berada di sini selam 50 ribu
tahun. Nabi SAW menyatakan bahawa ada 7 golongan yang akan dilindungi
di bawah arasy Allah. Oleh itu, seterusnya, kita perlu kejar agar
termasuk dalam 7 golongan ini, iaitu:
- Pemimpin yang adil
- Orang yang suka bersedekah (dengan ikhlas) – sedekah tak perlu nilai yang besar, lebih baik nilai kecil tapi berterusan dan agar tidak mengungkit-ungkit nanti.
- Orang yang istiqamah melakukan qiyyammulallail
- Orang yang hatinya terikat (suka) dengan masjid. Apabila berasa di masjid, pastikan tidak lupa berniat ikhitkaf di masjid. Secara psikologinya, mata manusia suka melihat sesuata yang lapang, dan ianya aka membawa ketenangan ke dalam hatinya.
- Orang yang bertemu dan berpisah kerana Allah. Hari ini apabila kita melakukan ziarah, apakah niat kita? Adakah kerana ingin meminjam atau memulangkan sesuatu kepada jiran? Jika begitu, ziarah itu tidak dilakukan kerana Allah. Oleh itu, perbetulkan niat kita pada setiap kali kita menziarahi saudara-mara, orang yang sakit, orang yang meninggal, orang yang baru mendapat anak dan sebagainya. Dalam satu riwayat Tarmizi ada disebut bahawa orang yang suka menziarahi orang lain akan dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur. Ziarah bermaksud menghadirkan diri. Hari ini , kita beruntung kerana jarak dunia telah menjadi 'dekat'. Kita boleh gunakan telefon, internet untuk merapatkan hubungan dengan sahabat dan sanak-saudara. Jangan pula internet digunakan untuk mengaibkan diri sendiri, contohnya dengan menceritakan masalah suami-isteri di FB/Twitter.
- Orang yang menitiskan air mata kerana bertaubat kepada Allah Ta'ala. Bahkan air mata ini juga akan dapat memadamkan api neraka.
- Orang yang meninggalkan maksiat yang mampu dilakukannya. Nabi SAW memberi contoh seorang lelaki yang digoda oleh perempuan cantik, tetapi dia menolak dan mengatakan yang dia takut kepada Allah.
Kita perlu
berusaha untuk menjadi salah seorang daripada 7 golongan ini. In sha
Allah, kita akan ada hala tuju yang jelas di akhirat nanti.
Fasa 3: Hisab
Seluruh anggota
badan kecuali mulut akan menjadi saksi maksiat dan kesalahan yang
dilakukan, yang akan ditayangkan di hadapan seluruh manusia. Ada
setengah perawi mengatakan yang malunya manusia ketika itu
sehinggakan daging-daging di mukanya gugur satu persatu. Jadi,
bagaimana untuk selamat pada fasa ini – Pertama: pulangkan semua
hak-hak orang yang kita pernah ambil dengan tidak adil. Dalam satu
hadis, Nabi SAW menerangkan bahawa orang yang muflis diakhirat ialah
orang yang mengambil hak orang lain di dunia dan di akhirat nanti,
orang itu akan datang menuntut hak itu kembali daripadanya. Hak orang
lain itu boleh jadi dalam bentuk harta, darah - apabila diambil
nyawanya, atau maruah – apabila mengata/mengumpat/memfitnah
seseorang. Imam Ahmad berkata, ketika minta maaf, tak perlu sebut
dosa kerana dikhuatiri menjadi perkara yang tidak baik pula.
Jika tidak dapat
jumpa orang yang diambil haknya itu, perbanyakkan sedekah yang
diniatkan untuk orang itu. Jika perasan, dalam doa tahlil, ada
disebutkan doa – “ampunkan aku, ibu bapa aku, guru-guru aku
dan orang yang mempunyai hak ke atas aku.” Tetapi
jika terjumpa setelah banyak bersedekah, masih wajib dibayar haknya
yang diambil itu. Jika tidak mampu juga, mugkin kerana malu atau
tidak mampu, mohon doa Allah permudahkan dan buka jalan kita
menyelesaikannya di dunia. Berhati-hatilah agar jangan pahala amalan
kita diambil oleh orang lain di akhirat nant.
Seterusnya, perbanyakkan selawat kepada Nabi SAW, kerana dengan itu,
Nabi SAW akan menunggu kita untuk memberikan syafaatnya. Ada berbagai
bentuk selawat. Jika tiada masa, amalkan yang pendek-pendek sahaja,
paling kurang 100 kali sehari. Sekejap sahaja sudah boleh siap
sebnarnya, lebih cepat daripada waktu yang dihabiskan untuk ibu-ibu
membebel pada anak atau suaminya :P
Fasa 4: Meniti Titian Siratul
Mustaqim
Sesetengah perawi
mengatakan perjalanan siratul mustaqim terbahagi kepada: 1 ribu tahun
menaik, 1 ribu tahun mendatar dan 1 ribu tahun menurun. Jumlah
semuanya - 3 ribu tahun. Titian itu sangat halus dan disifatkan
seumpama rambut yang dibelah tujuh. Ada orang melintasnya seperti
kilat yang menyambar, ada orang laju seperti menunggang kuda, ada
yang perlahan-lahan tapi selamat juga akhirnya. Kejadian ini pernah
berkaku kepada saya: Selepas kuliah di Gunung Semanggol, kereta saya
rosak dan sekadar boleh dipandu pada kelajuan 30km/jam. Jika lebih,
kereta akan mati dan untuk menghidupkannya semula, perlu ambil masa
dalam 4-5 minit. Jadi, saya pun memandulah perlahan-lahan (30km/h)
dan setelah petang barulah sampai di Subang. Ketika dalam perjalanan
itu, satu persatu kenderaan lain meluncur laju berbanding saya. Lori
dengan kelajuan lorinya, BMW dengan kelajuannya tersendiri, bahkan
kereta kancil nampak melunjur laju berbanding saya. Ketika itu,
terdetik di hati saya, “Tuhan, mungkin beginilah keadaan di titian
sirat nanti. Ada yang meluncur sepantas kilat, sepantas kuda ada yang
merangkak-rangkak seperti saya ini. Tetapi tak apalah asalkan selamat
sampai”.
Jadi bagaimana
untuk kita melaluinya dengan selamat? Ulama-ulama mengamalkan dan
mengajarkan agar kita membaca doa ketika berwudhuk. Setiap basuhan
wudhuk ada doa tersendiri, contohnya – ketika membasuh muka, minta
doa Allah serikan muka kita di saat ada muka yang dihitamkan dan
diputihkan di akhirat nanti, ketika membasuh kaki, berdoa agar Allah
menetapkan kaki kita di atas titian siratul mustaqim dan banyak lagi.
Mungkin kita ambil bincangkan dengan lanjut dalam sesi lain kali.
Seterusnya,
seseorang itu perlu membanyakkan rakaat solatnya. Ulama mengatakan
begitu kerana terdapat bacaan Fatihah yang memohon 'siratul mustaqim'
yang juga merujuk kepada titian siratul mustaqim yang sebenar di
akhirat. 40 rakaat solat boleh diperolehi dengan cara:
- Solat fardhu 5 waktu – 17 rakaat
- Sunat Qabliyah dan Ba'diyah – 14 rakaat
- Lagi 9 rakaat – 2 solat taubat, hajat, tahajjud, dan 3 rakaat witir.
Jika dapat tambah
dengan solat sunat dhuha adalah lebih baik.
Seterusnya,
sesiapa yang ingin melangkah titian sirat seperti kilat menyambar
hendaklah betul-betul menjaga untuk meninggalkan perkara-perkara yang
haram dan makruh.
Hari ini, ramai
isteri mengadu mempunyai suami yang tidak baik. Jangan jadikan suami
sebagai matlamat, sebaliknya buatlah baik pada suami kerana Allah
Ta'ala. Hindarkan bercerita keaiban rumahtangga pada kawan dan jiran
tetangga. Isteri perlu selalu mohon maaf pada suami dan suami juga
perlu sentiasa memaafkan isterinya. Jika terasa tidak mampu melakukan
kebaikan, lazimkan mengucap “La hawla wala...'azim”, agar Allah
beri kekuatan hati untuk beramal. Jangan sekali-kali menggunakan
kalimah ini untuk membebel pada anak atau suami :P
Fasa 5: Syurga
Semua orang ingin
masuk syurga, dan syurga tertinggi ialah syurga Firdaus, yang dihuni
oleh Rasulullah SAW. Bagaimana cara untuk memasukinya? Dalam satu
hadis, “Nabi SAW menyebut bahawa aku dengan anak yatim di akhirat
nanti seperti ini (menunjukkan dua jari).” Oleh itu, rahmatilah
anak-anak yatim sepanjang masa dengan membantu keperluan dan
menziarahi mereka, jangan hadkan bantuan dan ziarah pada bulan puasa
dan raya sahaja.
Seterusnya,
infakkan harta untuk membina masjid, rumah anak-yatim atau sekolah
agama. Jika tak mampu beri banyak, beri sedikit agar paling kurang
ada juga sedikit saham kita. Harta yang kita keluarkan, harta itulah
yang akan kekal, sebaliknya harta yang disimpan, bila kita meninggal,
habis begitu saja. Orang yang membina rumah Allah, Allah akan bina
untuknya rumah di syurga nanti.
Akhir sekali,
usahakanlah sedaya-upaya agar seluruh ahli keluarga kita masuk syurga
bersama-sama. Inilah yang paling membahagikan kepada bangsa manusia.
Oleh itu, suami-isteri perlu saling memaafkan, dan ibubapa dan
anak-anak juga perlu saling memaafkan. Jangan ada sengketa.