Anak Tak Sah Taraf (1) - Tanyalah Ustaz 26.12.2012


Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim


Bacaan ayat 32-35, surah Al-Isra’:

Alhamdulilah kita diberi izin untuk bertemu dan saling ingat-memperingati.

Mengikut perangkaan JPN, hampir 170,000 anak tanpa bapa yang sah dilahirkan. Oleh sebab itu, Allah larang kita, keluarga, dan anak-anak daripada mendekati zina. Allah larang supaya tidak mendekati zina sekalipun. Perkara-perkara seperti arak, dadah dan seumpamanya juga boleh membawa kepada zina, dan perlu juga dijauhi.

Zina juga boleh membawa kepada pembunuhan, bila mana ibu yang melahirkan anak tak sah taraf menghadapai tekanan emosi dan akhirnya berlaku banyak kes pembuangan bayi yang menyayat hati. Selain itu, ada kemungkinan ibu yang melahirkan anak tak sah taraf terjebak dengan pelacuran untuk mencari nafkah bagi membesarkan anaknya pula.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Siapakah anak tak sah taraf?
J: Ianya hasil daripada anak zina, rogol, perkahwinan yang tak sah atau teknologi moden yang memasukkan benih lelaki ke dalam rahim wanita. Contoh perkahwinan tak sah ialah perbuatan cina buta.

S: Bolehkah dimasukkan falsafah pengharaman zina untuk menghalang lambakan anak tak sah taraf?
J: Boleh, kerana zina membawa banyak keburukan. Antara falsafah lain pengharaman zina ialah:
  • Memelihara nyawa – kerana wanita yang tertekan mungkin membunuh diri
  • Memelihara nasab anak – agar anak tak sah taraf tidak dimalukan dalam masyarakat
  • Memelihara keharmonian rumahtangga – sebab itu ada hukum li’an jika suami mencurigai isteri dan anak yang dikandungnya.
  • Memelihara kehormatan diri, keluarga, masyarakat setempat 


S: Saya membaca dalam satu buku bahawa zina merupakan punca kepada banyak jenayah. Mohon ustaz jelaskan?
J: Saya pun ada terbaca perkara yang sama. Sebenarnya, Allah sudah menyebut bahaya zina ini. Antara jenayah yang boleh berlaku ialah:
  • Lelaki membunuh wanita yang tak mahu menggugurkan kandungan.
  • Anak zina dibunuh.
  • Anak zina membesar dalam persekitaran yang tidak kondusif, dan akhirnya terlibat dengan jenayah untuk mencari sara hidup.


S: Adakah pendapatan daripada sumber pelacuran akan menambah rezeki orang yang berzina dan mengandung?
J: Orang yang melacur hukumnya haram rezeki yang diperolehi. Ibu bapa tidak boleh membuang anak-anak yang terlanjur, dan mereka perlu dibantu dan diajak bertaubat. Selain haram, pendapatan itu juga tiada keberkatan. Ada 4 perkara kesan perbuatan zina:
  • Allah hilangkan ‘nur’ baik pada wajahnya
  • Allah cabut(sempitkan) rezekinya (Begitu juga dengan orang yang membukan auratnya)
  • Allah murka kepadanya
  • Murtad jika menolak zina adalah perbuatan yang dilarang Allah


S: Ada orang kata anak zina akan mewarisi perangai ibu dan ayahnya. Betulkah?
J: Allah sebut dalam Al-Quran bahawa seseorang itu takkan mewarisi dosa perbuatan orang lain dan setiap anak itu dilahirkan dengan fitrah yang suci bersih. Ibu bapalah yang mendidik anak itu sama ada menjadi Islam, Yahudi atau Majusi. Pendapat ini tidak benar, melainkan jika ibu bapa sendiri memberi contoh dengan melakukan zina di hadapan mereka.

S: Bagaimana menjaga anak-anak daripada terjebak dengan perbuatan zina?
J: Sheikh Abdul Karim Zaiddain ada memberi beberapa panduan. Antaranya:
  • Ambil tahu dengan siapa anak berkawan
  • Pastikan anak sentiasa membaca Al-Quran
  • Pastikan anak minat kepada masjid

Orang yang sentiasa menjaga solat, dan hatinya dekat dengan masjid akan dijaga Allah daripada terjebak dengan zina. Pihak masjid dan AJK perlu mesra jemaah. Jangan halau anak kecil yang mumayyiz dan tahu solat dengan betul ke belakang saf kerana ulama telah mengatakan bahawa saf tidak terputus dengan kehadiran mereka. Jika anak dihalau, emak dan ayah pun takkan datang mengimarahkan masjid.

S: Jika penzina mengaku anak zina itu anaknya, bolehkah anak itu dinasabkan kepadanya?
J: Tak boleh. Yang sah nasabnya adalah ibu dan keluarga sebelah ibunya. Keluarga ibu perlu bantu memberi nafkah kepada anak tak sah taraf. Jika ibu dan ayah berkahwin, dan anak itu berada sekurang-kurangnya 6 bulan dalam kandungan, baru boleh dinisabkan kepada suami ibu.



Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab