Siapa ibu yang ‘clever’? - Tafsir Quran ayat 1 surah Ali-Imran, Majlis Ta'lim Darul Murtadza 21.12.2012


Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid

Semoga kita diberikan ilmu yang bermanfaat, In sha Allah. Semoga dapat menerangi hati dan jiwa kita dengam cahaya Al-Quran nul Qarim, semoga digolongkan oleh Allah dalam golongan orang-orang yang membaca Al-Quran, yang faham kepada Al-Quran, yang mengamalkan isi kandungan Al-Quran dan bersama dengan Al-Quran di dunia, saat meninggal dunia, di barzakh dan saat dibangkitkan serta masuk dalam syurga. Al-Fatihah.


Bacaan ayat 1-2, surah Ali-Imran:

Setiap ayat dan surah Al-Quran yang diturunkan mempunyai kesinambungan antara satu sama lain. Ayat dalam surah Ali-Imran ini mempunyai kaitan dengan bahagian hujung ayat terakhir (286) surah Al-Baqarah.

Bahagian ayat yang tersebut ialah: 
Engkaulah Penolong kami, oleh itu, berikan kepada kami pertolongan ke atas orang-orang yang kafir. 

Orang kafir secara amnya merujuk kepada semua bukan Islam, yang kufur kepada Nabi SAW. Dalam surah ini, Allah menceritakan salah satu golongan yang kafir ialah ahli kitab. Ketika meminta pertolongan kepada Allah terhadap orang kafir – maka kita perlu faham bahawa orang kafir bukannya orang musyrik sahaja, tetapi termasuk juga orang Kristian. 

Dua ayat terakhir surah Al-Baqarah mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Sy. Abdullah Ibnu Mas’ud, setiap kali membaca 2 ayat yang terakhir ini, akan mengatakan “Amin”. Oleh itu, kita juga digalakkan untuk mengatakan Amin setiap kali selepas membaca ayat ini. Dalam riwayat lain dikatakan pula bahawa Nabi SAW akan tersenyum setiap kali selepas membaca Ayatul Kursi dan 2 ayat terakhir Al-Baqarah. Ini disebabkan keagungan dan keistimewaan ayat ini yang diturunkan secara langsung daripada bawah arasy Allah SWT. Kedudukan ayat ini di bawah arasy Allah menunjukkan keagungan ayat ini. Di dalam hadis, Nabi SAW bersabda, “Dua ayat terakhir surah Al-Baqarah, barangsiapa yang membacanya di waktu malam, maka akan dicukupkan keperluannya oleh Allah SWT pada malam itu”.

Dicukupkan’ – mempunyai beberapa makna iaitu:
  1. dicukupkan dengan faedah Qiyyamullail. Oleh itu, digalakkan untuk kita membaca ayatul Kursi dan dua ayat ini sebelum tidur. Dengan itu, jika tidak terbangun Qiyyammullail (bukannya sengaja tak mahu bangun), maka akan tetap mendapat ganjaran Qiyyamullail. Oleh itu, sangat rugilah mereka yang tak membaca dua ayat ini sebelum tidur.
  2. Makna kedua ialah akan mendapat penjagaan Allah.
  3. Hadis riwayat daripada Sy. Ni’man Ibni Bishir ra, yang mendengar Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah telah mencatit catitan 2000 tahun sebelum bumi diciptakan, termasuklah Al-Quran. Kemudian, dikeluarkan daripada Al-Quran 2 ayat terakhir daripada surah Al-Baqarah. Tidak dibaca dua ayat ini pada malam hari, kecuali dia tidak akan dihampiri syaitan”. Hadis ini tidak menyebut akan diganggu, tetapi menyebut bahawa orang yang membacanya tidak dihampiri pun oleh syaitan.
Surah Ali Imran diturunkan kerana delegasi Kristian daripada kaum Najran, terletak berhampiran Yaman, datang kepada Rasulullah SAW dan mengajak berdebat tentang isu Nabi Isa. Mereka bertanya kaitan agama Islam dengan Nabi Isa, dan mengapa cerita Nabi Isa di dalam Islam berbeza dengan cerita mereka tentangnya. Dalam Al-Quran, Allah menceritakan bahawa penciptaan Nabi Isa adalah sama seperti Nabi Adam iaitu daripada tanah. Setelah lengkap sifat fizikalnya daripada tanah, Allah menyerunya untuk menjadi manusia. Allah berkuasa melakukan apa saja. Allah menciptakan Nabi Isa melalui rahim ibunya, Mariam. Kalimah (kun fayakun) yang sama yang mengubah Nabi Adam daripada tiada kepada ada, diucapkan juga kepada Nabi Isa.

Nabi Muhammad mempertikaikan kepada kaum Kristian, jika Nabi Isa tiada ayah dan dianggap Tuhan, mengapa mereka tidak mengangkat Nabi Adam yang tiada ayah dan ibu sebagai Tuhan mereka. Sepatutnya Nabi Adam lebih hebat kerana langsung tidak mempunyai ibu atau ayah. Mereka tidak dapat menjawabnya, dan diajak masuk Islam oleh Nabi SAW. Mereka pun mengatakan, “Kami sudah Islam”. Nabi SAW menjawab, “Kamu berdusta kerana mendakwa Nabi Isa ialah anak Tuhan yang kamu sembah. Kamu mendakwa Nabi Isa disalib. Kamu membenarkan untuk makan daging khinzir.  Itu semua bukannya ajaran Islam”. Mereka tidak boleh membalas debat Nabi dan kemudian mencabar Nabi SAW untuk ‘mubahalah’. Mubahalah bererti mencabar kepada sesiapa yang berdusta untuk dilaknat Allah. Mereka membawa keluarga dan menyuruh Nabi SAW membawa keluarganya juga – lalu Nabi SAW memanggil Sy. Ali. Mereka membawa anak-anak dan menyuruh Nabi SAW membawa anak-anak juga – lalu Nabi SAW memanggil Hasan dan Husin. Mereka membawa ahli keluarga yang perempuan dan menyuruh Nabi SAW membawa keluarganya yang perempuan juga – lalu Nabi SAW memanggil Sy. Fatimah. 

Malam itu mereka berbincang kembali dan berasa takut sekiranya dilaknat, maka mereka takkan mempunyai zuriat langsung di muka bumi. Mereka pun takut dan cabut lari dan tidak berjumpa Nabi SAW. Ini menunjukkan bahawa mereka menyedari bahawa mereka sebenarnya berdusta. Kata Nabi SAW, sekiranya berlaku muhabalah dan mereka keluar, pasti akan ada hujan api yang bakal menimpa mereka.

Kenapa surah ini dinamakan Ali Imran? Kerana Allah ingin menceritakan bukan saja tentang Nabi Isa, tetapi tentang keluarganya termasuklah datuk Nabi Isa iaitu Ali Imran. Jika orang Kristian mendakwa mereka mengetahui tentang Nabi Isa, di dalam surah ini Allah menceritakan dengan lebih lanjut lagi tentang Nabi Isa. Allah menceritakan tentang datuk, nenek dan ibu Nabi Isa dan sejarah kelahiran beliau. Allah menceritakan bagaimana nazar seorang wanita, Hannah, isteri kepada Ali Imran, dan ibu kepada Mariam, yang menginginkan zuriat untuk berkhidmat kepada Allah. Ketika mengandung, Hannah bernazar agar janinnya menjadi ‘muharrar’ – iaitu orang yang berkhidmat di rumah Allah di Baitul Maqdis. Dalam syariat dahulu, muharrar adalah seorang lelaki. Zaman sekarang pula bukan main susah untuk mencari orang bekerja di masjid. Walau diberi gaji sekalipun, orang menolak untuk kerja di masjid.

Ibu kepada Siti Mariam bercita-cita mempunyai anak untuk berkhidmat di rumah Allah kerana tahu tingginya nilai berkhidmat kepada rumah Allah SWT. Oleh itu, kaum ibu, jika mengandung, tanamkan niat yang baik-baik semoga anak menjadi hafiz/hafizah Al-Quran, menjadi orang yang alim dan berguna. Biasanya ibu-ibu mengamalkan surah Yusuf ketika mengandung kerana menginginkan anak yang handsome. Tidak salah menginginkan yang begitu, tetapi ‘handsome’ akhlak, dan otak itu adalah lebih penting! Jangan terhad ‘handsome’ kepada wajah sahaja, tetapi mintalah juga ‘handsome’ hati, akhlak dan segalanya. Ketika melahirkan dan didapati anak itu perempuan, ibunya lalu memberi nama Mariam yang bermaksud ‘yang berkhidmat dirumah Allah’. Kemudian ibunya berdoa, “Saya ibunya, berlindung kepada Allah untuknya, dan keturunannya, daripada syaitan yang direjam”. Ibunya berdoa bukan saja untuk dirinya, malah untuk anaknya dan juga keturunan anaknya itu. Kata Nabi SAW, “Tiada bayi yang dilahirkan, kecuali mendapat cubitan daripada syaitan kecuali Mariam dan anaknya”. Kenapa? Kerana doa perlindungan daripada ibunya yang ‘clever’. Ibunya menjaga niatnya ketika hamil, ketika melahirkan juga didoakan anak dan keturunannya, dan dia redha dengan jantina bayi yang dilahirkannya.

Nazar ibunya diterima oleh Allah walaupun bayi itu bayi perempuan. Ibunya Mariam adalah seorang yang bijaksana ('clever') kerana menginginkan anaknya itu hampir kepada Allah. Anak itu membesar dengan baik dan dibela oleh Nabi Zakaria. Setiap kali Nabi Zakaria masuk ke mihrab Mariam, didapati ada makanan walaupun tiada sesiapa yang menghantarnya. Buah yang bukan musimnya didapati ada padanya. Lalu ditanya Nabi Zakaria, dari mana datangnya makanan itu. Mariam menjawab dengan bijaksana (Ibunya ‘clever’, anaknya juga ‘clever’), “Allah yang beri”. Sejak kecil Mariam telah ditanamkan dengan keyakinan kepada Allah. Walaupun tidak keluar daripada biliknya, Mariam tetap dikurniakan rezeki oleh Allah SWT yang tidak terhad kekuasaannya. Allah memberi Mariam makan buah yang di luar musimnya untuk menunjukkan bahawa Allah berkuasa mengadakan apa yang tiada.
Setelah melihat kejadian ini, Nabi Zakaria pun berdoa, “Ya Allah, aku memohon Engkau memberi aku zuriat yang toyyibah. Aku sudah sekian lama menikah, tiada zuriat. Isteri aku mandul dan umurku sudah lanjut (99 tahun) dan tiada peluang untuk melahirkan. Aku minta kepada-Mu zuriat dalam ketidakupayaan aku untuk melahirkan dan keupayaan Engkau untuk memberi”.

Doa itu diperkenankan dan Nabi Zakaria dikurniakan anak yang Allah berikan namanya iaitu Nabi Yahya. Nabi Zakaria akhirnya mendapat zuriat kerana Siti Mariam, yang mempunyai ibu yang ‘clever’. Siti Mariam kemudian melahirkan anaknya Nabi Isa, seorang anak yang dilahirkan tanpa ayah. Ini semua adalah hasil keberkatan doa ibu kepada Mariam, neneknya kepada Nabi Isa, dan isteri kepada Ali Imran. Inilah sebabnya surah ini dinamakan surah Ali Imran. Dalam surah ini, Allah menceritakan nasab keturunan Nabi Isa sebelum diceritakan tentang Nabi Isa. Surah ini juga diturunkan sebagai panduan agar orang yang membacanya tahu bagaimana untuk membina keluarga seperti keluarga Ali Imran. Jika seorang suami, jadilah seperti Ali Imran, jika seorang isteri jadilah seperti Hannah, jika seorang anak, jadilah seperti Mariam, dan menjadi orang yang mutabbatil dalam ibadah seperti Nasi Isa as. Inilah keluarga yang penuh dengan barakah.

Perbahasan ayat 1:


Selain dariapada surah Ali Imran, ayat serupa juga terdapat dalam surah Al-Baqarah, Al-Ankabut, Ar-Rum, As-Sajadah, dan Luqman. Semua ayat ini dinamakan huruf yang terputus-putus. Ertinya hanya Allah yang mengetahui.


Perbahasan ayat kedua akan disambung pada kelas akan datang, In sha Allah.

Kesimpulan perkara yang telah dibincangkan:
  • Kesinambungan surah Al-Baqarah dengan surah Ali Imran
  • Kenapa dinamakan surah Ali Imran
  • Siapakah Ali Imran dan kisahnya
  • Sebab turunnya surah Ali Imran
  • Perbahasan ayat pertama.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab