Apa Ada Pada Nama (3) – Tanyalah Ustaz 30.12.2012
Ustaz Mohd Gunawan Che Ab. Aziz
Bacaan ayat 11-12, Surah Al-Hujurat:
Dalam ayat ini Allah melarang kita daripada memberi gelaran
yang buruk kepada satu sama lain. Nama merupakan perkara yang penting kerana
setelah Adam dicipta, perkara pertama yang dilakukan ialah Allah memperkenalkan
dirinya-Nya kepada Adam melalui nama-nama-Nya seperti dalam Asma’ul Husna.
Sambungan daripada perbincangan semalam:
Perkara yang perlu dielakkan ketika memberi nama:
- Nama yang menunjukkan penghambaan kepada selain Allah.
- Memberi nama seperti nama Allah (tanpa menggandingkan perkataan ‘Abdu).
- Nama yang mempunyai tidak mempunyai makna atau makna yang buruk (tidak kisah dalam bahasa apa).
- Nama orang yang Allah cela seperti Firaun atau nama-nama binatang.
- Nama yang terlalu memuji diri sendiri. Nabi SAW pernah menukar nama Zainab yang bermaksud satu tanaman yang sangat harum baunya, daripada nama asalnya iaitu ‘Barrah’ yang bermaksud wanita yang sangat baik dan melarang seseorang terlalu memuji dirinya sendiri.
- Nama yang tidak layak untuk manusia, contohnya ‘Raja segala Raja’, ‘Penguasa segala penguasa’.
- 4 nama yang dilarang seperti dalam hadisnya iaitu: Yasar, Robah, Najih dan Aflah.
Allah melarang kita memanggil dengan gelaran yang buruk atau
dibenci pemilik nama itu. Perbuatan memberi gelaran tidaklah salah, bahkan
adalah sunnah kerana Nabi SAW banyak memberi gelaran kepada para sahabat,
selagi ianya tidak mengaibkan atau dibenci pemilik nama.
Dalam satu riwayat, seorang lelaki datang kepada Rasulullah
SAW dengan membawa seorang tua. Baginda bertanya kepadanya: “Hai lelaki,
siapakah yang bersamamu?”Lelaki itu menjawab: “Ayahku.” Baginda bersabda:
“Jangan engkau berjalan di hadapannya, jangan panggil ia dengan namanya dan
jangan engkau samakan dia dalam sesuatu.”
Daripada hadis inilah, Imam Nawawi mengatakan bahawa kita tidak boleh memanggil
ibu, bapa atau guru dengan nama mereka. Kita perlu ‘lapik’ dengan nama yang
memuliakan mereka. Ada waktunya, boleh memanggil dengan nama tidak baik dengan
tujuan mendidik. Contohnya Umar pernah memanggil anaknya ‘Hei budak jahat’,
kerana perbuatannya yang meninggalkan tetamunya tanpa diberi minum.
Bergurulah dengan guru secara fizikal juga, agar boleh
ditanya jika ada perkara yang tak difahami. Jangan bergantung sepenuhnya kepada
guru Syeikh Al-Guguli (google) atau Syeikh Al-Yutubi (youtube) :D
Manusia hanya akan mendapat kemuliaan apabila melakukan
ibadah yang Allah suruh dan meninggalkan larangan-Nya. Oleh itu, dalam konteks
memberi nama, saya menyeru agar kita tidak meniru ‘trend’ sehingga menggadai
jatidiri sebagai seorang Islam.
Dalam surah Fahir, ayat 10, Allah berfirman:
Oleh itu, kita perlu yakin bahawa hanya apabila kita
mematuhi perintah Allah dan Rasul-Nya, kita akan mendapat kemuliaan. Oleh itu, saya
menyeru diri dan kita semua agar berpegang kepada apa yang Umar ra katakan,
“Sesungguhnya kita dulu adalah kaum yang hina, dan Allah telah memuliakan kita
dengan Islam. Maka, takkala kita mula mencari kemuliaan dengan apa yang Allah
tidak muliakan, maka Allah akan hina kita kembali”.
Semoga Allah menetapkan hati kita atas kemuliaan iman dan
Islam. Amin.
Senarai soalan dan
jawapan:
S: Bolehkah suami isteri saling memanggil diri mereka contohnya dengan
nama ‘mama’, dan ‘papa’?
J: Ini bergantung kepada budaya setempat. Jika nama itu difahami merujuk kepada suami dan isteri, tidak membawa konotasi negatif, dan menjadi budaya orang di situ, maka tidaklah menjadi kesalahan.
J: Ini bergantung kepada budaya setempat. Jika nama itu difahami merujuk kepada suami dan isteri, tidak membawa konotasi negatif, dan menjadi budaya orang di situ, maka tidaklah menjadi kesalahan.
S: Akibat kejahilan, seseorang telah menamakan anak dengan nama
dewa? Adakah anak itu berdosa sepanjang hayatnya?
J: Jika nama itu bercanggah dengan akidah, maka perlu diubah
nama itu. Pemilik nama tidak memilih namanya, ibu bapanya yang memilihkan
untuknya. Oleh itu, tidaklah dia berdosa, tetapi setelah mengetahui keburukan
namanya, dia perlu mengambil tindakan untuk menukar kepada nama yang lebih
baik.
S: Ada orang
menggelar diri mereka sendiri untuk tujuan perniagaan contohnya – ‘Mat
Belacan’, ‘Tukang Jahit Timah Gemuk’. Bolehkah kita memanggil mereka dengan
nama tersebut?
J: Jika mereka redha dan nama itu bertujuan memudahkan orang
mengenali mereka, tidak mengapa.
S: Jika dinamakan anak dengan nama Nabi – contohnya Muhammad, maka ada
yang mengatakan anak itu tidak boleh dicerca atau dimarahi kerana ada bahagian
nama Nabi SAW pada namanya. Betulkan begitu?
J: Betul, kita perlu menjaga kemuliaan nama Nabi SAW. Ada kalanya, anak diberi nama Muhammad, tetapi dipanngil 'Mad' atau 'Mat'. Dalam bahasa Arab, 'Mad' itu maksudnya mati. Oleh itu, kita perlu berhati-hati.
S: Apakah nama terbaik untuk bayi perempuan?
J: Kita perlu melihat contoh nama yang diberikan oleh Nabi
SAW dan para sahabat. Nama terbaik adalah seperti yang Allah nyatakan dalam
Al-Quran adalah seperti Mariam,
Asiah, nama-nama isteri Nabi SAW dan banyak lagi.
S: Bagaimana jika nama panggilan menjadi tidak elok, sedangkan nama
betulnya baik dan elok maknanya?
J: Nama panggilan mestilah tidak menjatuhkan maruah atau
kemuliaan seseorang seperti yang difahami oleh orang setempat dan diredhai oleh
pemilik nama itu.
S: Apakah makna nama ‘Rita Rohayu”?
J: Sepanjang yang saya tahu, dalam bahasa Arab, tiada
perkataan Rita atau Rohayu. Yang ada hanyalah perkataan roh. Oleh itu, mungkin
boleh ditukar kepada nama yang mempunyai makna yang lebih elok.
S: Nama saya Hasan bin Husin. Datuk saya kata, nama itu tidak boleh
digunakan kerana mereka adik-beradik, lalu memanggil saya Ajak.
J: Sebenarnya tiada halangan selagi betul Husin itu ayahnya.
Yang makruh seperti pendapat sebahagian ulama ialah Hasan Husin bin xxx. Nama dah cantik, tetapi apabila ditukar
kepada Ajak, saya pun tak pasti apa maknanya.