Bersediakah Menjadi Tetamu Allah? (1) - Tanyalah Ustaz 21.09.2012


Ustaz Prof. Madya Dr. Muhd Najib Abdul Kadir


Bacaan surah Al-Haj, ayat 27:

Alhamdulillah kita sampai ke bulan Haji (Zulkaedah dan Zulhijjah). Dalam mentafsirkan ayat ini, Imam Al-Qurtubi berkata, setelah Nabi Ibrahim siap mendirikan Kaabah, baginda diperintah untuk memanggil manusia untuk mengerjakan haji. Lalu Nabi Ibrahim bertanya, “Wahai Tuhanku, adakah suaraku sampai kepada mereka?” Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Panggillah, akulah yang akan menyampaikannya”. Nabi Ibrahim a.s. pun naik ke Jabal Qubaisy, dan berseru, “Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan kalian untuk menziarah Kaabah untuk memberi syurga kepada kalian, dan menyelamatkan kalian daripada neraka. Jadi, pergilah menunaikan ibadat haji.” Semua roh yang berada di sulbi lelaki dan rahim perempuan menyambut seruan tersebut dan berkata, “Labbaika Labbaika (Aku penuhi seruan-Mu, Aku penuhi seruan-Mu)”. Sesiapa yang menjawab pada ketika itu, maka dia akan berhaji mengikut jawapannya. Jika menjawab sekali, maka dia berhaji sekali. Jika menjawab dua kali, maka dia berhaji dua kali dan begitulah seterusnya. Demikianlah disyariatkan talbiah.

Alhamdulillah, jika kita terpilih sebagai tetamu Allah SWT. Jika menjadi tetamu kepada manusia atau orang besar, kita sudah pasti berasa sangat gembira. Oleh itu, kita perlu lebih gembira lagi jika terpilih menjadi tetamu Allah. Namun, persoalannya, bersediakah kita untuk menjadi tetamu Allah?

Musafir untuk mengerjakan haji atau umrah adalah tidak sama seperti musafir untuk pergi melancong. Setiap pergerakan, perbelanjaan kita adalah ibadah dan akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Antara persiapan yang perlu dilakukan ialah daripada segi fizikal, mental dan rohani. Daripada segi fizikal, kita perlu menjaga kesihatan dan kecergasan. Daripada segi mental pula, kita perlu bersedia menghadapi ujian-ujian yang bakal menimpa. Daripada segi rohani pula, kita perlu meningkatkan ketaqwaan kepada Allah kerana itulah sebaik-baik bekalan.

Secara ringkasnya, antara persiapan mengerjakan haji ialah:
Jaga akidah daripada perbuatan syirik. Contoh mudah – ada orang yang menganggap hajar aswad, kaabah dapat memberi syafaat/mudarat kepada seseorang. Kita perlu berhati-hati kerana Allah tidak akan menerima amalan orang yang ada syirik kepada-Nya.

Kita perlu bersiap daripada sudut kewangan dan memastikan yang sumbernya halal. Sahabat pernah bertanya Rasulullah SAW, “Apakah yang mewajibkan haji?” Nabi SAW menjawab, “Bekalan dan kenderaan”. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Jika seorang keluar untuk menunaikan fardu haji dengan nafkah yang baik (halal) dan ketika meletakkan kakinya pada tali sandang maka menyerulah dia – Labbaikallah hummalabbaik. Maka disambut oleh yang menyeru dari langit yang maksudnya: “Seruan kamu diterima dan berbahgialah kamu, bekalan kamu itu halal, kenderaan kamu itu halal dan haji kamu haji mabrur(tidak ditolak). Sebaliknya jika seorang keluar menunaikan fardu haji dengan perbelanjaaan yang haram dan kotor. maka ketika meletakkan kakinya ditali sandang atau kenderaan ,manakala dia bertalbiah , disambut oleh yang menyeru dari langit: "Tidak diterima seruanmu dan tidak ada kebahagiaan bagi kamu, bekalan kamu haram, perbelanjaaan kamu haram,haji kamu ditolak, tidak ada pahala dan tidak ada ganjaran bagi kamu”.

Oleh itu, pastikan sumber rezeki kita tiada unsur riba, khianat atau perkara-perkara haram yang lain. Seterusnya keikhlasan kita perlu dijaga dalam setiap amalan kebaikan yang ingin dilakukan.

Persiapan fizikal dan mental perlu juga diberi perhatian. Kita akan berpisah dengan keluarga untuk jangkamasa yang panjang (lebih kurang 40 hari). Dalam perjalanan juga kita akan diberi ujian-ujian oleh Allah. Oleh itu, kita perlu tingkatkan kesabaran dan ingat bahawa permusafiran itu juga merupakan satu bentuk ujian daripada Allah.

Dalam mengerjakan rukun-rukun haji, kita akan mengalami kesesakan kerana jumlah orang yang ramai. Oleh itu , kita perlu banyak bersabar dan bertolak-ansur. Segala kepayahan dan kesukaran yang dialami adalah sebagai satu jalan mujahadah kepada jalan Allah. Seterusnya, kita perlu mempersiapkan diri dengan ilmu, terutamanya ilmu mengerjakan haji.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Setelah pulang dari Mekah, ada orang menceritakan kisah-kisah pelik yang berlaku di sana. Bolehkah kita mempercayai kisah tersebut?
J: Walaupun pelik, pasti ada pengajaran daripada kisah yang berlaku. Oleh itu, kita perlu ambil pengajaran dan membuat persediaan yang lebih baik.

S: Seseorang itu mampu dari segi kewangan untuk mengerjakan haji, tetapi bekalan taqwanya masih belum mencukupi. Adakah orang ini belum bersedia menunaikan haji dan dikira belum sampai seru?
J: Allah mewajibkan ibadat haji kepada mereka yang mampu sampai ke sana. Mampu di sini merujuk kepada kewangan dan kesihatan. Bekalan taqwa perlu juga dilakukan dengan belajar ilmu-ilmu ibadat haji. Tanpa ilmu, ibadah tidak akan sempurna. Gunakan semua pancaindera dan kesihatan yang Allah kurniakan untuk mempelajari ilmu sebelum mengerjakan sesuatu ibadah. Firman Allah yang bermaksud, “Jangan kamu ikut sesuatu tanpa ilmu. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati kamu akan ditanya oleh Allah kelak”.
           
S: Ibadah haji dianggap sebagai proses kesempurnaan hidup insan. Ertinya orang yang tiada kemampuan kewangan tidak akan melalui proses ini. Apa pandangan ustaz?
J: Allah meletak ibadah haji sebagai rukum Islam yang  terakhir. Sebelum mengerjakan haji, kita perlu sempurnakan ucapan tauhid kita dan menjaga diri dan perlakuan yang boleh membatalkan syahadah kita. Kedua, kita perlu menjaga kesempurnaan solat. Kemudian, kita sempurnakan pula ibadat puasa dan zakat. Setelah itu, barulah datang kewajipan menunaikan haji.

S: Menunaikan haji secara kebetulan kerana bertugas adakah akan mendapat ganjaran yang sama seperti orang yang berusaha sendiri untuk pergi menunaikan haji?
J: Ganjarannya IsyaAllah lebih afdhal atas usaha sendiri. Namun, orang yang menaja kita itu pasti akan mendapat pahala juga.

S: Setelah mengerjakan haji, kita balik dan menjadi penentang hukum-hukum Allah, contohnya hukum hudud. Mohon pandangan ustaz.
J: Setelah dipilih menjadi tetamu Allah, ketaatan kepada Allah perlu dijaga sebelum, semasa dan selepas mengerjakan haji. Jangan sekali-kali kita melanggar hukum Allah dan menentangnya. Inilah tanda kesempurnaan ibadah haji yang dilakukan, di mana kita istiqamah dalam beramal kepada Allah.

S: Seorang yang sudah mengumpul duit lama namun masih belum tiba gilirannya menunaikan haji, bolehkah jika duit itu digunakan untuk pergi umrah terlebih dahulu?
J: Salah satu kekangan di Malaysia untuk mengerjakan haji ialah kuota. Ibadah umrah juga merupakan satu kewajipan sebenarnya. Rasul SAW ada bersabda dalam satu hadis yang bermaksud, “Haji dan umrah, kedua-duanya adalah fardhu”. Oleh itu, tidak menjadi kesalahan menunaikan yang mana satu dahulu.

S: Setelah pergi menunaikan haji, namun haji terbatal. Kita pulang dan menikahkan anak perempuan. Mohon pandangan ustaz?
J: Inilah kepentingan ilmu. Setelah berihram, ada 13 larangan yang perlu dipatuhi. Setelah sempurna ibadat haji, barulah seseorang boleh bertahallul untuk membebaskan diri daripada ihram. Jika didapati kita melakukan kesilapan ketika mengerjakan haji, tanya terus kepada ustaz/ustazah yang bertugas ketika berada di Mekah lagi. Jangan tunggu setelah pulang untuk menyelesaikannya.

S: Bagaimana jika seseorang sudah menjadi warga emas tetapi tidak mahu membuat rayuan untuk mempercepatkan giliran?
J: Nabi SAW suruh kita segera unutk mengerjakan haji jika sudah mampu. Jangan tunggu sehingga pencen atau tua terlebih dahulu kerana kita tidak pasti bilakah kita akan meninggal.

S: Kawan saya akan pergi Mekah tahun hadapan. Dia tanya bila saya ingin pergi, dan saya jawab InsyaAllah, kerana saya masih belum mampu lagi. Betulkah jawapan saya?
J: Betul, yang penting ialah kita ada azam dan usaha untuk pergi menunaikan haji. Mudah-mudahan Allah izinkan dan beri kelapangan rezeki dan kesihatan untuk menjadi tetamu-Nya.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab