Umrah Sebagai Persediaan Haji (2) - Tanyalah Ustaz 29.09.2012


Ustaz Ghazali Ibrahim


Nikmat terbesar yang Allah beri pada kita hari ini ialah nikmat hidup. Oleh itu, mari kita gunakan dengan sebaik-baiknya untuk menambah amal untuk bekalan di hari akhirat nanti. Berapa ramai ahli keluarga kita, saudara-mara kita, kenalan kita yang telah meninggal dan memohon pada Allah untuk dihidupkan semula kerana menyedari amalan yang dibawa sedikit untuk membantu di alam kubur dan alam akhirat.

Hari ini kita bersiaran daripada Masjid Al-Falah, yang hiasannya menyerupai raudhah di Masjid Nabawi. Tetapi hakikatnya ini memang merupakan satu raudhah, kerana Nabi SAW mengatakan bahawa majlis ilmu itu adalah raudhah.
Dalam membincangkan tajuk ‘Umrah sebagai persediaan haji’, semalam telah dinyatakan keperluan menimba ilmu tentang ibadat secukupnya sebelum pergi ke sana. Hari ini akan dibincangkan persediaan hati pula. Paling penting adalah untuk menjaga hati daripada sifat sombong dan riyak. Sifat sombong yang paling ditakuti ialah sombong pada Allah.
Umrah pertama juga wajib sebenarnya. Oleh itu, tiada masalah untuk menunaikan umrah sebelum menunaikan haji.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Sebelum Ramadhan saya pergi umrah. Saya melakukan tawaf umrah sambil memimpin anak yang belum berkhatan. Ada yang mengatakan batal, mohon penjelasan ustaz?
J: Sebelum bawa bayi atau anak kecil ketika tawaf, bersihkan mereka terlebih dahulu, contoh tukar pampers yang baru, bersihkan mereka betul-betul, ajar anak kecil ambil wudhuk dan kemudian tiada masalah untuk bawa mereka bersama. Sama juga jika bawa selipar, perlu dipastikan tiada najis pada selipar itu. Ketika tawaf, perlu dipastikan kesucian. Tiada masalah untuk bawa bayi atau anak kecil bersama. Namun jika terbawa najis bersama, tidak sah tawaf yang dilakukan.

S: Apa hukum isteri yang masih dalam iddah pergi menunaikan haji?
J: Kalau diikutkan wanita dalam iddah tidak boleh keluar rumah. Oleh itu, hukumnya tidak boleh. Oleh itu, bawalah berbincang dengan pihak Tabung Haji agar giliran naik pada tahun berikutnya. Tetapi jika isteri sudah berada di Mekah dan suaminya meninggal di Mekah, dia boleh meneruskan haji.

S: Saya pergi umrah sendiri tanpa mengikut pakej. Saya pernah buat umrah dan tidak menunaikan tawaf wada’. Adakah sah umrah saya?
J: Betul, umrah tidak perlu ikut pakej. Ada banyak perbahasan mengenai keperluan tawaf wada’ dalam ibadat umrah. Ada yang kata perlu, ada yang kata tak perlu. Cuma untuk haji, memang ada tawaf wada’. Oleh itu, ikut keyakinan kita. Jika kita ingin lebih beradab sebelum meninggalkan Mekah, kita boleh mengerjakan tawaf wada’.

S: Ketika dalam penerbangan mengerjakan haji, wanita berhaid dan tidak niat ketika melalui Miqat. Setelah suci di Mekah, wanita keluar ke Tana’im (miqat) untuk berniat. Adakah kena dam?
J: Walaupun berhadas (haid), perlu niat haji atau umrah ketika melalui miqat. Ketika haid, wanita masih boleh buat amalan sunat seperti mandi sunat, cuma tidak boleh solat dan tawaf. Sesiapa yang tidak berniat di miqat, sebenarnya berdosa kerana sengaja tidak berniat. Perlu bertaubat dan mohon ampun banyak-banyan dan perlu juga ditunaikan dam iaitu dengan menyembelih kambing di Mekah.

S: Semasa solat fardhu di Masjidil Haram, keadaan begitu sesak sehingga ada saf yang bercampur dan tidak muat untuk rukuk dengan sempurna. Mohon ulasan ustaz.
J: Feqah adalah sesuatu yan dinamik sebenarnya. Oleh itu, jika keadaan terdesak, kita buat apa yang mampu sahaja. Jika tidak muat untuk sujud dengan rapat ke lantai, cukup sekadar tunduk sedikit untuk membezakan dengan pergerakan rukuk.

S: Ada penceramah mencadangkan untuk mengerjakan haji sebanyak 3 kali. Mohon penjelasan ustaz.
J: Sebenarnya tiada masalah untuk pergi haji banyak kali, cuma isunya kuota di Malaysia terhad. Nabi SAW pernah menyatakan, jika ada rezeki pergilah setiap 5 tahun sekali. Namun, seeloknya jika kita sudah tunaikan haji sekali (yang wajib), untuk yang seterusnya niatkan haji badal untuk ibu bapa yang telah meninggal. Jika tak cukup rezeki untuk buat haji lagi, tunaikanlah umrah.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab