Pasca Ramadhan: 'High-touch' dan 'High-tech' – Mukmin Profesional 27.08.2012

Ustaz Pahrol Mohd Juoi


Alhamdulillah kerana kita diizinkan Allah berada dalam majlis ilmu. Semoga kita mendapat manfaat-manfaat di luar jangkaan kita, kerana Nabi SAW pernah berjanji bahawa orang yang berada dalam majlis ilmu akan mendapat rahmat, ketenangan dan namanya akan disebut oleh Allah dalam majlis yang lebih mulia daripada ini. Oleh sebab itu, tanda orang itu sebagai orang mukmin atau orang yang sedang berusaha menjadi mukmin adalah hatinya mudah tertarik kepada majlis ilmu.

Hari ini kita akan fokus untuk membincangkan 'high-touch' (akhlak-akhlak murni dalam pergaulan) dan 'high-tech' (kepakaran dalam pekerjaan) kita setelah Ramadhan berlalu. Pada prinsipnya, Ramadhan itu merupakan satu madrasah untuk melahirkan muttaqin (orang-orang bertaqwa). Orang yang bertaqwa ialah orang yang sangat berhati-hati dalam menjaga hukum-hakam Allah – perkara halal dikerjakan, perkara haram ditinggalkan, yang sunat dilaksanakan untuk mendapat kecintaan Allah dan yang makhruh akan cuba ditinggalkan walaupun tidak berdosa jika dikerjakan. Segala yang harus dikerjakan dan dijadikan sebagai ibadah. Mereka sentiasa menjaga perlakuan, pertuturan dah juga hati dan pemikiran agar tidak terkeluar daripada perintah Allah.

Ubai bin Kaab pernah menyatakan bahawa orang yang bertaqwa seumpama orang yang berhati-hati ketika melalui jalan yang penuh berduri. Walaupun taqwa itu berada dalam hati, kesannya ada dua dan akan dapat dilihat di luar juga iaitu:
  • Pertama: orang yang akrab dengan Allah akan akrab dengan manusia juga. Dengan kata lain, taqwa akan melahirkan orang yang berakhlak baik dalam pergaulan.
  • Kedua: taqwa melahirkan orang yang itqaan (pakar dalam pekerjaan). Melalui kepakarannya, seseorang akan dapat memberi kebaikan kepada orang lain. Contohnya: seorang guru memberi kebaikan kepada anak muridnya. Pekerjaan bukanlah semata-mata cara mencari rezeki, tetapi sebenarnya sebagai wadah untuk beribadah.

Akhlak itu adalah dorongan untuk kita melakukan perbuatan baik dengan mudah, tanpa perlu melibatkan pertimbangan pemikiran. Akhlak yang baik berbeza dengan perlakuan yang baik. Seorang yang berakhlak baik, jika berjumpa dengan orang yang susah, akan terus membantu secara spontan tanpa perlu berfikir panjang. Akhlak itu seumpama tindakan refleks yang sudah sebati dalam diri. Sebaliknya perlakuan yang baik pula memerlukan pertimbangan pemikiran sebelum melakukan sesuatu. Contohnya, seetelah berfikir sejenak dan ingat akan kelebihan membantu orang susah, barulah seseorang itu sudi membantu.

Dalam surah Ali-Imran, ayat 113, Allah berfirman:

Daripada ayat ini dinyatakan bahawa sifat-sifat orang bertqwa ialah:
  • pemurah dan suka bersedekah ketika senang dan juga susah
  • orang yang menahan amarahnya
  • seorang yang mudah memaafkan
  • apabila berbuat dosa, dia segera bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah.

Oleh itu, jika seseorang itu akrab dengan Allah dengan banyak melakukan ibadah, namun masih bakhil atau pemarah – itu tandanya dia belum mencapai tahap taqwa. Kesimpulannya orang bertaqwa adalah orang yang pemurah, penyabar, pemaaf dan selalu bertaubat. Inilah sifat-sifat yang mencerminkan akhlak yang baik dan penting untuk mewujudkan pergaulan baik dalam masyarakat. Rasulullah SAW menegaskan bahawa perutusannya adalah untuk membentuk akhlak yang baik dalam kalangan manusia. Inilah rahmat kedatangan Nabi SAW. Dapatan kajian kandungan Al-Quran menunjukkan bahawa 80% menceritakan tentang akhlak. Oleh itu, kita perlu tanya diri kita adakah kita sudah mempunyai akhlak yang lebih baik ('high-touch') pasca Ramadhan ini?

Orang yang bertaqwa itu itqaan dalam ibadah dan pekerjaan sehariannya. Nabi SAW menegaskan bahawa Allah sayang kepada seseorang yang itqaan dalam setiap pekerjaan yang dilakukannya. Itqaan merupakan orang yang bersungguh-sungguh dalam pekerjaan, memiliki ilmu dan kepakaran, dan mematuhi etika pekerjaan. Orang yang bertaqwa adalah orang yang menjaga hukum Allah (syariatullah) dan sunnatullah. Sunnatullah adalah 'law of nature' atau 'cause and effect' – contohnya: nak kenyang kena makan, nak anak kena kahwin dan sebagainya.

Perbincangan:
S: Allah utuskan Nabi SAW sebagai rahmat kepada seluruh alam. Ada ulama menyandarkan ayat ini kepada agama Islam, bukannya Nabi SAW. Jadi apakah rahmat yang dimaksudkan sebenarnya?
J: Saya lebih suka mengambil jalan tengah dalam membincangkan antara Islam dan orang yang membawa Islam. Ini bertepatan dengan ungkapan -'In order to deliver the message, be the message'. Itulah yang dimaksudkan oleh Aisyah apabila dia mengatakan akhlak Nabi SAW itu ialah Al-Quran. Jadi, kita tidak boleh memisahkan Nabi SAW dan Islam dan perlu menolak apa-apa tanggapan sebegini.

S: Ramai orang Asia Selatan menggunakan Islam sebagai cara untuk mencari dana bantuan. Tetapi apabila disiasat didapati mereka adalah sebahagian sindiket yang menipu orang ramai. Jika dilihat dari penampilan fizikal – mereka ini berjanggut, berjubah dan kelihatan baik. Mohon perncerahan ustaz.
J: Saya tidak mahu mengkhususkan mana-mana negara kerana di mana-mana saja ada orang yang menyalahgunakan agama untuk kepentingan diri. Apabila seseorang menyamar menggunakan agama dengan berserban, berjubah, hati orang akan mudah tertarik. Oleh itu, Islam menyarankan agar kita jangan menipu dan jangan tertipu. Jangan terlalu bersangka baik, dan perlu juga berhati-hati sebelum berbuat sesuatu.

S: Bagaimana kaitan taqwa dengan 'world view Islam' (melalui perbankan, muamalatnya) agar orang tidak nampak Islam hanya ibadah di atas sejadah sahaja?
J: Islam itu lengkap dan merangkumi seluruh kehidupan kita daripada sekecil-kecil perkara seperti menguap, sehinggalah kepada sebesar-besar perkara seperti ekonomi, pentadbiran dan sebagainya. Taqwa itu di dalam dan asasnya ialah iman. Taqwa itu seumpama 'iceberg', yang kelihatan cuma 5% daripada saiznya di permukaan. Dasarnya terdiri daripada pertama: keyakinan, kedua: pandangan hidup, ketiga: sistem nilai dalam kehidupan, keempat: 'attitude', kelima: perbuatan. Oleh itu, seseorang yang tidak mengamalkan sistem kehidupan Islam belum boleh dikatakan bertaqwa. Taqwa tidak dapat diukur, tetapi kesannya akan kelihatan dalam bentuk akhlak dan cara hidupnya.

S: Akhlak Islam merupakan natijah daripada kesedaran dan kefahaman penganutnya. Bagaimana jalan membina kesedaran dan kefahaman untuk berdakwah?
J: Hari ini ramai orang tahu agama, tetapi tak sedar, atau tahu agama tapi tak faham. Ketika ingin mula berdakwah – kita perlu berjumpa dengan orang secara fizikal, atau melalui alam maya (internet). Dengan kesedaran, barulah orang akan datang kepada Islam. Setelah itu, disambung dengan proses tarbiyyah. Seterusnya, barulah kita mula memimpin orang untuk mengikut Islam dan seterusnya membentuk masyarakat yang mengamalkan kehidupan Islam sepenuhnya.

S: Orang yang 'high-tech' memberi kebaikan kepada orang lain. Bagaimana jika seseorang menganiaya orang lain untuk memberi kebaikan kepada orang lain? Contohnya Maharaja China yang mengerahkan rakyatnya membina tembok China sehingga ramai yang terkorban, demi menjaga keselamatan rakyat?
J: Keagungan dalam Islam tidak diukur dengan besarnya artifak-artifak yang pernah dibina, tetapi diukur pada hebatnya Islam pada manusia zaman itu. Hanya Islam yang mampu mendidik penganutnya menjadi baik – jika dia miskin, dia akan bersabar, jika kaya, dia akan bersyukur, jika dia seorang pemimpin, dia akan adil dan sebagainya. Inilah akhlak orang yang bertaqwa. Oleh itu, kemuncak tamadun rohani adalah ketika zaman Nabi SAW. Dalam Islam 'matlamat tidak menghalalkan cara'. 'High-tech' mesti diperjuangkan dengan 'high-touch'. Oleh itu, contoh perbuatan Maharaja China tidak boleh dijadikan sebagai teladan. Sebaliknya, kita perlu mengambil teladan keindahan dan kebijaksanaan kepimpinan Nabi SAW. Ketika Nabi SAW ingin menghapuskan sistem perhambaan, tiada pun berlaku pertumpahan darah seperti yang berlaku di Amerika sebelum ini.

Kesimpulan:
Saya mohon maaf dengan kesilapan yang pasti berlaku. Mungkin ada juga perkara yang saya sebutkan, namun saya juga belum mengamalkannya. Jadi, mari kita sama-sama bermujahadah, dan tepuk dada dan tanya hati kita. Apakah perubahan kita pasca Ramadhan ini? Adakah kita masih mengunjugi surau dan masjid seperti sebelumnya? Dalam pekerjaan pula, janganlah ada 'Monday blues' ketika ingin bekerja, sebaliknya jadilah seorang yang 'high-tech' kerana kerja itu merupakan salah satu bentuk ibadah.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab