Ibu Mertua (2) – Tanyalah Ustaz 25.09.2012
Ustaz Mohd Hanafiah Abdul Malek
Bacaan surah Al-Ikhlas:
Jika dibaca 3x, pahalanya seumpama
khatam Al-Quran. Ayat ini diturunkan setelah peristiwa Nabi SAW
dikepung oleh kaum musyrikin. Ayat ini menegaskan bahawa hanya Allah
tempat untuk meminta, tetapi kita hari ini banyak meminta daripada
makhluk. Ayat ini elok diamalkan 3 kali sebelum memasak nasi, sebelum
masuk ke rumah sendiri atau rumah mertua, sebelum pergi kerja,
sebelum bersama pasangan, sebelum menyentuh kepala anak-anak.
InsyaAllah, ayat ini akan dapat melembutkan hati ibu mertua. Jangan
melawan kata ibu mertua, selalu puji masakannya, tak perlu beritahu
jika tak sedap. Boleh juga baca ayat ini, hembus pada tangan dan
sedut kembali dan sapukan pada wajah sehingga ke belakang kepala.
Ayat Al-Quran ini ada auranya, InsyaAllah orang akan lebih lembut
hati ketika memandang kita.
Senarai soalan dan jawapan:
S: Benarkah ibu mertua dan ibu sendiri
sama tarafnya dalam Islam?
J: Dalam satu hadis, Nabi SAW bersabda
yang bermaksud: ”Antara dosa-dosa besar adalah seorang anak yang
menghina kedua orang tuanya.” Para sahabat bertanya: Apakah ada
orang yang mencela ibu bapanya sendiri? Baginda bersabda: Ya, apabila
seseorang menghina ayah orang lain maka sama seperti dia menghina
ayahnya sendiri. Dan seseorang yang menghina ibu orang lain sama
seperti dia menghina ibunya sendiri.” (Hadis riwayat Imam
Al-Bukhari dan Muslim). Oleh itu, daripada hadis ini disimpulkan
bahawa ibu bapa mertua, ibu bapa angkat, ibu susuan, semuanya
mempunyai taraf yang sama seperti ibu bapa kandung.
S: Ada rumah tangga runtuh kerana
campur tangan mertua. Mohon ulasan ustaz.
J: Sebenarnya ada banyak faktor lain
yang menyumbang kepada perceraian – suami isteri yang tak sefahaman
lagi, kewangan dan lain-lain lagi.
S: Boleh tak ibu mertua membimbing dan
menasihati anak dan menantu?
J: Boleh membimbing dengan baik, tetapi
tidak boleh campur tangan. Jika menantu lelaki, lebih elok, ayah
mertua yang beri teguran.
S: Kadang-kadang ibu mertua baik,
tetapi ipar-duai yang masuk campur sehingga mertua jadi tidak suka.
Mohon ulasan ustaz.
J: Tidak elok buat cerita untuk
menghasut mertua membenci menantu. Suatu hari, seorang lelaki datang
mengadu kepada Nabi SAW bahawa dia selalu berbuat baik kepada
keluarganya namun mereka membalasnya dengan keburukan. Lalu Nabi SAW
mengatakan jika mereka berbuat kejahatan, pintu neraka akan dibuka
kepada mereka. Dan jika lelaki itu bersabar atas perbuatan jahat itu,
Allah akan sentiasa bersama orang-orang yang sabar.
S: Ada tak doa atau amalan untuk
memudahkan urusan dengan ibu mertua?
J: Pertama, doa semalam yang saya
ajarkan. Kedua: amalkan surah Al-Ikhlas. Banyakan membaca sebelum
berjumpa mertua. Ketiga: Untuk kes kronik – baca doa ini ketika
basuh beras (akan diupdate setelah doa diletak di FB ustaz). Jika
masih bermasalah juga, ketika tunaikan umrah, banyakkan berdoa
memohon kebaikan dan kelembutan kepada ibu mertua.
S: Ramai menantu yang menjaga ibu
mertua yang sakit, tetapi ibu mertua cerewet dan buat cerita tidak
baik kepada ipar-duainya. Bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini?
J: Memang banyak cabaran menjaga orang
tua yang sakit. Tambahan pula jika ibu mertua cerewet dan
adik-beradik lain tidak membantu. Jika ingin menjaga ibu sendiri,
isteri perlu mendapatkan izin daripada suami terlebih dahulu. Amalkan
doa, “Allahummaghfirlana walaha” yang bermaksud, “Ya Allah,
ampunkan dosaku dan dosanya”. Jika ibu sakit terlalu lama (mungkin
kerana saka dan seumpamanya), boleh amalkan doa ini dan dibaca 1000
kali, moga-moga dipermudahkan ajalnya. Untuk perempuan – '..
walaha', lelaki – '.. walahu', kedua-duanya – '...walahum'. Di
samping itu, selalu berdoa agar diri kita sendiri menyusahkan orang
ketika tua nanti. Amalkan bacaan surah Al-Ikhlas dalam menjaga ibu
bapa atau ibu bapa mertua yang sakit. Ada satu kisah di mana seorang
lelaki yang menjaga ibu bapanya yang sakit dengan bersungguh-sungguh.
Apabila pemuda itu bertanya adakah dia sudah membalas jasa ibu
bapanya? Jawab Nabi SAW tidak, kerana ibu bapa menjaga anak ketika
kecil dengan harapan anak akan hidup dan bahagia, sedangkan anak
menjaga ibu bapa yang sakit dengan harapan ibu bapa lekas meninggal
dunia. Oleh itu, ikhlaskan hati ketika menjaga ibu bapa yang sakit,
kita buat kerana Allah, bukan kerana manusia.
S: Bagaiamana untuk hidup bersama ibu
mertua yang cerewet?
J: Paling baik, suami perlu bawa isteri
keluar dan hidup berasingan. Tetapi jika ibu tinggal sendirian, tidak
patut ditinggalkan ibu hidup sendirian pula. Oleh itu, perlu
banyakkan bersabar.