Bersediakah Menjadi Tetamu Allah? (2) - Tanyalah Ustaz 22.09.2012
Ustaz Prof. Madya Muhd. Najib Abdul Kadir
Bacaan surah Al-Baqarah, ayat 197-199:
Ibadah haji merupakan ibadah yang istimewa kerana ianya menuntut
pengorbanan dan mujahadah kepada Allah. Daripada ayat tadi dinyatakan, terdapat
larangan-larangan haji seperti:
- Jimak. Jika dilakukan juga, ada empat kesan iaitu berdosa, perlu juga meneruskan haji, membayar dam dan mengulangi haji pada tahun yang berikutnya.
- Jangan berbuat fasik (dosa kecil atau besar). Orang yang pergi haji dan menjaga dirinya daripada berbuat fasik, segala dosanya akan diampunkan dan dia seolah-olah seperti dilahirkan semula.
Sebelum pergi Mekah, kita perlu mendapat restu dan keredhaan ibubapa. Minta keampunan kepada ibu bapa dan mohon doa daripada mereka. Siapakah yang perlu didahulukan untuk mengerjakan haji – ibubapa atau diri kita? Dalam hal ini Allah wajibkan ke atas orang yang mampu, oleh itu, jika anak mampu dahulu, anak itu yang wajib mengerjakannya dahulu. Setelah itu, jika ada rezeki lebih barulah dia boleh membantu ibubapanya.
Jika berlaku ketidak sempurnaan dalam rukun haji yang
dilakukan, ada kemungkinan orang itu pulang ke Malaysia dalam keadaan masih
berihram. Orang ini perlu membayar dam untuk membebaskan diri daripada ihram
dan mengulangi haji pada tahun berikutnya. Oleh sebab itu, amatlah penting
untuk menuntut ilmu terutamanya berkaitan ibadah haji.
Imam Nawawi mengatakan yang kita perlu bersungguh-sungguh
bertaubat sebelum mengerjakan haji. Kita perlu meninggalkan dosa-dosa yang
pernah dilakukan dan memohon maaf jika melakukan kesalahan kepada manusia.
Kita juga digalakkan membawa wang yang lebih ketika
mengerjakan haji. Duit lebih ini bukan untuk membeli-belah, tetapi untuk
bersedekah dan membantu orang lain yang lebih susah. Amalan ini akan dapat
membantu membersihkan jiwa daripada sifat bakhil.
Sebelum mengerjakan haji, kita perlu membersihkan jiwa.
Caranya adalah dengan sentiasa bertaubat, beristighfar dan mengingati Allah.
Kita perlu juga rasa rendah diri untuk pergi bertemu Allah. Jangan ada sifat
sombong dalam hati.
Mudah-mudahan Allah beri taufik dan hidayah, dan semoga
Allah pilih kita untuk menjadi tetamu-Nya. Sebelum pergi haji, bolehlah
mendapatkan buku-buku rujukan, contohnya seperti buka ‘Formula Haji’, hasil
tulisan saya dan rakan, keluaran Telaga Biru.
Senarai soalan dan
jawapan:
S: Adakah sama haji yang diupah dengan yang dilakukan
sendiri?
J: Upah haji itu dilakukan apabila sesorang itu telah mampu
untuk mengerjakan haji tetapi ajalnya telah sampai atau tidak mampu dari segi
fizikal/kesihatan. Orang yang mengambil upah haji pula mesti pernah menunaikan
haji terlebih dahulu.
S: Jika pergi haji jika kita tidak menjaga hubungan baik
dengan manusia?
J: Antara persiapan sebelum pergi haji adalah bermaafan
dengan rakan sekeliling dan menjaga hubungan baik dengan manusia.
S: Mana yang lebih utama – menjaga ibu bapa yang sakit atau
pergi menunaikan haji?
J: Kita diperintah untuk mentaati Allah dan berbuat baik
kepada ibubapa. Kita perlu memberi keutamaan kepada ibu bapa. Haji masih boleh
ditangguh. Kita mengharapkan keredhaan Allah melalui keredhaan ibubapa.
S: Jika saya niat ihram di atas kapal terbang, apabila
sampai, adakah saya perlu tawaf Qudum dahulu atau tawaf umrah terus?
J: Jika niat haji tamattuk, niat umrah dahulu di dalam kapal
terbang. Jika niat haji ifrad (buat haji dulu, baru buat umrah), hendaklah niat
haji di dalam kapal terbang. Jika masuk dengan niat umrah, masuk Kaabah dan
tunaikan tawaf umrah, jika masuk dengan niat haji, masuk Kaabah dan tunaikan
tawaf Qudum.
S: Bolehkah membuat pinjaman untuk mengerjakan haji, sekiranya kita
mampu untuk membuat bayaran ansuran bulanan?
J: Mengikut pandangan majoriti ulama, lebih elok jika kita
pergi dalam keadaan tidak berhutang. Ianya tidaklah salah, tetapi tidak
digalakkan. Jika ingin buat juga, mestilah kita mampu membayar ansuran
bulanannya, dan mengambil pinjaman yang mengikut syariat Islam, dan bukan
daripada sumber bank konvensional.
S: Bagaimana jika suami sakit, dan isteri sudah mendapat
panggilan haji, bolehkah isteri pergi kerana ada anak-anak yang boleh menjaga
suami?
J: Isteri bertanggungjawab untuk menjaga isteri. Oleh itu,
sama seperti kes ibubapa yang sakit, haji boleh ditangguhkan dahulu dan keutaam
adalah menjaga suami yang sakit.
S: Bagaimana jika ada orang yang tidak mahu digelar ‘haji’
setelah pulang?
J: Panggilan haji itu cuma sebagai satu penghormatan atas
usahanya bersusah payah mengumpul duit untuk mengerjakan haji. Itu sahaja.
Namun, kita perlu jaga niat agar kita pergi haji kerana Allah Ta’ala, bukan
untuk mendapatkan pangkat haji sahaja.
S: Jika seseorang berniat haji tamattuk (buat umrah dahulu),
ketika tiba di Mekah, dia uzur. Setelah suci dia mengerjakan tawaf, saiei dan
bertahallul. Tetapi setelah selesai bertahallul, didapati masih ada sedikit
darah yang keluar. Mohon nasihat ustaz.
J: Setelah haid bersih, seorang wanita perlu menunggu waktu
kering selama 24 jam dahulu, barulah dia boleh mengerjakan tawaf dan
menyelesaikan umrah. Jika selepas itu terdapat juga darah, maka dimaafkan
kerana dia telah menunggu waktu kering.