Ibu Mertua (1) – Tanyalah Ustaz 24.09.2012


Ustaz Hanafiah Abdul Malik


Bacaan surah An-Nasr:

Bagi seorang isteri, suami adalah 'king'nya, dan king kepada king ialah ibu mertua :) Ada berbagai ragam ibu mertua – ada yang baik, ada yang cerewet, ada yang sakit dan sebagainya. Ada juga ibu mertua yang menyayangi menantu melebihi anaknya sendiri. Namun, ada yang juga yang langsung tidak suka kepada menantu, walaupun pada hakikatnya menantu itu baik. Sebagai satu amalan untuk melembutkan hati ibu mertua, amalkan surah tadi dengan mengulang ayat ke-2 sebanyak 3 kali.

Ibu mertua tarafnya sama seperi ibu sendiri. Oleh itu, ibu mertu perlu juga dihormati dan diperlakukan dengan baik. Alhamdulillah, kita masih diberi nikmat untuk hidup, untuk solat, untuk berumah-tangga, dan untuk mempunyai ibu mertua. Ibu bapa mertua mempunyai lebih banyak pengalaman daripada kita, jadi belajarlah daripada mereka.

Kesimpulan:
Tidak semua ibu mertua berhati tidak baik, bahkan ramai ibu mertua yang menyayangi menantu melebihi anaknya sendiri. Oleh itu, hormati dan sayangilah mereke seperti menyayangi ibu sendiri.


Soalan dan jawapan:
S: Adakah perbezaan peranan ibu sebelum dan selepas anaknya berkahwin?
J: Ibubapa perempuan akan terlepas tanggungjawab terhadap anak perempuan setelah anaknya diijab kabulkan. Tanggungjawab itu berpindah kepada suami, oleh sebab itu, perempuan yang sudah berkahwin wajib mentaati suami selepas Allah dan Rasul. Bagi lelaki pula, ibu bapa mertua mempunyai taraf yang sama seperti ibu bapanya sendiri. Oleh sebab itu, anak lelaki tidak boleh sewenang-wenangnya melupakan atau mengabaikan ibu bapa mertua. Setelah anak berkahwin, ibu bapa hanya boleh memberi nasihat. Tugas kedua ialah menjadi pembimbing. Jika didapati menantu perempuan tidak pandai memasak, ibu mertua perlu ambil inisiatif untuk mengajar menantunya memasak. Sebaliknya apa yang berlaku adalah mertua lebih rela menyimpan rasa sakit hati dan mengata menantu di belakangnya. Sepatutnya ibu mertua mengajar menantu segala perkara yang digemari oleh anaknya, barulah akan memenuhi standard yang disukai ibu mertua ;) Jika menantu itu lelaki, lebih elok ayah mertua yang menegur jika ada kekurangan.

S: Ibu mertua selalu dikaitkan dengan perspektif yang negatif. Tiadakah kebaikan daripada seorang ibu mertua?
J: Kita banyak terpengaruh dengan adegan filem 'Ibu Mertuaku', karya P.Ramlee. Sebenarnya ada ramai ibu mertua yang baik. Allah telah berfirman, “Aku akan ikut sangkaan hamba-Ku”. Oleh itu, kita perlu bersangka baik dengan ibu mertua. Gunakan teknologi untuk merapatkan hubungan dengan ibu mertua dengan selalu menelefon, bawa cucunya pulang ke kampung. Wujudkan perasaan kasih sayang, bukan perasaan takut kepada ibu mertua.

S: Bolehkah ibu bapa masuk campur dalam urusan rumah tangga anak-anak?
J: Tidak boleh. Isteri merupakan pemimpin rumah suami, jadi ibu mertua tidak boleh masuk- campur dan contohnya komen kononnya sofa/langsir tidak kena warnanya. Statistik di Malaysia menunjukkan 77 pasangan Islam bercerai setiap hari, dan salah satu sebab utamanya ialah campur-tangan ibu mertua dalam perkahwinan. Biarkan anak berdikari dan membuat keputusan mereka sendiri.

S: Bagaimana untuk memikat hati ibu mertua?
J: Pertama: masa berkenalan dengan ibunya, jangan biar ibunya buat air, tetapi buat air bersama ibunya sekali. Mesra dengan adik-beradiknya. Ringankan tulang untuk sentiasa membantu kerana ibu mertua akan mudah sayang pada menantu yang rajin.

S: Bagaimana cara menghadapi ibu mertua yang cerewet dan bermasalah?
J: Ada ibu mertua yang cerewet. Punca cerewet adalah kerana dia tidak yakin menantu boleh menjaga anaknya sepertimana dia menjaga anaknya. Cara mudah adalah menantu perlu berkawan baik dengan ibu mertuanya – selalu tanya resepi dan belajar cara ibu melayan anaknya. Ceritakan pada ibu mertua yang suami selalu memuji masakannya. Telefon ibu mertua dengan kerap untuk merapatkan hubungan. Walaupun anaknya telah kita miliki, ibunya perlu juga kita miliki hatinya. Janganlah bila raya baru dengar khabar. Bila dah balik rumah mertua, jangan duduk di dalam bilik saja. Bawalah balik majalah agama yang baik-baik yang menyentuh isu hubungan mertua dan menantu. Satu lagi yang saya perhatikan ialah ibu mertua yang cerewet ini suka berjalan, jadi bawalah dia untuk berjalan bersama. InsyaAllah akan tertambat hatinya. Jika masih cerewet juga, amalkan doa, “Allahumma yassir walatu'assir, wa at mim bil khair” yang bermaksud – “Ya Allah mudahkanlah urusanku, jangan Kau susahkan, dan akhirkanlah dengan penuh kebaikan”. Selain itu, boleh amalkan doa ini, “Ya Allah, lembutkan hati ibu mertuaku sebagaimana Engkau melembutkan besi kepada Nabi Daud”. Pelajari apa yang ibu mertua minat dan bawalah hadiah yang diminati ibu mertua itu. Jangan sekali-kali marah suami di depan ibu mertua, kerana ibu mertua akan simpan dalam hati, walaupun suami kita tidak terasa. Selalulah menziarahi ibu mertua kerana Allah, kerana dengan itu malaikat akan turun dan membawa rahmat dan memudahkan kasih sayang antara mertua dan menantu. Janganlah asyik duduk depan TV jika balik kampung sekali-sekala.

S: Ada tak ibu mertua yang menzalimi menantunya?
J: Ada. Sepatutnya, jika ada menantu yang tidak baik, apa salahnya jika ibu mertua membantu membimbingnya. Berapa ramai wanita tidak baik yang berubah menjadi lebih baik daripada wanita yang pada dasarnya baik tetapi suka mengata.

S: Kenapa ada ibu mertua yang suka menyakiti menantu, terutamanya menantu perempuan?
J: Biasanya, mungkin kerana dari awal lagi, ibunya sudah tidak berkenan mungkin kerana beberapa sebab seperti rupa, pendidikan, jarak umur. Perasaan tidak puas hati inilah yang terbawa-bawa. Kedua: mungkin sebab menantu itu sendiri yang tidak pandai mengambil hati mertua dan tidak menjaga suaminya dengan baik.

S: Bolehkah ayah campur tangan rumah dalam rumah tangga anak yang bermasalah?
J: Boleh dalam tiga keadaan – pertama: jika anak perempuannya dizalimi, kedua: jika suami tidak menunaikan nafkah zahir dan batin, ketiga: jika suami telah melanggar taklik.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab