Bersediakah Menjadi Tetamu Allah? (3) - Tanyalah Ustaz 23.09.2012
Ustaz Prof. Madya Muhd. Najib Abdul Kadir
Bacaan surah Al-Baqarah, ayat 125-128:
Apabila terpilih menjadi tetamu Allah – itu merupakan satu
nikmat yang besar. Oleh itu, kita mesti menjaga adab, perlakuan dan iktikad
kepada Allah SWT, terutamanya ketika berada di Tanah Suci.
Semasa mengerjakan haji, amat penting untuk menjaga mulut
dan kata-kata. Tinggalkan amalan mengumpat, maki-hamun dan seumpamanya.
Peluang berada di Mekah merupakan peluang menambah manfaat
ukhrawi. Antara manfaat-manfaatnya ialah:
- Nabi SAW bersabda yang intipatinya bermaksud sesiapa yang datang mengerjakan haji dan menjaga dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang diharamkan ketika berihram, maka akan diampunkan dosa-dosanya dan dia seumpama dilahirkan semula ke dunia ini.
- Solat di masjidil Haram dijanjikan seratus ribu kali ganda pahala, manakala solat di masjid Nabawi pula seribu kali ganda berbanding masjid-masjid biasa. Oleh itu, para jemaah perlu berusaha untuk solat di masjid, jangan solat di hotel. Walaupun letih, usahakan juga kerana pasti kesukaran itu akan diberi balasan yang berlipat-ganda oleh Allah. Tunaikan solat wajib, solat sunat dan jika kita pernah culas solat ketika muda, paling elok perbanyakkan solat qadha di sana.
- Mekah dan Madinah merupakan tempat-tempat yang mustajab untuk berdoa. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Orang-orang yang menunaikan haji dan umrah adalah tetamu Allah. Apabila mereka memohon kepadanya, pasti diperkenankan. Dan apabila mereka memohon keampunan kepadaNya, pasti diampunkan.” (Riwayat Nasa’i, ibnu Hibban dan Hakim). Oleh itu, amatlah digalakkan untuk berdoa untuk diri sendiri, keluarga dan kenalan. Banyakkan juga berzikir dan berishtighfar kepada Allah.
- Allah kurniakan pahala seperti pahala orang yang berjihad di jalan Allah. Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:”Jihad bagi orang-orang tua, orang-orang yang lemah dan wanita-wanita ialah haji.” (Targhib). Haji menuntut pengorbanan harta dan fizikal. Oleh itu, bawalah perbelanjaan yang lebih agar kita berpeluang untuk membantu sesama jemaah.
- Mendapat pengalaman atau gambaran awal tentang hari akhirat, iaitu:
- Perjalanan kita meninggalkan ahli keluarga meningatkan kita yang kita semua pasti akan mati dan meninggalkan keluarga di belakang.
- Berpakaian putih dengan kain ihram mengingatkan kain kafan kita.
- berada di padang Arafah mengingatkan kita keadaan di Padang masyar.
- ketika bersesak di tawaf, kita perlu ingat yang kita juga akan bersesak ketika berkumpul di padang masyar nanti.
- Ketika di Mina pula kita perlu ingat keadaan kita di dalam kubur, betapa sempitnya ruang yang kita ada. Semoga semua ingatan-ingatan ini akan dapat membersihkan jiwa kita dan membantu kita berubah menjadi umat Islam yang lebih baik.
Kesimpulan:
- Ketika menunaikan haji, ingatlah yang kita ini tetamu Allah. Oleh itu, perlu jaga pertuturan dan perbuatan kita. Jangan lakukan perkara rofas, fusuh dan jidal.
- Maksimumkan peluang beribadah yang Allah hidangkan ketika berada di Mekah. Usahakan untuk khatam Al-Quran, tunaikan solat sunat taubat setiap malam dan berdoa untuk menjadi hamba yang taat kepada Allah.
- Banyakkan juga berdoa untuk diri, keluarga dan sanak saudara, jiran tetanga dan rakan –taulan.
- Jaga niat agar kita pergi kerana Allah Taala dan semoga Allah mengurniakan haji yang mabrur.
Senarai soalan dan
jawapan:
S: Adakah haji seorang isteri yang mengabaikan suaminya diterima?
J: Isteri perlu beri keutamaan kepada suami. Jika isteri
tidak mendapat izin suami, hajinya akan tertolak. Anak pula perlu beri
keutamaan kepada ibu bapa.
S: Bagaimana untuk mendapatkan haji yang mabrur – perlu buat
haji ifrad atau haji tamattuk?
J: Haji mabrur ialah haji yang diterima Allah, Allah
ampunkan dosa-dosanya dan tempatkan dia di dalam syurga. Oleh itu, ibadat haji
perlu dimulakan dengan pembersihan jiwa, pastikan sumber kewangan kita daripada
sumber yang halal. Semasa mengerjakan haji, kita perlu sempurnakan
perkara-perkara wajib dan sunatnya. Selepas mengerjakan haji, kita perlu
berubah untuk lebih mentaati suruhan dan larangan Allah, dan mencintai majlis ilmu. Itulah
tandanya haji yang mabrur, dan tidak kisah haji jenis ifrad/tamattuk yang dikerjakan.
S: Bagaimana untuk merasai haji mabrur atau tidak?
J: Haji mabrur pasti akan membawa perubahan yang lebih baik
(dalam bentuk ketaatan yang lebih kepada Allah, kata-kata dan akhlak yang lebih
baik) dalam diri kita. Untuk mngukurnya, kita perlu membandingkan keadaan kita
sebelum, semasa dan selepas mengerjakan haji.
S: Apakah adab-adab ketika mengerjakan haji? Ada yang
membawa selipar dan berpakaian tidak sesuai ketika ke masjid.
J: Selipar boleh diletak di rak-rak yang telah disediakan.
Untuk pakaian pula, muslimat perlu memastikan agar pakaian mereka tidak ketat
atau nipis.
S: Saya nampak anjing di Mekah. Betulkah ada anjing di
Mekah?
J: Setahu saya tiada anjing di Mekah. Mungkin itu cuma
pandangan saudara. Oleh sebab itu, sebelum pergi ke Mekah, kita perlu bertaubat
kepada Allah, dan juga minta maaf dengan manusia. Pastikan persiapan rohani
juga kita beri perhatian sebelum berangkat.
S: Bersentuh antara lelaki dan perempuan tanpa syahwat di
Kaabah (ketika tawaf) tidak membatalkan wudhuk. Bagaimana pula ketika berada di
dalam masjidil Haram atau ketika Saie?
J: Muzakarah haji peringkat kebangsaan telah memutuskan
bahawa bersentuh lelaki dan perempuan di Masjidil Haram, dalam keadaan darurat
dan tidak mendatangkan syahwat, tidak membatalkan wudhuk. Oleh itu, tidak perlu
ada syak dan boleh gunakan hukum ini. Ketika bersaie, sunat saja untuk
berwudhuk, tetapi ketika tawaf, wajib berwudhuk.
S: Bagaimana adab ketika berada di Raudhah?
J: Ketika berada di Raudhah, perlu bersabar dan menjaga
adab. Ambil peluang untuk berdoa dan jika ada ruang, tunaikan solat sunat 2
rakaat. Jangan ambil masa lama-lama sangat kerana orang lain juga berhajat
untuk berdoa kepada Allah.
S: Jika kita terlupa rukun haji, adakah hajinya terbatal?
J: Dalam menunaikan haji ada 6 rukun, dan 6 wajib yang perlu
dilakukan. Rukun haji tidak boleh ditinggalkan walaupun kerana terlupa atau
tersilap. Jika ditinggalkan, maka haji tidak sah. Perkara wajib haji pula wajib
dilakukan, jika ditinggalkan berdosa dan dikenakan dam, namun haji masih sah.