Ingat Sakit Ingat Mati (1) - Tanyalah Ustaz 07.09.2012
Ustaz Halim Din
Bacaan surah Fatir ayat 1-6:
Semua manusia tidak boleh lari daripada kematian. Sebelum
mati, Allah pasti menguji kita dalam bentuk kesakitan, kesusahan sebagai satu
cara untuk mengangkat darjat manusia. Sayyidina Umar Al-Khattab pernah berkata,
“Hendaklah kamu menghisab diri kamu sebelum Allah menghisab kamu”. Terlalu
banyak nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, bahkan kita takkan mampu untuk
menghitungnya sekalipun. Dalam satu hadis, Nabi SAW ada bersabda yang
bermaksud, “Rebutlah 5 sebelum datangnya 5 – nikmat muda sebelum tua, nikmat
sihat sebelum sakit, nikmat lapang sebelum sibuk, nikmat kaya sebelum miskin
dan nikmat hidup sebelum mati”.
Kesihatan itu satu bentuk nikmat yang tersembunyi dan akan
nampak seumpama mahkota oleh orang yang sakit. Nabi Ayub sendiri pernah diuji dengan kekayaan, isteri dan anak yang ramai
dan kemudian semuanya ditarik sekaligus. Setelah itu, dia ditimpa kesakitan
sehingga 7 tahun lamanya sehingga isterinya merungut dan bertanya kenapa mereka
ditimpa kesusahan. Nabi Ayub lalu menyuruh isterinya membandingkan tempoh
mereka senang dahulu dan tempoh susah? Ternyata tempoh mereka senang lebih lama
daripada tempoh mereka ditimpa kesusahan.
Senarai soalan dan
jawapan:
S: Apabila kita cuba mengingatkan remaja tentang solat dan
aurat contohnya, reaksi mereka seolah-olah mereka masih muda dan tak perlu
beribadat. Bagaimana cara terbaik menasihati mereka?
J: Usaha untuk saling-mengingati adalah satu kebaikan dan
merupakan sunnah Nabi SAW. Nabi SAW juga berterusan berpesan dan mengingatkan
ahli keluarga, dan para sahabatnya. Jika ternampak kemungkaran, kita perlu
tegur agar kita tidak terlibat dan mendapat ‘saham’ perbuatan mungkar tersebut.
S: Saya menghadapi kesukaran dalam usaha menegur rakan
sepejabat ke arah kebaikan. Mereka menyatakan bahawa kubur masing-masing. Apa
komen ustaz?
J: Betul, memang manusia sukar menerima teguran. Sebenarnya,
teguran daripada orang adalah satu rahmat kepada kita. Dalam memberi teguran,
gunakan cara yang lembut dan berhikmah. Nabi SAW sendiri tidak mendapat
kejayaan dalam usahanya berdakwah selama 13 tahun di Mekah. Untuk menjawab
soalan sinis orang yang mengatakan kubur masing-masing pula, katakan sebab
kubur masing-masinglah dikhuatiri tiada yang dapat membantunya di kubur nanti.
Takut nanti kuburnya ‘bising’ dengar teriakan dirinya yang dipukul oleh
malaikat.
S: Kenapa talkin dibaca di kubur?
J: Ulama Syafie ada mengupas soal ini dan menyatakan bahawa
ianya tidak salah untuk dilakukan. Talkin itu sebagai peringatan kepada orang
yang masih hidup sebenarnya. Mungkin ada yang mendapat hidayah setelah
mendengar talkin tersebut. Kubur itu tempat yang sunyi dan kita perlu membuat
persiapan dan bekalan untuk ke sana.
S: Dalam internet telah tersebar internet tentang
tanda-tanda mati sebelum 100 hari, 40 dan sebagainya. Sejauh manakah kesahihan
kenyataan ini? Apakah hukum jika membenarkan atau menolak kenyataan ini?
J: Dalam kitab Bahrul Mazi bab Kematian, tiada pula disebut tentang tanda-tanda seperti itu. Pada pendapat saya, ini
bukan pendapat ulama jumhur. Apa yang Nabi SAW sebut adalah ketika hampir
waktu Sakaratulmaut, seseorang itu akan berpeluh di dahinya.
S: Kadang-kadang bila manusia lihat kemalangan, mereka akan
ingat mati. Tetapi lama-kelamaan, mereka lupa. Mohon ulasan ustaz.
J: Manusia memang begitu – hanya sedar dengan apa yang boleh
dilihat di hadapan matanya. Contohnya ketika tsunami berlaku dahulu, ramai
orang yang ketakutan apabila melihat fizikal air yang menggunung tinggi. Tetapi
berapa ramai yang ingat kekuasaan Allah ketika melihat tsunami tersebut? Jika
sekadar melihat besarnya ombak dan air, kesannya tidak lama dan akan berlalu
selepas itu. Begitulah bila kita menziarah orang yang mati, jangan dilihat
orang yang mati sahaja, tetapi ingatlah kepada Allah yang mematikan orang
tersebut. Jangan sibuk melihat keadaan mayat dan menyebarkan aibnya.
Sebaliknya, tanya diri apa persiapan yang telah kita baut untuk kembali kepada
Allah dan kenanglah bagaimana nasib kita pula nanti. Dengan itu, barulah kita
akan dapat memuhasabah diri.
S: Betulkah ketika sakarulmaut, iblis akan menguji dengan
datang menyerupai orang yang kita sayang, memberi minuman dan meminta kita
menukar agama?
J: Nabi SAW ada menyebuat bahawa kesakitan ketika akan
menghadapi sakaratul maut adalah seumpama 300 tetakan pedang yang tajam. Bukan
itu saja, bahkan kita juga bakal berdepan dengan dugaan daripada iblis. Oleh itu, kita diajar untuk selalu
berdoa agar Allah ringankan sakaratulmaut. Ketika Abu Talib hampir meninggal,
baginda Nabi cuba mengajarnya mengucap, namun Abu Jahal menghalang Abu Talib
daripada mengikut pujukan Nabi SAW. Oleh itu, amat penting untuk membantuk mentalkinkan orang yang hampir meninggal dengan kalimah syahadah, agar serba sedikit dapat membantu dirinya.