"Cinta yang tak kemana.." - Perbahasan ayat 14, surah Ali Imran – MTDM 08.02.2013

Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid



Ayat 14, surah Ali-Imran:

Ayat ini menyentuh tentang peperangan yang sebenar iaitu antara diri kita dengan diri kita sendiri (hawa nafsu). Inilah peperangan antara kemahuan dan kesukaan diri berbanding perkara kesukaan Allah. Yang mana yang akan kita korbankan?

Allah mulakan ayat ini dengan perkataan 'Zuyyina' yang bermaksud ‘Dihiaskan’ dengan apa saja yang diingini hawa nafsu iaitu:
  • wanita 
  • anak-anak lelaki 
  • harta yang bertimbun  -> ‘qanatir muqontoroh’ bererti beg kulit besar yang berisi penuh dengan emas. Tapi ayat ini tidak menisbahkan kepada beg penuh itu tetapi kepada simbolik harta yang banyak.
  • emas dan perak 
  • perkataan ini ada beberapa makna iaitu kuda yang diberi makan dengan cukup agar tegap badannya dan kuat berlari, atau makna kedua ialah kuda yang cantik rupanya, mungkin ada warna atau tanda tertentu pada kepala atau kakinya. Mungkin pada zaman sekarang ianya dinisbahkan kepada pengangkutan yang mewah seperti kereta.
  • tanaman

Allah memberitahu bahawa semua nikmat itu hanya untuk di dunia tapi apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik. Ayat ini berkaitan dengan ayat sebelum ini , yang menceritakan tentang perang Badar (ayat 13). Dalam ayat itu, diceritakan tentang 2 kelompok – satu berperang kerana Allah, dan satu lagi menentang Allah.

Perang memerlukan pengorbanan nyawa yang secara automatik akan menghilangkan keenam-enam perkara yang di sebut di atas, yang menjadi kesukaan manusia. Oleh itu, seandainya seseorang memilih untuk mengorbankan nyawanya, maka dia juga mengorbankan segala kesukaan hatinya.  Orang yang tidak sanggup melepaskan kesukaan ini, telah terpedaya dengan ‘perhiasan’ dunia.

Allah tak sebut ‘Aku hiaskan’, tapi ‘diperhiaskan’. Oleh itu, ada pihak yang menghiaskan perkara yang disukai manusia itu. Perhiasan merupakan sesuatu yang bersifat tambahan, bukan yang mutlak atau yang asli (‘original’). Apabila dibuang perhiasan, yang tinggal ialah yang asli. Contohnya seorang wanita yang menghias dirinya contohnya dengan bedak, celak dan lain-lain. Tetapi perhiasan itu tidak kekal, dan jika dibuang perhiasan itu, wanita itu akan kembali kepada kejadian asalnya, yang sudahpun dijadikan Allah dengan sempurna. Allah ingin tekankan disini bahawa apa yang kita inginkan itu tidak asli tetapi cuma perhiasan sahaja. Disebutkan bahawa manusia suka mempunyai anak lelaki sedangkan itu cuma perhiasan sahaja. Lelaki atau perempuan, kedua-duanya adalah anugerah daripada Allah.

Jadi, adakah nafsu suka kepada isteri, anak-anak lelaki, harta salah dalam Islam? Tidak, selagi perkara itu tidak menghalang kepada ibadah kepada Allah Ta’ala. Bukan kesukaan manusia yang dipertikaikan dalam ayat ini, tetapi yang dipertikaikan ialah apabila manusia mengutamakan kesukaannya berbanding untuk berkorban fi sabilillah (keluar berperang).

Dalam satu hadis, Nabi SAW ada menyebut bahawa seseorang yang mendatangi isterinya adalah sedekah. Allah menjadikan fitrah nafsu kepada manusia untuk kelansungan zuriat dan juga sebagai satu nikmat kepada manusia, tetapi haiwan hanya diberi fitrah nafsu demi kelangsungan spesisnya sahaja.
Manusia yang enggan keluar berperang telah tertipu daripada mendapatkan apa yang Allah janjikan di sisi-Nya dengan perhiasan yang ada di dunia. Nabi SAW juga menyayangi anak dan cucu-cucunya, tetapi kecintaannya itu tidak menghalang baginda daripada berjuang di jalan Allah.

Ayat ini menegur mereka yang tidak pergi berperang kerana lebih sayangkan kepada isteri, anak atau harta yang perlu ditinggalkan. Dalam perang Tabuk, yang berlaku ketika musim kurma masak untuk dituai menyebabkan seorang sahabat yang bernama Kaab bin Malik, yang pada asalnya ingin ikut berperang membatalkan niatnya. Kaab datang berjumpa dengan Nabi SAW dan mengaku kesalahannya. Nabi SAW pun berkata tunggulah hukuman Allah. Kaab dan 2 sahabat lagi dipulaukan, Nabi SAW tidak bercakap atau memandang mereka. Begitu juga dengan sahabat-sahabat yang lain. Berhari-hari mereka dibiarkan begitu sehinggalah mereka diampunkan selepas turunnya ayat dalam surah At-Taubah.

Oleh itu, segala kecintaan sama ada kepada isteri, anak-anak atau harta dibolehkah selagi tidak melebihi kecintaan kepada Allah. Bahkan, Allah menjadikan hubungan suami-isteri adalah untuk mendapatkan ketenangan (sakinah) mawaddah ar-rahmah dan menghindarkan nafsu manusia daripada perkara yang diharamkan. 

Nabi Zakaria sendiri memohon anak lelaki walaupun usianya telah lanjut. Tetapi apa tujuan Nabi Zakaria meminta anak lelaki? Adakah untuk membantunya ketika tua? Tidak, Nabi Zakaria meminta kerana dia khuatir kaumnya tidak lagi mendapat petunjuk kepada Allah setelah beliau meninggal dunia. Dia ingin mewariskan ilmunya kepada anak itu, bukannya untuk menjaga kedudukannya, atau menjadi kebanggaan atau untuk membelanya, menjaga maruahnya atau yang seumpamanya. Begitu juga dengan isteri Ali-Imran, Hannah (ibu Mariam) yang juga inginkan anak lelaki untuk berkhidmat kepada Allah.

Manusia tidak boleh menginginkan anak semata-mata kerana jantinanya sahaja. Inilah golongan yang terpedaya dengan perhiasan dunia. Oleh itu, ‘ikat’ segala niat kita kepada perkara yang Allah sukai. Contohnya: Jika inginkan harta yang banyak, niatkan untuk mencari harta kerana Allah, dan bukannya untuk bermegah-megah. Walau kecil atau besar harta yang kita ada, niatkannya untuk Allah. Orang yang menyimpan harta yang banyak dan menggunakan untuk fisabilillah, maka dia tidak terpedaya dengan hiasan dunia. Manakala orang yang mencari harta demi kepentingan peribadi sahaja, maka dia telah tertipu dengan dunia. Ukurannya bukan sikit atau banyak, tapi apa yang kita niatkan di hati dengan harta yang dimiliki. Sy .Khadijah menghabiskan seluruh harta bendanya untuk fisibillah dan tidak pernah merasa menyesal dengan pengorbanannya. Begitu juga dengan Sy. Abu Bakar As-Siddiq yang pada awalnya mempunyai 9 buah kedai, dan satu demi satu dijualnya demi membantu Rasulullah SAW. Sy. Uthman bin Affan pun begitu juga dan sahabat-sahabat lain. Semuanya mengorbankan harta demi perjuangan agama bersama Nabi SAW.

Nabi SAW bertanya kepada sahabat, “Mana yang lebih kamu sukai, harta kamu atau harta waris kamu?” Sahabat pun berkata, “Tentulah harta kami”. Lalu, Nabi SAW bersabda, “Harta kamu ialah harta yang kamu keluarkan, harta yang disimpan itu ialah harta waris”. Ajal boleh datang tiba-tiba, dan apabila meninggal, harta yang disimpan automatik menjadi harta warisan.

Allah sebut bahawa kesemua kecintaan dunia (wanita, anak, harta, tanaman dan semuanya) itu tidak kekal, dan hanya boleh dinikmati ketika di dunia sahaja. Itulah hakikat perhiasan yang tidak kekal sifatnya.

“Sesungguhnya di sisi Allah itu tempat kembali yang lebih baik” – akan dibincangkan minggu hadapan, in sha Allah.

Untuk rujukan video asal, layari Darul Murtazda

Popular Posts