Menggilap Hati (1) – Tanyalah Ustaz 08.02.2013


Ustaz Sharhan Safie


Bacaan ayat 6-10, surah Al-Baqarah:

Orang yang kafir sama saja bagi mereka apabila diberi peringatan atau tidak. Pendengaran, penglihatan dan hati mereka dikunci daripada melihat kebenaran.

Hati manusia ialah sesuatu yang berbolak-balik sifatnya. Hadis Nabi SAW yang bermaksud:
“Hendaklah kamu tahu bahawa dalam jasad kamu ada segumpal darah, kalau baik darah itu, maka baiklah seluruh anggota badan kamu. Jikalau rosak darah itu, maka rosaklah seluruh anggota badan kamu. Itulah yang dinamakan hati".

Hati itu raja kepada badan, dan hatilah yang menentukan apa yang dilakukan oleh seluruh anggota badannya. Manusia itu terdiri daripada jasad dan hati. Jasad ada makanan dan penyakit, begitu juga dengan hati. Ubat jasad ada di hospital, namun ubat hati hanya boleh didapati melalui Al-Quran.

Antara beberapa penyakit hati:
1. Keraguan dalam agama
Hati tak yakin kepada Allah, Rasul-Nya, hari kiamat dan seluruhnya. Keraguan ini boleh menjerumuskan seseorang kepada syirik.

2. Perasaan sombong dan bongkak
Inilah penyakit yang terkena pada iblis sehingga akhirnya dikeluarkan daripada syurga.

3. Sifat bakhil
Sedekah merupakan penyembuh dan pengubat hati. Tetapi syaitan akan selalu membisikkan agar manusia bakhil dan takut hartanya habis kerana sedekah. Padahal, Nabi SAW berpesan supaya banyakkan bersedekah untuk menghapuskan dosa dan mengubati penyakit. Sahabat pernah bertanya Nabi SAW, mengapa sedekah merupakan penyembuh penyakit? Sebabnya ialah kerana orang yang menerima sedekah akan mendoakan kebaikan kepada orang yang memberi bantuan kepadanya.

4. Penyakit was-was
Ini juga satu bentuk gangguan syaitan. Mereka yang diganggu penyakit ini boleh terganggu dalam melakukan ibadah. Senjata untuk mengubati penyakit ini ialah:
//Akan bersambung esok, In sha Allah.


Senarai soalan dan jawapan

S: Mohon ustaz berikan tip untuk menghindarkan hasad dengki dan agar sentiasa bersangka-baik antara satu sama lain?
J: Hasad dengki merupakan barah kepada amalan, kerana ianya boleh menghapuskan segala pahala sebagaimana api memakan kayu api yang kering. Kita perlu banyakkan rasa bersyukur apabila melihat orang sekeliling kita mendapat kesenangan. Amalkan ayat 82, surah Al-Isra dengan meletakkan tangan di dada, in sha Allah akan dapat menghindarkan perasaan hasad dengki.


S: Hati boleh tercemar dengan kemungkaran yang kadang-kadang kita tak sedar melakukannya. Adakah perbuatan itu boleh mengotorkan hati?
J: Oleh sebab itu, seorang mukmin, sebelum bercakap, akan berfikir dan me’napis’nya terlebih dahulu. Ungkapan merungut dan mengeluh atas kesusahan, contohnya, “Kenapalah aku demam, Kenapalah aku ambil jalan yang ada kemalangan ni..” dan sebagainya. Perbuatan ini seolah-olah kita tidak redha dengan qada’ dan qadar Allah. Perbuatan ini boleh mencalarkan hati. Imam Ghazali ada menyebut bahawa banyak dosa manusia ini berpunca daripada lidah.

S: Mohon pencerahan tentang amalan yang dilaksanakan tanpa amalan hati?
J: Semua amalan menjadi kecil atau besar, bergantung kepada niat. Oleh itu, sebelum memulakan apa amalan sekalipun, letakkan niat yang baik dan ikhlaskan semata-mata untuk Allah. Hanya ibadat yang ikhlas yang akan Allah terima. Ulama mengatakan bahawa ikhlas itu umpama semut yang hitam, yang berjalan atas batu yang hitam pada kepekatan malam.

S: Adakah dengan memakan makanan kotor boleh menggelapkan hati?
J: Kotor terbahagi kepada 2 – lahiriah dan batiniah. Secara lahiriah ialah apabila makanan itu rosak, manakala secara batiniah merujuk kepada sumber wang makanan itu dibeli. Jika ada antara kita yang merasakan anaknya sukar dibentuk atau gelap hatinya, cuba periksa kembali sumber kewangan kita.

S: Jika ada semut dalam makanan/minuman, bolehkan diminum
J: Tak boleh, kerana ada ulama’ mengatakan bahawa perbuatan itu boleh menggelapkan hati. Jika lalat, boleh dicelup keseluruhan badan lalat dan minum.

S: Dunia hari ini dunia akhir zaman dan kita banyak mengikut contoh daripada Barat.
J: Betul, contohnya ramai terlibat dengan pil-pil khayal, melayari maklumat secara tak sepatutnya di komputer atau telefon bimbit. Ada satu kisah berlaku ketika Rasul SAW mengimami solat dan membaca ayat 7, surah Al-Hajj seperti berikut:

Setelah membaca ayat itu, Baginda tak boleh meneruskan bacaannya sehingga sahabat menegur dengan berkata “Subhanallah, Subhanallah, Subhanallah”. Selepas solat sahabat bertanya apa yang berlaku. Nabi SAW menceritakan bahawa ketika Nabi SAW membaca ayat itu, Jibril datang dan berkata, “Ya Muhammad, sesungguhnya kamu sedang berada di akhir zaman. Dan ketahuilah bahawa umatmu hanya 1 daripada 2000 yang akan ke syurga Allah”. Itulah sebab Nabi SAW berasa sangat sedih kerana baginda terlalu sayangkan kita semua. Mari kita muhasabah diri – adakah kita seorang daripadanya 2000 atau sebaliknya? Tepuk dada, tanya iman!

S: Bagaimana untuk menggilap hati yang telah tertutup?
J: Amalkan zikir Nabi Yunus setiap hari (surah Al-Anbiya'. ayat 88), sambil meletak tangan di dada:


Maksudnya, “Tiada Tuhan yang disembah melainkan Engkau, Maha Suci Engkau. Sesungguhnya aku di kalangan yang menzalimi diriku sendiri”


Popular posts from this blog

Tanggungjawab Adik-Beradik (2) - Tanyalah Ustaz 21.06.2012

Diet Rasulullah (2) – Tanyalah Ustaz 26 Ramadhan 1433H (15.08.2012)

Memikat Hati Suami (1) – Tanyalah Ustaz 18.03.2013