"Shhh...jom tutup aib saudara kita.." - MTDM 25.01.2012


Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid
Bab Berharap Pada Allah, Kitab Riyadus Solihin m/s 239


Hadis 20:
Dari Ibnu Mas’ud ra berkata: “Kami bersama-sama dengan Rasulullah SAW dalam satu lingkaran majlis yang terdiri dari kurang 40 orang, kemudian baginda bertanya, “Sukakah kamu kalau kamu sekalian merupakan seperempat penghuni syurga?” Kami menjawab, “Ya, suka”. Baginda bertanya lagi. “Sukakah kamu kalau kamu sekalian sepertiga penghuni syurga? Kami menjawab, “Ya, suka”.  Beliau bersabda, “Demi Zat Yang jiwa Muhammad berada dalam genggaman-Nya, aku berharap agar kamu sekalian merupakan separuh penghuni syurga. Yang demikian itu bahwasanya syurga itu akan hanya dimasuki oleh orang Islam. Kamu sekalian di tengah-tengah orang musyrik itu bagaikan rambut putih pada kulit lembu hitam, atau bagaikan rambut hitam pada kulit lembu merah”. Riwayat Bukhari dan Muslim

Hadis ini menceritakan harapan Nabi SAW agar umatnya menjadi umat yang teramai yang menghuni syurga. Nabi bertanya, sukakah mereka ialah 1/4 daripada ahli syurga? Dalam riwayat lain dikatakan kaum Muslimin mengatakan ‘Allahu Akbar’ setiap kali Nabi bertanya jika mereka suka jika umat Muhammad ialah ¼, ½  daripada ahli syurga. Dalam riwayat lain dikatakan Nabi SAW bertanya sehingga jumlah 2/3 daripada penghuni syurga adalah umatnya.

Nabi Muhammad SAW, jika boleh, menginginkan semua umatnya masuk syurga. Diriwayatkan bahawa ada 120 saf di dalam syurga, dan 80 daripadanya adalah umat Nabi Muhammad SAW (2/3 daripada penghuni syurga).  Neraka pun berkata, “Ya Rasulullah, Engkau tidak tinggal seorang pun yang beriman daripada umatmu di tempatku?”

Dalam hadis sahih menceritakan tentang syafaat, oleh Imam Bukhari diriwayatkan bahawa manusia datang kepada Nabi Adam, dan Nabi Adam as berkata, “Hari ini Allah murka dan tidak pernah Allah murka seperti hari ini. Oleh itu, jangan  datang kepadaku walaupun aku ini bapa kamu semua kerana aku tidak berani untuk bercakap dengan Allah Ta’ala. Datanglah kalian kepada selain aku”. Nabi Nuh pun berkata yang serupa. Begitu juga dengan Nabi Musa, Nabi Ibrahim dan Nabi Isa. Manusia pun datang kepada Nabi Muhammad SAW  dan Nabi SAW memberitahu yang baginda yang akan memberi syafaat. Nabi SAW berkata, “Saya akan sujud ketika itu dan akan memuji kepada Allah dengan pujian yang akan Allah ilhamkan padaku pada hari akhirat nanti”. Dengan pujian itu, Allah akan menyeru, “Angkat kepalamu wahai Muhammad, mintalah apa saja, akan Aku beri. Mintalah syafaat, kamu akan diizinkan memberi syafaat”. Semua Nabi lain takut untuk bercakap dengan Allah, tetapi Allah akan bercakap (dengan memberi ilham) kepada Nabi SAW untuk memuji-Nya. Inilah anugerah kedudukan kemuliaan Nabi Muhammad SAW.

Kesimpulan hadis -> Majoriti umat Nabi SAW akan menjadi penghuni syurga.


Hadis 21:
Dari Abu Musa Al Asy’ary ra berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Apabila hari kiamat tiba maka Allah akan memberikan kepada orang Islam masing-masing seorang Yahudi atau seorang Nasrani sambil berfirman, “Inilah tebusanmuu dari neraka”.

Dalam riwayat lain dikatakan: “Dari Abu Musa Al Asy’ary ra, dari Nabi SAW, baginda bersabda, “Pada hari kiamat nanti orang-orang Islam datang dengan membawa dosa besar sebesar gunung kemudian Allah memberi ampunan kepada mereka”. (Riwayat Muslim)

Seorang Muslim akan diganti dengan seorang Yahudi/Kristian untuk menjadi pembebasnya di neraka. Tetapi maksudnya bukanlah orang Yahudi akan menggantikan tempat orang Islam di neraka, kerana Allah takkan mempertangungjawab seseorang dengan dosa orang lain. Cuma ada segolongan yang akan menanggung dosa orang lain iaitu apabila seseorang itu menunjukkan kepada kejahatan, dan dicontohi oleh orang lain.  Maka dia akan menanggung dosa orang yang berbuat kejahatan itu tanpa dikurangkan sedikitpun. Begitu juga dalam hal kebaikan, maka dia juga akan mendapat ganjaran baik yang tidak dikurangkan sedikit. Orang Kristian yang melakukan kemungkaran dan diikuti kaum Muslimin, nanti di akhirat, dosa orang Muslim itu akan diampunkan tetapi tidak bagi orang Kristian yang mati dalam kufur. Oleh itu, seakan-akan mereka menggantikan tempat orang Muslim di neraka.


Hadis 22:
Dari Ibnu ‘Umar ra berkata, “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Pada hati kiamat nanti orang mukmin didekatkan kepada Tuhannnya kemudian Tuhan memberikan perlindungan kepadaya dan ia menghibur kepada dosa-dosanya di mana Tuhan bertanya, “Tahukah kamu dosa ini?” Orang mukmin itu menjawab: “Wahai Tuhanku, saya tahu”. Tuhan berfirman, “Sesungguhnya aku telah menutupi dosa-dosamu di dunia, dan sekarang Aku mengampuni dosa-dosamu itu”. Kemudian diberikan kepadanya catatan amal-amal kebaikannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Setiap orang itu akan didirikan berhadapan dengan Allah seorang diri, dan akan ditanya apa yang dilakukannya sepanjang hidupnya, ketika di dunia. Bezanya cuma, ada yang sesi soal-siasatnya boleh dilihat semua orang, dan ada yang terlindung. Orang yang diberdirikan untuk hisab itu sebenarnya sudah melalui satu bentuk azab. Antara orang itu, akan ditanya, adakah kamu ingat kamu pernah buat dosa ini. Jawabnya, “Ya”. Kemudian Allah katakan yang dosanya diampunkan dan diberikan buku hisabnya dengan tangan kanan.

Ada riwayat lain mengatakan, Allah akan bertanya seseorang itu, “Adakah kamu telah berbuat itu, ini”. Si fulan pun tidak dapat mengelak dan menunduk mengaku kesalahannya. Kemudian Allah berkata yang dosanya diampunkan, aibnya ditutupkan dan dosanya digantikan dengan kebaikan. Mendengar itu, si fulan pun berkata, “Ya Allah, ada lagi satu dosa yang Kau belum gantikan dengan kebaikan”. Allah melihatnya dan tersenyum kepadanya kerana pada awalnya dia tunduk ketakutan tetapi akhirnya mengaku dosanya agar dapat diganti dengan kebaikan. Sesungguhnya Allah mampu menutup aib seseorang dan juga mampu membuka seluas-luasnya aib seseorang itu. Sesiapa yang suka buka aib orang lain, akan dibuka aibnya di akhirat nanti. Siapa yang tutup aib orang lain, Allah akan tutup aibnya di akhirat nanti.


Popular posts from this blog

Tanggungjawab Adik-Beradik (2) - Tanyalah Ustaz 21.06.2012

Memikat Hati Suami (1) – Tanyalah Ustaz 18.03.2013

Diet Rasulullah (2) – Tanyalah Ustaz 26 Ramadhan 1433H (15.08.2012)