Cinta..cinta..cintalah para ulama' - Tausiyah Ustaz Don Daniyal, Maulid Akbar MTDM 1434H


Ustaz Don Daniyal bin Don Biyajid


Bacaan ayat 102, surah Ali-Imran:

Suatu hari, ketika Nabi SAW memberi kuliah, ada seorang 'Arabi meninggikan suara dan bertanya, "Ya Muhammad SAW, bilakah kiamat?" Nabi mendengar tetapi Baginda meneruskan menghabiskan kuliahnya. Setelah sudah, Nabi SAW bertanya siapakah yang bertanya tadi? Ketika itu, 'Arabi itu sudah hampir keluar di muka pintu. Nabi SAW bertanya kembali padanya, "Apa persiapanmu?". Jawabnya dengan jujur, "Aku tak ada sedia apa-apa (yakni dia buat yang fardhu, cuma amalan sunat tak banyak) kecuali aku cinta kepadamu Ya Rasulullah".

Firman Allah dalam surah Al-Hadid ayat 16:

Jangan kita jadi seperti kaum Yahudi dan Nasara yang Allah beri kitab kepada mereka dan menceritakan secara terperinci tentang Nabi SAW - kulitnya, tubuhnya dan banyak ciri lain lagi sehinggakan mereka lebih mengenali Nabi SAW berbanding anak mereka. Namun mereka telah menolak kebenaran dan meninggalkan Nabi mereka. Gologan ini jauh dari Nabi dan akibatnya hati menjadi keras.

Oleh sebab itu kita perlu sangat-sangat bersyukur kepada mereka menganjurkan, kepada alim ulama' yang duduk bersama dan memberi nasihat dalam majlis yang mendekatkan kita kepada Nabi kita, Nabi Muhammad SAW.

Dalam surah Al-Haj, ayat 32, Allah berfirman:

Sesiapa dalam ayat ini merujuk kepada kita semua – yang perempuan, lelaki, tua, muda, semuanya sekali. Syiar pula merujuk kepada tanda-tanda kebesaran Allah. Pada pendapat saya, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa tanda kebesaran Allah yang utama ialah lahirnya utusan Allah iaitu Nabi Muhammad SAW.

Nabi Muhammad diberikan banyak mukjizat dan keistimewaan, contohnya air mengalir dari celah-celah jari Baginda SAW dan mencukupi unutk diberi minum kepada angkatan tentera Baginda. Ketika Nabi Musa bertemu Allah di Gunung Tursina, Nabi Musa diminta menanggalkan kasutnya untuk menghormati kesucian tempat itu. Namun, Nabi Muhammad SAW diizinkan naik bertemu Allah di arasy namun tiada pun riwayat yang menceritakan bahawa Nabi SAW diminta membuka seliparnya.

Pesan Imam Ghazali - "Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang diamalkan". Oleh itu, perbuatan kita memuji-muji Nabi SAW melalui alunan qasidah tadi sudah bagus, tapi kita perlu buat lebih daripada itu. Itulah juga yang dipesan ibu dan ayah saya iaitu:

Kalau yang hadir ialah ayah, jadilah ayah seperti Nabi SAW
Kalau yang hadir ialah anak, jadilah anak seperti Nabi SAW
Kalau yang hadir ialah suami, ikut juga akhlak Nabi SAW

Tirulah akhlak Nabi SAW dalam semua keadaan. Inilah yang sepatutnya menjadi hasil daripada kita duduk dalam majlis ilmu sebegini. Oleh itu, jangan ada dalam kalangan kita yang hadir, yang mengalunkan kata-kata pujian kepada Nabi SAW, menggunakan bibir yang sama untuk berkata-kata keji. Jangan ada antara kita yang menggunakan anggota badan yang sama yang memuji Nabi SAW untuk berbuat kemungkaran pula selepas ini. Kenapa? Kita tak tahu siapa yang datang, tetapi Nabi SAW bersada bahawa malaikat melebarkan sayapnya dalam majlis sebegini. Malaikat itu kenal kita. Oleh itu, jangan kita hilangkan mutiara ilmu daripada majlis ini dengan perbuatan yang tidak baik selepas ini.

Pesan Nabi SAW kepada Ashabul Suffah - Nabi SAW berkata kepada mereka, "Siapa nak ikut aku untuk ambil 2 ekor unta?" Katakan, nilainya hari ini lebih kurang 16 ribu. Semua sahabat pun kelihatan seronok. Melihatkan itu, Nabi SAW pun berkata, "2 potong ayat Al-Quran adala lebih bernilai daripada 2 ekor unta!".

Pengajaran yang ingin saya sampaikan ialah ulama' yang berada di hadapan kita ini telah membaca beribu-ribu potong ayat Al-Quran. Namun mereka tidak pernah meminta upah daripada kita, dan mereka cuma mengharapkan kita semua berubah mengikut akhlak Nabi SAW. Oleh itu, jadilah orang yang disukai dan disayangi, biarpun ketika kita marah kepada mereka.

Cukuplah setakat ini sempena mengambil kata-kata Habib Ali iaitu, “Kalam yang bagus ialah kalam yang pendek dan tepat”.

Nasihat terakhir kepada diri saya dan semua ialah, Datanglah dengan hati yang ikhlas untuk menuntut ilmu dan amalkan apa yang diperolehi. Kalau tak dapat banyak, dapat sedikit pun tidak mengapa dan amalkan terus. 

Semoga kita dimasukkan sebagai golongan orang yang cintakan Nabi SAW. Disamping itu, jangan lupa untuk cintakan ulama juga. Ulama ialah pewaris Nabi. Oleh tu, cinta.. cinta..cintalah para ulama', ini sahajalah yang tinggal untuk kita. Wallahu'alam.




Popular posts from this blog

Tanggungjawab Adik-Beradik (2) - Tanyalah Ustaz 21.06.2012

Memikat Hati Suami (1) – Tanyalah Ustaz 18.03.2013

Diet Rasulullah (2) – Tanyalah Ustaz 26 Ramadhan 1433H (15.08.2012)