Tuesday, 19 February 2013

Kelebihan Selawat (2) – Tanyalah Ustaz 19.02.2013


Ustaz Raihan Abdul Aziz

Bacaan surah Al-Inshirah:


Allah menyatakan dalam ayat ini bahawa Nabi SAW telah ditinggikan kedudukannya dan sebutan namanya. Allah ingin mengingatkan kita bahawa Nabi SAW mempunyai tempat yang tinggi dan terpuji. Oleh itu, amatlah wajar untuk kita memuji dan berselawat ke atas Baginda Nabi SAW.
Bagi orang yang tak faham, selawat ini nampak kecil. Selawat ini sebenarnya sangat besar, dan paling kurang diwajibkan kita berselawat sekali dalam seumur hidup. Semoga Allah menjadikan kita golongan yang sentiasa dan banyak berselawat ke atas Nabi SAW.

Amalkan selawat Fateh, yang diamalkan oleh Syeikh Qadir Al-Jailani. Ali Zaenal Abidin bin Husin bin Ali, cicit Nabi SAW pula mengamalkan selawat Nariyyah. Dikatakan bahawa jin sangat takut dengan selawat ini. Walaupun Nabi SAW tidak buat, tetapi ini adalah amalan orang yang alim, yang juga ulama tasawwuf yang besar. Siapalah kita untuk mempersoalkan amalan ini.
Akhir kata: Banyakkanlah berselawat kepada Nabi SAW.

Berikut sedikit maklumat tambahan tentang selawat Fateh (sumber)

Selawat Fateh
MURABBI Syeikh Muhd Zainul Asri setiap kali mulakan ucapan beliau akan mulakan dengan selawat al-fatih. Sehingga kami yang menuntut ilmu menadah kitab dgn beliau , terikut dan dapat mengingati. Selawat Fatih penuh rahsia. Beramal dgn penuh ikhlas , ALLAH buka padanya rahsia , ALLAH beri kemudahan dalam perkerjaan , ALLAH menangkan dia. ALLAH lorongkan dia dalam kebenaran.. 

Huraian Makna Selawat Fatih: 

Ustaz Haji Ahmad Tunggal, Pengerusi Jamaah Wirid Khaujakan Johor, menulis dalam bukunya “Amalan Kecemerlangan Rohani” (1993) seperti berikut:

Yang membuka apa yang tertutup – Dunia ini asalnya tidak ada dan masih tertutup. Maka dijadikan dunia ini adalah disebabkan wujudnya Nabi Muhammad SAW. Kalaulah tidak ada Nabi Muhammad SAW tidaklah akan wujud dunia ini. Allah menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat bagi sekalian alam. Rahmat dan kenabian bagi sekalian makhluk termasuk manusia, jin dan binatang. Hati manusia juga pada mulanya tertutup dengan syirik, tertutup dengan kezaliman dan kejahilan.

Iman, Islam dan akhlak tertutup, semuanya itu dibuka oleh Nabi Muhammad SAW dengan dakwah yang berpandukan kitab Al Quran. Terbukalah kebenaran akidah dan syariat Islam, terbukalah akhlak dan budi pekerti yang luhur, terbukalah keadilan sosial dan terbukalah sebuah negara Islam yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW yang membuka apa yang tertutup.

Dan penyudah (penamat) apa yang telah lalu – Tidak ada Nabi lagi sesudah Nabi Muhammad SAW Juga sebagai penutup berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj dan penutup kitab suci Al Quran.

Dan yang menolong kebenaran dengan kebenaran – Pertolongan Nabi Muhammad SAW yang benar ialah Al Quran. Di dalamnya mengandungi segala kelengkapan termasuk akidah, syariat, akhlak, ibadat, bermasyarakat bernegara, falsafah dan mistik. Manusia tidak akan mengetahui kebenaran tersebut tanpa pertolongan Nabi SAW .

Dan yang menunjukkan jalan-Mu yang lurus – lalu yang ditunjukkan oleh Nabi SAW adalah jalan yang lurus, betul dan tegak. Ertinya jalan yang lurus itu adalah ialah jalan Islam, jalan selamat sejahtera dan bahagia. Mustakim selain dari makna lurus boleh diertikan yang tetap dan teguh pendirian dalam melaksanakan perintah Allah. Selain dari Nabi SAW penolong kebenaran ia juga memimpin. Memipin ke jalan yang lurus sejahtera dan selamat.


Rujukan untuk Selawat Nariyah di sini

Selawat Nariyah

Senarai soalan dan jawapan

S: Bilakah waktu yang dianjurkan kita berselawat?
J: Kita dianjurkan berselawat sepanjang masa sebenarnya kecualilah ketika berasa di dalam tandas. Pun begitu, ada tempat yang dianjurkan seperti:
  • Dalam apa jua tempat perhimpunan atau majlis pertemuan yang baik, contohnya ketika berada dipejabat, di rumah, dalam majlis ilmu dan seumpamanya. Jika tiada disebut nama Allah atau selawat di dalamnya, maka perkara itu akan menjadi penyesalan kepada seseorang setelah meninggal nanti. Oleh sebab itulah, dikhabarkan bahawa orang yang mati meminta agar dibangkitkan semula kerana telah menyesal.
  • Sebelum memulakan, dan mengakhiri doa. Sabda Nabi SAW, “Tiada satu doa pun melainkan ada dinding-dinding (hijab) antara orang yang berdoa itu dengan langit, sehinggalah dia berselawat padaku. Apabila dibacakan selawat, maka akan koyak dan cariklah sekatan (hijab) itu dan terangkatlah ke langit”.
  • Selepas selesai wudhuk dan sebelum doa setelah mengambil wudhuk.
  • Selepas selesai azan, sebelum membaca doa selepas azan.
  • Malam dan hari Jumaat – kenapa? Kerana pada hari Jumaat akan dibentangkan kepada Nabi SAW. Begitu juga dengan doa-doa kita kepada ibu ayah yang telah meninggal juga akan disampaikan pada hari Jumaat.
  • Selawat ini bersifat menyejukkan jiwa. Oleh itu, dodoikanlah anak-anak dengan selawat, bukannya dengan lagu-lagu artis.

S: Adakah kita dianjurkan selawat ketika masuk dan keluar masjid?
J: Inilah antara adab yang semakin dilupai masyarakat. Allah SWT sangat mengasihi Nabi SAW. Berkata Abdullah bin Abbas ra, antara adab memasuki masjid ialah berselawat. Setelah itu, dianjurkan berdoa yang bermaksud:
“Bismilah wassola tuwassala mu ‘ala Rasulillah wa’ala malaikatillah wala hawla wala quwaata illa billah” dan kemudia bacalah doa masuk masjid. Begitu juga sebelum keluar masjid juga dianjurkan berselawat.

S: Betulkah jika kita terlupa sesuatu, kita dianjurkan segera berselawat?
J: Betul.  Dalam mafhum hadis Baginda SAW bersabda, “Sesiapa yang berbuat begitu, maka dia akan dimudahkan untuk mengingati semula”. Kita amat takut jika menjadi nyanyuk ketika tua. Oleh itu, dianjurkan untuk banyakkan berselawat agar terpelihara daripada nyanyuk.

S: Adakah selawat kita didengari atau sampai kepada Nabi SAW?
J: Ya. Dalam hadis riwayat Imam Bukhari bermaksud ada satu malaikat yang diciptakan yang mempunyai pendengaran yang hebat yang mampu mendengar ucapan selawat kepada Nabi SAW. Mana-mana malaikat yang mendengar selawat ini akan membawakan selawat itu terus kepada Nabi SAW. Ada juga malaikat lain yang ditugaskan untuk mencari-cari majlis yang disebutkan selawat di dalamnya dan membawanya terus kepada Rasulullah SAW.

S: Apakah tujuan kita berselawat?
J: Tujuannya ialah:
  • Paling utama ialah kita ingin melaksanakan perintah Allah.
  • Berbuat baik sepertimana Allah buat baik kepada kita. Cara buat baik pada Allah ialah dengan menunaikan ibadat dan suruhan-Nya. Kelahiran Nabi SAW merupakan satu rahmat dan perbuatan baik Allah kepada kita. Kita sangat beruntung sebenarnya, kerana mendapat banyak kebaikan dengan kelahiran Nabi SAW, sehinggakan ada Nabi yang meminta untuk menjadi umat Nabi SAW.
  • Untuk mengenang jasa dan budi Nabi SAW kepada kita.

S: Hari ini ada pelbagai cara orang berselawat. Bolehkah begitu?
J: Betul, ada yang berselawat dalam bentuk qasidah, burdah dan seumpamanya. Ada juga ungkapan selawat yang berbeza contohnya Selawat Tiib, Selawat Fatih  - amalan Syeikh Qadir Al-Jailani, selawat Nariyyah - diamalkan oleh Ali Zaenal Abidin bin Husin bin Ali – cicit Nabi SAW. Selawat ini semuanya diamalkan oleh pada ulama tasawwuf yang besar-besar. Siapalah kita untuk mempersoalkannya.

S: Bolehkah selawat dengan berlagu-lagu?
J: Manusia ini fitrahnya sukakan hiburan. Jika artis boleh puji kekasihnya dalam lagu, kenapa kita tidak boleh memuji Kekasih kita yang paling agung? Jika kita terlalu skema, bagaimana nak menarik minat-minat anak-anak muda. Jika kita tak sediakan alternatif untuk mereka, maka mereka akan tertarik dengan hiburan yang sia-sia. Dengan lagu juga akan memudahkan untuk kita menghafal selawat yang panjang-panjang.