Tafsir ayat 15, 16-17, surah Ali-Imran, MTDM 15.02.2013


Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid
Tafsir ayat 15, 16-17, surah Ali-Imran


Perbahasan ayat 15:

Ayat ini mempunyai hubungan yang rapat dengan ayat sebelumnya iaitu sifat semulajadi manusia yang suka kepada wanita, anak-anak, harta dan tanaman. Kemudian Allah memberitahu bahawa itu semua cuma nikmat di dunia sahaja, maka tiada apa-apa nilai di akhirat. Huraian ayat terdahulu di sini.

Bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Allah beberapa syurga..
Jadi, apa yang kekal? Allah menyuruh Nabi SAW mengkhabarkan bahawa yang lebih baik daripada semua itu ialah ‘jannatun’ –>  syurga-syurga yang mengalir sungai di bawahnya. Mereka kekal di dalamnya, mendapat pasangan yang suci dan mendapat keredhaan Allah. Inilah alternatif (ganti) yang Allah beri di atas pengorbanan perkara yang manusia suka dengan apa yang Allah suka. Namun begitu, cuma pengorbanan orang yang bertaqwa akan mendapat ganjaran yang hebat ini. Orang ini perlu bertaqwa ke atas 6 perkara iaitu: Wanita, Anak, Harta, Kenderaan, Haiwan dan Tanaman. 

 ‘Jannah’ berasal drpd perkataan arab yang bermaksud kebun atau tanaman. Pengorbanan manusia di dunia diganti Allah dengan ‘tanaman’ di syurga. Bezanya di syurga nanti, kebun/tanaman itu tak perlu dijaga olehnya. Jannat (‘plural’) – syurga-syurga bagi mereka yang sanggup mengorbankan nikmat dunia yang maksimum 60/70 tahun sahaja. Inilah ‘perniagaan’ dengan Allah yang sangat menguntungkan kerana nikmat di sisi adalah Allah kekal abadi.

.., yang mengalir air dibawahnya..
Ketika Ratu Balqis pergi ke istana Nabi Sulaiman, dia mengangkat kain kerana khuatir kainnya basah, padahal lantai istana itu cuma perhiasan yang indah, kelihatan seperi air yang mengalir tetapi tidak membasahkan. Syurga nanti lebih kurang begitulah tetapi kata Rasulullah SAW, “Syurga itu tiada mata yang pernah menggambarkan, atau telinga yang pernah mendengarkan”. Orang yang berfikir pasti tidak akan mensia-siakan atau menolak tawaran hebat Allah ini. 

..mereka kekal di dalamnya..
Nikmat yang disukai di dunia tidak akan kekal berbanding dengan nikmat yang kekal disisi-Nya. Oleh itu, jika bersedia mengorbankan nikmat sementara itu untuk Allah, akan mendapat ganti semunya dan nikmat itu kekal.

..disediakan pasangan yang suci dan bersih..
Di dunia, pasangan pasti akan mengalami penuaan dan kekurangan, tetapi pasangan di akhirat kekal muda, cantik dan sempurna. Setiap yang dikorbankan, Allah akan ganti dengan sesuatu yang persis dengannya. Contohnya korbankan tanaman akan mendapat tanaman. Dalam satu hadis ada disebut bahawa orang yang mengorbankan kuda di jalan Allah, akan digantikan oleh Allah Ta’ala. Oleh itu, jika seseorang mengorbankan sesuatu di jalan Allah, pasti akan diganti semula sesuai dengan apa yang dikorbanankannya. Bahkan ganti Allah adalah yang lebih baik daripada itu iaitu dengan diberi keredhaan Allah.

..serta beroleh pula keredhaan Allah.
Dalam satu hadis, Nabi SAW menceritakan, “Allah SWT berfirman kepada penghuni syurga, “Adakah kamu sudah puas dengan apa yang Aku beri?” Jawab mereka, “Ya Allah, bagaimana kami tidak puas dengan apa yang Engkau beri. Sesungguhnya pemberian-Mu teramat istimewa bagi kami”. Allah berkata, “Mahukah jika Aku berikan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kamu dapat sekarang?” Penghuni syurga sudah pun berada dalam kenikmatan yang tertinggi dengan berada di syurga, namun mereka ditawarkan sesuatu yang lebih  baik. Mereka pun terperanjat. Lalu Allah berkata, “Aku halalkan kepada kamu untuk meraih keredhaan Aku dan Aku tidak akan murka kepada-Mu selama-lamanya. Dalam riwayat lain, antara keredhaan yang Allah beri kepada penghuni syurga ialah dengan menampakkan Zat-Nya kepada mereka. Dalam Al-Quran, surah Al-Qiyamah, ayat 22 dan 23, Allah berfirman:

Penghuni syurga nanti akan dapat melihat kepada Allah mengikut kepada amalannya. Dalam hadis Nabi Saw bersabda, “Manusia akan dapat melihat Allah seumpama manusia melihat bulan yang terang-benderang”. Bagaimana? Dengan mata fizikal atau mata hati? Wallahu’alam.

Walaupun penghuni syurga telah berada dalam kenikmatan di syurga, nikmat melihat Allah adalah lebih besar daripada itu. Moga-moga, mata kita ini tidak diharamkan untuk melihat kepada Allah SWT. Oleh itu, perlu jaga mata itu ketika di sini, agar diberi kemuliaan dan layak untuk melihat Allah di akhirat nanti.

...Allah sentiasa melihat hamba-hamba-Nya.
Kenapa Allah katakan begini? Kerana perbuatan dan nilai ibadah hambanya adalah berbeza. Sebab itulah ada tingkatan yang berbeza – ada Rasul, ada Anbiya’, ada Siddiqin, ada auliya’, ada syuhada, ada abrar. Semua ini gelaran kepada ahli ibadah tetapi tingkatan ibadah mereka tidak sama. Allah memantau sebab dan niat kerana apa seseorang itu beribadah. Ada 3 tingkatan manusia dalam ibadah yang dilakukannya iaitu:
  1. Ibadahnya seperti seorang peniaga – beribadah kerana mengharapkan syurga,
  2. Ibadahnya seperti seorang hamba– beribadah kerana hukuman neraka
  3. Ibadahnya seperti seorang  yang merdeka – tak terpengaruh dengan balasan Allah.
Semuanya tingkat ibadah ini baik dan boleh mendapat syurga tetapi darjatnya tidak sama.
Contohnya ibadah orang yang betul-betul ikhlas ialah Rabiatul Adawiyah. Katanya, “Ya Allah, jika aku menyembah Kau kerana takutkan neraka, maka campakkan aku ke neraka. Jika aku sembah Kau kerana inginkan syurga, jangan masukkan aku ke syurga”.

Tahap keikhlasannya ibadatnya sangat murni. Orang sebegini akan diuji Allah, dan semakin diuji, dia semakin dekat dengan Allah. Dia memahami hakikat yang ujian itu datang daripada Allah Yang Maha Pengasih, dan dia menyukai segala yang datang daripada Allah. Para anbiya’ adalah golongan yang paling berat mendapat ujian daripada Allah. Itu adalah tanda kasih Allah kerana Allah ingin melihat kemurnian dan keikhlasan mereka.

Perbahasan ayat 16 dan 17:

Allah mentafsir ‘orang-orang yang bertaqwa’ dengan ayat sebelum ini dengan 2 ayat ini. Mereka ialah orang yang:
  1. -       beriman
  2. -       beristighfar
  3. -       mohon selamat daripada azab neraka
  4. -       sabar
  5. -       jujur
  6. -       taat kepada Allah
  7. -       menginfakkan harta pada jalan Allah
  8. -       beristighfar pada waktu sahur
Dalam ayat ini, Allah letak agar kita minta ampun setelah kita beriman, kerana atas ketakmampuan kita menunaikan tuntutan iman secara maksimum. Imam itu mempunyai tuntutan untuk kita tunaikan. Oleh sebab itu, Nabi SAW suruh kita beribadah seumpama kita nampak Allah. Jika tak mampu, ketahuilah yang Allah melihat kita, sepanjang masa, 24 jam sehari. Mampukah kita buat begitu? Kita solat 5 waktu pun tidak kusyuk. Ibadah yang wajib itu pun kita tak mampu tunaikan haknya dengan sepenuhnya. Oleh sebab itu, kita perlu minta ampun atas kekurangan kita, atas ketidakmampuan kita memenuhi hak beriman kepada Allah.

Siapa orang yang sabar? Ada 3 bentuk sabar iaitu sabar:
1 – melakukan ketaatan kepada Allah ialah dengan melakukan ibadah yang diwajibkan,
2 -  meninggalkan perkara yang dilarang, dan juga
3 -  sabar ketika menghadapi musibah

Orang yang sabar akan mendapat selawat daripada Allah. Satu selawat sudah cukup unutk membahagiakan manusia di dunia, tetapi Allah tak beri satu, sebaliknya Allah beri banyak. Sayyidina Umar berkata dia melihat musibah itu boleh membawa 4 kelebihan: 
  1. Jika musibah yang menimpa itu, ada musibah lain lebih besar yang tidak menimpaku, aku akan anggap musibah itu nikmat
  2. Selagi musibah tidak menganggu akidah aku, maka aku akan anggap musibah itu nikmat.
  3. Selagi aku diberi sifat menerima (sabar), maka aku akan anggap musibah itu nikmat.
  4. Bila mana aku diuji, dan aku tidak diharamkan untuk mendapat ganjaran daripada Allah, maka aku akan anggap musibah itu nikmat.

Dalam satu  riwayat dikatakan orang yang meninggal anaknya, Allah akan bertanya kepada malaikat, “Kau ambil nyawa buah hatiku hamba-Ku itu?” Kata malaikat, “Ya”. Allah bertanya lagi, “Bagaimana keadaan hamba-Ku?”. Malaikat berkata, “Dia menerima Ya Allah”. Lalu Allah berkata, “Gantikan padanya kedudukan di syurga”. Tiada orang yang tidak menghadapi ujian di dunia ini. Semuanya diuji, cuma bentuknya tidak sama.

Golongan siddiqin pula ialah orang yang kata-katanya sesuai dengan perbuatannya.

Orang yang sentiasa mohon ampun di waktu sahur.
Kenapa dikhaskan waktu sahur? Kerana waktu itu Allah mendekatkan Zat-Nya Yang Maha Suci ke langit yang dekat dengan dunia dan menyeru, “Adakah orang yang ingin mohon ampun kepada-Ku”? Oleh itu, jika ada orang terjaga pada waktu sahur, walaupun satu minit, beristighfarlah agar termasuk dalam golongan ini. Ada pendapat kedua yang  mengatakan bahawa golongan ini ialah orang yang menjaga waktu Subuh berjemaah. Sy. Ibnu Umar berkata pembantunya, “Ya Nafi’, adakah sudah masuk waktu sahur?” Jawabnya, belum dan Ibnu Umar pun meneruskan solatnya. Kemudian ditanya lagi, dan Nafi’ menjawab, “Ya” dan dia pun terus duduk dan beristighfar.

Luqman bin Hakim berkata kepada anaknya, “Wahai anakku, jangan kamu ini lebih lemah daripada ayam yang berkokok”. Ini kerana ayam berkokok sebelum Subuh sedangkan manusia ramai yang masih tidur. Semoga Allah beri kita istiqamah untuk bangun sebelum Subuh.


Popular Posts