Tawakal (3) – Tanyalah Ustaz 03.02.2013

Ustaz Dr. Zahazan Mohamed


Bacaan ayat 1000 Dinar:


Dalam apa jua pertemuan, jadikanlah kalamullah itu tujuan yang utama. Ayat yang dibacakan adalah daripada surah Al-Talaq, sebahagian ayat 2 dan 3. Surah ini juga dikenali sebagai surah Nisa’ kecil kerana banyak membincangkan hal berkaitan wanita. Begitulah ditinggikan kedudukan wanita dalam Islam sehingga ada surah khas berkaitan wanita berbanding layanan tidak baik yang diberikan orang pada zaman Jahiliyyah dahulu.

Menurut Tafsir Al-Baghawi (ulama mazhab Syafie), kebanyakan ulama mengatakan ayat ini diturunkan sempena berlakunya kisah seorang sahabat yang bernama Auf bin Malik yang anak lelakinya ditawan oleh kaum Musyrikin. Dia juga dilanda kemiskinan dan datang mengadu kepada Nabi SAW. Baginda SAW berpesan kepadanya:
  • Bertaqwa kepada Allah. Ada ulama menggariskan taqwa sebagai mentaati suruhan dan meninggalkan larangan-Nya, hendaklah mengingati Allah dan jangan melupakan-Nya, dan bersyukur pada-Nya dan jangan kufur. Jangan terlibat dengan perkara-perkara yang haram.
  • Bersabar
  • Banyakkan mengucap ‘La hau la wala quwata illah billah”.

Oleh itu, sesiapa yang menghadapi apa juga bentuk musibah digalakkan mengamalkan yang serupa.

Ada 3 bentuk jawapan Allah kepada doa kita:
  • Allah beri apa yang diminta di dunia
  • Allah tangguhkan pemberian itu di akhirat
  • Allah hindarkan bala’ yang sepatutnya menimpanya

Oleh itu perlu berfikir secara positif dan berbaik sangka pada Allah.

Saya mencadangkan agar tuan-puan mendapatkan Al-Quran Wakaf Ibtida’, yang dikaji selama 30 tahun oleh tokoh Al-Quran negara dan dunia iaitu Tan Sri Hj Hassan Azahari & Dr. Raof Tan Sri Hassan.

Tawakkal ialah satu tanda keimanan kepada Allah Ta’ala. Ianya merupakan satu rasa dalam hati yang menyerah segala urusan kepada Allah Ta’ala. Para Nabi juga bertawakal kepada Allah dalam segala hal. Dalam hadis Nabi SAW bersabda: “Kamu jagalah harta kamu dengan zakat, jangan abaikan. Rawatlah sakit kamu dengan banyak bersedekah. Hadapilah kesusahan hidup kamu dengan banyak bermunajat, berdoa pada Allah”. Mengadulah pada Allah kerana Allah Maha Mendengar. Bertaubatlah atas dosa-dosa yang mungkin menyebabkan doa kita terhijab. 

Inilah laluan kehidupan kerana dunia sememangnya tempat manusia diuji. Lebih besar iman, maka lebih besar ujiannya. Para Nabi adalah golongan yang paling banyak diuji. Allah Maha Adil. Jika mampu, milikilah buku “Kompas Umat” tulisan Ustaz Omar Mohamad Nor. Menurut penulis, selalunya, setelah banyak ujian, Allah tetap akan memberi ganjarannya di dunia (walaupun sedikit) sebelum di akhirat. Ujian yang getir menjanjikan ganjaran yang besar di sisi Allah.

Maka jika ada sesiapa yang ditimpa apa jua bentuk musibah, banyakkan berdoa:

Allahuma ajirni fee museebati wakhlifni khairan minhaa

Maksudnya -"Ya Allah, berikan kepadaku ganjaran ke atas musibah yang menimpa kepada aku dan gantikan kepadaku ganti yang lebih baik daripada apa yang berlaku kepadaku".

Jangan putus asa dalam berusaha. Jangan turun bawah sebelum sampai ke puncak!


Soalan dan jawapan

S: Bagaimana dengan orang yang berusaha sehingga merasa putus asa?
J: Menurut hadis yang saya sebut dalam siri pertama – Nabi SAW bersabda dalam satu hadis Qudsi, “Dimakbulkan doa kamu selagi kamu tidak tergesa-gesa”. Sahabat bertanya, “Apa maksud tergesa-gesa”. Nabi menjawab, “Dia berdoa dan berkata bila nak dapat”. Seorang pakar motivasi mengatakan yang ‘there is no shortcut to success’. Mungkin kita sudah berusaha berubat dengan 100 doktor, tapi kita tak tahu yang doktor ke 101 baru akan dapat membantu kita. Oleh itu, jangan berhenti berusaha. Allah mempunyai perancangan yang lebih baik. Jangan sekali-kali terbit dari bibir, “Aku sudah berusaha, tapi belum dapat” kerana ianya menggambarkan putus asa. Hanya orang kafir yang berputus asa pada rahmat Allah. Nabi SAW sendiri juga diajar untuk bertawakal selepas berbincang dengan sahabat dan berusaha.

S: Saya telah berusaha berjumpa ahli pakar di samping berdoa dan menjadikan kisah Nabi Zakaria, dan Nabi Ibrahim sebagai teladan untuk mendapatkan zuriat, namun masih belum berjaya. Memandangkan kos yang tinggi, kami ingin bertawakal sahaja. Mohon pencerahan ustaz.
J: Para ulama ada memberikan beberapa amalan yang boleh diusahakan untuk mendapatkan zuriat iaitu:
  • banyak beristighfar atas dosa-dosa kecil, dan bertaubat atas dosa-dosa besar. Bangun pada malam hari dan beristighfar.
  • Banyakkan bersedekah, semoga dipermudahkan hajat disampaikan.
  • Berjumpa dengan ahli pakar perubatan.

Jika masih belum berjaya, redhalah kerana itu adalah maqam yang tertinggi dan Allah Maha Tahu hikmah perancangan-Nya. Banyakkan juga menyebut:

kerana walaupun semua pintu telah ditutup oleh manusia, Allah berkuasa untuk menjadikan yang sebaliknya.

S: Jika kita berusaha untuk mendapatkan sesuatu dan tidak berjaya, adakah perlu berhenti atau diteruskan saja?
J: Teruskan usaha kerana istiqamah itu penting. Jika berhenti, itu bermakna seseorang telah berputus asa. Teruskan berusaha dan jangan ada sekelumit pun rasa putus asa. Banyakkan juga membaca doa: 


S: Ada orang mendapat apa yang diingini tanpa perlu berdoa atau berusaha keras. Contohnya dia ingin keluarga bahagia, menjadi pengurus, menjaga ibu bapanya. Adakah melakukan sesuatu dengan nama kerana Allah, dan bertawakal tanpa berusaha itu lebih baik daripada redha kepada Allah?
J: Ada dua sudut pandangan – Pertama: Jangan rasa kita boleh dapat apa saja yang kita minta sehingga menjadikan kita rasa yang kita tak perlu meminta pada Allah lagi. Sesungguhnya segala yang berlaku adalah dalam ketetapan Allah SWT. Jangan kita rasa hebat apabila segala keingininan dipenuhi tanpa perlu diminta. Apa yang Allah beri, semuanya datang dengan tanggungjawab.

Saya teringat satu kisah, ada seorang yang berdoa, “Ya Allah, jadikan aku daripada kalangan orang yang sabar”.  Sy. Ali berkata, “Kamu sebenarnya sedang meminta ujian daripada Allah. Sepatutnya kamu berdoa dengan 2 ayat terakhir daripada surah Al-Baqarah. Dua ayat ini mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di sisi Allah. Siapa yang membacanya akan mendapat perlindungn daripada gangguan syaitan.

S: Sebelum keluar rumah, kita digalakkan berdoa keluar rumah. Apakah kesan doa itu?
J: Syaitan berkata, dia takkan dapat menyesatkan atau berbuat apa-apa pada orang yang menyebut ayat pendek itu tapi banyak manfaatnya.


S: Apa kesan mendoakan anak dari jauh?
J: Amalkan doa daripada ayat 74, surah Al-Furqan untuk mendoakan anak-anak. Bayangkan muka anak-anak ketika membacakannya. Saya teringat satu kisah – Sy Umar merasa pelik apabila melihat ada 2 orang yang begitu serupa wajahnya, Sy Umar pun bertanya: “Adakah kamu kembar?”. Mereka menjawab, tidak, kami ini ayah dan anak. Lelaki itu pun menceritakan bahawa berlaku 2 kejadian hebat semasa kelahiran anaknya itu.  Sy. Umar pun minta diceritakan. Lelaki itu merupakan seorang pedagang dan ketika isterinya hampir melahirkan anaknya, dia terpaksa keluar meniaga. Isterinya keberatan kerana bimbangkan anak yang bakal lahir tetapi dia terpaksa pergi dan sebelum pergi, dia meletakkan tangan pada perut anaknya, dan berdoa, “Ya Allah, aku mohon pada Engkau agar menjaga anakku, di mana amanah di sisi-Mu takkan pernah dihampakan”. Lelaki itu pergi meniaga, dan setelah pulang didapati isterinya meninggal ketika ingin melahirkan anaknya. Dia pun terus berdoa: (doa musibah, lihat atas).

Tak semena-mena selepas itu, dikahbarkan padanya yang kubur isterinya berasap. Lalu digalinya, dan dilihat anaknya selamat di bawah kaki anaknya. Lalu dibawanya bertemu Sy Umar, dan Sy Umar berkata kepadanya, “Kerana kamu memohan keselamatan untuk anak kamu, maka hanya anak kamu saja yang Allah selamatkan”. 

Oleh sebab itulah doa mempunyai peranan yang sangat penting dalam kehidupan. Allah itu dekat dengan kita dan Allah telah berjanji akan memakbulkan setiap doa selagi kita berada dalam ketaatan pada Allah. Oleh itu, ibu bapa, jangan berhenti daripada mendoakan anak-anak. Mungkin hari ini, anak kita belum cukup baik tapi jangan putus asa. Al-Quran membawakan kita contoh kisah yang realistik – anak yang hebat seperti Luqman dan juga anak yang hampir membunuh adiknya, iaitu Nabi Yusuf. Oleh itu, kita mampu menteladani kisah yang dibawakan dalam Al-Quran. Jalan keluar permasalahan ialah dengan menjaga hubungan dengan Allah SWT, bertanya pada orang yang soleh, bangunlah malam unuk bermunajat, kerana Allah suka mendengar rintihan hamba-Nya.

S: Bukan mudah untuk berdakwah. Apa pendapat ustaz kepada pendakwah yang bertawakal setelah berusaha?
J: Tanggungjawab berdakwah bukan hanya atas bahu ustaz, tapi atas bahu kita semua. Dalam hal ini, memang perlu bertawakal pada Allah. Hidayah adalah milik Allah, dan kita hanya mampu berusaha dan bersangka baik pada Allah. Berkata Hassan Hudaibi, tokoh yang menggantikan Hassan Al-Banna, “Setiap kita yang mengatakan “La ila ha illallah” adalah pendakwah”. Berdakwah bukan semata-mata mengajak orang solat tetapi ada banyak cara lain.  Adalah penting juga untuk berdakwah melalui akhlak yang baik dalam pergaulan.


Popular Posts