Kelebihan Sabar (1) – Tanyalah Ustaz 11.02.2013


Ustaz Mohd Elyas Ismail


Bacaan ayat 153-157, surah Al-Baqarah:

Alhamdulillah kita diberi peluang bertemu dalam majlis ilmu. Kalau Allah ingin beri kebaikan kepada kita, Allah akan fahamkan kita tentang agama. Kita akan diberi rasa seronok menghadiri majlis ilmu.

Sifat sabar itu senang diungkap, tapi amat payah dilaksanakan. Dalam ayat yang dibacakan tadi ada beberapa pengajaran yang boleh diambil:
  • untuk mohon pertolongan Allah, mesti sabar dan diiringi dengan solat
  • orang yang mati syahid itu hidup di sisi Allah
  • Allah akan uji dengan perasaan takut
  • Allah akan uji dengan perasaan lapar – Kata seorang ulama, untuk mengetahui peribadi seseorang, lihatlah perangainya ketika dia lapar.
  • Allah akan uji dengan kehilangan harta
  • Allah ajar untuk mengucapkan “Innalillahi wainna ila hiro ji'un” ketika menghadapi musibah.
  • Untuk mendapat hidayah, mesti mempunyai perasaan sabar.


Senarai soalan dan jawapan

S: Apakah yang dimaksudkan dengan sabar?
J: Allah mengajar bahawa untuk berjaya dalam hidup, kita perlu sabar. Nabi SAW mengajarkan bahawa, “Sabar itu umpama cahaya matahari”. Apa maksudnya? Matahari itu sifatnya panas, tetapi kepanasan itu dapat menyuburkan tanaman di muka bumi ini. Oleh itu, orang yang sabar, akan subur jiwanya. Sebaliknya, orang yang tak sabar, cepat masuk kubur :P. Apabila mendapat musibah, kita seolah-olah dalam kegelapan, oleh itu sifat sabar yang seperti matahari itu akan memberikan cahaya untuk membuatkan seseorang itu bertenang terlebih dahulu. Renungkan bagaimana sabarnya Allah dengan kita. Walaupun kita buat berbagai-bagai maksiat, Allah masih beri nikmat dan rezeki pada kita. Orang yang bersabar, Allah janjikan banyak ganjaran di sisi-Nya. Kita perlu malu dengan cicak. Kalau diikutkan, cicak ada banyak sebab untuk merungut pada Allah tapi cicak tak buat begitu. Cicak tak boleh terbang, tapi makanannya semuanya haiwan yang boleh terbang. Tapi cicak gunakan lidahnya yang panjang untuk mencari makanan.

S: Kadang-kadang saya tidak mampu menahan sabar. Mohon tip dan panduan?
J: Dalam majlis ilmu – ada 3 muka yang orang suka tengok – muka penceramah, muka pintu dan muka jam ;P. Boleh amalkan tip berikut: 
  • Bersifat sabar dan memaafkan – 'Let go and let God' yakni maafkan dan serahkan pada Allah. Sebelum tidur malam, pegang tangan dan maafkan pasangan kita, dan maafkan juga orang yang tak sehaluan dengan kita. Sentuhan antara pasangan sudah boleh memberi kesan positif. Suami mulakan dahulu dan tanya isteri, “Agak-agak berapa markah abang dapat hari ini?”. Terima dengan sabar apa penilaian isteri. Kemudian tanya isteri apa yang perlu diperbaiki untuk mendapat markah penuh.
  • Ingatlah pesan Imam Ghazali yang mengatakan bahawa marah ialah pintu keburukan. Ramai orang yang buat perkara yang tidak baik kerana 'tidak sedar' ketika marah.


S: Apakah maksud, “Berpesan-pesan atas kesabaran”?
J: Dalam ayat 55, surah Az-Zariyaat yang bermaksud – Hanya orang yang beriman mudah menerima nasihat. Orang yang beriman sentiasa bersedia menerima ujian daripada Allah dan mempunyai kekuatan untuk bersabar. Perhatikan kisah keluarga Sumayyah yang disiksa teruk setelah memeluk Islam. Rasulullah SAW berpesan kepada mereka agar teruskan bersabar kerana syurga sedang menanti mereka. Kisah Bilal bin Rabah pun serupa juga – dihempap dengan batu di bawah terik matahari tapi masih kuat keimanan dan kesabarannya. Begitu juga dengan kisah Mashitah, tukang sikat rambut keluarga Firaun. Ketika melatah, Mashitah menyebut “Allah” dan inilah yang perlu kita contohi.



S: Apakah kelebihan kalau sentiasa bersabar?
J: Sabar ialah senjata dan kekuatan orang mukmin. Ada pepatah mengatakan yang “Dunia merupakan negara bala dan ujian”. Ada 4 kelebihan:
  • Hatinya tenang – tidurnya lena, tak tergopoh-gapah. Selagi tak dimaafkan, masalah itu akan menghantui kita.
  • Akan selalu mendapat hidayah daripada Allah
  • Merasa nikmat tenang dalam beribadat
  • Dapat mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala


S: Adakah sifat sabar cuma perlu ketika susah sahaja?
J: Tidak, ada 3 keadaan perlu bersabar:
  • Dalam mentaati perintah Allah.
  • Dalam meninggalkan larangan Allah – kadang-kadang lebih sukar nak tinggalkan perkara maksiat berbanding buat baik. Contohnya, nak pergi majlis ilmu mudah, tapi nak tinggalkan 'gosip' sangat sukar. Oleh sebab itu, bila ada orang nak ceritakan sesuatu cerita yang sensasi, katakan kita tak mahu tahu. Amalkan kaedah ini untuk tahan marah - tarik nafas 2 saat, tahan 3 saat dan lepaskan ikut mulut 4 saat. Bila lepaskan nafas itu, sebutkan “Allah”. Dalam kajian, didapati kalimah Allah amat baik untuk membantu menenangkan hati. Cuba amalkan.


S: Bagaimana untuk mendidik hati agar kita mudah bersabar?
J: Ada 3 kaedah iaitu:
  • Hubungkan silaturrahim dengan orang yang ingin memutuskankannya. Orang yang paling baik ialah orang yang mula-mula memberi kemaafan
  • Berilah kebaikan pada orang walaupun orang tak beri kebaikan pada kita.
  • Maafkan orang yang menzalimi kita.




Popular posts from this blog

Tanggungjawab Adik-Beradik (2) - Tanyalah Ustaz 21.06.2012

Diet Rasulullah (2) – Tanyalah Ustaz 26 Ramadhan 1433H (15.08.2012)

Tafsir Quran: Ayat 282 surah Al-Baqarah - Majlis Ta'lim Darul Mutadza 09.11.2012