Berfikiran Positif (2) - Tanyalah Ustaz 22.05.2012


Ustaz Izhar Ariff Mohd Kashim

Bacaan surah Al-Hujarat, ayat 12 yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

Hari ini kita akan fokus kepada berfikiran positif kepada makhluk. Daripada ayat yang dibacakan tadi, Allah pesan agar kita tidak bersangka buruk pada makhluk Allah dan juga sesama manusia. Apabila ada sangkaan buruk, kita akan saling membenci, berdendam, mencari aib dan berbuat kejahatan kepada Allah. Allah larang kita memburuk-burukkan orang dan mencari aib orang lain. Nabi SAW ada bersabda dalam satu hadis sahih yang diringkaskan maksudnya bahawa “Seseorang yang melakukan sesuatu yang Allah sayang (menutup aib orang lain), di akhirat kelak nanti Allah akan tutup aib mereka pula.”

Senarai soalan & jawapan:
S: Bagaimana cara untuk mendidik diri agar tidak buruk sangka dengan orang lain?
J: Menurut Sheikh Al-Jailani ada 5 cara untuk mendidik diri agar menghormati dan bersangka baik dengan orang lain:
  1. Bila tengok orang ramai, bayangkan yang mereka semua ahli syurga dan banyak buat amalan baik. Bandingkan mereka dengan diri kita yang serba kekurangan dan cuba perbaiki diri.
  2. Bila jumpa anak kecil, kena beritahu diri kita yang anak ini ahli syurga kerana mereka masih muda dan tiada dosa berbanding kita.
  3. Bila jumpa orang tua, bersangka baik kepada mereka kerana mereka telah lama hidup, jadi tentunya lebih banyak ibadat berbanding kita.
  4. Bila jumpa orang berilmu, sangka baik dengan mereka juga kerana ilmu mereka lebih tinggi daripada kita. Oleh kerana ilmu mereka banyak, mereka lebih takut dan lebih bertaqwa kepada Allah.
  5. Bila jumpa orang tak siuman, jangan cela kekurangannya. Kita sepatutnya bersyukur kerana kita diberi akal dan rasa kekurangan dengannya kerana dia tidak dipertanggungjawabkan atas apa jua kesalahan. Dia adalah ahli syurga sedangkan kita belum pasti lagi.

S: Apakah ciri-ciri orang orang yang baik sangka?
J: Dalam satu hadis, Nabi SAW bersabda, “Amat pelik orang yang mukmin, apabila mendapat kesenangan, mereka beryukur dan apabila ditimpa kesusahan, mereka juga bersyukur.”Golongan ini tidak leka dengan nikmat yang diberi kepadanya. Bila dapat nikmat, dia tunaikan zakat, bantu orang dan tidak menggunakan nikmat ke jalan yang dimurkai. Apabila diuji, dia redha dan bersangka baik pada Allah.

S: Adakah orang yang berfikiran positif perlu dipercayai seratus peratus?
J: Tidak juga, hanya percaya pada Allah boleh 100%. Kita kena serahkan pada Allah untuk mempercayai seeorang. Contoh dalam soal mencari jodoh, kita perlu saling mengenali dahulu, tetapi janganlah sampai melanggar syariat. Begitu juga Allah minta kita buat rekod jika kita beri pinjaman pada orang. Ini merupakan langkah berjaga-jaga supaya dalam kita bersangka baik pada rakan yang ingin berhutang. Kita perlu bijaksana agar kita tidak dipergunakan orang lain.

S: Orang yang mempunyai kelebihan ada kalanya menjadi sombong, Adakah mereka ini terlebih positif?
J: Betul, ada sebahagian kecil rakyat Malaysia yang sebegini dan ini bukannya berfikiran positif. Ini sebenarnya perasaan sombong seperti iblis. Iblis merasakan dirinya lebih baik daripada Nabi Adam yang dijadikan daripada tanah liat yang berbau hamis atau masam. Iblis merasakan dirinya lebih baik daripada Nabi Adam. Itulah sebab Allah melaknat iblis sehingga dikeluarkan daripada syurga. Kalau kita rasa kita kaya, ada lagi orang lain yang lebih kaya. Kalau kita rasa kita bijak, ada lagi orang lain yang lebih bijak. Sepatutnya kita tanya diri bagaimana kita menggunakan kelebihan yang Allah kurniakan.

S: Kerana ingin berjaya, bolehkah saya merasa dengki dengan rakan-rakan lain?
J: Jika dengki itu adalah untuk menggalakkan kita juga berusaha untuk berjaya, itu hukumnya harus. Kita boleh jadikan kejayaan rakan sebagai cabaran untuk kita atasi. Lebih elok lagi buat kumpulan bersama rakan yang berjaya untuk belajar daripadanya. Tetapi jika kita dengki pada rakan sehingga membuat perkara-perkara yang menyusahkannya, itu salah. Contohnya kita aniaya dia dengan membakar notanya atau buat dia sakit. Oleh itu Imam Ghazali kata jika kita nampak orang kaya jangan berdoa minta kita dikayakan dan minta orang itu muflis. Kita sepatutnya minta doa Allah beri kekayaan pada kita, dan mohon juga kekalkan kekayaan orang itu.

S: Ada orang yang mengambil jalan singkat membunuh diri apabila menemui kegagalan. Mohon penjelasan ustaz.
J: Ini bukanlah cara  seorang yang berfikiran positif. Sepatutnya kegagalan itu dijadikan sebagai guru. Contohnya anak-anak muda, jika bercinta dan ditinggalkan kekasih, jangan berputus asa. Kumbang bukan seekor, bunga bukan sekumtum. Orang yang berputus asa adalah orang yang tidak beriman. Allah larang kita bunuh diri atau bunuh jiwa-jiwa yang kita tak ada hak. Orang yang bunuh diri akan dibangunkan dalam neraka sepertimana cara dia membunuh dirinya. Apabila gagal, mohon bantuan dan belajar untuk jadi lebih baik.

S: Ramai wanita yang terlalu bersangka positif sehingga terjebak ke kancah maksiat.
J: Saya ingin mengingatkan semua wanita bahawa semua lelaki yang belum menjadi suami kita, perlu dianggap sebagai buaya dan tidak boleh dipercayai. Islam membenarkan kita berkenalan melalui pertunangan. Jangan abaikan syariat batasan pergaulan seperti yang Allah telah tetapkan.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab