Rukun & Pergerakan Dalam Solat (1) - Tanyalah Ustaz 11.05.2012

Ustaz Dr. Zahazan Mohamed

Bacaan surah Taha, ayat 131-132, maksudnya:
[131]
Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal.

[132]
Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

Kenapa tajuk solat yang dipilih? Kerana solat merupakan perkara pertama yang akan dihisab di sisi Allah Ta'ala. Daripada maksud ayat yang dibacakan tadi, Allah mengingatkan supaya kita tidak terpedaya dengan orang yang hidup dalam kemewahan tanpa mengikut hukum Allah. Jangan kerana fulus, semuanya lulus. Janganlah hati kita terpaut dengan dunia, sebalinya kembalilah kepada jalan Allah dengan mendirikan solat. Itulah cantiknya Islam, hubungan kita dengan Allah terjalin sepanjang masa. Namun antara Subuh dan Zuhur, selang waktunya agak panjang, jadi amat digalakkan untuk kita melakukan solat Dhuha. Begitu juga antara waktu Isyak dan Subuh, amatlah digalakkan kita menambah dengan solat tahajjud untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Untuk dijadikan rujukan, dapatkan buku 'Formula Solat Sempurna', tulisan Ustaz Zaharudin Abdul Rahman. Penerangannya jelas dan penuh illustrasi. Buku ini kecil tetapi lengkap.

Sebagai ulangkaji ringkas, kita lihat semula: Syarat sah solat adalah seperti berikut:
  1. Suci daripada hadath kecil dan besar.
  2. Suci tempat, pakaian dan tubuh badan daripada sebarang najis yang tidak dimaafkan.
  3. Mengetahui tentang masuknya waktu sembahyang sama ada dengan yakin atau jangkaan melalui ijtihad atau bertaqlid kepada orang yang tahu mengenainya.
  4. Menutup aurat.
  5. Menghadap ke arah qiblat (Ka‘bah).
Rukun solat pula secara sepintas lalu adalah seperti berikut:
  1. BERDIRI BETUL, jika tidak mampu boleh dengan duduk jika tidak mampu juga boleh sembahyang dalam keadaan berbaring.

  2. NIAT, dilafazkan sewaktu mengangkat takbiratul ihram.
  3. TAKBIRATUL IHRAM, mengucapkan perkataan Allahu Akbar.
  4. MEMBACA SURAH AL-FATIHAH, bermula dengan bacaan Bismillah… hinggalah Waladhaallin.
RUKUK DENGAN THUMAKNINAH, membongkok 90 darjah.

  5. IKTIDAL DENGAN THUMAKNKNAH, berdiri betul selapas rukuk.
  6. SUJUD DUA KALI DENGAN THUMAKNINAH, membongkok sehingga dahi berada diparas lantai.
  7. DUDUK ANTARA DUA SUJUD DENGAN THUMAKNINAH, duduk sebentar selepas sujud yang pertama.
  8. DUDUK TAHIYYAT AKHIR.
  9. MEMBACA TAHIYYAT AKHIR.
  10. MEMBACA SELAWAT, membaca selawat keatas junjungan Nabi Muhammad s.a.w.
  11. MEMBERI SALAM, memalingkan muka kearah kanan dan memberi salam dan diikuti pula sebelah kiri juga dengan salam.
  12. TERTIB, mengikut aturan, turutan atau urutan seperti yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan. Perkara lain yang dilakukan dalam sembahyang dari rukun ini dinamakan sunat.
Dapatkan huraian terperinci di sini.

Solat tetap wajib dilaksanakan walaupun kita sakit, walaupun dah tak boleh berdiri. Tak kira yang tua atau yang muda (yang telah akil baligh), semuanya wajib solat. Jangan bagi alasan kesian anak masih muda lagi untuk tidak solat. Di kesempatan ini, saya ingin memperkenalkan satu majalah - 'Al-Ustaz'. Kandungannya berkisar soalan dan jawapan tentang hukum-hakam dalam kehidupan seharian. Penulisnya merupakan barisan ustaz-ustaz yang terkenal. Untuk maklumat lanjut, sila layari Majalah Al-Ustaz.

Nabi SAW bersabda, "Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat". Solat antara umat Islam tiada beza yang besar dan ini menjadi lambang keindahan Islam. Cuba bandingkan dengan agama Nasrani, ada berbagai cara mereka sembahyang – ada yang menyanyi, ada yang berdiri, ada yang duduk dan sebagianya. Tetapi dalam Islam, hatta seorang anak kecil pun mampu menegur jika dilihat orang yang lebih dewasa melakukan kesilapan dalam ibadah. Itulah yang dapat kita pelajari daripada kisah cucu Nabi SAW, Hassan dan Hussin yang menegur seorang tua yang tidak sempurna wudhuknya dengan cara yang berhikmah.

Dilampirkan beberapa illustrasi pergerakan dalam solat. Untuk maklumat lengkap, boleh rujuk sumber asal: Makna Bacaan Dalam Solat




Esok, InsyaAllah akan ditunjukkan cara sepatutnya tangan diletakkan – sama ada perlu direnggangkan atau dirapatkan jari. Untuk takbir, jika diperhatikan, ada berbagai cara yang kita lakukan. Esok saya akan tunjuk 'slide' yang lebih jelas. Jangan bergaduh jika ada perbezaan dalam pergerakan solat kita, kerana setiap mazhab ada rujukan dan tafsiran mereka yang tersendiri. Untuk jarak antara kaki ketika berdiri, mengikut mazhab Syafie adalah lebih kurang sejengkal.

Semoga solat yang kita lakukan diterima Allah Ta'ala. Jika sebaliknya, maka akan berleluasalah maksiat dan kemungkaran dalam masyarakat. Terdapat satu kisah yang berlaku semasa pemerintahan Saidina Umar ynag boleh kita jadikan pengajaran. Pada satu malam Sayyidina Umar bersama khadamnya memantau keadaan rakyatnya di pinggir bandar Madinah. Tiba-tiba beliau terdengar dua beranak berdialog: Berkata seorang perempuan penjual susu kepada anak gadisnya, "Campurlah susu ini dengan air!", katanya. Serta merta si anak membantah seraya bertanya: "Apakah ibu tidak takut kalau hal ini diketahui khalifah Umar bin Khattab? "Umar tidak akan tahu", jawab ibunya spontan. Tetapi gadis itu pun menjawab, "Walau pun Umar tidak mengetahuinya, apakah beerti Tuhan yang menciptakan Umar juga tidak mengetahuinya?”. Si ibu terperanjat lalu terdiam seribu bahasa dengan kata-kata anaknya.
Lalu bergegaslah Umar menanda rumah tersebut. Keesokan harinya ia segera memanggil anak-anaknya dan bertanya siapa yang ingin bernikah. Lalu Ashim dipilih dan dinikahkan dengan gadis tersebut. Daripada pasangan inilah lahirnya Umar bin Abdul Aziz. Klik untuk cerita penuh.

Senarai soalan & jawapan:
S: Saya agak tinggi, ketika rukuk, kaki saya sukar untuk lurus, jadi sahkan solat saya?
J: Sah. Allah beri kelonggaran apabila kita tidak mampu, dan Allah tak jadikan agama ini untuk menyusahkan kita. Yang penting, kita perlu bertanya jika ada kegusaran, dan teruskan menuntut ilmu.

S: Apabila solat, semasa membaca Al-Fatihah, saya akan menjadi sangat sebak dan menangis. Apa hukum solat sebegini?
J: Solat dalam keadaan menangis ada dua hukum - Jika menangis itu dibuat-buat, boleh jadi batal solat. Tetapi jika betul-betul hatinya tersentuh, itu maksudnya hatinya kusyuk, maka tahniah dan tidak menjadi kesalahan. Jika seseorang itu berdoa di tengah malam, sehingga menangis, itu tandanya Allah menerima doa dan taubatnya. Mata yang menangis kerana takutkan Allah akan terselamat daripada api neraka.

S: Mohon penjelasan berkaitan duduk tahiyyat akhir. Saya berbadan besar dan sukar untuk duduk tahiyyat akhir, jadi saya duduk tahiyyat awal.
J: Harus, duduk tawarruk itu sunat sahaja.

S: Orang yang bergerak-gerak dalam solat , apakah hukumnya?
J: Nabi SAW bersabda, "Jika hatinya kusyuk, tentulah anggota badannya tidak liar". Mengikut hukum mazhab Syafie, jika anggota besar seperti kaki, tangan bergerak lebih daripada 3 kali, boleh membatalkan solat. Tetapi jika anggota kecil, seperti jari, dibolehkan. Jika hati kusyuk ketika solat, badan takkan terasa gatal atau sebagainya. Pernah diceritkan kisah seorang sahabat yang mengawal ketika berlaku peperangan, beliau solat sehinggakan tidak sedar ada harimau datang kepadanya.

S: Semenjak mencabut gigi hadapan, saya menjadi semakin sukar untuk membaca Al-Quran dengan sempurna, sehingga saya segan untuk menjadi imam. Mohon pandangan ustaz.
J: Solat tetap sah. Kaau sudah begitu, eloklah beri laluan kepada orang lain yang lebih bagus bacaannya untuk menjadi imam agar tidak menjadi fitnah kepada diri sendiri.

S: Bolehkan bacaan solat dibaca dalam hati sahaja?
J: Tak boleh dan solat jadi tak sah. Surah Fatihah wajib dibaca agar telinga kita dapat mendengar, tapi tak perlu kuat-kuat.

S: Kita belajar solat ketika kecil (7tahun), dan tidak pernah menambah ilmu solat tersebut setelah meningkat dewasa. Apa pandangan ustaz?
J: Betullah, itu berlaku dalam masyarakat kita. Perhatikan jika sesebuah bangunan yang hebat sekalipun perlukan baik-pulih, apatah lagi kita sebagai manusia. Setiap hari kita berdepan dengan berbagai gangguan, maka amat penting untuk kita buat rujukan balik dan menambah ilmu untuk memperbaiki kualiti solat. Rujuklah kitab yang baik seperti 'Minyatull musolli'. Carilah ilmu tentang solat, kerana solat masih diambil secara sambil lewa oleh majoriti masyarakat hari ini. Solat yang tidak mendekatkan diri kita kepada Allah (manjauhi fasyak dan mungkat) menunjukkan kemungkinan solat itu tidak diterima. Jadi amat perlu untuk belajar balik.

Nota: Sumber rujukan (pautan) yang diberikan bukan daripada Ustaz Zahazan, tetapi yang saya jumpa dalam carian di 'Google' untuk meringkaskan nota ini. Harap maklum.



Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab