Reset Minda Pengguna Jalan Raya – Islam Itu Indah 25.04.2012


Prof. Dr. Muhaya Muhamad


Saya terpanggil untuk bincang isu ini kerana semalam, ketika dalam perjalanan pulang, saya ternampak seorang pegawai polis trafik bertugas di tengah-tengah jalan raya ketika hujan renyai-renyai. Bajunya basah kerana hujan. MasyaAllah tersentuh hati saya bila mengenangkan yang saya ketika itu selesa menaiki kereta, sedangkan pegawai polis ini berpanas, berhujan untuk memudahkan laluan kepada orang ramai yang ingin pulang bertemu keluarga. Kita pun tak tahu sama ada dia sihat atau tidak, hauskah, atau laparkah dia? Demi kelancaran perjalanan orang ramai, dia sanggup berkorban berdiri di tengah-tengah jalan raya. Berapa ramai daripada kita yang pernah mengucapkan terima kasih kepada mereka? Saya pernah bertanya kepada seorang ASP polis: “Adakah dikira rasuah jika kita beri mereka air?”. Jawabnya tidak dan boleh diberikan. Tetapi sukar juga untuk dilakukan kerana jika kita berhenti mungkin akan menyebabkan kesesakan lalu-lintas pula. Jadi saya seru agar kita, apabila melihat polis, atau pekerja pembinaan di jalan raya, janganlah mencemuh mereka sebagai penyebab yang melambatkan perjalanan kita. Mereka cuma menjalankan tanggungjawab untuk kepentingan umum. 

Setiap perkara yang ingin kita buat, tanya diri dulu, adakah ianya untuk kepertingan peribadi atau kepentingan orang lain. Orang beriman akan sentiasa muhasabah dan memerhati diri sendiri. Roh kita akan memerhati apa yang kita fikir, rasa dan lakukan. Jika di jalan raya, kita seorang yang pentingkan diri sendiri dan tidak bersopan, itulah diri kita yang sebenar. Kenapa? Kerana ketika berada di dalam kereta, orang lain tak nampak kita, dan kita tak perlu berpura-pura. Andainya kita berkereta besar, dan marah jika ada kereta kecil potong kita, itu maknanya kita sombong. Sebaliknya pula jika kita berkereta kecil, marah pada kereta besar yang potong kita, itu maknanya kita mempunyai perasaan dengki. Orang kita cukup 'kedekut' untuk beri laluan kepada kereta lain. Apa yang kita buat itulah yang kita dapat. Jika kita susah untuk beri kereta lain lalu dulu, kereta lain pun akan susah untuk beri kita lalu dulu. Jadi marilah saling memberi ketenangan kepada sesama pengguna jalan raya.

Kemudian, bila ternampak kemalangan pula, biasanya kita akan mencemuh dan merungut kerana ianya melambatkan perjalanan kita. Itulah manusia yang kotor hatinya. Manusia yang positif mindanya akan melihat situasi ini sebagai peluang berbuat kebaikan. Oleh itu dia akan mendoakan keselamatan, kemudahan urusan untuk mereka yang terlibat dengan kemalangan tersebut. Begitu juga jika ternampak orang yang terpaksa berhenti kerana kereta mereka rosak di tepi jalan. Doakanlah kebaikan dan keselamatan untuk mereka. Orang yang mendoakan seseorang tanpa pengetahuannya, akan didoakan pula oleh malaikat.

Ada juga orang yang gemar 'potong queue'. Adakalanya jika terpaksa, angkatlah tangan sebagai menunjukkan rasa terima kasih kepada mereka yang memberi laluan. Jadi renungkan bagaimana perangai kita ketika di dalam kereta, apabila orang lain tak nampak atau kenal siapa kita. Selalunya ketika di dalam majlis, kita boleh mengawal diri untuk bersikap lemah-lembut, tetapi bila orang sudah tidak nampak kita, berubah langsung keperibadian kita.

Apabila kenderaan kita dipotong dengan cara yang tidak sopan, berusahalah untuk bersangka baik dengan pemandu tersebut. Mungin juga dia mempunyai kecemasan tertentu. Ataupun mungkin dia inginkan perhatian. Sepertimana mereka yang 'over' ubahsuai kereta biasa dengan sistem bunyi melampau, atau ekzos yang besar, kebiasannya mereka ini ingin menunjuk-nunjuk dan mendapatkan perhatian. Perhatikan pula orang yang berkereta mewah, lagi mewah kereta tersebut, lagi senyap bunyi enjinnya. Sebaliknya, mereka yang 'tak ada apa-apa' yang sibuk-sibuk ubah suai kereta untuk menjadi lain daripada yang lain. Sepatutnya wang itu disalurkan ke jalan yang lebih berfaedah seperti memperbaiki diri dan pengetahuan mereka. Inilah keeogaan namanya. Jadi janganlah terlalu pentingkan luaran sahaja. Orang lelaki biasanya leka dengan kereta dan wanita pula dengan beg tangannya dan sebagainya. Perhatikan diri kita, setiap kali kita buat benda pelik, kita sebenarnya mencari perhatian orang lain. Orang yang tenang akan memberi lebih perhatian, bukannya mencari perhatian. Semakin kita mencari perhatian, semakin kita inginkan perhargaan manusia dan akan semakin rendahlah imej diri kita. Kita sepatutnya hanya fokus kepada mencari perhargaan Allah dan redha-Nya.

Soalan & Jawapan:
S: Saya pernah mempunyai pengalaman kemalangan jalan raya dan ditinggal begitu saja. Apa pandangan Prof.?
J: Kita perlu ingat apa kita buat, itulah yang kita dapat. Jika tak kena pada kita, mungkin pada anak-cucu kita. Kepada yang menerima musibah pula, tanya diri apa yang boleh dipelajari daripada musibah tersebut. Ada tiga cara untuk hidup dengan tenang:
  • Pertama: Mengambil pengajaran setelah musibah berlaku.
  • Kedua: Mengambil pengajaran ketika musibah berlaku.
  • Ketiga: Mengambil pengajaran sebelum musibah berlaku, iaitu dengan berusaha mencegah musibah dengan memandang semua perkara sebagai kebaikan.

S: Saya seorang ibu tunggal. Bagaimana untuk mendidik anak yang ditinggalkan jauh di Indonesia?
J: Saya nak memperkalkan istilah baru – 'Ibu Berdikari' sebagai ganti ibu tunggal. Kita tak pernah tunggal kerana kita sentiasa ada Allah. Bila kita sebut ibu berdikari, imej diri akan jadi lebih positif. Allah takkan uji kita dengan sesuatu yang kita tak mampu. Jika kita cakap kita tak boleh, imej diri akan terus jadi lemah. Kita perlu berusaha untuk mengambil pengajaran sebelum sesuatu musibah berlaku. Contohnya sebagai seorang isteri, berusaha agar tidak berlaku perceraian dalam keluarga. Tetapi jika kita seorang balu, kita sebenarnya menjaga anak yatim. Nabi SAW pernah bersabda bahawa sesiapa yang menjaga anak yatim akan berada dekat dengannya. Jadi mereka yang mendapat peluang ini sangat beruntung sebenarnya. Jadi ubah cara kita memandang sesuatu agar dapat melihat kebaikan dalam setiap perkara. Kita perlu fokus untuk cari redha Allah dan jangan perbesarkan masalah yang kita hadapi. Segala ujian yang diberikan, kita tukar kepada peluang mencari redha Allah. Jika kita marah apabila ditimpa masalah, kita ego sebenarnya. Tetapi jika kita ada sifat kehambabaan, kita akan lebih redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri. Ramai orang yang betul-betul 'sedar' setelah diuji berapa di kedudukan terendah dalam hidupnya. Jadi lebih baiklah kita diberi musibah sebagai punca mendapat hidayah daripada kita 'dilupakan' Allah.

S: Mohon pandangan Prof. untuk menghadapi pertelingkahan politik yang berpanjangan dan merugikan orang ramai.
J: Pada pandangan saya, keutamaan kita adalah menjadi hamba Allah yang baik dan menjadi khalifah yang baik tak kira apa sekalipun yang kita lakukan. Politik Islam mentadbir dunia dengan adil agar manusia mendapat haknya. Politik barat pula mengejar kuasa dan menjatuhkan orang lain. Politik pada dasarnya adalah ilmu mentadbir. Apabila seseorang itu bercakap, adakah tujuannya? Adakah untuk menunjukkan yang dirinya hebat atau untuk memberi faedah kepada orang ramai? Ada dua cara meninggikan bangunan kita – pertama: meruntuhkan bangunan orang lain supaya bangunan kita tetap tinggi, atau kedua: kita teruskan membina tanpa memperdulikan apa orang kata. Kejayaan sebenar bukanlah apabila kita lebih baik daripada orang lain, tetapi apabila diri kita hari ini lebih baik daripada diri kita yang semalam. Jadi sekiranya kita hari ini lebih teruk daripada semalam, kita sebenarnya telah gagal. Jadi, sesiapa pun yang terlibat dalam politik atau perkara lain, berhati-hati agar tidak menzalimi orang lain atau menyalah-gunakan kuasa yang diberi. Jika kita buat jahat, pasti kita akan dapat balasan yang setimpal. Kita hanya akan dapat apa yang kita beri. Contoh, jika berlaku sesuatu musibah, contohnya rumah dimasuki pencuri, cuba tanya diri, apa agaknya kesalahan yang telah dilakukan sehingga Allah 'izinkan' musibah berlaku ke atas kita. Mungkin juga kita sudah untung banyak dalam perniagaaan, namun tidak mahu keluar zakat. Zakat itu bukan hak kita, jadi Allah ambil harta tersebut secara 'paksa'. Kita jangan 'takut' nak bagi orang lain senang. Apalah gunanya duit yang banyak tetapi susah untuk keluarkan sedekah. Saya ingin menyeru supaya kita 'ringan tangan' untuk memberi sedekah terutamanya kepada golongan tukang cuci, pembantu rumah, orang yang angkat sampah daripada rumah kita dan lain-lain. Saya juga ingin sarankan alangkah baiknya jika kita dapat memperkanalkan 'Indeks Kemurahan Hati, Indeks Kasih Sayang, Indeks Memberi, Indeks Kasihankan Orang' sebagai rekod KPI di pejabat. Indeks ini mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi, dan jika kita dapat jadikan seluruh rakyat Malaysia mempunyai nilai-nilai sebegini, akan hilanglah masalah di kalangan masyarakat. Biasanya orang yang ingin buat lastik akan mengadu takut kepada saya. Saya akan katakan “Simpan takut hanya kepada Allah.” Orang yang takut adalah orang yang banyak dosa, yang banyak menzalimi orang lain. Jika kita menjaga hukum-hukun yang Allah tentukan, kenapa kita perlu rasa takut. Jadi kita semua perlu berhati-hati dan menjaga perlakuan kita. Sesiapa yang ingin bahagia esok mesti bersyukur pada hari ini. Walau apa sekalipun yang kita lakukan, tak kiralah sebagai ahli politik atau tidak, kita mesti ingat yang kita pasti akan melutut suatu hari nanti di hadapan Allah SWT, sepertimana yang disebut dalam surah As-Sajadah, ayat 15 yang bermaksud: “Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.”

S: Bagaimana dengan sikap ramai ibu bapa membenarkan anak-anak memandu kenderaan sebelum mendapat lesen?
J: Ibu bapa jika betul-betul sayangkan anak, berilah mereka pendidikan tentang nilai. Apa yang diberi secara fizikal tidak sehebat kesan dengan apa yang diberi dalam jiwa mereka. Remaja sekarang ramai yang tidak lagi berbudi-bahasa, menggunakan bahasa-bahasa yang kasar dan tidak tahu menghormati orang yang lebih tua. Tiada guna kita menjaga solat dan ibadah khusus sekiranya kita tidak berakhlak. Nabi Muhammad SAW amat disanjungi kerana akhlaknya yang mulia. Yang dikatakan akhlak termasuklah memek muka, bahasa badan, bahasa yang digunakan dan sebagainya. Mereka yang bahagiakan diri sendiri sahaja takkan bahagia sebenarnya.

S: Bagaimana pula dengan sikap sesetengah ibu bapa yang bawa anak kecil mereka bawa motosikal, tetapi tidak menitik-beratkan soal keselamatan seperti pemakaian topi keledar kepada anak mereka?
J: Saya pun tak tahu buat macam mana kerana selalunya mereka yang menggunakan motorsikal ini kurang mampu sebenarnya. Anak kecil biasanya tak ada topi keledar yang sesuai dan risiko kemalangan penunggang motosikal memang lebih tinggi. Oleh itu, bila kita nampak mereka, kasihanilah mereka dan berilah mereka laluan. Penunggang motosikal elok juga mulakan perjalanan dengan bacaan ayat kursi dan doa naik kenderaan. Marilah kita doakan mereka agar mereka dapat berubah dan reset minda agar dapat perbaiki taraf hidup mereka. Kita yang kaya ini pula janganlah berbelanja berlebihan sangat. Lebih baik memanfaatkan duit yang ada untuk membantu orang lain yang lebih memerlukan. Ada satu kisah yang berlaku di luar negara, seorang kaya memandu Lamborgininya dengan begitu laju. Tiba-tiba ada satu batu dibaling mengenai keretanya. Dia pun berhenti dan ternampak seorang anak kecil di situ. Dia pun terus memarahi anak kecil tersebut. Anak kecil lalu berkata, “Maaf Tuan, saya sedang tolak adik saya menggunakan kerusi roda. Tapi dia terjatuh dan saya tak larat nak angkat seorang. Saya dah penat menahan kereta tapi tiada seorang pun yang berhenti. Jadi saya terpaksa baling batu agar Tuan berhenti.” Mendengar itu, lelaki itu terkedu dan menangis mengenangkan dirinya yang cuma mementingkan diri sendiri selama ini. Dia pun menolong anak kecil itu dan memberi wang kepada mereka. Keretanya yang kemek sengaja tidak dibaiki untuk menjadi pengajaran kepada dirinya. Oleh itu, saya ingin menyeru agar kita jangan memikirkan kehendak kita sahaja, perhatikan juga orang-orang di sekeliling kita dan bantulah mana yang kita mampu.

S: Saya jaga anak sakit mata, dan sekarang mata saya pun sakit juga. Doktor dah bagi ubat tapi mata saya nampak kabur. Mohon penjelasan Prof.
J: Antara ibu dan anak yang sakit, siapa akan baik dulu? Anak akan baik dahulu. Kenapa? Kerana anak tiada rasa risau dan bimbang, dan yakin pada Allah. Tabiat kita terutamanya wanita memang suka risau. Contohnya bangun pagi-pagi sudah risau fikir nak masak apa hari ini. Penyakit mata ada 2 jenis – disebabkan bakteria atau virus. Jika disebabkan bakteria, akan banyak tahi mata dan baik selepas 3-4 hari. Ia takkan mengenai kornea jadi pandangan takkan terganggu. Jika disebabkan virus pula, tak ada tahi mata tetapi berair dan gatal. Oleh itu selagi pandangan tak terganggu tak perlu jumpa pakar. Jika sebaliknya perlu jumpa pakar untuk pemeriksaan lanjut.

S: Mohon pencerahan tentang bagaimana untuk menjadikan sikap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan sebagai 'kebun pahala' kita?
J: Contohnya: jika kita nampak orang kasar di jalanan, kita jangan jadi reaktif kerana itu sifat kehaiwanan. Sebaliknya, jika orang nak potong kita, bila kita beri laluan, kita dapat pahala. Jika nampak kemalangan pula, bila kita doakan mereka yang terlibat, kita pun dapat pahala. Bila nampak polis yang bertugas, kita berterima kasih pada mereka dan tidak mencemuh. Ini juga pahala. Kita jangan biarkan suasana menentukan emosi kita, sebaliknya kita yang mengawal emosi dan suasana sekeliling kita. Dalam kereta pula, perhatikan muzik apa yang kita dengar? Saluran radio mana yang kita pilih? Pilihan hari ini menentukan di mana kita berada 20 tahun nanti. Macam saya dulu, saya sangat sukakan ilmu dan banyak mendengar CD-CD agama dalam kereta. Kerana saya buat perubahan itulah saya berada di sini hari ini. Kita perlu membuat pilihan yang baik agar hasilnya baik. Masalah rugi masa kerana terperangkap dalam kesesakan juga boleh diatasi dengan memasang CD agama atau motivasi di dalam kereta. Begitu juga jika anda ingin berjalan jauh, sedikan bahan mendengar/membaca yang baik agar tidak berlaku pembaziran waktu. Saya sediakan banyak bahan dalam iPod untuk didengari dan tidak pernah rasa rugi jika perlu beratur lama atau menunggu kerana telinga saya 'diisi' dengan ilmu-ilmu bermanfaat.

S: Mengapa pengguna jalan raya di luar negara lebih beretika berbanding kita?
J: Kita perlu ingat yang syaitan telah berjanji akan mengganggu kita. Jadi kita jangan mengutuk diri sendiri dan cuba mempelajari teladan yang baik daripada orang luar negara. Mari kita sibukkan diri untuk memperbaiki diri dan akhlak kita.

S: Saya pemandu teksi dan biasanya 'dipotong' oleh kenderaan lain. Jadi bagaimana nak pujuk hati supaya tak cepat marah?
J: Saya rasa seronok kerjaya sebagai pemandu teksi kerana boleh berhenti di masjid yang berbeza-beza untuk solat berjemaah. Pemandu teksi juga jumpa ramai orang, jadi bolehlah bertukar-tukar pengalaman dan ilmu. Sebagai perkongsian, sepupu saya juga seorang pemandu teksi dan dia menceritakan bahawa semenjak dia menunaikan solat sunat Dhuha, rezekinya semakin melimpah-ruah. Jadi saya ingin menyeru agar semua pemandu teksi agar jangan tinggal solat lima waktu dan usahakan agar dapat solat berjemaah. Cuba juga buat solat sunat Dhuha kerana itu merupakan sunat muakkad yang Nabi SAW sendiri tidak pernah tinggal. Apabila 'dipotong' kenderaan lain, doakan dalam hati agar Allah ganti dengan permudahkan rezeki, diberi keselamatan dan berbagai kebaikan lain berkat bersabar atas kekasaran pengguna jalan raya yang lain.

Kesimpulan:
Sama-sama kita berdoa dan mesyukuri kemudahan jalan raya yang kita miliki berbanding pada suatu masa dahulu. Bagi yang memandu laju sangat itu, nak kejar apa sebenarnya? Adakah untuk bekerja dengan lebih efektif? Kebanyakan yang saya perhatikan, bila dah pecut laju dan sampai tempat kerja, mereka pergi melepak dan merokok terlebih dahulu. Ini bukanlah satu sesuatu yang bermanfaat pun. Saya juga galakkan agar ibu bapa memupuk minat membaca di kalangan anak-anak sedari mereka kecil. Jika kita cuma baca suratkhabar, kita hanya akan tahu perihal orang. Tetapi bila kita membaca buku-buku yang baik, InsyaAllah ianya boleh membantu membina peribadi kita di dunia dan di akhirat. Bagi setiap perbuatan yang kita lakukan, tanya balik diri adakah ianya bertujuan mencari redha Allah atau sebaliknya.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab