Indahnya Syariat Zakat (3) – Tanyalah Ustaz 06.05.2012


Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman

Bacaan surah Ma’un, ayat 1-7:
‪[1]
Tahukah engkau akan orang yang mendustakan ugama (meliputi hari pembalasan)?

[2]
Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim,

[3]
Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.

[4]
(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang -

[5]
(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;
[6]
(Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya),

[7]
Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).‬

Allah bukan saja beri kita sesuatu yang boleh menjana kehidupan di dunia, bahkan Allah juga menurunkan syariat-syariat untuk menunjukkan kita cara-cara untuk membelanjakan harta ke jalan yang Allah redhai. Allah janjikan gandaan rezeki kepada orang yang membelanjakan harta kepada jalan Allah. Setiap kebaikan ynag kita lakukan akan kembali kepada kita juga. Allah Maha Kaya dan tidak memerlukan apa-apa daripada kita.


Nabi SAW sangat galakkan kita supaya sayang kepada orang miskin. Ketika Nabi SAW duduk bersama isteri-isterinya, Aisyah bertanya: “Siapakah di antara kami yang paling cepat bersamamu di hari akhirat nanti? Nabi menjawab “Siapa yang paling panjang tangannya di kalangan kamu.” Lalu bagunlah isteri-isteri Nabi SAW dan mendepakan tangan masing-masing untuk diukur. Lalu Nabi SAW pun tersenyum dan berkata, “Bukan ini yang aku maksudkan, tetapi yang aku maksudkan siapa yang panjang tangannya untuk sampai kepada orang miskin”.

Daripada surah Al-Ma’un tadi ada disebut tentang orang yang menghalang bantuan kepada orang miskin. Janganlah kita termasuk dalam golongon ini dengan menghalang pembayaran zakat daripada sebahagian harta kita yang sebenarnya hak mereka.

Soalan & Jawapan:
S: Saya buat pinjaman untuk pelaburan ASB. Bagaimana perkiraan zakatnya?
J: Untuk sebarang bentuk pinjaman yang digunakan untuk pelaburan dan pinjaman perlu dibayar ansuran setiap bulan - jika bayaran bulanan mengurangkan nisab zakat, maka tidak perlu zakat. Jika sebaliknya, baru kena kira zakat. Dalam keputusan awal yang diambil mengatakan tak perlu bayar zakat sebelum wang ASB itu matang. Namun, perbincangan baru menunjukkan bahawa tujuan asal pinjaman adalah untuk mengembangkan harta dan ianya bukanlah satu keperluan mendesak, jadi jika cukup nisab dan haul, wajib dizakatkan. Biasanya pinjaman untuk melabur ASB datang daripada bank konvensional dan mengandungi unsur riba. Membuat pinjaman yang mengandung riba seolah-olah kita berperang dengan Allah dan Rasul-Nya. Jadi saya nasihatkan ikhlas dari hati supaya berhati-hati dan perbaiki jika telah melakukan kesilapan.

S: Saya ada barang kemas, dan digadai. Jadi perlukah dizakatkan?
J: Ada 2 jenis orang gadai emas: Mengikut pandangan Sheikh Muhammad Salleh dalam fatwa berkaitan zakat: Sesiapa yang gadai, dan emas berada sepanjang tahun sehingga berlalu haul pada pemajak, dia tetap kena bayar zakat, kerana dia pemilik sempurna. Ada orang menggadai emas untuk menjana modal kewangan dan ada orang menggadai kerana sudah tidak memiliki apa-apa. Jadi melihat kecederungan ini, setakat ini pihak zakat mengambil keputusan bahawa emas yang digadai tidak dimiliki secara sempurna oleh pemiliknya, jadi tidak perlu dizakat sehingga ditebus balik.

S: Adakah bayaran zakat secara potongan bulanan sah?
J: Zakat ada dua syarat: Niat dan bayaran. Untuk niat, ketika membenarkan pemotongan duit itu sudah pun dikira sebagai niat dan dianggap sempurna.

S: Adakah saham yang dimiliki dan belum dijual perlu dizakatkan dan bagaimana perkiraannya?
J: Bila kita beli saham, niatnya adalah untuk melabur, jadi ada nilai zakat perniagaan di situ. Ada orang jenis beli sekali dan tunggu saja setiap tahun laporan tahunan saham itu. Jadi tetap wajib zakat walaupun tidak dijual. Pengiraan perlu dibuat berdasarkan harga semasa ketika zakat ingin dikeluarkan.

S: Saya ada barang kemas yang cuma dipakai pada hari raya, perlukah dizakatkan?
J: Zakat wajib dibayar jika cukup ‘uruf walau dipakai setahun sekali.

S: Bolehkah menggunakan wang dividen KWSP untuk membayar zakat kerana ada yang mengatakan hasilnya daripada sumber yang syubhah?
J:  Saya nasihatkan lihat website Dr. Zaharuddin tentang penjelasan kedudukan KWSP. Sebenarnya apa sahaja yang dilakukan oleh KWSP bukan tanggungan kita, kerana kita diwajibkan mencarum, dan ia bukannya satu pilihan. Jadi zakat KWSP akan dikira sepenuhnya pada waktu ia dikeluarkan.

S: Bolehkan bayar zakat pada isteri?
J: Isteri merupakan ahli nafkah, tidak boleh terima zakat daripada suami.

S: Ada yang kata jika barang kemas selalu dipakai tidak perlu dizakat walaupun melebihi nisab?
J: Zakat emas perlu dibayar jika melebihi keperluan (150g). Tujuan zakat dibayar adalah untuk mengelakkan orang miskin yang melihat emas yang berlebihan berasa hasad kepada si pemakai.

S: Sahabat menerima harta peninggalan banyak dalam bentuk hartanah. Dia was-was sama ada harta itu datang daripada sumber halal atau tidak. Jadi, perlukah dizakatkan?
J; Apabila menerima harta pusaka, kita tak perlu lihat sumbernya. Tak perlu dipersoalkan sumbernya dan jika ada dosanya tidak akan mengikuti pemilik baru. Tanah, rumah, jika tidak mendatangkan hasil, walaupun nilainya jutaan ringgit, tidak dikenakan zakat. Tetapi jika rumah atau tanah disewakan, zakat daripada hasil sewaan itu perlu dikeluarkan.

S: Bagaimana dengan orang yang suka menangguh-nagguhkan zakat? Benarkah orang yang tidak bayar zakat akan disempitkan rezeki?
J: Dalam satu hadis,  Nabi berkata bahawa takkan bergabung sifat kedekut dengan iman dalam hati seorang hamba buat selama-lamanya. Jadi orang yang betul-betul beriman, dia takkan kedekut. Allah SWT juga berfirman yang maksudnya orang yang bakhil dengan hartanya akan dibelenggu dengan harta tersebut di akhirat nanti. Allah juga menyuruh kita agar bersegera melakukan sesuatu amalan. Jadi orang yang menangguhkan zakat kerana lalai dan sengaja, dia dianggap leka. Jika dia mati, dia mati dalam keadaan mengingkari perintah Allah SWT. Bak kata Imam Yusuf Al-Qardawi: ‘Hidup bukan milik kita, tapi milik Allah SWT. Maka tunaikanlah perintah Allah seolah-olah kita tidak boleh buat lagi pada esok hari’.  Jangan ada rasa kedekut. Harta itu bukan milik kita, dan jangan halang hak orang. Menghalang pembayaran zakat akan memusnahkan (menyempitkan) hartanya sendiri. Penyelesaian masalah orang lain seperti orang yang susah, orang berhutang dan sebagainya berada dalam tangan kita. Banyak lagi ancaman yang Allah beri kepada orang yang simpan harta tanpa membelanjakan pada jalan Allah. Harta tersebut akan datang di akhirat dalam bentuk ular yang besar. Jadi mari kita benarkan janji Allah kerana Allah berjanji barang siapa yang memberi dan bertaqwa, dan dia membenarkan kebaikan Allah yang dia dapat, akan dipermudahkan jalan untuknya ke syurga. Barangsiapa yang bakhil dengan hartanya dan sentiasa membangga diri dengannya, dan dia mendustakan kebaikan yang Allah beri, maka akan dipermudahkan jalannya untuk ke neraka. Jadi gunakanlah harta yang Allah beri untuk kemudahan di akhirat, bukannya kecelakaan di akhirat. Jangan kita tangguhkan hak orang lain, kerana Allah juga boleh tangguh hak kita pula.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab