Kusyuk Dalam Solat – Mukmin Profesional 23.04.2012


Ustaz Pahrol Mohd Juoi


Mukaddimah:
Alhamdulillah kita dipertemukan dan diizinkan berada dalam kebaikan menimba ilmu. Ini adalah hidayah yang sungguh berharga dan tandanya kita sudah ada niat untuk jadi baik. Biarpun baru niat, ianya adalah sesuatu yang mahal di akhir zaman ini, biarpun kita belum jadi baik lagi. Ahli-ahli sufi pernah berkata, “Sekiranya hati kita terdetik untuk buat baik, itu sebenarnya ‘ketukan’ atau 'jemputan' hidayah daripada Allah.” Mudah-mudahan ‘jemputan’Allah ini kita dapat penuhi agar mendapat kebaikan di dunia hingga ke akhirat.

Minggu lepas telah kita bincangkan falsafah dan segala yang tersirat di sebalik solat. Selepas iman, solat merupakan ibadah yang kedua terpenting dan juga dianggap sebagai kepala segala ibadah. Solat merupakan ibadah pertama yang akan dihisab di hari akhirat nanti. Solat merupakan ibadah yang difardhukan terus kepada Nabi Muhammad SAW, tanpa melalui perantaraan Jibril seperti ibadah-ibadah lain. Jadi kita perlu bertanya mengapakah solat diistimewakan sebegitu rupa. Jika nak dibandingkan dari segi masa dan perbelanjaan, solat sangat mudah sebenarnya. Waktu yang diambil untuk solat sangat sekejap, tidak seperti puasa yang berjam-jam lamanya. Perbelanjaan untuk solat juga sangat kecil jika dibandingkan dengan haji dan zakat. Jadi mengapa solat yang menjadi ibadah terpenting? Kerana solat melibatkan soal hati dan hati merupakan raja kepada manusia. Ketika berpuasa manusia menahan lapar dan ketika membayar zakat, manusia memberi hartanya. Tetapi hanya ketika solat, manusia memberi hatinya. Allah berfirman dalam surah Taha, ayat 14 yang bermaksud “Dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.” Jadi semasa solat hati mesti diserahkan sepenuhnya untuk mengingati Allah. Hati jika telah diserahkan kepada seseorang, bermakna orang itu telah jadi pemiliknya. Jadi sepertimana kita menyerahkan hati ketika solat untuk Allah, begitu jugalah segala perlakuan kita, masa yang kita ada, semuanya perlu diperuntukkan semata-mata kerana Allah.

Tajuk yang akan dibincangkan petang ini ialah kaedah mencapai kusyuk dalam solat. Sebenarnya saya malu untuk bercakap tajuk ini kerana diri sendiri masih bertatih untuk mendapatkan kusyuk dalam solat. Jadi saya harap kita semua dapat sama-sama belajar dan menjadikan kusyuk sebagai agenda terpenting dalam kehidupan kita kerana kejayaaan kita di dunia dan akhirat bergantung kepada tahap kusyuk kita di dalam solat. Semua orang maklum kusyuk itu sukar diperolehi, tapi kita kena ingat yang kusyuk bukanlah sesuatu yang mustahil atau hak eksklusif kepada para Nabi, sahabat atau ulama besar sahaja. Kusyuk juga merupakan satu perjuangan orang awam seperti kita. Kegagalan mendapatkan kusyuk boleh menyebabkan kita gagal di dunia dan akhirat.

Kita akan membincangkan enam langkah untuk mendapat kusyuk di dalam solat seperti yang diajarkan oleh Imam Ghazali. Fokus kita bukanlah semata-mata kepada kesan (effect) tetapi lebih kepada usaha (effort), kerana Allah menilai usaha kita. Definasi kusyuk daripada segi bahasa ialah tunduk, akur, patuh. Ini bermakna kita tunduk dari segi hati, perasaan, fikiran dan seluruh pancaindera untuk mengingati Allah ketika solat. Kusyuk ini juga akan memberi impak di luar solat. Inilah erti kusyuk secara holistiknya. Jadi kusyuk ini membicarakan soal hati sebenarnya, dan ia adalah sesuatu yang wajib dicari. Lawan kusyuk ialah lalai, dan sebab itulah ada Allah berfirman bahawa neraka “Wail” adalah untuk orang yang lalai dalam solatnya. Jadi kita perlu berhati-hati dalam soal ini. Sebab itu kita kena terus belajar dan kerana kita sedang belajar, moga-moga Allah maafkan kekurangan dan kesalahan kita.

Enam langkah untuk mencapai kusyuk adalah seperti berikut:
  1. Mencari pengertian (faham)
  2. Pemusatan pemikiran (fokus)
  3. Membesarkan Allah (haibah)
  4. Kagum dan takut pada Allah
  5. Harap pada Allah
  6. Merasa malu dan hina pada Allah

Mencari pengertian (faham)
Kita cuba memahami bacaan dalam solat secara keseluruhan ('summary') atau lebih baik lagi secara terperinci ‘word by word’. Ramai dalam masyarakat kita yang tidak memahami bacaan-bacaan dalam solat sedangkan solat sepatutnya menjadi perkara terpenting dalam hidup kita. Jangan kita jadi seperti burung kakak tua yang tahu mengucapkan, tetapi tidak memahami. Seorang ulama bernama Hakim mengatakan, “Kalau kamu nak dengar Allah bercakap dengan kamu, bacalah Al-Quran. Dan sebaliknya jika kamu ingin berbicara dengan Allah, dirikanlah solat.” Jadi solat sebenarnya peluang untuk kita mengadu dan bermanja-manja dengan Allah. Tetapi malanglah apabila kita tak memahami apa yang kita ucapkan. Termasuk dalam memahami solat ialah keperluan memahami rukun fi’li yang dilakukan. Contohnya, mengapa kita sujud? Sujud itu sebagai lambang kehambaan kita kerana kita meletakkan kepala kita yang mulia di bawah. Berdiri tegak ketika takbir pula menggambarkan lambang kepatuhan dan keakuran kita kepada Allah. Rukuk pula simbolik kita menghinakan diri juga, kerana ketika itu, kita menyamakan aras mulut, kepala, perut dengan dubur kita. Yang tinggi hanyalah Allah Ta’ala.

Pemusatan pemikiran (fokus)
Jika sekadar memahami tetapi tidak fokus tidak boleh jadi juga. Ia seumpama orang yang mengigau yang tidak sedar apa yang dilakukannya. Apabila kita fokus, tidak bermakna pula kita akan lupakan terus yang lain. Kita cuma mengutamakan pemikiran kepada bacaan dan perlakuaan dalam solat. Sebagai perbandingan, katakan kita ingin memandu ke Ipoh. Di sepanjang perjalanan kita akan lalu dan nampak banyak tempat lain dulu. Kita mungkin juga berhenti rehat dan makan. Namun apabila sampai ke Ipoh kita akan berhenti. Orang yang lalai pula, akan terus-menerus memandu dan sedar-sedar sudah terlepas dan sampai ke Pulau Pinang.

Ada satu lagi cerita untuk memudahkan pemahaman berkaitan fokus. Ada 4 orang Profesor masuk ke dalam restoran. Sambil membelek menu dan bercakap-cakap, masing-masing memesan makanan. Setelah siap, jika tanya Profesor 1 apa yang Profesor 4 pesan, mungkin dia tak boleh jawab. Tetapi jika ditanya kepada pelayan yang mungkin sekadar lulusan SPM sahaja, dia pasti boleh jawab. Kenapa? Kerana dia memberi fokus untuk mengambil pesanan makanan & minuman tadi. Begitulah juga dalam solat. Walaupun kita begitu bijak dan memahami bacaan dan rukun solat, tanpa fokus, kita akan lalai dalam solat. Di Malaysia beruntungnya kita mendapat ramai ulama yang sudi menyampaikan ilmu kepada kita. Kita sangat terhutang budi kepada mereka. Para ulama telah memberikan beberapa panduan untuk fokus dalam solat. Pertama – fokus tumpuan pada tempat sujud. Kedua- fokus dada kearah kiblat dan ketiga – fokuskan hati pada bacaan. Perbincangan ini hanyalah sebagai ulang-kaji ringkas, jadi teruskan pengajian di tempat-tempat kerana Alhamdulillah banyak masjid yang mengadakan kelas bimbingan kusyuk solat hari ini.

Membesarkan Allah (haibah)
Setelah memahami makna dan fokus ketika solat, secara automatik akan datang perasaan haibah kepada Allah. Setelah kita rasa Allah itu besar, barulah sebutan ‘Allahu Akbar’ itu datang daripada hati. Sepertimana juga rasa sayang antara suami isteri, kena ada rasa sayang dulu, baru boleh diucapkan 'I love you'. Inilah yang dikatakan, ‘Apabila kita mengingati Allah, akan gementarlah hati kita.’ Gementar itu kerana terasa yang Allah itu besar, dan Allah itu hebat. Rasa gementar bukannya cuma rasa ketika solat itu. Kita perlu buat ‘home work’ dengan mempelajari ilmu tauhid, Asma'ul Husna dan mengenal sifat Allah. Tanpa ilmu ini sukar untuk kita menghayati dan menghadirkan perasaan membesarkan Allah ketika ingin solat. Tahap ilmu seseorang akan menentukan rasa kehambaannya kepada Allah. Secara analoginya, apabila bertemu dengan seorang raja yang kita tahu memiliki kerajaan yang luas dan kaya-raya, kita pastinya akan menjadi lebih segan-silu dan berhati-hati. Tetapi jika kita tidak kenal raja itu, kita akan bercakap dengan nada biasa saja dengannya. Seperti peribahasa hanya jauhari yang mengenal manikam, begitulah juga hanya orang yang mengenal Allah akan mengetahui 'nilainya' dan akan membesarkan Allah. Bagi orang yang tak mengenal Allah, solat jadi sekadar rutin harian yang kosong dan tak bermakna. Oleh sebab itu, mengenal Allah adalah amat penting, bak kata pepatah, ‘Awal agama ialah mengenal Allah.’ Hatta sebelum anak berumur 7 tahun dan diajar solat, dia perlu dididik mengenal Allah SWT terlebih dahulu. Tahap ilmu inilah yang akan menentukan tahap dia membesarkan Allah SWT.

Kagum dan takut pada Allah
Setelah rasa membesarkan Allah ada, akan wujud perasaan takut kepada Allah SWT. Rasa takut kepada Allah tidak sama seperti rasa takut kepada harimau. Takut pada harimau, kita nak lari, tetapi takut pada Allah akan membuatkan kita ingin lebih dekat lagi dengan Allah. Untuk menimbulkan rasa takut, kita perlu terlebih dahulu mengenal sifat-sifat Allah dan menambah ilmu. Rasa takut ini diterjemahkan melalui kita berdiri tegak, kepala tunduk berteleku, rukuk, sujud dan juga perkataan-perkataan yang kita ucapkan. Contohnya bacaan “Rabbigfirli, warhamni..”, kita mohon pada Allah supaya kita diampunkan dan dikasihankan.

Cukup penjelasan setakat ini untuk memberi ruang kepada sesi soal-jawab dan perkongsian bersama pendengar.

Soalan & Jawapan:
S: Di masjid dan surau ada dibincangkan bagaimana kusyuknya Sayyidina Ali sehinggakan beliau tidak sedar panah yang melukainya ditarik keluar daripada betisnya. Saya pula apabila solat ada bermacam-macam perkara yang terlintas dalam fikiran. Jadi bagaimana untuk saya fokus dalam solat?
J: Kedua-dua masalah ini adalah masalah yang sama yang kita semua hadapi, termasuklah saya. Kita semua sedang berusaha bersama-sama sekarang. Jadi, saya kongsikan tip yang diperolehi daripada pembacaan atau pengalaman orang-orang solah. Antaranya ialah:
  • Paling utama perlu jaga makan-minum. Jika kita tidak jaga makan-minum, hati kita akan susah dijaga ketika solat. Kita dapat perhatikan yang hari ini ramai yang tidak ambil peduli soal halal-haram makan-minum mereka. Ada satu kisah daripada kitab 'Munayatul Musolli' – pada 40 atau 50 tahun yang lalu, ada seorang yang soleh, apabila keluar dari pondoknya, dia akan bawa timun dalam begnya. Kenapa? Kerana dia tidak mahu makan di restoran yang tidak pasti halal-haramnya dan timun itu adalah timun yang ditanamnya sendiri. Tetapi kita taklah suruh buat sampai begitu sekali hari ini, tetapi pertimbangkanlah sebelum makan bahawa makanan itu akan membentuk hati dan hati ini akan dibawa ke dalam solat. Jadi kita kena jaga makanan kita.
  • Kedua, kena jaga pandangan dan lidah kita. Ini sukar dilaksanakan tetapi kita mesti cuba. Pelihara mata daripada memandang yang haram, contohnya wanita yang membuka aurat. Barangsiapa yang menjaga pandangan mereka, Allah akan beri 'halawah' (kusyuk) dalam ibadatnya. Mata ada kaitannya dengan jiwa kita. Sebab itu Sayyidina Umar berkata, “Barangsiapa yang menjaga mata, akan diberi kepadanya kemantapan jiwa". Jadi, banyak perkara yang kita kena buat untuk solat sebenarnya. Solat bukan semata-mata pergerakan selama 5-7 minit itu sahaja, tetapi sebelum solat lagi kita sudah perlu bersedia. Kita juga perlu jaga lidah daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia atau mengumpat kerana ianya boleh mengeraskan hati dan akan menyukarkah ketika solat. Hubungan hati dan lidah sangat rapat, jika hati baik, lidah pun jadi baik dan begitulah jika sebaliknya.
  • Tip ketiga kita 'pause' dulu sebelum solat. Kita kena 'jarakkan' perbuatan solat dengan perbuatan lain, contohnya berzikir atau membaca Al-Quran dahulu. Sepertimana kita perlu memanaskan enjin kereta sebelum bergerak, kita juga perlu 'warm-up' sebelum solat untuk bertemu Allah. Jangan kita solat sejurus meninggalkan sesuatu kerja. Jika kita seorang akauntan, dibimbangi akan terbayang-bayang pula angka pengiraan kita di dalam solat nanti. Sebab itulah dalam Islam seelok-eloknya kita menanti waktu solat.
  • Tip keempat pula ialah cuba perlahankan atau tenangkan pergerakan solat kita. Jangan terlalu tergesa-gesa. Kalau boleh, jangan lepas letak kepala untuk sujud, terus baca bacaan sujud. Beri sedikit masa untuk menstabilkan kedudukan sujud dahulu, bila dah stabil barulah mulakan bacaan. Bila rukuk pun begitu juga. Tunggu setelah sempurna rukuk baru kita mulakan bacaan. Ini tidak, kita biasanya ketika masih dalam perjalanan untuk rukuk pun sudah memulakan bacaan. Inilah solat yang tergesa-gesa dan kelihatan seperti ayam patuk makanan. Tenangkan sedikit diri dan lakukan perlahan-lahan. Sempurnakan pergerakan dahulu, baru mulakan bacaan.
  • Tip kelima cuba hadkan pergerakan fizikal kerana jika hati itu kusyuk, fizikalnya tidak akan banyak bergerak-gerak. Memanglah tidak sampai membatalkan solat jika kita bergerak-gerak yang minima, tetapi kita hendak kejar solat yang kusyuk, bukan solat yang sah semata-mata. Solat yang kusyuk mesti sah, tetapi solat yang sah belum tentu kusyuk.
  • Tip keenam pula ialah sempurnakanlah wudhuk dengan penuh penghayatan. Baca surah An-Nas, bacaan ta'awuz untuk menghindarkan gangguan syaitan. Inilah hanyalah kaedah-kaedah yang boleh diusahakan, tetapi bukanlah jaminan untuk mendapat kusyuk.

Berkenaan perihal Sayyidina Ali yang tidak sedar panah dicabut dari betisnya: Ini merupakan hal di mana roh itu sudah menguasai jasadnya. Jadi jasadnya tidak merasa apa-apa lagi ketika itu. Kita hari ini lain pula ceritanya. Kita mungkin takkan sedar jika nyamuk menggigit sekiranya sedang asyik menonton wayang. Itulah hakikatnya kita kusyuk dalam perkara lara', manakala sahabat pula kusyuk dalam solat.

S: Bila solat, saya cuba untuk fokus tapi tersasul juga dan kadang-kadang tertinggal doa qunut atau tersilap bilangan rakaat solat. Bagaimana untuk mengatasinya?
J: Solat ini ada markahnya. Markah diberi sesuai dengan ingatan orang yang solat kepada Allah atau kualiti solat itu. Oleh kerana hati itu berbolak-balik sifatnya, kita kadang-kadang mudah lupa atau hilang fokus. 

S: Adakah suasana sunyi diperlukan untuk mendatangkan kusyuk, kerana saya rasa lebih mudah kusyuk ketika solat tahajjud di malam hari berbanding solat fardhu di siang hari.
J: Kusyuk ini soal hati. Saya teringat satu pepetah – 'What happen in you is more important than what happen to you.' Oleh kerana itu, kita tak bolehlah nak bergantung pada suasana yang sunyi untuk menghadirkan rasa kusyuk. Tambahan pula sebagai orang lelaki, kita digalakkan untuk solat berjemaah dengan orang ramai. Kita juga perlu ingat bahawa solat fardhu itu lebih utama daripada solat sunat seperti solat tahajjud. Oleh itu mendapatkan kusyuk di dalam solat fardhu adalah lebih utama. Jadi, kita perlu cuba amalkan enam kaedah yang kita bincangkan tadi. Enam kaedah ini boleh bertindak sebagai perisai agar kita mudah 'memisahkan' diri daripada hikuk-pikuk di luar untuk kusyuk dalam solat. Sebagai metafora, sekiranya kita bawa kereta kecil, maaf terpaksa gunakan contoh kereta Kancil, jika terlanggar sedikit pun, sudah berlaku kerosakan. Tetapi jika kita bawa BMW, kita kurang terkesan dengan pelanggaran yang kecil-kecil. Begitulah juga dengan hati, jika hati kita masih rapuh, kita mudah terganggu dengan apa yang berlaku di luar, sebaliknya jika hati kita kuat, kita takkan mudah terpengaruh.

S: Mohon ustaz nasihatkan orang yang terburu-buru dalam solat?
J: Apa yang utama dalam hidup kita? Kita nak kejayaan, ketenangan, kebahagiaan kan? Bagi orang Islam, semua ini ada hanya pada Allah. Akrabnya seseorang itu dengan Allah akan memudahkan dia mendapat kejayaan, ketenangan dan kebahagiaan. Cara untuk akrab dengan Allah adalah melalui solat. Itulah hubungan paling rasmi dengan Allah SWT. Sekiranya kita gagal mengingati Allah ketika dalam solat, apatah lagi bila kita berada di luar solat. Solat itu sebenarnya latihan mengingati Allah, agar kita juga mengingati Allah di luar solat. Tetapi jika kita menganggap perkara lain lebih penting daripada solat, kita sebenarnya hanya mengejar fatamorgana. Di dalam suatu hadis yang panjang, diriwayatkan bahawa jika Allah telah mencintai seseorang, Allah akan beritahu Jibril dan perintahkan semua makhluk untuk mencintai orang itu. Jadi cinta Allah adalah sumber cinta semua makhluk. Tetapi jika kita putus hubungan dengan Allah, walaupun kita rasa kita ada harta dan kekayaan, hakikatnya kita takkan bahagia kerana kita tidak mempunyai cinta Allah. Allah lebih menyayangi kita berbanding ibu yang paling penyayang.

Kesimpulan:
Solat yang kusyuk bukanlah sesuatu yang 'personal'. Ianya merupakan kewajipan kepada seluruh ummah. Orang yang meninggalkan solat telah melakukan kemungkaran yang terbesar. Tidak kusyuk dalam solat pula merupakan masalah yang terbesar dala kehidupan kita. Masalah-masalah seperti masalah ekonomi, sosial dan banyak lagi, semuanya bertitik-tolak daripada sikap meninggalkan solat dan tidak kusyuk dalam solat. Jadi, 'first thing first' ialah menyelesaikan solat. Solat yang sebenar akan dapat mencegah perbuatan fasha' dan mungkar. Jadi solat bukan soal peribadi, tetapi soal ummah. Jadi kita mesti menjadikannya sebagai agenda ummah. Apabila kita menjadikan solat itu sebagai perkara yang pertama dan utama, InsyaAllah kita akan nampak kesan-berantai (chain-reaction) positif yang akan berlaku kepada seluruh sistem dalam kehidupan kita.



Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab