Kesilapan Dalam Solat (2) - Tanyalah Ustaz 15.05.2012

Ustaz Shauqi Othman

Bacaan surah Al-Ankabut, ayat 45 yang bermaksud:
Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Huraian ayat:
Ayat ini menceritakan perihal solat dan mengingati Allah. Allah tekankan bahawa orang yang betul-betul solat akan terpelihara daripada perbuatan fasha' dan mungkar. Tetapi mengapa ramai orang solat, namun masih buat maksiat pada Allah. Ulama membahaskan bahawa solat yang dapat memelihara manusia hanyalah solat yang Allah terima. Jadi solat tersebut perlulah solat yang didirikan dengan betul, berkualiti dan kusyuk. Jadi kita perlu memperbetulkan kesilapan yang kita lakukan dan menambah ilmu untuk memperbaiki kualiti solat.

Soalan & Jawapan:
S: Adakah dibolehkan membaca doa selepas tahiyyat akhir?
J: Bacaan yang wajib ketika tahiyyat akhir ialah sehingga bacaan selawat kepada Nabi Muhammad SAW. Bacaan-bacaan lain selepas itu merupakan sunat. Nabi SAW menyebut dalam satu hadih sahih agar kita tidak lupa membaca doa berikut untuk memohon perlidungan azab api neraka, azab kubur, fitnah semasa hidup dan mati dan juga fitnah dajjal.
"Allahumma 'auzubika min 'azaabi jahannam, wa 'auzubika min 'azaabil qabri, wa 'auzubika min fitnatil mahyaa wal mamaat, wa min syarri fitnatil masiihid dajjal". Golongan salafussoleh tidak meninggalkan doa ini dan mengajarkan kepada anak-anak mereka. Ada dikisahkan sekiranya anak mereka terlupa, anak itu akan diminta mengulanginya solatnya. Walaupun sunat hukumnya, mereka amat memberi perhatian terhadap apa yang Nabi SAW sebut. Namun harus diingat, doa hanya dalam bahasa Arab sahaja, jangan berdoa dalam Bahasa Melayu pula.

S: Adakah kita perlu berdiri rapat atau renggang agar lebih selesa dalam saf?
J: Sebenarnya merapat dan meluruskan saf merupakan perkara yang Nabi SAW dan sahabat amat tekankan. Anas pernah meriwayatkan bahawa mereka merapatkan saf sehingga tersentuh bahu dan kaki. Orang kita pula tak boleh bersentuh dan suka merenggangkan saf. Ini tidak betul sebenarnya. Aisyah r.a, juga ada berkata yang barangsiapa menutup saf-saf yang terputus, Allah akan mengangkat darjatnya. Jadi kita perlu beri perhatian dan menjaga saf kita kerana dijanjikan banyak kelebihan oleh Allah SWT.

S: Apakah tabiat suka mengutamakan memberi orang lain tempat di saf hadapan sesuatu yang baik?
J: Ini merupakan tabiat yang tidak baik. Ada satu hadis menyebut bahawa, "Andainya manusia mengetahui pahala yang diperolehi di saf hadapan, pasti mereka akan sanggup untuke mengundi demi mendapatkan tempat di saf hadapan." Oleh itu mari kita penuhkan saf hadapan.

S: Adakah makmum masbuk wajib rukuk bersama imam?
J: Jika makmum masbuk, sekiranya imam sudah membaca surah, makmum perlu baca Fatihah saja. Makmum masbuk perlu sekurang-kurangnya sempat rukuk bersama imam, baru dapat rakaat tersebut. Jika tidak sempat, perlu menambah rakaat yang tertinggal setelah imam beri salam.

S: Apakah hukum jika terpaksa melintas di hadapan orang sedang solat?
J: Sunat bagi orang yang solat untuk letak kain/penanda sebagai sutrah. Nabi melarang keras melalui satu hadis, "Sekiranya seseorang itu tahu dosa melintas di hadapan orang solat, dia pasti sanggup menunggu selama 40". Perawi hadis ini kurang pasti sama ada 40 hari atau tahun. Tetapi yang penting di sini ialah 40 itu suatu angka yang besar, jadi sebaiknya kita elakkan melintas orang yang sedang solat, dan cuba lalu dibelakangnya.

S: Apa yang perlu dilakukan jika ada anak kecil di tempat sujud?
J: Sebenarnya kita boleh melangkah ke sisi sedikit untuk sujud kerana itu satu keperluan.

S: Bolehkan orang lelaki solat dengan kain pelikat sahaja tanpa baju?
J: Dari segi batasan aurat, memang sah. Tetapi jika ingin berjumpa VIP, kita begitu menitik-beratkan soal pakaian , mengapa pula untuk 'bertemu' Allah SWT kita begitu selekeh? Nabi SAW sendiri mengajurkan orang lelaki berhias dan berwangi-wangian ketika ke masjid.

S: Bagaimana untuk menjadi makmum kepada orang yang sedang solat?
J: Solat jemaah 27 kali darjat lebih daripada solat seorang diri. Tidak jadi masalah jika imam itu sebenarnya sedang sunat atau solat fardhu. Bagaimana nak masuk? Duduk sebelahnya, dan takbir dengan agak kuat agar dia perasan. Jika duduk di belakang, takbir dahulu dan kemudian baru tepuk perlahan di belakang imam itu.

S: Bagaimana seorang yang kencing tak lawas dan berhadas ketika solat?
J: Orang yang kemcing tak lawas tidak dapat mengawalnya. Kaedah yang betul, setelah masuk waktu, bersihkan dahulu dan baru ambil wudhuk. Jika berhadas semasa solat, dia dimaafkan. Wudhuk yang sama boleh digunakan untuk buat perkara sunat seperti solat sunat dan baca Quran. Untuk solat fardhu waktu seterusnya pula, dia wajib memperbaharui wudhuknya.

S: Apakah hukum isteri yang keluar mencari ilmu Allah tanpa meminta izin dengan hanya meninggalkan nota.
J: Suami wajib memberi ilmu, jika dia tak mampu, dia wajib membenarkan isteri mencari ilmu di luar. Namun begitu, isteri sebaiknya perlu minta izin dahulu dan gunakanlah telefon untuk sms atau buat panggilan, tak perlulah guna nota.

S: Bagaimana jika kita tak faham makna bacaan dalam solat?
J: Dari segi hukum, solat tu sah. Tetapi setelah 10, 20 tahun solat, takkanlah kita tak boleh belajar tentang makna bacaan dalam solat kita? Cubalah mempelajarinya agar kita dapat lebih menghayati dan seterusnya mendapat kusyuk dalam solat.

S: Adakah solat hormat waktu?
J: Tiada sebenarnya sebab solat fardhu ada 5 saja. Tetapi ada pandangan ulama yang menyebut solat untuk menghormati waktu. Ini berlaku ketika kecemasan, semasa waktu solat sudah hampir luput, dan kita tidak dapat mensucikan diri daripada hadas. Jadi ketika itu kita solat fardhu juga, namun solat itu tidak sah kerana kita berhadas dan perlu diqada' setelah kita bersuci.

S: Bagaimana solat orang yang tahan kentut?
J: Makruh hukumnya, kerana boleh menghilangkan kusyuk. Nabi SAW melarang kita solat ketika menahan najis besar, najis kecil atau ketika mengantuk sangat. Begitu juga jika makanan telah dihidangkan, makruh juga hukumnya. Solat itu untuk menghadap Allah, jadi selesaikan urusan-urusan lain agar kita lebih tenang dan kusyuk.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab