Remaja Berilmu & Beramal (1)- Tanyalah Ustaz 30.05.2012

Ustaz Zamri Zainuldin


Bacaan surah Al-Alaq, ayat 1-5 yang bermaksud,
[1] Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),
[2] Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;
[3] Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah,
[4] Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan,
[5] Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Amatlah penting untuk mencari ilmu sebelum beramal. Tanpa ilmu, ada kemungkinan amalan yang dilakukan itu salah dan ditolak. Dalam satu hadis Nabi SAW ada disebut bahawa "Sesiapa yang melalui jalan-jalan ilmu, Allah akan permudahkan baginya jalan ke syurga." Jadi dengan ilmu, manusia akan dapat 'short cut ' ke syurga. Kenapa 'short cut'? Kerana ilmu akan memandu kita membuat pilihan yang betul dalam kehidupan. Kita membuat pilihanraya setiap detik dalam kehidupan, bukanlah 5 tahun sekali. Setiap detik kita perlu buat pilihan baik atau jahat, pahala atau dosa.

Semoga dengan ilmu, kita mendapat kecemerlangan dunia dan akhirat.Semoga kita semua memilih untuk mendekati ilmu dan berkawan dengan orang-orang yang berilmu. Semasa tentera Amerika masuk ke Iraq, tempat pertama yang diserang ialah perpustakaan. Banyak buku yang dicuri dan dibakar. Ini menunjukkan orang Barat lebih mencintai ilmu daripada kita.

Jangan malu untuk menuntut ilmu. Gunakan saluran-salran seperti youtube untuk melihat ceramah-ceramah ustaz termasuklah ceramah ustaz Zamri ;). Rajinlah juga membaca kerana itulah ayat pertama yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad SAW, sebelum difardhukan ibadat lain seperti solat dan sebagainya.

Senarai soalan & jawapan:
S: Apa pendapat ustaz tentang penggunaan 'perfume' beralkohol ketika solat?
J: Alkohol yang digunakan di dalam pewangi tidak sama seperti yang diperam dalam minuman arak. Jadi oleh sebab itu fatwa telah dikeluarkan yang menyatakan bahawa pewangi beralkohol boleh digunakan. Namun ada juga yang berpendapat bahawa alkohol itu najis. Ulama berselisih pendapat tentang ini. Jadi cara terbaik ialah ambil jalan tengah. Jika yakin dengan fatwa yang dikeluarkan bolehlah gunakan. Namun jikaragu-ragu, eloklah ditinggalkan. Gunakan minyak attar yang tidak kurang hebat wanginya hari ini.

S: Adakah rokok haram dan apakah sebabnya?
J: Boleh hisap rokok, tapi jangan cucuh api!;) Ustaz bergurau saja. Sebenarnya, mungkin ramai yang tidak jelas kerana rokok tidak pula disebut sebagai haram dalam Al-Quran. Sememangnya Al-Quran bukanlah sebuah ensiklopedia, jadi tidaklah disebut secara spesifik setiap satu benda. Tetapi Al-Quran ada menyebut, "Janganlah kamu campakkan diri kamu dalam kebinasaan." Ada juga hadis Nabi SAW yang menyatakan, "Janganlah kamu menyakiti orang lain dan jangan kamu menyakiti diri kamu sendiri. Oleh sebab itulah, Islam mengharamkan rokok. Daripada sehi saintifik pula ada yang menyatakan rokok mengandungi 40 atau 100 jenis racun. Selain daripada bahaya kesihatan, terdapat juga banyak kesan negatif ekonomi juga. Kajian yang dibuat menunjukkan bahawa dengan merokok selama 30 tahun, seseorang itu telah membelanjakan RM30 ribu. Jadi jika ada orang mengatakan yang dia tak mampu pergi haji tetapi telah merokok selama 20 tahun, pandai-pandailah jawab di hadapan Allah. Syarikat rokok pula, lebih daripada 90% terlibat dengan Zionis dan Yahudi. Jadi, perokok menjadi penyumbang kepada peluru dan senjata yang dibeli untuk membedil umat Islam di Palestin. Namun tidak dinafikan bahawa ada 3 kelebihan perokok - pertama: awet muda sebab mati sebelum tua, kedua - anjing tak berani rapat sebab bila paru-paru rosak, jalan pakai tongkat dan mudah pukul anjing, dan ketiga pencuri tak masuk rumah sebab tuan rumah kuat batuk dan berjaga malam ;D

S: Perlukah baju bundle disamak terlebih dahulu?
J: Jika pakaian daripada binatang haram memang tak boleh dipakai. Oleh kerana kebanyakan pakaian bundle datang daripada barat, mungkin pembeli risau jika baju tersebut pernah bersentuh dengan anjing dan babi. Islam itu mudah, tetapi jika kita tak nampak dengan mata zahir, terima seadanya dan pakai tanpa ragu-ragu.

S: Mohon penjelasan ustaz cara melakukan solat sunat taubat?
J: Manusia, walau sejahat mana sekalipun, tetap layak bertaubat kepada Allah. Pertama, perlu ada rasa menyesal di dalam hati. Kedua: beristigfar, seterusnya bolehlah dilakukan solat sunat taubat walaupun tidak disyaratkan. Ketiga: sekiranya ada mengambil hak-hak orang lain, contohnya pernah mencuri, perlu pulangkan barang tersebut dan minta maaf pada orang yang dizalimi. Keempat: berazam untuk tidak mengulamginya. Setelah bertaubat, jika terbuat salah lagi, jangan putus asa dan teruslah bertaubat. Cari rakan-rakan yang boleh menggalakkan kita berbuat kebaikan.

S: Bolehkah melukis kartun berpakaian pahlawan Islam?
J: Pertama - melukis kartun tidak salah dalam Islam. Kedua - melukis sahabat-sahabat besar seperti Khalifah Abu Bakar, Umar dilarang sebagai menghormati mereka. Walaubagaimanapun, melukis pahlawan seperti Muhammad Al-Fateh tidaklah pula salah dan dibenarkan.

S: Bagaimana pula dengan patung-patung seperti Batman, Spiderman?
J: Jika patung itu dimain oleh anak-anak kecil dibolehkan. Tetapi sekiranya patung itu besar dan dibuat hiasan, amatlah dilarang kerana ada pendapat mengatakan malaikat rahmat tidak akan masuk rumah.

S: Ibu bapa tidak membenarkan saya masuk ke sekolah asrama. Jadi adakah salah jika saya tetap pergi?
J: Pertama - jangan ada simpan dalam hati yang ibu bapa ingin menyusahkan kita. Walaupun ada kalanya ibu bapa garang, semua ibu bapa pasti inginkan kebaikan untuk anak-anaknya. Bawalah berbincang dengan tenang dan jangan sampai melukai hati ibu bapa. Ambil hati ibu bapa dahulu agar hati mereka terbuka untuk berbincang.

S: Jika kita bekerja di kedai yang menjual arak, adakah gaji itu haram, walaupun kita kerja di bahagian lain dan tak menyentuh arak tersebut?
J: Betul, banyak arak didapati di pasar raya dan hotel hari ini.Jadi dalam kes ini, kita kena tanya apa unsur utama hotel atau pasar raya itu? Hotel itu untuk menyediakan tempat menginap dan pasar raya pula sebagai 'one step centre'. Jadi unsur utama itu halal tetapi ada unsur-unsur haram yang sukar dielakkan. Jadi hukumnya diharuskam dengan syarat-syarat tertentu: jangan berurusan secara terus dengan alkohol itu. Mintalah ditugaskan di bahagian lain. Kedua - berbalik kepada hati, jika hati ragu-ragu tinggalkanlah dan cari peluang pekerjaan di tempat lain yang tiada syubhah.

S: Jika dapat mengetahui bahawa suami tidak pandai baca Al-Quran, perlukah diteruskan hubungan?
J: Pertama perlu faham Islam bukan sekadar solat, baca Al-Quran, bayar zakat dan ibadah khusus sahaja. Tetapi menjadi pelajar cemerlang, taat ibu bapa, jujur, ikhlas dan lain-lain juga merupakan sifat-sifat Islam. Islam itu merangkumi keseluruhan hidup. Oleh itu, kebolehan membaca Quran itu jadi kecil sebenarnya. Ambil peluang itu untuk memimpin dan mengajarnya. Jangan jadikan cerai sebagai pilihan untuk menyelesaikan masalah.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab