Rukun & Pergerakan Dalam Solat (3) – Tanyalah Ustaz 13.05.2012

Ustaz Dr. Zahazan Mohamed

Bacaan surah An-Nisa', ayat 102 yang bermaksud:
Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.”

Sebagai rujukan tafsir yang baik, dapatkanlah Tafsir Ibu Katsir. Tafsir ini banyak menghuraikan ayat Al-Quran menggunakan hadis dan dalil yang sahih. Ayat yang dibacakan tadi menunjukkan bahawa solat tetapi wajib walaupun ketika berperang dan berada dalam ketakutan. Keringanan solat yang ada hanyalah dalam bentuk Qasar dan Jamak. Selain daripada ketika musafir, boleh juga dilakukan solat Jamak jika suhu sejuk yang melampau atau hujan yang lebat.


Solat sangat penting dan menjadi pembeza antara orang Islam dan orang kafir. Tidak ada tempat dalam Islam bagi mereka yang tidak solat. Solat merupakan penhubung antara kita dengan Allah, jadi jika ditinggalkan, akan terputuslah hubungan dengan Allah.

Ustaz menunjukkan 'slide' cara solat khauf, cara duduk, cara berbaring, cara mengiring, yang dipetik daripada buku 'Ensiklopedia Solat' dan buku 'Indahnya Hidup Bersyariat', hasil tulisan Ustaz Ismail Kamus.

Mari kita jadikan membaca sebagai tabiat. Cuba kita jadikan amalan untuk tidak tidur selagi belum belajar sesuatu yang baru pada hari tersebut. Kepentingan melakukan solat ada banyak, seperti yang ditulis dalam buku 'Keindahan Islam', tulisan Dr. Abdul Basit Abdul Rahman, antaranya:
  • menyucikan hati
  • menghubungkan hamba dengan Allah
  • merehatkan minda
  • menenangkan hati
  • sebagai tanda kesyukuran
  • menerangkan hati
  • menghapuskan dosa dan meninggikan darjat dan sebagainya

Soalan & Jawapan:
S: Bagaimana untuk solat dalam keretapi kerana tidak dapat mengetahui kiblat?
J: Pilihan pertama, jika masih musafir setelah sampai, boleh buat Jamak Takkhir. Jika setelah sampai bukan lagi seorang musafir, boleh solat dalam keretapi dan menghadap kiblat ketika takbir sahaja. Selepas itu boleh mengubah arah badan.

S: Perlukah orang tua yang uzur dan solat duduk atas kerusi berdiri ketika takbir pada rakaat yang pertama?
J: Sedaya upaya, cuba berdiri pada takbir rakaat pertama. Tetapi jika betul-betul tak mampu, boleh solat duduk. Allah tidak menjadikan Islam untuk menyusahkan kita.

S: Benarkah tiap-tiap pergerakan solat ada takbir intikali (sebutan 'Allahuakbar')?
J: Seeloknya, bacaan 'Allahuakbar' itu dilakukan seiring dengan pergerakan kita agar kita tidak sunyi daripada berzikir kepada Allah.

S: Sahkan solat jika mendahului imam semasa memberi salam kerana menyangka imam telah beri salam?
J: Ada satu hadis mengatakan bahawa orang yang mendahului imam secara sengaja akan ditukar mukanya menjadi khinzir atau kera. Semasa berjemaah, ada orang yang mendahului imam, menyaingi imam, berlumba-lumba atau tertinggal jauh daripada imam. Cara yang betul adalah membiarkan imam mendahului dan kemudian makmum mengikut (jarak tidak lebih daripada 3 rukun). Tetapi jika tak sengaja mendahului, tidak mengapa dan solat sah.

S: Saya ada membaca buku berkaitan – '400 Kesalahan Dalam Solat'. Ada ditulis bahawa Allah takkan memandang golongan yang melabuhkan kain melebihi buku lali. Mohon penjelasan ustaz.
J: Memakai kain yang melabuhi buku lali boleh menimbulkan perasaan sombong. Khalifah Umar, ketika hampir wafat, tetap menegur seorang anak muda yang datang kepadanya dengan memakai jubah yang labuh melebihi buku lali. Begitu juga jika memakai seluar, lipatlah agar tidak melebihi paras buku lali. Ini juga penting untuk menjaga kebersihan.

S: Bolehkan mengikut mazhab-mazhab yang berbeza?
J: Jika fatwa yang dikeluarkan oleh mufti yang berbeza, ada kalanya kita masih ada pilihan untuk mengikut atau tidak. Tetapi jika kita memilih untuk mengikut setengah-setengah mazhab kerana nafsu dan keseronokan, itu tidak dibenarkan. Contohnya ada mazhab yang membenarkan kahwin tanpa saksi.

S: Saya perhatikan ada juga wanita yang solat tanpa menutup kaki. Adakah perbezaan batasan aurat wanita dalam mazhab lain?
J: Tidak, kaki wanita termasuk aurat dan wajib ditutup di dalam dan di luar solat.

S: Apakah hukum memandang kaabah ketika solat di Masjidil Haram?
J: Harus dan amat digalakkan kerana rahmat Allah turun sebanyak 120 kepada Kaabah – 60 kepada orang tawaf, 40 kepada orang yang tawaf dan 20 kepada orang yang melihat Kaabah.

S: Apakah hukum meletakkan kain di tempat sujud. Bagaimana pula dengan mereka yang meletak benda kecil seperti batu, ketulan tanah di atas tempat sujud?
J: Boleh guna kain sebagai sutrah. Tetapi jika menggunakan batu, tanah atau daun, itu boleh menyerupai amalan Syiah dan perlu dijauhi. Jangan ikut perbuatan orang tanpa mengetahui hukum-hakamnya.


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab