Jalan Hidup Islam – Mukmin Profesional 26.03.2012


Ustaz Pahrol Mohd. Juoi


Semoga kita dikurniakan hati yang sentiasa mengingati Allah agar jiwa kita menjadi lebih tenang, dan mempunyai lidah yang sentiasa berzikir kepada Allah supaya kita sentiasa menuturkan perkataan-perkataan yang baik dan ucapan yang boleh memberi manfaat bukan saja kepada diri sendiri malah kepada orang lain juga. Seorang mukmin, cakapnya itu zikir, dan diamnya berfikir.

Mari sama-sama imbau kembali perbincangan minggu lepas di bawah tajuk: Ibadah Pemacu Tamadun Rohani & Material. Kesimpulan daripada minggu lepas – pohon ibadah yang rendang mempunyai akar yang kuat, batang yang besar, dahan dan daun yang banyak serta buah-buahan yang lebat. Pohon rendang ini seumpama kesyumulan ibadah yang kita lakukan – akar yang kuat seperti rukun iman yang enam yang merangkumi ibadah asas. Walaupun tidak kelihatan, ia memberikan sokongan padu pada pokok itu. Batang pokok pula menggambarkan ibadah asas yang merangkumi rukun Islam yang lima – mengucap, solat, puasa, zakat dan mengerjakan haji. Dahan-dahan besar dan kecil pula menggambarkan ibadah umum atau kita kenali sebagai fadhu kifayah. Dalam kalangan masyarakat, majoriti memahami fardhu kifayah sebagai solat jemaah dan solat jenazah sahaja. Tetapi dalam Islam, fardhu kifayah merangkumi semua aspek kehidupan, antaranya termasuklah pendidikan, ekonomi, hiburan dan sebagainya. Daun-daun yang banyak seumpama ibadah-ibadah sunat. Ibadah sunat tidak boleh dipandang ringan. Sepertimana pentingnya daun untuk menjana makanan kepada pokok, ibadah sunat perlu kita lakukan untuk mendapat kasih-sayang Allah. Akhirnya pokok yang rendang itu pasti mempunyai buah yang lebat dan manis rasanya.

Buah-buah ini inilah hasil ibadah yang diperolehi iaitu tamadun rohani, di mana masyarakat menjadi lebih berakhlak, berkeperibadian tinggi, dan pada masa yang sama mengecap tamadun material dan fizikal yang tinggi. Pokok yang rendang bukan saja memberi kekuatan pada diri sendiri, namun ia juga boleh memberi sokongan pada orang lain. Contohnya di bawah pokok yang rendang, pasti ramai yang ingin tumpang berteduh, dan juga singgah untuk makan buahnya yang manis. Pokok yang rendang ini jika dibaling batu sekalipun, ia tetap akan membalas dengan kebaikan iaitu dengan menggugurkan buahnya.

Inilah metafora umat Islam yang berjaya melaksanakan ibadahnya dengan sempurna. Walaupun orang buat jahat padanya, bukan setakat kejahatan itu tidak merosakannya, malah dia boleh pula memberi kebaikan kepada orang yang berbuat jahat kepadanya. Inilah sifat Islam – 'Selamat dan menyelamatkan'. Islam itu umpama pohon besar, yang tahan ujian dari luar, ataupun dari dalam. Jadi alangkah beruntungnya dunia, bukan hanya untuk orang Islam sahaja, sekiranya umat Islam dapat melakukan ibadah dengan sempurna. Islam yang syumul sentiasa memayungi orang lain.

Sayang sekali, realitinya tidak begini. Dalam masyarakat hari ini, berlaku dua kumpulan kecenderungan yang melampau ('extreme'). Kumpulan pertama 'extreme' dalam menjaga soal akar dan batang sahaja, mereka sekadar pentingkan rukun iman dan rukun Islam sahaja. Mereka ini cuma menegakkan fardhu ain sahaja tanpa mengambil peduli fardhu kifayah. Pokok yang cuma tinggal akar dan batang, tanpa dahan, daun apatah buah, bukan lagi pokok namanya tapi dipanggil tunggul. Inilah umpama orang yang hanya fokus pada perkara fardhu ain sahaja, keindahan Islam sebagai 'way of life' tidak akan kelihatan padanya dan dia akan dipandang lemah.

Golongan 'extreme' kedua hanya pentingkan soal-soal fardhu kifayah iaitu isu berkaitan sistem sahaja lalu menjalankan sistem ekonomi, pendidikan dan lain-lain berteraskan Islam. Mereka meminggirkan soal-soal rukun iman dan rukun Islam. Solat entah ke mana, zakat entah ke mana. Mereka ini seumpama mengharapkan pokok yang tiada akar dan batang yang kuat untuk berbuah lebat. Pokok mereka bukan sekadar tidak berbuah, bahkan jika ditiup angin yang biasa sahaja sudah boleh tumbang menyembah bumi. Mereka beria-ia menegakkan sistem berteraskan Islam, namun tanpa akidah yang kuat, belum pun sempat maju, akidah sudah goyang lalu berleluasalah masalah sosial dalam masyarakat. Kita sepatutnya menjaga ibadah secara syumul (sempurna), barulah Islam boleh menjadi selamat dan menyelamatkan.

Sehingga kini, kita barus habis membincangkan 'tujuan hidup', iaitu langkah pertama sebagai Mukmin Profesional. Kesemuanya ada tujuh langkah untuk menjadi Mukmin Profesional, antaranya: Tujuan Hidup, Jalan Hidup, Penghalang Hidup, Pendorong Hidup sampailah kepada Akhir Hidup. Oleh itu, perbincangan seterusnya adalah berkaitan 'Jalan Hidup'. Mengetahui tujuan hidup sahaja tidak memadai. Kita perlu tahu juga jalan yang perlu diambil. Contohnya, katakan kita ingin ke Johor Baru, dan kita sudah ada alamat penuhnya, namun kita takkan sampai sekiranya kita ambil bas menuju arah utara. Jadi, walaupun tujuan kita jelas, jalan yang diambil juga mestilah jalan yang betul. Peri-pentingnya 'jalan' ini dapat dilihat daripada ayat dalam surah Al-Fatihah: “Tunjukkanlah daku jalan yang lurus”. Allah mewajibkan kita membaca ayat ini paling kurang 17 kali sehari, dan ini menjadi bukti kepentingannya, kerana Allah Maha Mengetahui daripada kita, insan yang kerdil ini.

Kita wajib minta doa ini ketika solat. Kita minta berulang-kali, minima 17 kali sehari. Jika kita mula solat pada umur 15 tahun, setelah 40 tahun, kita telah meminta doa ini sebanyak 155, 125 kali. Begitu banyaknya kita meminta. Persoalannya pula – adakah kita minta secara bersungguh-sungguh atau secara sambil lewa saja? Mari bandingkan dengan kisah berikut: Contohnya jika kita buat permohonan pinjaman Islam untuk beli kereta atau rumah. Selagi belum diluluskan, kita pasti resah dan terus-menerus 'follow-up' dengan pihak bank. Tapi bagaimana pula dengan sikap kita setelah berkali-kali memohon jalan yang lurus? Adakah kita pernah bertanya – sudahkah Allah memakbulkan permintaan kita? Ataupun adakah kita tidak perasan bahawa Allah telah mengabulkan permintaan kita? Ada satu perumpamaan dalam Bahasa Inggeris – 'When you ask, listen'. Itu maknanya kita perlu prihatin dengan 'jawapan' yang Allah beri. Jangan pula kita membiarkan diri menjadi alpa dan tuli dengan jawapan yang telah Allah beri. Jika itu yang berlaku, kita sebenarnya seorang peminta yang ego. Kita hanya meminta di bibir, tidak di hati. Sebab itu salah satu adab berdoa yang paling penting ialah mempunyai sifat kehambaan dalam hati kita semasa berdoa, kita perlu rasa kecil, rasa kurang, rasa lemah, rasa jahil dan sangat-sangat mengharap pada bantuan Allah. Tapi jika kita ego, kita mungkin takkan nampak jawapan yang Allah beri.

Kenapa kita perlu mohon jalan dari Allah? Tak bolehkah jika kita buat jalan sendiri? Kadang-kadang kita terlupa bahawa kita tidak layak untuk buat jalan sendiri. Kita cuma layak minta Allah tunjukkan jalan yang telah dibuat untuk kita. Kenapa? Sebab Allah SWT telah tegaskan dalam surah Al-Baqarah, ayat 284 yang bermaksud seluruh alam dan bumi ini kepunyaan Allah. Oleh kerana itu, kita manusia ini hanyalah menumpang di bumi ini. Perhatikan metafora ini: Seorang anak kecil jumpa duit 50 sen dan memberitahu ayahnya yang dia ingin membelanjakan wang tersebut. Sebagai ayah yang soleh, ayah akan melarang anaknya daripada berbuat begitu. Anak cuba berbahas dengan menyatakan duit itu dia yang jumpa, namun ayah akan menjelaskan bahawa duit itu tetap bukan milik anaknya walaupun dia yang menjumpainya. Jadi samalah seperti manusia di bumi ini, kita datang ke dunia dan semua makhluk lain seperti tumbuhan, binatang telah sedia ada. Walaupun kita menjumpai sumber-sumber ini, namun hanya Allah yang berhak mentadbir alam ini mengikut hukum-hukum-Nya. Oleh sebab itu, manusia tidak layak membina jalan kehidupan sendiri – ini bermakna segala x'sme (contoh nasionalisme, kapitalisme dsb.) bukan contoh terbaik untuk dijadikan ikutan. Satu lagi metafora sebagai renungan: Seorang sahabat datang ke rumah kita, dan mula mengubah susun-atur kediaman kita. Bagaimana agaknya perasaan kita ketika itu? Pasti kita rasa tak senang dengan tetamu tak beradab sebegini. Jadi kita juga janganlah jadi hamba Allah yang tak beradab dengan mengabaikan jalan Islam yang Allah telah tetapkan.

Soalan & Jawapan:

S: Mohon petua bagaimana nak mujadah dalam beribadah?
J: Mujahadah merupakan usaha gigih yang memerlukan pengorbanan demi mencari keredhaan Allah. Kita sedia maklum jalan menuju Allah dipagari kesusahan. Manakala jalan menuju neraka pula dipagari keseronokan. Jadi kita perlu bersedia bahawa susah itu satu sunnatullah. Jadi apabila kita rasa susah dalam bermujahadah, maknanya kita berada di jalan yang benar dan kita sedang diuji. Oleh itu, langkah-langkah untuk menguatkan diri dalam bermujahadah:
  • Pertama: kita kena siapkan hati kita dari awal-awal lagi. Para sahabat Nabi SAW, apabila ditimpa kesusahan akan berkata “Sesunggguhnya, telah berlaku janji Allah”. Mereka tak pula mempersoalkan mengapa mereka yang yang diuji. Sebagai contoh, jika kita nak ke Bentong, kita sudah tahu bahawa kita akan perlu bayar tol. Jadi kita takkan terkejut lagi dan akan menyediakan bayaran yang diperlukan. Begitulah dalam bermujahadah, kita perlu tetapkan 'mindset' bahawa kita akan menempa kesusahan.
  • Kedua, kita perlu banyak berdoa memohon Allah permudahkan jalan itu. Nabi SAW sendiri mengajar sahabatnya, Sayyidina Mu'az bin Jabal, agar berdoa: “Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu.” Maksudnya, hatta untuk mengingati Allah sekalipun kita perlu berdoa. Apabila kita selalu berdoa, jangan kecewa jika bantuan belum tiba, kerana bantuan Allah pasti akan tiba. Ketiga: kita perlu sering berzikir kerana ianya akan memberi kekuatan pada jiwa kita. Bila menang, kita perlu bersyukur dengan nikmat dan kekuatan yang Allah beri. Sebaliknya, jika kita terlanjur berbuat dosa, kita kena cepat-cepat bertaubat. Jangan putus asa dengan diri sendiri walaupun kita sering kalah dalam mujahadah. Biar kita kalah, tapi jangan kita mengalah. Allah telah berjanji bahawa jika kita benar-benar berusaha untuk menempuh jalan Allah, Allah akan tunjukkan jalan tersebut.
  • Keempat: Jangan dedahkan diri ke tempat-tempat yang boleh merosakkan iman kita. Contoh: jangan pergi tempat maksiat. Cari program yang mendekatkan diri kepada Allah. Sebab itu Allah sendiri berfirman: 'Jangan kamu hampiri zina'. Allah tak benarkan kita hampir sekalipun, kerana Allah tahu kelemahan kita. Pilih rakan yang baik dan sertai jemaah untuk tambah kekuatan.

S: Ustaz sebut tadi yang kita kena tolak x'sme yang ada termasuklah nasionalisme. Mohon pencerahan ustaz kerana ketika Rasul SAW datang, baginda memperkuatkan jati diri bangsa Arab sehingga terbinanya nasionalisme bangsa Arab. Allah juga telah berfirman bahawa manusia itu dijadikan berpuak-puak agar kita saling mengenal antara satu sama lain. Jadi adakah wajar kita menolak nasioanlisme dan hanya menggunakan Islam sebagai platform? Tidakkah tindakan ini boleh menyebabkan orang Islam negara lain menuntut hak mereka di Malaysia?
J: Bila saya sebut nasionalisme tadi, bukan maksudnya kita tolak secara keseluruhan, cuma kita perlu letak Islam lebih tinggi daripada segala-galanya. Betul, nasionalisme telah memperkuatkan bangsa Arab, yang sebelum itu cuma dilihat sebagai 'belalang padang pasir'. Kehadiran Islam membuatkan bangsa Arab mampu mengalahkan bangsa Parsi dan bangsa Rom dan menjadi bangsa pembina empayar. Kekuatan orang Arab ini datang daripada Islam, sebagaimana yang disebut Sayyidina Umar sendiri bahawa mulianya Arab kerana Islam. Bangsa itu bukan matlamat, cuma sebagai alat perjuangan. Apa buktinya bangsa bukan matlamat? Ketika kafir Quraisy menguasai Mekah, berlaku penindasan yang hebat terhadap orang Islam, lalu Rasul SAW memerintahkan sahabat berpindah ke Habsyah (Utopia). Di situ terdapat bangsa lain berkulit hitam, dengan rajanya, Raja Najashi. Jadi jelas di sini bahawa Rasul SAW sanggup meminta sahabat meninggalkan bangsanya sendiri dan berlindung dengan bangsa lain. Oleh itu, perasaan untuk sayang bangsa kita dan membela nasib bangsa kita sendiri tidaklah menjadi kesalahan. Bangsa ini merupakan anugerah Allah kepada kita. Bangsa Melayu kita ketinggalan dalam banyak bidang, jadi kita berharap agar bangsa kita boleh 'berdiri sama tinggi, duduk sama rendah' dengan bangsa lain. Oleh itu, cara terbaik untuk memajukan bangsa kita adalah dengan Islam. Ini keraja bangsa yang menerima Islam akan menerima kemuliaan. Namun jika kita cuma memperjuangkan semangat kebangsaan, tanpa menjadikan Islam sebagai asas dan terasnya, ianya akan berubah menjadi 'Assobiyyah'. Ini akan menyebabkan kita terus sokong walaupun bangsa kita melakukan kesalahan atau kejahatan. Ini tidak berlaku pada zaman Rasul SAW. Ukurannya ialah syariat, yang salah tetap salah. Jadi bila orang Melayu buat silap, dan orang Cina betul, kita perlu sokong orang Cina, dan itu bukan bermaksud kita tak sayangkan bangsa kita, tetapi itu kerana kita cintakan keadilan dan kita berpegang dengan konsep siapa yang lebih dekat dengan Islam. Oleh sebab sayangkan kaum Arablah, Nabi bawa agama Islam kepada mereka. Oleh kita tak boleh menyokong bangsa kita sehingga tidak berlaku adil kepada bangsa lain.

S: Apakah hukum seorang Islam yang meninggalkan cara hidup Islam? Bagaimana cara menasihatinya agar kembali?
J: Nasihat ada dua bentuk iaitu perkataan dan amalan, dan yang paling penting ialah dalam bentuk amalan. Kita pun sedia maklum bahawa 'Action speaks louder than words'. Oleh itu jika kita dapat pamerkan Islam dalam cara hidup kita, kita cakap sikit saja, orang dah mudah ikut. Tapi jika kita sendiri tak buat, orang akan susah nak ikut, Manusia lebih percaya matanya daripadanya telinganya. Oleh itu cara terbaik menasihati rakan adalah dengan mempamerkan akhlak yang baik. Seterusnya, kita perlu doakan dia juga sebagaimana Rasul SAW mendoakan Umar, penduduk Taif agar diberi pentunjuk. Inilah dua kekuatan Rasul SAW dalam berdakwah – akhlak dan doa. Jadi jika juga kena laksanakan kedua-duanya.

S: Mengapa kita selalu lalai? Adakah hati kita belum cukup kuat? Bagaimana menghadirkan hati untuk mengingati Allah?
J: Kita perlu berterusan ingat Allah, walaupun kadang-kadang mulut kita menyebut Allah, tapi hati kita lalai. Imam Ghazali ada berkata: “Walaupun hati kita lalai, teruslah menyebut Allah kerana sekurang-kurangya mulut sudah terselamat daripada mengatakan yang buruk”. Bak kata pepatah – 'Kalau kita tak dapat jadi garam yang memasinkan ikan, kita jangan jadi lalat yang membusukkannya.' Kita perlu juga bergaul dengan rakan-rakan dan pergi ke tempat yang memudahkan kita mengingati Allah.

S: Mohon nasihat menghadapi situasi menegur orang tapi dia tak nak dengar.
J: Teruskan menegur, jangan putus asa. Rasul SAW sendiri berdakwah berkali-kali sebelum diterima. Dalam kaedah pendidikan, mengikut kajian, setelah dicakap 300 kali baru masuk ke hati seseorang. Sebab itu seorang ibu boleh bercakap berulang-ulang benda yang sama kerana dalam dirinya ada 'rahim' iaitu kasih sayang. Manakala seorang bapa pula takkan bersabar untuk mengulang terlalu banyak kali. Disamping itu, jangan lupa saranan kepada soalan sebelum ini iaitu berdakwah melalui akhlak yang baik dan doakan.

S: Bagaimana komen tentang jalan hidup seperti dalam surah Al-'Asr di mana Allah isytiharkan manusia berada dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan berpesan kepada kebaikan.
J: Manusia biasanya melihat yang tersurat sahaja, tapi tidak melihat yang tersirat. Sebagai contoh, Nabi Muhammad SAW tidak pernah meninggalkan solat sunat Fajar kerana ianya lebih bernilai daripada dunia dan seluruh isinya. Namun berapa ramai daripada kita yang ghairah mengerjakan solat sunat ini? Kita lebih ghairah apabila mendengar tawaran jualan di 'shopping complex'. Kita tak rasa kerugian apa-apa yang berharga apabila meninggalkan solat sunat, solat fardhu, sedangkan orang yang solat akan mendapat banyak bentuk perlindungan daripada Allah. Jadi kita perlu celik mata hati agar nampak dunia sebagai alat untuk sampai ke syurga. Kita jangan hanya nampak yang dekat (dunia), tapi tak nampak yang akhirat. Kita nampak nikmat, tapi tak nampak hakikat bahkan kita lupa kepada pemberi nikmat. Iman adalah percaya kepada perkara-perkara yang tak nampak (tersirat) – percaya kepada syurga, neraka, pahala, dosa. Hanya orang yang beriman mampu 'melihat' ini semua. Manusia mudah tertipu kerana dunia ini ibarat fatamorgana, kelihatan seperti ada segala-galanya, tapi sebenarnya tiada apa-apa kecuali bagi mereka yang beriman, beramal, dan yang berpesan dengan kebenaran dan kesabaran.

S: Berkaitan pohon ibadah - bukankah apabila kita solat, Allah akan memberi pertolongan dan keberkatan dalam rezeki kita? Adakah apabila kita melakukan ibadah asas akan mendatangkan ibadah sunat pula?
J: Berkaitan pohon ibadah, apabila akar dijaga dengan baik, akan tumbuh batang, dahan, ranting yang banyak. Tapi tak cukup berhenti di situ sahaja. Rezeki pula adalah sesuatu yang Allah telah tentukan. Perhatikan cicak – rezekinya adalah binatang yang terbang, jadi jika kita fikir secara logik, cicak perlu ada sayap juga agar dapat kejar makanannya. Namun All tak jadikan cicak begitu dan cicak tetap dapat rezekinya. Begitu juga dengan pokok periuk kera. Walaupun ianya tak dapat bergerak, rezekinya Allah jadikan datang daripada haiwan yang bergerak. Tetapi untuk manusia, Nabi tidak menggunakan cicak atau pokok periuk kera sebagai kiasan, tapi Nabi SAW menggunakan burung. Selalu ada hadis yang menyebut tentang burung keluar pagi dengan perut yang kosong namun pulang pada waktu senja dengan perut yang berisi. Jadi inilah yang perlu kita faham, sepertimana burung yang perlu keluar mencari rezeki yang telah ditentukan untuknya, manusia juga perlu berusaha untuk mendapatkan rezekinya. Inilah yang dikatakan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah, kita perlu berusaha, namun yang memberikan rezeki itu Allah. Di situ ada dua kewajipan kepada manusia – pertama: berusaha dan kedua: menerima takdir yang telah ditetapkan. Kita tak boleh berusaha dan yakin dengan usaha atau tak berusaha dan mengharap sahaja, perlu ada kombinasi kedua-duanya. Dalam satu ayat Al-Quran ada disebutkan bahawa selepas solat Jumaat, bertebaranlah kamu mencari rezeki Allah dan sebutlah nama Allah banyak-banyak. Maksudnya, selepas solat kita tak boleh duduk diam, kita perlu berusaha mencari rezeki di samping mengingati Allah banyak-banyak. Mencari rezeki yang halal untuk diri dan keluarga adalah sebaik-baik amalan selepas amalan yang fardhu, dan juga dianggap sebagai jihad. Oleh itu disamping menjaga akar dan dahan, kita perlu juga jaga ranting, daun dan buah. Cuma kita perlu tahu prioriti yang mana perlu didahulukan.

S: Bagaimana dengan orang yang ditimpa musibah, namun dia tak redha dan sekadar pasrah sahaja?
J: Kedudukan orang yang redha lebih tinggi berbanding orang yang sabar. Orang yang redha, bila menghadapi musibah, dia ucap 'Alhamdulillah'. Dia terasa 'manis' dengan kepahitan ujian yang diberikan. Orang sabar pula ucap 'Innalillahi waninna ilai hiroji'un' bila diuji kerana dia menderita di dalam hati, cuma tak terucapkan dengan kata-kata. Jadi tingkat pasrah tertinggi ialah redha, tapi jika tak mampu, kita cuba bersabar dahulu.







Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab