Memburu Redha Ilahi (1) - Tanyalah Ustaz 09.05.2012

Bacaan surah Az-Zariyat, ayat 56, yang bermaksud:
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."

Seorang ulama dari Mesir, Imam Al-Sha'rawi menyatakan bahawa ayat ini menghadkan tugas manusia kepada HANYA beribadat. Tiada selain daripada itu.


Setiap kita ada tanggungjawab untuk dilaksanakan. Sebagai analogi: Kita beli kipas untuk dapakan angin dan keselesaan, namun jika ianya rosak kita akan cuba baiki dulu. Jika rosak lagi, kita cuba baiki lagi. Sampai kalau dah tak boleh baiki langsung, barulah kita akan buang ke tempat sampah. Sebagai manusia pula, jika kita gagal menunaikan tanggungjawab yang Allah tetapkan, Allah akan beri ujian seperti kesakitan, bencana untuk mengingatkan kita. Jadi terpulang pada kita untuk melihat yang tersirat di sebalik ujian yang Allah berikan. Jika kita dah tak boleh 'dibaiki' lagi, ada kemungkinan Allah akan 'buang' kita juga, tapi bukan buang di tempat sampah, sebaliknya ke dalam kawah api neraka, Na'uzubillahiminzalik.

Soalan & Jawapan:
S: Ustaz ada mengatakan bahawa tujuan manusia dijadikan adalah untuk beribadah. Tetapi kadang-kadang manusia ingkar, kenapa?
J: Manusia bukan setakat tak beribadah, tetapi ramai yang belum beriman, dan melakukan kemungkaran. Persoalan ini memang menjadi perhatian para ahli tafsir. Allah SWT telah beri manusia satu sifat istimewa - 'ikhtiar'. Ikhtiar dalam bahasa Arab bermaksud keupayaaan membuat pilihan. Allah beri kita keupayaan untuk memilih, jadi sebab itulah ramai yang tersalah pilih.

S: Jadi, adakah ini bermakna kita hanya peru beribadah sahaja?
J: Beribadah di sini merangkumi segala gerak-geri dalam kehidupan kita, bukan sekadar dalam ibadah khusus saja. Seperti yang kita baca dalam doa Iftitah - "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. " - surah Al-An'am ayat 162.

S: Sejauh mana ibadah menjamin kejayaan dalam kehidupan?
J: Apa makna kejayaan yang Allah sebut dalam Al-Quran? Dalam ayat 185, surah Ali-Imran, Allah berfirman bahawa "Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya." Jadi berjaya pada penilaian Allah adalah mereka yang diselamatkan daripada api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Inilah yang patut jika jadikan panduan dan ukuran. Dalam sirah, ada diceritakan kisah seorang remaja Yahudi yang suka menyusun selipar Rasulullah walaupun dia bukan Islam. Suatu hari, dia tidak datang dan apabila ditanya, dikhabarkan bahawa remaja itu sedang sakit tenat. Rasul SAW pergi melawat dan duduk di sebelah kepalanya. Ini adab menziarahi orang sakit. Nabi SAW cuba memujuk anak muda ini untuk mengucap dan anak ini pun mengucap dan meninggal. Nabi SAW sangat gembira sehingga berseri-seri wajahnya. Apabila ditanya sahabat, Rasul SAW menyatakan bahawa dia telah berjaya menyelamatkan anak ini selama-lamanya daripada neraka. Dalam ayat ini Allah gunakan perkataan - diselamatkan , dimasukkan - bermakna hanya dengan rahmat Allah, manusia dapat masuk syurga. Jadi kita perlu muhasabah diri, di mana kita sekarang? Adakah mendekati syurga atau sebaliknya? Allah telah berikan kita petunjuk melalui Rasul SAW dan Al-Quran, jadikanlah ianya ikutan.

S: Jika syurga adalah matlamat kejayaan kita dan kita pun beribadah untuk masuk syurga. Jadi di mana ikhlas dalam beribadah?
J: Pertama, mari lihat dulu apa maksud ikhlas? Secara pendek, maksudnya buat sesuatu yang Allah SWT sukai. Hadis pertama dalam hadis 40 dimulakan dengan kepentingan niat dalam melakukan sesuatu perkara. Oleh itu daripada definisi ini, ikhlas dan redha Allah berkait rapat. Kemudian kita lihat apa itu syurga? Syurga merupakan tempat yang istimewa, khas untuk orang yang Allah redha sahaja. Jadi jika seseorang jadikan syurga sebagai matlamat, maknanya dia juga menjadikan tujuan untuk termasuk dalam golongan orang yang Allah redhai. Allah seru kita supaya 'bersegeralah buat kebaikan'. Jadi adalah tidak menyalahi konsep ikhlas jika jadikan syurga sebagai matlamat.

S: Bagaimana pula dengan orang yang beribadat untuk mendapatkan pahala?
J: Apa itu pahala? Pahala itu merupakan janji dan pemberian Allah. Pahala berkait rapat dengan keyakinan kepada janji Allah dan keimanan kepada hari akhirat, kerana pahala diperolehi pada hari akhirat. Bila datang bulan Ramadhan, Nabi SAW bersabda, "Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu." Oleh sebab yakin dengan janji Allah, kita sanggup bersusah-payah untuk melakukan ibadah. Jadi pahala merupakan simbol kepada redha Allah. Sepertimana matawang, pahala juga punya nilai berbeza. Kejarlah pahala yang besar kerana disitu redha Allah juga lebih besar.

S: Redha Allah adalah sesuatu yang kita perlu kejar. Mohon pandangan ustaz?
J: Ya, betul. Redha Allah tidak datang bergolek, atau dengan berangan-angan. Jadi jangan sesekali berharap dengan nama Islam sahaja, kita akan tetap dapat masuk syurga. Bersungguhnya kamu atau lekanya kamu dalam mengerjakan sesuatu menunjukkan betapa 'berjerebunya' pandangan kamu. Kita belum pasti yang tempat kita di syurga, jadi kita perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh. Dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita akan kembali. Akhirat tiada tempoh akhirnya, ianya akan kekal selama-lamanya. Jadi tak patutkah kita bergolok-bergadai untuk kehidupan yang selama-lamanya? Jadi untuk mendapatkan redha Allah, renungkan kembali maksud ayat tadi yang mengatakan tujuan kita dijadikan hanyalah untuk beribadat.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab