Doa Makbul (2) - Tanyalah Ustaz 03.05.2012

Ustaz Muhamad Fauzi Bin Mustaffa



Bacaan surah Al-Anbiya', ayat 89-90, bermaksud:
[89]
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika ia merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi”.
[90]
Maka Kami perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya, dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya. (Kami limpahkan berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami.

Pengajaran daripada ayat: Nabi pun berdoa, inikan pula kita yang serba kekurangan.

Adab-adab berdoa:
  1. Menggunakan suara yang perlahan, biar telinga kita saja yang dengar. Doa secara rahsia adalah lebih baik 70x daripada doa yang dibaca secara terang-terangan. Kita jangan doa dengan kuat sehingga mengganggu jemaah lain yang tengah solat.
  2. Mulakan doa dengan Asma'ul Husna, sepertimana firman Allah "Allah mempunyai nama-nama yang indah, maka berdoalah dengan nama-nama itu”.
  3. Timbulkan rasa bahawa hajat itu besar, jadi pengharapan pun besar juga kepada Allah. Jangan berdoa sambil lewa.
  4. Angkatlah tangan. Janganlah letak tangan atas peha, garu sana-sini, letak tangan di hidung dan sebagainya. Nabi kata Allah itu Pemalu, jadi jika seseorang itu berdoa, Allah malu untuk membiarkan tangannya kosong. Jadi sebab itu kita perlu angkat tangan ketika berdoa. Nabi sendiri berdoa angkat tangan sehingga nampak ketiaknya yang putih. Umar kata lepas Nabi berdoa, Nabi rautkan(sapukan) tangan ke wajahnya.
  5. Jaga sumber rezeki agar halal dan tidak bercampur dengan yang syubhah. Nabi pesan pada sahabatnya, Saad agar menjaga makanan supaya doanya mustajab. Begitu juga dengan pakaian, mesti daripada sumber yang halal. Doa orang yang makanannya, pakaiannya haram akan terhalang daripada dimakbulkan.
  6. Mulakan dan tutup doa dengan selawat. Doa tanpa selawat tidak akan diangkat ke langit.
  7. Sebelum berdoa, buat perkara baik seperti solat sunat, sedekah, tolong orang dan sebagainya. Ibnu Umar kata sebelum berdoa, bersedekahlah, atau solat atau buat apa-apa kebaikan.
  8. Menghadap ke kiblat, angkat tangan, fokus ketika berdoa (mata jangan melilau).
  9. Mesti yakin yang doa akan dimakbulkan.
Waktu mustajab doa:
  • Sepertiga malam yang terakhir
  • Satu ketika pada hari Jumaat. Ulama membincangkan dan ramai mengatakan ketika antara dua khutbah Jumaat dan selepas waktu Asar.
  • Pada malam-malam terakhir Ramadhan (malam Lailatul Qadr)
  • Ketika sujud, tapi doa menggunakan ayat Al-Quran. Jika ingin menggunakan bahasa Melayu, doa dalam hati saja.
  • Ketika hujan turun, jangan menyumpah hujan pula.
Sebab-sebab doa tak makbul, mengikut kata Ibrahim bin Adham :
  • Kamu tak tunaikan hak Allah.
  • Kamu kata kenal Rasulullah, tapi kamu tak ikut sunnah.
  • Kamu baca Al-Quran, tapi kamu tak beramal dengan ajaran Al-Quran.
  • Kamu makan nikmat Allah, tapi kamu tak bersyukur.
  • Kamu kata kenal syurga, tapi kamu tak mencari jalan ke syurga.
  • Kamu kata takut neraka tapi kamu pergi mencari neraka.
  • Kamu kata takut mati tapi tak bersedia untuk mati.
  • Kamu kata kamu kenal syaitan, jadi kenapa kamu berkawan dengan syaitan?
  • Kamu kebumikan orang mati tapi kamu tak ambil pengajaran daripadanya.
  • Kamu bangun di pagi hari dan melihat keaiban orang, tapi kamu tak melihat keaiban diri kamu.
Soalan & Jawapan:
S: Doa yang sesuai untuk minta kebijaksanaan.
J: Doa paling bagus, surah Al-Kahfi ayat 10 yang bermaksud:
(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami".

S: Mohon doa untuk membahagiakan keluarga.
J: Amalkan surah Al-Furqan, ayat 65, yang bermaksud:
Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengerikan”.

S: Adakah doa khusus untuk mengelak gangguan jin dan makhluk halus?
J: Amalkan surah Al-Mukminum, ayat 97 & 98 yang bermaksud:
[97] “Dan katakanlah: "Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan
[98] "Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku".

S: Mohon doa keharmonian rumah tangga dan memudahkan urusan seharian.
J: Kaum wanita memang penat kerana bertugas di pejabat dan juga dirumah. Jadi amalkan ayat 65, surah Al-Furqan dan juga surah Taha, ayat 25-28, yang bermaskud:
Nabi Musa berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; "Dan mudahkanlah bagiku, tugasku;"Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, "Supaya mereka faham perkataanku.
Doa ini yang diajar kepada Nabi Musa agar dipermudahkan urusannya. Doa ini dapat membantu diberi kelapangan hati walaupun ada banyak perkara yang perlu difikirkan, mohon dipermudahkan urusan agar dapat 'multitasking'. Amalkan juga seperti yang diajar Nabi SAW kepada Fatimah: baca sebelum tidur, Subhanallah 33x, Alhamdulillah 33x, Allahuakbar 33x dan yang ke-100 baca La ilaha illallah wahdahu la syarikalah lahumulku walahul hamdu wahuwa ‘ala kulli sya’in qodir. Ini juga dikenali sebagai Tasbih Fatimah, dan kelebihannya adalah akan diberi kekuatan pada keesokan harinya.

S: Bilakah waktu sesuai berdoa bagi kami yang kesibukan bekerja?
J: Betul, kita sibuk tapi jangan sampai tinggal ibadah wajib seperti solat. Sahabat pernah bertanya Nabi SAW, apakah doa yang paling didengari Allah, dengan kata lain doa yang dimakbulkan. Pertama: Doa di satu pertiga malam dan kedua, doa selepas solat. Jadi bagi yang tidak mampu bangun malam, gunakan peluang berdoa selepas solat. Jangan terus bangun selepas solat, kerana itu tanda orang yang sombong dengan Allah.

S: Siapakan yang makbul doanya?
J: Nabi kata ada 3 golongan: Pertama: Doa ibu bapa kepada anak-anak, sebab itu doalah yang baik-baik untuk mereka. Kedua: Doa seorang musafir, sebab itu dalam perjalanan berdoalah yang baik-baik. Ketiga: Doa orang yang dizalimi, walaupun dia seorang kafir. Doa ini akan menembusi 7 petala langit dan Allah makbulkan.
Seterusnya, sesiapa yang terkejut pada waktu sepertiga malam, terus baca:
  • La ilaha illallah wahdahu la syarikalah lahumulku walahul hamdu wahuwa ‘ala kulli sya’in qodir.
  • Alhamdulillah
  • Subhanallah
  • Allahuakbar
  • La Hawla Wala Quwwata illa billahil aliyul adheem'

Kemudian sambung dengan doa sendiri dan tutup dengan selawat. InsyaAllah doa itu akan dimakbulkan. Seterusnya doa seorang yang ikhlas dan juga doa dengan menggunakan nama Allah. Daripada kisah Nabi Sulaimaiman yang meminta istana Balqis dibawa kehadapannya, dan ada seorang membawanya dengan sekelip mata. Ulama membahaskan bahawa lelaki ini banyak berdoa menggunakan La Hawla Wala Quwwata illa billahil aliyul adheem' dan Ya Hayyu Ya Qayyum.

S: Perlukan ada perantara untuk berdoa dengan Allah?
J: Nabi ada bersabda: "Jika nak minta, mintalah pada Allah". Jadi tak perlu jumpa imam, atau bomoh untuk jadi pengantara.

S: Dimanakan tempat- tempat mustajab untuk berdoa.
J: Multazam di Kaabah, dalam Hijir Ismail, dalam Masjidil Haram, antara Safa dan Marwah, dalam raudhah di Masjid Nabawi, dalam Majid Nabawi, dalam masjid. Tapi kenapa kadang-kadang doa lambat makbul. Sebenarnya jika Tuhan buka pintu hati untuk berdoa, makan Allah akan buka juga pintu untuk dimakbulkan. Cuma kadang-kadang Allah tak makbul sebab Allah suka mendengar hambanya merintih.Jadi kita jangan bosan berdoa.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab