Indahnya Syariat Zakat (1) - Tanyalah Ustaz 04.05.2012

Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman

Bacaan surah Al-'Araf, ayat 156:
"Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu". Allah berfirman: "AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertaqwa, dan yang memberi zakat, serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.

Zakat merupakan syariat sejak daripada zaman Nabi sebelum Nabi Muhammad SAW. Ianya merupakan ibadah yang berbentuk 'maliyyah' (harta). Berdasarkan ayat yang dibacakan tadi, kita jangan cari sebab yang akan menyebabkan azab Allah, sebaliknya carilah sebab-sebab turunnya rahmat Allah. Ketika bala diturunkan kepada kaum Nabi Lut, setiap batu yang diturunkan telah tertulis nama orang yang akan dikenainya - ini membuktikan bahawa ketetapan Allah akan berlaku.

Sedekah dan zakat merupakan kebenaran iman seseorang - sebagaimana orang bercinta yang sanggup berkorban. Antara kelebihan zakat adalah:
  • Siapa yang keluarkan zakat, akan dapat rahmat
  • Akan dibuka pintu rezeki daripada sumber-sumber tak disangka-sangka. Harta itu seumpama air yang mengalir, jika disekat, akan membusuk dan menimbulkan penyakit yang berbahaya, tapi jika dibiarkan mengalir (dikeluarkan zakat), pasti akan turun hujan menggantikan air yang telah berlalu itu. Harta pun bukan milik kita, tapi milik Allah sebenarnya, jadi perlu kita tunaikan hak orang lain yang terdapat dalam harta tersebut.


Seorang sahabat datang berjumpa Rasulullah SAW dan bertanya apakah amalan yang boleh memasukkannya ke syurga? Lalu Nabi SAW menjawab: Pertama: jangan syirik, kedua: solat, ketiga: zakat, seterusnya puasan dan sambungkan silaturrahim.

Bagaimana caranya untuk orang miskin yang ingin berzakat?
Zakat ini bukan hanya dalam bentuk harta, namun senyum juga boleh jadi sedekah. Sedekah dengan lisan - Nabi kata takutlah kamu dengan neraka walaupun dengan setengah biji kurma. Jika kurma pun tiada, ucapkanlah perkataan yang baik.

Soalan & Jawapan:
S: Ayah ada simpanan ASB sebanyak 90k. Ayah tidak boleh bergerak. Jadi bagaimana membuat bayaran zakat, bolehkah anak-anak berkongsi membayar zakat atau menggunakan wang simpanan itu?
J: Zakat merupakan tanggungjawab pemilik harta. Jika ayah sakit, maka anak-anak boleh tolong pergi bayarkan, menggunakan wang simpanan itu.

S: Emas dan perak yang dipakai, perlukah dizakatkan?
J: Allah ada berfirman bahawa penyimpan emas dan perak, akan menerima azab seksaan. Jika emas itu dipakai setiap hari, contoh cincin sehingga berdaki dan tidak terjaga, itu terkecuali daripada zakat. Tetapi jika emas itu dipakai sekali-sekali, itu termasuk dalam emas perhiasan dan wajib dizakatkan jika melebihi kebiasaan ('uruf). Apakah kadar 'uruf? Jika emas itu melebihi 150g (di Kuala Lumpur), ianya dianggap lebih dan perlu dizakatkan. Sebagai teladan ada satu kisah, Nabi SAW melihat seorang anak kecil memakai 2 utas gelang emas, lalu ditanya Baginda adakah sudah dizakatkan gelang tersebut? Tangan adik kecil tentulah tidak muat gelang emas yang besar-besar, jadi sama-sama ambil pengajaran atas teguran Nabi SAW itu.

S: Bolehkah agihkan zakat sendiri, tak melalui pusat zakat?
J: Dalam zakat, ada bahagian untuk amil (petugasnya). Jadi ini jelas menunjukkan Islam telah menetapkan satu institusi bersistem untuk menguruskan zakat. Sayyidina Abu Bakar juga begitu tegas memerangi orang yang enggan membayar zakat. Orang yang dimaksudkan di sini ialah orang yang enggan bayar langsung, atau orang yang tidak bayar melaluinya. Tetapi tidaklah salah jika diberikan sendiri. Cuma jika jumlahnya kurang daripada 5 ribu, maka dibolehkanmengagihkan sendiri. Jika jumlah yang lebih besar, eloklah bawa ke pusat zakat. Jika bawa ke pusat zakat, resit akan diberi dan boleh digunakan sebagai pelepasan bayaran cukai pendapatan.

S: Bonus yang diterima, kurang daripada setahun, adakah perlu dizakatkan?
J: Bonus ini tidak tetap, datang secara tiba-tiba. Jadi perlu juga dizakatkan, tak kisah untuk dikira dengan haul tahun sebelumnya, atau tahun semasa. Paling elok dizakatkan terus ketika diterima.

S: Bagaimana nak jadikan hati ikhlas dalam mengerjakan zakat?
J: Antara ciri-ciri orang berjaya ialah mereka yang solat, beri zakat. Solat dan zakat biasa digandingkan bersama. Zakat melibatkan beberapa pihak - pembayar, penerima dan pengurusan. Semua pihak perlu ikhlas, barulah akan menjamin kejayaan fungsi zakat.

S: Zakat itu indah, mengapa masih ada yang liat mengeluarkannya? Bagaimana menggalakkan orang berzakat?
J: Manusia memang fitrahnya kedekut dan sayang pada harta. Untuk ajak orang berzakat, kita kena beritahu mereka manfaat zakat yang dikeluarkan. Harta yang dizakatkan berada di sisi Allah. Harta yang disedekah atau dizakatkan akan sampai ke sisi Allah sebelum sampai kepada penerimanya.

S: Duit pinjaman yang dilaburkan, perlukan dizakatkan?
J: Ada 2 pihak terlibat: jika orang pinjam itu seorang yang tidak mampu, peminjam uang bertanggungjawab membayar zakat. Tapi dalam kes ni, pinjaman dilakukan untuk mencipta jalan menjana kewangan. Disebut dalam sebuah hadis, setiap harta yang berkembang, perlu dizakatkan. Oleh itu perlu dizakatkan bila cukup nisab dan haul.

S: Berapa kadar zakat wang simpanan?
J: Jabatan zakat dan haji menetapkan RM13, XXX.XX untuk Kuala Lumpur. Jika duit kurang, tak perlu zakat. Jika lebih baru kena zakat. Nisab ini berbeza ikut negeri, sila rujuk pada pihak berkuasa tempatan.



Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab