Mencari Bahagia - Mukmin Profesional 07.05.2012


Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Alhamdulillah Allah izinkan kita dipertemukan dalam majlis ilmu. Mudah-mudahan ilmu yang diperolehi dapat membantu kita mengenal kebenaran dan mengikutinya, dan mengenal kebatilan dan meninggalkannya. Barangsiapa yang mencari kebenaran, InsyaAllah akan bertemu kebahagiaan. Walaupun mungkin hari ini sedang menghadapi ujian yang menyakitkan atau menyukarkan, tepuk dada dan bisik pada hati yang ini cuma sementara. InsyaAllah mendung akan berlalu dan cahaya akan datang dalam kehidupan kita kerana Allah telah berjanji setelah kepayahan pasti akan datang kesenangan. Mudah-mudahan ujian yang menyedih dan menyakitkan kita tidak menjejaskan hati kita daripada terus mensyukuri nikmat Allah. Apabila kita mensyukuri yang sedikit, biarpun yang sedikit itu bukanlah yang kita idam-idamkan, InsyaAllah akan ditambah nikmat buat kita. Lebih-lebih lagi jika kita dapat bersyukur ketika menghadapi kesukaran, InsyaAllah akan dipermudahkan kehidupan kita kelak.

Tajuk petang ini agak mudah, iaitu mencari bahagia. Seperti yang telah ditegaskan sebelum ini, seorang mukmin profesional mestilah celik mata hatinya (bashirah) dan melihat hidup melalui pandangan Pencipta-Nya, bukan pandangan peribadinya. Inilah yang dinamakan 'tauhidic mindset' – melihat berasaskan pandangan tauhid. Inilah sifat orang yang beriman. Apabila sudut pandangan kita tepat, InsyaAllah kita akan mendapat kehidupan yang tepat juga. Walaupun kehidupan di dunia ini singkat, ianya penting kerana akan menentukan sama ada kehidupan kita bahagia atau merana selama-lamanya di hari akhirat nanti. Pandangan hidup yang tepat merangkumi mengetahui dengan jelas tentang:
  1. arah hidup – telah dibincangkan sebelum ini hal-hal berkaitan hidayah
  2. tujuan hidup - telah dibincangkan sebelum ini hal-hal berkaitan ibadah
  3. jalan hidup - telah dibincangkan sebelum ini hal-hal berkaitan syariah
  4. bekalan hidup - telah dibincangkan sebelum ini hal-hal berkaitan solat
  5. dorongan hidup - akan dibincangkan hal-hal berkaitan zikrulah
  6. halangan hidup – akan dibincangkan hal-hal berkaitan dosa
  7. akhir hidup – akan dibincangkan hal-hal berkaitan kematian

Jadi sebelum kita membincangkan langkah kelima yang berkaitan tentang zikrullah – iaitu langkah untuk mencelikkan mata hati kita. Sebagai mukadimmah langkah ini kita bincangkan tajuk hari ini iaitu 'Mencari Bahagia.' Fitrah manusia semuanya ingin bahagia, tak kitalah yang miskin, yang kaya, yang berkuasa ataupun rakyat jelata. Tiada orang yang tak ingin bahagia. Andainya ada yang berkata “Alangkah bahagia jika saya tak bahagia,” maka layaklah dia tinggal di Hospital Bahagia :D. Memang semua orang ingin bahagia, tetapi sedikit sahaja manusia yang mendapatnya. Kenapa? Ada dua sebab utama. Pertama: kerana manusia tidak tahu apa ertinya bahagia itu. Oleh kerana manusia memburu sesuatu yang tak pasti, sampai bila-bila pun takkan berjumpa. Begitulah jika kita kehilangan sesuatu tetapi kita tak tahu apa bentuknya, apa warnanya, bagaimana nak cari? Jadi manusia tak jumpa kebahagiaan kerana manusia tak tahu apa erti kebahagiaan. Sebab kedua kerana manusia tak tahu kaedah yang betul mencari kebahagiaan. Mudah-mudahan Allah izinkan kita berbincang tentang bahagia petang ini kerana kebahagiaan itu fitrah kita semua.

Apa erti bahagia? Ada orang kata bahagia itu relatif dan subjektif. Maksudnya ianya tidak tetap dan berubah-ubah. Contohnya: seorang yang sakit merasakan sihat itu bahagia. Manakala seorang yang sihat pula inginkan benda lain pula untuk rasa bahagia. Begitu juga orang yang miskin merasakan kaya itu bahagia, manakala si kaya pula menginginkan benda lain pula untuk bahagia. Saya teringat satu kisah yang dibawa di dalam buku Tasawwuf Moden, karya Hamka, mengenai sebuah keluarga pesawah, suami, isteri dan anaknya yang dalam perjalanan pulang setelah bekerja. Mereka sekeluarga ternampak seorang kaya yang sedang berehat minum kopi di hadapan rumahnya yang besar. Petani itu melihat orang kaya itu bahagia kerana mempunyai rumah yang besar dan tidak sepertinya yang perlu membanting tulang empat kerat untuk menyara keluarga dan mempunyai pondok buruk sahaja. Orang kaya itu pula melihat melihat petani itu beruntung kerana dengan kerjanya yang berat, tubuhnya menjadi sihat dan kuat, tidak sepertinya yang berpenyakit. Petani itu bekerja bersama keluarganya, jadi sudah tentu hubungan mereka rapat dan tidak sepertinya yang selalu bertelingkah dengan isterinya. Inilah yang dikatakan bahagia itu sesuatu yang relatif. Kita juga selalu terjebak dalam pemikiran sebegini dan selalu merasakan bahawa orang lain lebih baik daripada kita. Kita selalu melihat yang pelangi itu berada di atas kepala orang lain, tetapi kita tidak sedar bahawa pelangi itu juga berada di atas kepala kita sebenarnya. Jadi dalam kehidupan ini, kita perlu lihat sisi kelebihan diri kita juga dan jangan fokus pada sisi kekurangan kita.

Ada juga golongan yang melihat bahagia ini sebagai sesuatu yang mutlak, tetap, dan tidak berubah-ubah. Oleh itu ianya perlu dicari. Ada juga orang yang begitu pesimis sehingga tak percaya ada kebahagiaan di dunia. Mereka sudah mengalah dari awal dan menganggap hidup ini untuk menderita. Ada juga yang begitu optimis dan yakin ada kebahagiaan di dunia dan mereka berterusan mencarinya. Golongan ini pula terbahagi kepada dua kumpulan. Pertama, mereka yang mempercayai kebahagian itu datang dari luar ke dalam, atau dengan kata lain kebahagiaan terletak kepada keupayaan memiliki sesuatu berbentuk material. Kedua pula, mereka yang bahagia dari dalam ke luar. Bagi mereka, kebahagiaan bukan berbentuk fizikal dan material tetapi ianya datang dari dalam diri dan berkaitan dengan hati dan perasaan.

Mari bincang selanjutnya dengan dua golongan ini. Bagi golongan yang pertama, mereka meletakkan bahagia pada banyaknya harta, kuasa, rupa dan nama. Oleh itu, bermacam-macam cara mereka gunakan untuk mencapai maksud ini. Bagi yang mengejar harta, semakin banyak harta yang dimiliki semakin mereka bahagia. Bahagia mereka ditentukan oleh jatuh naiknya indeks Bursa Saham. Jika naik, naiklah kebahagiaan mereka, namun jika jatuh pula, mereka pun ikut jatuh sehingga ada yang sanggup bunuh diri dengan terjun daripada bangunan. Bagi yang merasakan kuasa boleh memberikan mereka kebahagiaan pula, mereka mengejarnya sehingga sanggup menjatuhkan orang lain, saling memfitnah dan mengamalkan prinsip 'matlamat menghalalkan cara'. Bagi yang rasa bahagia dengan kecantikan pula, mereka sanggup berbelanja untuk mengubah rupa fizikal yang tidak disukai agar menjadi lebih cantik. Mereka melakukan pembedahan plastik, menanam silikon dalam badan dan menggunakan pelbagai cara lain lagi. Bagi yang mengejar populariti pula, mereka inginkan sanjungan dan pujaan manusia untuk rasa bahagia. Jadi mereka sanggup melakukan macam-macam perkara pelik. Contohnya untuk meletakkan nama dalam 'Guinness World Book of Record' ada yang sanggup duduk dengan kala jengking, ada yang sanggup berjalan terbalik dan macam-macam lagi.

Jadi mari kita lihat adakah mereka ini betul-betul bahagia? Mari lihat orang yang betul-betul mempunyai harta, nama dan kuasa. Mari perhatikan kehidupan jutawan-jutawan dan selebriti yang terkenal. Kita semua sedia maklum yang Al-Quran telah menjelaskan bahawa barangsiapa yang mencari perlindungan selain daripada Allah, mereka akan mendapat kehidupan yang sempit seumpama sarang labah-labah. Jadi hari ini, saya ingin menggunakan contoh daripada majalah-majalah kontemporari seperti Cosmopolitan, Galaxy, atau Fortune agar majlis ilmu kita lebih santai. Saya minta maaf kerana saya terpaksa mengambil contoh daripada Hollywood kerana ramai remaja kita hari ini yang menjadikan bintang-bintang Hollywood sebagai idola mereka. Saya ingin mereka sedar bahawa idola yang mereka ikut atau begitu minati ini bukanlah satu personaliti atau contoh yang baik. Contohnya Britney Spears – dia cantik, kaya dan ternama. Tetapi bagaimana kehidupannya? Dia telah bercerai dengan suaminya, kemudian kita banyak dengar cerita tentang dia menggunakan dadah dan arak kerana tekanan hidup sehinggakan mahkamah memutuskan dia tidak layak untuk menjaga anaknya sendiri. Begitu juga dengan Whitney Houston yang terbaru sekali mati kerana dadah. Banyak lagi barisan bintang Hollyword ternama yang mati sebegini rupa, contohnya Elvis Presley, Kurt Cobain, Marylin Monroe. Mereka ini semuanya kaya, tetapi menderita dan kehidupan mereka berkesudahan dengan tragedi. Kejadian yang paling tragis dan menyedihkan ialah kisah Puteri Diana. Orangnya rupawan, mempunyai harta dan terkenal, tetapi dia mati kemalangan di dalam terowong dalam mencari cinta dari seorang lelaki kepada lelaki yang lain yang tidak kesampaian.

Majalah Fortune juga pernah membuat kajian dan dapatan menunjukkan hanya 10% daripada kalangan CEO yang bertaraf 'world class' yang tidak mengalami keruntuhan rumah tangga. 90% lagi hancur rumahtangganya, dan yang lain-lain juga mengambil dadah dan sanggup membunuh diri. Orang sebegini pastilah tidak bahagia kehidupannya. Jadi mengapa mereka ini tidak bahagia sedangkan mereka mempunyai harta, rupa, kuasa dan nama? Mungkin ada yang boleh berhujah bahawa mereka ini ditimpa ujian-ujian hidup seperti dijatuhkan, ditimpa penyakit dan sebagainya. Tetapi persoalannya: Benarkah ujian hidup menyebabkan seseorang tidak bahagia? Mari bandingkan dengan metafora ini. Bayangkan, jika kita tuang air limau keatas tangan yang sihat, kita tidak akan rasa apa-apa. Tetapi jika tangan itu luka, air limau itu akan menyebabkan rasa pedih. Jadi rasa pedih itu bukanlah disebabkan air limau, tetapi sebab tangan yang luka itu. Jadi jika kita umpamakan air limau itu seperti ujian hidup dan tangan pula seperti hati, hanya hati yang terluka akan merasa pedih apabila menerima ujian. Tetapi rasa pedih itu bukanlah berpunca daripada ujian, tetapi oleh kerana hati itu memang tidak bahagia. Ujian itu hanya sebagai 'indicator' bahawa hati itu sememangnya tidak bahagia selama ini. Hati yang 'sihat' pula takkan merasa apa-apa, bahkan dapat menyerap kebaikan pula daripada 'air limau' tersebut. Oleh itu ujian hidup bukanlah penyebab hilangnya bahagia. Sebaliknya ia adalah hukum dunia dan pasti akan dilalui oleh sesiapa sahaja. Jika kita tidak mahu diuji, jangan datang ke dunia ini. Ujian akan datang dalam berbagai bentuk – cacian orang, miskin, kaya, sakit, sihat dan banyak lagi. Namun yang pasti ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Jadi kita perlu belajar bagaimana untuk terus mendapatkan kebahagiaan walaupun tahu bahawa dalam hidup kita ini pasti akan diuji.

Limau yang pedih atau hati kita yang 'pedih' sebenarnya?
Soalan & Jawapan:
S: Salahkah jika saya mencari duit lebih agar masa depan zuriat lebih terjamin?
J: Mencari harta yang halal merupakan tuntutan dalam Islam. Bahkan ada satu hadis yang menyebut bahawa kebahagiaan di dunia adalah apabila kita mempunyai rumah yang lapang, kenderaan yang besar dan jiran yang baik. Jadi tidak salah mencari harta untuk memenuhi keperluan hidup selagi kita mengikut syariat yang ditetapkan. Untuk mencapainya, kita perlu jaga 2i dalam apa jua yang kita lakukan. Pertama – ikhlas kerana Allah semata-mata. Kedua – 'iktibak' yang bermaksud mengikut jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Tetapi yang menjadi kesalahan adalah apabila harta dijadikan sebagai matlamat, bukan alat. Kita perlu menggunakan harta kita untuk mencapai matlamat mencari keredhaan Allah. Sebagai metafora, bayangkan harta yang kita cari itu sebagai galah, manakala buah yang ingin dipetik itu pula adalah kebahagiaan dan keredhaan Allah. Jadi galah penting untuk kita mendapatkan buah, tetapi perlu diingat bahawa kita takkan mendapat buah dengan hanya mengumpul galah. Oleh sebab itu, rumah yang besar itu penting, tetapi apa yang kita isi di dalam rumah itu jauh lebih penting. Begitu juga dengan kereta, yang penting ke mana kita bawa kereta kita itu. Jadi, kesimpulannya tidak salah memiliki 'alat' yang banyak, tetapi pastikan bahawa tujuan hanyalah untuk mencari keredhaan Allah. Jadi belanjakanlah harta kepada jalan Allah kerana hanya harta inilah yang akan kekal bersama kita di hari akhirat nanti.

S: Saya ingin berkongsi 3 pesanan arwah guru saya: Pertama – binalah jalan hidup kamu atas jalan Allah. Kedua – sediakan bekalan hidupmu sebaik mungkin kerana kamu pasti takkan dapat kembali kepada permulaan kehidupan kamu. Ketiga – tundukkan matamu daripada kemaksiatan dan dongakkan pandanganmu kepada kebaikan insan lain.
J: Alhamdulillah, ini merupakan satu perkongsian yang baik. Namun begitu ini semua perkara yang hanya boleh dilihat dengan mata hati. Kita juga pernah bincangkan sebelum ini bahawa permusafiran kita bermula semenjak kita dilahirkan dan kita seterusnnya akan menuju ke alam barzakh, sebelum kita menuju alam akhirat. Jadi kehidupan di dunia ini adalah untuk menyiapkan bekalan. Kita tahu pangkal permusafiran telah lama kita tinggalkan, namun hujungnya kita belum sampai. Tenaga kita pun semakin kurang tetapi beban kita semakin bertambah. Jadi bagaimana untuk kita nak minta bantuan daripada Allah? Jadi kita kena ikut ketiga-tiga pesanan yang diberikan tadi. Ianya selari dengan apa yang selama ini kita bincangkan dalam Mukmin Profesional ini.

S: Mohon pencerahan ustaz tentang berbagai bentuk rezeki yang Allah kurniakan kepada kita – contohnya akal fikiran, alam sekeliling, dan yang paling utama nikmat hidayah agama Islam yang memandu kehidupan kita.
J: Semua ini termasuk dalam hidayah yang pernah kita bincangkan sebelum ini, cuma kita kaitkan dengan kebahagiaan sekarang ini. Ahli Sufi ada berkata bahawa cuma orang yang bahagia di dunia sahaja yang akan berbahagia di akhirat. Jadi seseorang itu perlu merasa syurga yang disegerakan di dunia sebelum dapat merasa syurga hakiki di akhirat nanti. Ulas mereka lagi, di dunia ini ada satu syurga yang disegerakan iaitu 'hati yang sejahtera – qalbu saalim'. Itulah juga yang saya selalu bincangkan bahawa kaya yang sebenarnya ialah kaya hati. Jadi supaya hati kita tenang menghadapi ujian, ingatlah kata Nabi SAW dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, “Lihat orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu, kerana itulah yang lebih layak agar kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya ke atas kamu.” Jadi kita kena selalu lihat orang yang di bawah kita agar kita menjadi lebih bersyukur. Jangan dilihat orang yang di atas kerana setiap orang pasti ada masalahnya yang tersendiri.

S: Apakah amalan yang boleh membuatkan Allah sayang kepada remaja dan bagaimana untuk mengekalkan kebahagiaan?
J: Remaja merupakan golongan yang meninggalkan alam kanak-kanak tetapi belum dewasa sepenuhnya. Jika dibandingkan dengan cecair, sebelum bertukar kepada wap, cecair itu dipanaskan dan molekul-molekulnya akan bergerak laju dan tidak stabil sebelum berubah. Begitulah juga dengan remaja – di dalam diri mereka berlaku pergolakan yang sangat hebat. Mereka suka mencuba sesuatu yang baru dan bersifat dinamik dan 'adventureous'. Emosi mereka juga tidak stabil – ada kalanya ingin bebas, ada kalanya inginkan perlindungan. Golongan ini ada 2 nikmat yang sering melalaikan manusia iaitu badan yang sihat dan masa lapang. Jadi sebaik-baiknya, remaja perlu mengisi masa lapang dan menggunakan kesihatan tubuh badan yang ada pada mereka sepenuhnya. Sibukkan diri berbuat kebaikan sehingga letih untuk membuat kejahatan atau kemaksiatan. Jangan biarkan ada masa lapang yang tak terisi. Jangan duduk bersendirian, sebaliknya sertai kawan-kawan yang sefahaman, ikuti program-program yang baik. Tempat yang baik tidak semestinya masjid dan surau sahaja, bahkan remaja boleh juga terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan yang lain. Remaja perlu juga menghidupkan budaya membaca dalam hidup mereka. Jadi bentuklah rangkaian ('network') iaitu rakan, jemaah dan program yang baik.

S: Bagaimana untuk menjaga hati agar tidak terluka supaya terlindung daripada 'pedihnya' ujian?
J: Saya selalu katakan yang kita kena berhati-hati menjaga hati ;D. Hati merupakan anggota dalaman yang paling berpotensi untuk tidak konsisten. Rasulullah SAW sendiri pernah mengumpamakan hati seperti kuah yang mendidih – sifatnya sekejap naik, sekejap turun, sekejap baik, sekejap sebaliknya. Cara menenangkan hati ada lima (seperti nasyid yang sering dinyanyikan) iaitu pertama – bawa hati untuk sentiasa mengingati Allah. Jadi sekiranya kita betul-betul resah dan gelisah, ambillah wudhuk, tunaikan solat sunat 2 rakaat dan mengadulah pada Allah. Kedua - baca dan fahami kandungan Al-Quran. Ketiga – berkumpul dan berkawan dengan orang soleh. Orang yang soleh ada auranya yang tesendiri dan boleh membuatkan kita merasa tenang apabila melihat wajah mereka. Keempat - kita boleh melakukan puasa sunat. Apabila berpuasa, fizikal kita menjadi lemah, nafsu ditekankan dan hati akan menjadi lebih bercahaya. Kelima – banyakkan menghadiri majlis-majlis ilmu. Ilmu akan memberi ketenangan kepada hati.

S: Jika tidak mati di medan perang, mati ketika menuntut ilmu juga dikira sebagai mati syahid. Kita rasa syukur dan bahagia kerana kita hidup bertauhid kepada Allah. Mohon penjelasan ustaz.
J: Ilmu merupakan jalan menuju iman, jadi untuk menambah iman, kita perlu menambah ilmu. Hakikat ilmu bukanlah apa yang singgah di kepala, tetapi apa yang singgah di hati. Apabila ilmu singgah di hati barulah ada penghayatan, dan setelah itu barulah datang amalan. Bila ada amali, baru akan datang alami dan alami inilah yang akan mendatangkan kebahagiaan dalam kehidupan kita. Oleh sebab itulah orang yang menuntut ilmu itu dikira sebagai orang yang mujahid dan mereka didoakan oleh seluruh makhluk Allah.

Kesimpulan:
Syukur yang paling utama ialah kesyukuran atas nikmat iman dan Islam. Apabila dikatakan kita bertauhid kepada Allah, itu maknanya kita tidak mensyirikkan Allah. Dr. Yusuf Al-Qardawi berkata, “Masalah manusia dari dulu hingga sekarang bukanlah kerana manusia tiada Tuhan, sebaliknya manusia mempunyai terlalu banyak 'tuhan'. Bila banyak 'tuhan', banyaklah yang dia kena jaga. Nak kena jaga apa orang kata, bos kata, isteri kata dan banyak lagi. Jadi orang begini sukar untuk membuat keputusan dalam hidupnya. Sebab itu apabila ditanya apa rahsia kejayaan orang yang berjaya, jawabnya, “Saya tiada rahsia kejayaan, tetapi saya tahu rahsia kegagalan. Rahsia kegagalan ialah apabila kita cuba menyukakan hati semua orang.” Seseorang yang membuat sesuatu ibadah kerana orang lain sudah berlaku syirik, dan apabila dia meninggalkan sesuatu ibadah kerana orang pula dia telah riak. Contohnya, ketika menunggu solat berjemaah dalam masjid, jika seseorang berniat meninggalkan solat sunat kerana takut nanti orang lain ingat dia alim, itu menunjukkan yang dia riak. Kita sepatutnya membuat atau meninggalkan sesuatu amalan hanya kerana Allah SWT. Jika kita hanya ada Allah di hati kita, InsyaAllah hati akan tenang dan kita akan mudah membuat keputusan. Apabila kita memburu cinta Allah, itulah sumber segala dan semua cinta. Dalam satu hadis yang panjang, riwayat Bukhari, Nabi SAW berkata, “Apabila Allah SWT menyayangi seseorang, Allah memanggil malaikat Jibril dan mengatakan aku telah mencintai hamba ini, jadi aku ingin seluruh makhluk cintakan hamba ini.” Oleh itu mari kita buru cinta yang satu ini, InsyaAllah semua yang lain akan datang kepada kita. Sebaliknya jika kita memburu cinta-cinta lain yang banyak, akan celarulah hidup kita. Oleh sebab itu, saya dan semua bersetuju bahawa sebesar-besar nikmat ialah nikmat bertauhid kepada Allah SWT, kerana itulah punca ketenangan dan kebahagiaan kita semua.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab