Reset Minda Wanita – Islam Itu Indah 09.05.2012

Prof. Dr. Muhaya Muhamad

Mukaddimah:
Hari ini saya bincangkan spesifik untuk wanita kerana saya teringat kisah Nabi Adam yang berasa sunyi ketika di syurga lalu diciptakan Hawa untuknya. Jadi wanita ini sangat penting sebenarnya, tetapi bukanlah saya mengatakan yang kaum lelaki tidak penting. Daripada kaum wanitalah lahir golongan ibu. Namun tak semua wanita Allah izinkan jadi ibu. Wanita, ketika dia mengandung, segala yang dimakan, difikirkan, dirasakan, semuanya akan mempengaruhi janin. Setelah melahirkan, ibu menyusukan. Jadi segala emosi, perasaan dan makanan ibu akan mempengaruhi susu yang dikeluarkan yang digunakan untuk tumbesaran otak dan fizikal anak. Wanita juga menentukan ‘mood’ di rumah. Berapa ramai wanita yang jika dia ‘bad mood’ di rumah, habis satu rumah pun ‘bad mood’ kerananya? Suami biasanya akan mengikut ‘mood’ isteri.

Wanitalah yang menentukan menu keluarga. Jadi jika wanita itu berilmu, dia akan memilih makanan yang baik dan sihat. Begitu juga makanan rohani. Wanita yang akan menentukan rancangan tv dan radio mana yang akan dipasang di rumah. Makanan rohani seperti emosi dan kasih sayang juga ditentukan oleh wanita. Sama ada dia akan puji suaminya atau kejut anak dengan kasih sayang, semuanya diputuskan oleh wanita. Begitu juga dalam soal kewangan. Kebiasaannya wanita yang akan tentukan apa yang akan dibeli, makanan dari kedai mana yang ingin dicuba, perabot apa yang diinginkan, langsir mana perlu ditukar dan sebagainya. Orang lelaki biasanya baik dan mengikut sahaja. Oleh sebab itu lelaki yang kaya ada tiga sifat – mempunyai hati yang sentiasa bersyukur, lidah yang sentiasa berzikir dan isteri yang solehah. Sesiapa yang dapat isteri solehah memang beruntung kerana apabila urusan akhirat dijaga, urusan dunia pun terjaga sama, anak pun dididik dengan elok. Jadi saya ingin seru agar semua wanita pasang niat untk jadi wanita solehah. Saya tulis di FB saya – “Hari ini niat fikir baik, rasa baik, buat baik.” Hari ini siapa bekerja dengan baik, InsyaAllah bahagia bila balik rumah nanti. Seterusnya lihat semua orang dengan kebaikan. Jadilah pemerhari diri sendiri, bukan sibuk mencari kesilapan orang. Jadi saya harap semua wanita yang mendengar hari ini, sama-sama kita berusaha menjadi wanita mukminah.

Soalan & Jawapan:
S: Saya dan suami OKU penglihatan disebabkan ‘Glucoma’. Suami rabun. Anak baru berumur setahun setengah. Matanya sekarang selalu merah sebelah dan saya risaukan kesihatan matanya?
J: Betul, penyakit ‘glucoma’ ada sedikit peratusan untuk diwarisi. Tetapi saya lebih suka ambil prinsip ini – Hidup kita adalah apa yang kita jangkakan. Kerisauan ibu akan beri aura negatif pada anak. Jadi lebih baik bayang dan fokuskan yang anak ini akan sihat. Jangan terlampau fokus pada matanya yang merah, tetapi fokus pada kakinya yang boleh berjalan, jantungnya yang sihat dan lain-lain lagi. Fokus pada kesyukuran, bukan kesukaran.

S:Saya seorang yang cepat marah sebab dibesarkan oleh ibu bapa yang tegas, jadi bagaimana saya nak ubah?
J: Tentang marah pula – Kita mesti marah pada waktu yang betul, pada orang yang betul, pada kadar yang betul dan dengan sebab yang betul. Bila marah tanya diri kita – adakah kerana peribadi atau kerana agama? Marah kerana agama dibenarkan, tetapi jika marah apabila orang tak buat sesuatu mengikut citarasa kita, itu sebenarnya ego. Jadi bila ego, syaitan banyak bersama kita. Jadi kita semua termasuklah saya ingin melawan marah kita. Jadi kita kena selalu ingat bahawa hanya orang yang ego suka marah. Memang betul, jika dibesarkan dalam suasana dimarahi, kita mudah mengikut cara yang begitu juga. Tetapi bagus kerana Puan sudah sedar dan ingin perbaiki diri. Buat satu jurnal dan catit berapa kali dan kenapa kita marah. Bila terasa nak marah anak atau suami, bayangkan yang anak dan suami akan mati esok. Saya sendiri cuba mengamalkan prinsip bahawa hari ini adalah hari terakhir saya hidup. Jadi bila hari terakhir, kita akan optimumkan masa yang kita ada, tiada masa nak marah, merajuk, mengumpat dan sebagainya.

S: Saya seorang isteri, ibu yang bekerja dan pelajar jarak jauh. Kebelakangan ini saya agak tertekan dengan lambakan ‘assignment’ dan pengurusan rumah tangga. Saya mencadangkan untuk makan di luar tetapi suami tidak setuju dan ingin membantu menguruskan anak sambil saya memasak. Saya tidak dapat membahagi masa dengan bijak dan rasa semua tugas saya nak laksanakan. Mohon panduan Prof untuk cari penyelesaian.
J: Saya juga pernah mengalami situasi seperti ini. Bahagikan kerja kepada apa yang hanya kita boleh buat dan apa yang orang lain boleh bantu. Perhatikan juga kualiti masa yang diluangkan bersama anak. Saya pun kurang setuju makan di luar – kita tak tahu orang itu solat atau tidak, kebersihannya macam mana, kualiti bahan mentahnya bagaimana. Badan kita terlalu bernilai untuk dimasukkan makanan yang kita tak tahu sumbernya. Buat perancangan memasak, tak perlu masak yang susah-susah. Sediakan bahan asas seperti bawang dan cili awal-awal. Kita boleh potong sayur siap-siap sehari sebelum. Jadi bila balik dari kerja, terus mula masak. Saya sendiri buat begitu dan biasa masak menggunakan 4 dapur sekaligus. Buat perancangan dan jangan buat alasan. Buku saya yang seterusnya bertajuk ‘Selamat Tinggal Alasan.’ Wanita, jika sambung belajar atau jawatan tinggi, jangan cepat lupa diri dan berlagak sombong. Biarlah belajar kerana Allah, untuk dapat ilmu dan beri manfaat pada orang. Jangan belajar kerana nak kejar ‘title’. Jangan beri nilai diri kita pada ‘title’ Masters atau Degree yang kita pegang. Buang semua sifat itu. Belajar untuk ilmu, bukan untuk pangkat. Belajar untuk tahu, bukan untuk lulus. Belajar untuk kebijaksanaan, bukan untuk sanjungan orang. Ingat semua ini, InsyaAllah dapat keberkatan. Buat juga perancangan untuk jadual anak-anak. Berbincang dengan suami dan jika suami tidak setuju, isteri kena taat. Hanya ketaatan pada suami boleh beri kebahagiaan pada isteri. Jika suami tak gembira, pasti isteri takkan bahagia juga.

S: Saya selalu ingin bawa kebaikan dalam keluarga. Bagaimana untuk melakukannya secara konsisten dan berdisiplin? Saya bersyukur mempunyai suami dan dua orang anak.
J: Puan ini termasuk dalam golongan beraura tinggi kerana mempunyai emosi kasih sayang dan kesyukuran. Tanpa dua emosi ini, kita pasti risau, tertekan, takut, marah, benci dan dendam. Inilah orang aura negatif. Orang aura negatif, anaknya sentiasa sakit dan suami pun tidak sukakannya. Jadi pastikan indeks emosi kita penuh dengan kasih sayang, kesyukuran, penghargaan, memuji orang dan melihat kebaikan orang. Tetapi, biasalah orang kita bersemangat itu sekejap sahaja. Jadi saya pun ambil peluang untuk promosi sedikit di sini. Saya telah terbitkan buku yang dipanggil ‘Jurnal Inspirasi Diri’. Jurnal selama 40 hari ini akan membantu anda berubah. Pada hari pertama, saya berikan kata-kata hikmah dan minta pembaca menulis setiap hari ‘Saya gembira dan bersyukur kerana….’, ‘Apakah fikiran negatif yang menghalang kejayaan saya?’, dan ketiga ‘Apakah tabiat negatif yang saya boleh ubah untuk mencapai kejayaan.’ Terdapat juga lima kategori iaitu Misi, Visi & Matlamat harian, Lima fokus dan audit harian untuk hal-hal berkaitan fizikal, mental, kerohanian, hubungan dengan orang lain dan kewangan. Saya ada berjumpa dengan seorang wanita yang sudah buat jurnal selama 24 hari dan katanya dia sungguh tenang. Dia menceritakan pengalamannya dalam jurnal itu - pada permulaannya penuh dengan perkara-perkara negatif tetapi semakin lama semakin banyak perkara positif yang direkodkan. InsyaAllah setelah 40 hari nanti akan terus berubah menjadi positif. Tak kisahlah nak buat jurnal macam mana sekalipun, tapi jurnal adalah sesuatu yang sangat membantu. Apabila kita menulis, otak akan membaca dan merangsang sel otak untuk mengeluarkan hormon berdasarkan imej yang kita ada. Jadi jika imej itu positif, hormon positif yang akan dikeluarkan. Tetapi jika gambar negatif, hormon negatiflah yang akan keluar.

S: Saya mohon nasihat kerana saya baru balik kursus perkahwinan dan saya perhatikan banyak pasangan sebelum berkahwin lagi telah intim.
J: Betul, saya sendiri teringin untuk membuat satu kursus yang dipanggil “Kursus Bakal Pengantin”. Saya minta maaf jika ada pihak yang terlibat dengan kursus perkahwinan yang terasa, tetapi pada pendapat saya, pengisian kursus perkahwinan bukan sekadar kepada teknikal tetapi perlu lebih kepada kerohanian. Saya juga ingin berpesan agar mereka yang ingin berkahwin menjaga batasan pergaulan. Saya ada mendengar daripada rakan Ustazah Pilihan bahawa banyak pasangan yang mengalami masalah rumahtangga adalah mereka yang tidak menjaga batasan pergaulan sebelum berkahwin. Jadi, kepada semua bakal pengantin, terutamanya wanita, tolong jaga diri. Timun yang dilonggok di pasar murah saja harganya, tetapi buah yang mahal, dibungkus rapi dan diletak di tempat yang tinggi. Jadi jika kita jadi wanita yang terbuka sana, terbuka sini, masuklah kita dalam ‘longgokan’ timun yang murah itu. Tetapi jika kita menutup diri dengan rapi, jadilah seperti buah yang ekslusif. Jangan sekali-kali kata yang saya zahir saja begini, tetapi hati baik. Dalam Islam, jika hati tidak baik, luaran pun tidak akan baik. Dunia dalaman mempengaruhi dunia luaran kita. Kita ada akal, ada hati dan fizikal yang yang melakukan apa yang tersirat di hati.

S: Macam mana nak tetap dalam memberi teguran kepada suami dan anak-anak, kerana ada kalanya mereka melenting juga? Saya cuba beri pujian dan tegur dengan kasih-sayang, cuma sedikit risau kerana umur saya yang makin lanjut.
J: Ada tiga perkara yang kita tak boleh buat: Satu – menghukum orang, dua – mencari justifikasi atas kesilapan sendiri, dan tiga – menegakkan benang yang basah. Sebelum tegur orang, kita kena beri kasih sayang dulu. Jika ada kasih-sayang, bila ditegur orang mudah nak ikut. Orang dengar cakap kita bukan kerana kita pandai, tetapi kerana kita baik hati. Mungkin kita risau bila anak atau suami lambat berubah, tetapi cuba perhatikan walau 1% sekalipun perubahan yang dilakukan. Jangan fokus pada apa yang dia belum buat, sebaliknya fokus pada apa yang dia telah buat. Beri pujian dan galakan atas perubahan yang telah dilakukan. Jika masih belum berubah juga, kita tidak boleh berputus asa kerana hidayah itu urusan Allah SWT. Allah tidak melihat keputusan, tetapi Allah melihat usaha kita.

S: Apa persediaan terbaik seorang gadis untuk menjadi wanita yang soleh dan mampu menggalas tanggungjawab menyara keluarga kerana ayahnya sakit?
J: Dalam Islam, umur 25 tahun itu dewasa dan matang pada umur 40 tahun. Sebelum umur 25 tahun, banyak perubahan yang berlaku. Jadi cara terbaik menyediakan diri adalah mencari ilmu. Remaja wanita kena baca buku ilmiah untuk santapan rohani, jangan mengadap majalah fesyen , masakan atau hiburan sahaja. Hati perlu dididik dengan baik.  Bagi wanita yang perlu menjaga ayahnya yang sakit pula, daripada pengalaman saya, orang yang jaga orang sakit, InsyaAllah dia akan diberi kesihatan. Kenapa? Kerana Allah tahu kesihatannya digunakan untuk kebaikan. Jadi kita semua hari ini perlu berniat untuk menggunakan kesihatan yang ada untuk mengabdikan diri kepada Allah. Kita perlu jadi orang mukmin, muhsin (buat perkara baik) dan muttaqin (sentiasa bergantung pada Allah) sepanjang masa. Jadikan keadaan ayah yang sakit sebagai peluang untuk menambah pahala. Arwah ayah saya selalu pesan – “Manusia tidak mahu buat baik kerana mereka tidak nampak pahala.” Itulah iman – percaya pada benda ghaib – dosa dan pahala adalah perkara yang kita tidak nampak.

S: Bagaimana pula jika kita sendiri sebagai ibu merasa tidak dapat memberikan didikan yang terbaik kepada anak-anak. Anak-anak tidaklah pula merungut, cuma saya tertanya-tanya cukupkah didikan yang diberikan selama ini?
J: Betul, saya sendiri pun rasa begitu dan saya juga minta maaf pada anak atas kekurangan didikan.  Saya minta anak mencari ilmu sendiri andai didikan saya tidak mencukupi. Betul, kita takut amalan kita tidak diterima Allah, tetapi pada masa yang sama, kita perlu mengharap pada Allah. Kita perlu imbangkan dan banyakkan imej positif – contohnya: “Hari ini aku hendak hidup seperti ahli syurga”, dan InsyaAllah kita akan berkelakuan baik hari itu.

S: Kakak mendapat penyakit yang diwarisi dari ibu. Dia selalu memarahi ibu dan membesarkan perkara-perkara yang remeh. Ibu pula diam sahaja. Bagaimana saya sebagai adik untuk menasihati kakak?
J: Bukan mudah nak nasihatkan orang, terutamanya kakak kita pula. Kita juga perlu berasa kasihan dan cuba memahami keadaan kakak yang mungkin sukar menahan kesakitan kerana penyakitnya itu. Cuba beri kasih sayang pada kakak dan berhenti memandangnya dengan pandangan yang negatif. Mata kita hanya nampak apa yang kita percaya. Jadi jika kita bersangka buruk, kita takkan nampak kebaikan yang seseorang itu lakukan. Saya yakin ibu itu diam kerana dia mengampunkan. Bila kakak buat baik, puji dan beri galakan padanya. Bila imej dirinya positif, dia pun akan banyak buat tindakan positif. Saya menyeru semua wanita agar berniat untuk menjadi wanita solehah dan tetapkan ‘Top 10 Goals’ – contohnya – solat tepat pada waktu, tutup aurat dengan sempurna, doa diringankan jodoh, minta dapat zuriat yang baik dan sebagainya. Dengan impian dan imej positif sebegini, InsyaAllah kita akan berubah ke arah kebaikan.

S: Suami seorang yang baik, tetapi tidak solat dan sukar untuk memintanya solat. Anak-anak semua solat. Bagaimana untuk mengajaknya solat?
J: Saya nak cerita sedikit: Baru-baru ini anak saudara terdekat saya nak berkahwin, jadi saya tanya dia, “Tunang ni solat 5 waktu tak?” dan jawabnya “Entah”. Orang sekarang tidak menitik-beratkan soal agama dalam mencari pasangan hidup. Yang kedua saya tanya, “Merokok atau tak?”. Pada pendapat saya, jika solat tak buat, merokok pula, saya nasihatkan pada kaum wanita jangan ‘masuk mulut buaya’ sebegini. Saya minta maaf kerana saya agak tegas dalam hal ini. Kepada Puan yang bertanya, saya ada pengalaman begini juga, di mana suami seorang saudara baik orangnya cuma tidak solat. Alhamdulillah di akhir hayatnya Allah beri hidayah untuk dia mengerjakan solat. Mungkin kerana akhlaknya dengan manusia baik. Jadi, Puan perlu teruskan berdoa dan jangan pandang negatif pada suami. Mohon semua pendengar turut doakan hidayah untuk suami Puan juga.
           
S: Alhamdulillah, berkat mengamalkan nasihat dan kenyataan yang Prof berikan memberi kesan positif kepada anak-anak saya. Baru-baru ini anak sulung yang berumur 17 tahun menulis di kenyataan di dinding FB menyatakan terima kasih kerasa saya bersabung nyawa untuk melahirkannya.
J: Sempena Hari Ibu ini saya nak juga sebut, kepada para suami muda yang baru melihat kesusahan pertarungan isteri untuk melahirkan zuriat, hargailah isteri anda. Tetapi yang lebih penting lagi ialah hargailah ibu anda 100 kali ganda lebih kerana begitulah juga sukarnya ibu melahirkan anda ke dunia. Saya pernah sebut begini kepada seorang saudara lelaki, dan bila ibunya dengar, berjurai jatuh air mata ibunya. Ibu takkan sebut atau ungkit perkara sebegini, jadi saya nak sebut bagi pihak semua ibu di Malaysia. Setelah melihat kesusahan isteri melahirkan anak, kenangkanlah ibu anda, ‘sujudlah’ padanya dan berterima kasih kepadanya atas segala yang diperolehi di dunia. Kepada kaum isteri pula, ingat untuk berterima kasih kepada ibu mertua. Lebihkan ibu mertu daripada ibu sendiri kerana kita baru kenal ibu mertua kita. Ucapkan terima kasih kerana mereka melahirkan, menjaga dan mendidik suami kita sehingga suami menyayangi, melindungi dan membimbing kita ke syurga, InsyaAllah. Ibu mertua pun begitu, lebihkan menantu daripada anak sendiri, kerana anak kita dah kenal dari dalam perut, tetapi menantu kita baru kenal.

S: Biasanya suami lebih sayangkan isteri daripada ibunya sendiri. Mohon komen Prof.?
J: Isteri jangan jadi penyebab suami derhaka kepada ibunya. Sesiapa nak pilih menantu lelaki, lihat bagaimana ayahnya melayan ibunya. Anak biasanya akan ikut cara ayahnya, jadi bagaimana ayah melayan ibunya, begitulah dia akan melayan anak perempuan kita nanti.

S: Saya cuma nak berkongsi pengalaman. Yakinlah yang Allah akan beri kebahagiaan kepada kita apabila kita berniat untuk buat baik dan tinggalkan kejahatan sepanjang masa.
J: Saya setuju, komen yang tepat sekali.

S: Saya pelajar tahun akhir IPTA dan saya semakin sibuk dengan projek akhir semester, dan fikiran agak serabut kerana fikir nak cari kerja dan juga fikir nak kahwin. Mohon Prof kongsi tips atau pengalaman untk menghadapi situasi begini.
J: Seorang anak muda yang proaktif kerana dah fikir tentang masa hadapan. Manusia ada tiga jenis – buat benda berlaku, tunggu benda berlaku atau tak tahu apa yang berlaku. Orang yang buat benda berlaku cuma 5% sahaja dan inilah orang yang berjaya. Kebanyakan kita hanya tunggu sesuatu berlaku dan kemudian baru fikir apa yang perlu dilakukan. Dalam menghadapi semester akhir ini, tentukan apa keutamaan kita. Tanpa keutamaan, kita tiada kehidupan. Orang yang tiada masa adalah kerana dia tidak ada keutamaan, tidak mahu untuk mendahulukan yang mana satu. Jadi saya nasihatkan jangan buat semua perkara serentak (multi-tasking). Buat satu perkara pada satu-satu masa. Saya nak kongsi satu formula – sebelum tidur, tulis 6 perkara yang kita nak buat esok hari. Lepas itu bila bangun, buat yang pertama dulu. Masa buat perkara pertama, jangan fikir perkara kedua. Sudahkan yang pertama dahulu, kemudian baru mula perkara kedua. Kita kena tulis atas kertas, bila tulis, perkara yang perlu dibuat jadi lebih jelas. Jangan sebut perkataan serabut kerana bila dah tulis, tak banyak sebenarnya perkara yang perlu dibuat itu. Contohnya jika tak boleh balik kampung kerana ada tugasan penting, telefon ibu mohon izin tidak dapat pulang untuk siapkan kerja. Penyelesaian cuma ambil masa 2-3 minit sahaja. Saya juga ingin cadangkan kita mohon doa minta keberkatan waktu. Dengan keberkatan dalam waktu, contoh macam sekarang, rasa sekejap sahaja tetapi banyak dapat berkongsi ilmu. Syukur, Alhamdulillah. Tentang soal nak kahwin pula, bolehlah buat perancangan awal. Tentang bagaimana nak jadi pelajar cemerlang pula, saya ada kongsi tips dalam sebuah buku, jadi boleh dapatkan buku dan jadikan rujukan. Cari kawan-kawan baik yang dapat membantu kita fokus dalam pelajaran. Jika nak buka FB, buka untuk satu minit sahaja. Buka dan cari kata-kata inspirasi, contohnya dari ‘Fanpage’ saya dan kemudian tutup.

S: Apa pandangan Prof memukul anak untuk mengajar?
J: Ini jangan buat langsung. Anak-anak masa 0-7 tahun akan ‘download’ semua apa yang kita buat. Jadi bila kita pukul dia, dia akan belajar bahawa untuk mengajar perlu dipukul. Ini juga boleh menjadi punca kes buli di sekolah. Kita kena ajar anak menggunakan kasih sayang. Banyakkan belaian dan pujian. Anak-anak yang dipuji akan mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Sebagai perkongsian, saya masa kecil dahulu, selalu dipuji “Bertuah, pandai” dan tidak pernah dikata bodoh.

S: Bagaimana untuk mengubah sikap suami yang panas baran selain berdoa, kerana isteri dan anak-anak sering menangis dan memendam rasa dengan sikap bapa.
J: Cuba gunakan ‘handphone’ dan rekod waktu ayah tengah marah. Masa ayah sedang ‘mood’ baik cuba tunjukkan balik padanya. Kadang-kadang orang yang marah ini dia kurang keyakinan diri sebenarnya, jadi isteri cuba puji suami lebih sedikit. Orang yang berjaya biasanya sangat lemah-lembut dengan isteri. Orang yang tak berkuasa yang biasanya tak tunjuk kuasa. Orang yang tak tahu yang ‘banyak’ bercakap.

Saya minta maaf dengan semua ustaz, ustazah dan orang lain yang lebih berilmu. Saya suka menerima teguran, jadi jika ada kesilapan mohon teguran.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab