Remaja Berilmu & Beramal (2) – Tanyalah Ustaz 31.05.2012


Ustaz Zamri Zainuldin


Bacaan surah Al-Kahfi ayat 13-14 yang bermaksud:
[13] Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.
[14] Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran."

Ayat yang dibacakan tadi merupakan pengiktirafan Allah terhadap Ashabul-Kahfi, iaitu 7 orang anak muda. Mereka ini orang muda, remaja yang mengatakan bahawa Allah itu benar dan mereka dikejar, lalu mereka bersembunyi bersama anjing-anjing mereka di dalam sebuah gua. Allah menidurkan mereka selama 309 mengikut satu riwayat, sebelum dibangkitkan semula. Banyak lagi kisah pemuda hebat dalam Islam. Contohnya Salahuddin Al-Ayubi yang merupakan pemimpin dan pahlawan Islam terkemuka juga merupakan seorang pemuda ketika mengetuai peperangangan dan membuka Baitul Maqdis. Muhammad Al-Fateh juga membuka Konstantinopel ketika berumur belasan tahun dan masih lagi remaja. Nabi Muhammad SAW mengatakan bahawa pembuka kota Konstatinopel merupakan sebaik-baik pemimpin, dan pengikutnya merupakan sebaik-baik pengikut. Penonton di studio bersama hari ini merupakan remaja-remaja yang baik juga dan sukakan ilmu.

Senarai soalan & jawapan:
S: Bolehkah berdoa dalam Bahasa Melayu ketika sujud?
J: Nabi menegaskan dalam satu hadis yang bermaksud, “Sedekat-dekat manusia kepada Allah ialah ketika sujud.” Oleh sebab itu dianjurkan untuk banyak berdoa ketika kita sujud. Jika doa itu di dalam bahasa Arab, bolehlah dilafazkan. Jika dalam bahasa lain, cukuplah sekadar di dalam hati. Allah tidak pernah marah jika kita suka meminta, jadi banyakkanlah meminta pada Allah.

S: Adakah isteri dikira derhaka sekiranya tidak diizinkan oleh suaminya untuk tinggal bersama ibunya?
J: Sebagai manusia, kita patut taat yang pertama Allah dan kedua Rasul. Orang ketiga yang kita perlu taat pula berbeza mengikut jantina dan status. Bagi anak lelaki dan perempuan yang belum berkahwin, orang ketiga yang wajib ditaati ialah ibu. Bagi perempuan yang sudah berkahwin pula, orang ketiga yang perlu ditaatinya ialah suaminya. Oleh itu ibu perlu faham bahawa anak perempuannya perlu mentaati suaminya melebihi ibunya. Namun, sebagai anak, isteri perlulah pandai memujuk suami untuk kerap melawat ibunya sendiri dan supaya ibu tidak dilupakan terus.

S: Apakah hukum menulis dan menggunakan tangkal?
J: Berkenaan tangkal, Islam memandang tangkal dalam dua perkara. Pertama: Nabi SAW ada bersabda dalam hadis yang bermaksud, “Sesungguhnya jampi, tilawah (menjadikan isteri mencintai suami seperti penggunaan minyak dagu) adalah berbentuk kesyirikan”. Jadi bila syirik automatik jadi haram dan berdosa. Tetapi ada satu lagi hadis sahih, riwayat Bukhari menceritakan apabila Nabi ditanya tentang jampi yang pelik-pelik. Lalu Nabi menjawab bahawa ia adalah amalan syaitan. Kemudian ada lagi satu hadis sahih, riwayat Abu Daud yang bermaksud, “Tidak salah menggunakan tangkal selagi tidak syikrik.” Jadi pada dasarnya boleh jika tidak mengandungi unsur syirik. Tetapi jika diperhatikan betul-betul, 80-90% tangkal merupakan sesuatu yang disalah gunakan. Walaupun ada yang menggunakan ayat Al-Quran, namun ada yang dicampur dengan benda-benda yang kotor seperti darah haid dan lain-lain dengan tujuan yang jahat. Ini yang menjadikan penggunaanya bermasalah. Jadi, kesimpulannya, boleh digunakan jika menggunakan ayat Quran yang betul dan tidak membawa syirik. Tetapi ramai ulama lebih gemar memilih untuk 'jalan yang menutup kepada jalan-jalan syirik' dan menolak penggunaan tangkal. Ini kerana kebiasaanya jika orang menggunakan tangkal, orang itu biasanya akan lebih bergantung kepada tangkal dan tidak pada Allah. Walaupun ada yang menggunakan Al-Quran, ulama berpendapat Al-Quran adalah untuk dibaca dan bukan untuk digantung dan dijadikan azimat. Jangan sekali-kali bawa Al-Quran ke dalam tandas.

S: Apakah maksudnya jika saya bermimpi dipatuk ular?
J: Berdasarkan sedikit ilmu yang pernah dipelajari, mimpi tersebut mungkin berkaitan sihir jika ular itu ular yang hitam, mimpi tersebut berulang-ulang dan ular itu seolah-olah mengejar. Walaubagaimanapun dapatkan rawatan doktor terlebih dahulu dan jika sudah dipastikan tiada penyakit, usahakanlah bertemu pengamal perubatan Islam. Mimpi sendiri terbahagi kepada 3. Pertama: mimpi yang benar dan biasanya berlaku kepada para Nabi, dan amat sukar berlaku kepada orang umum. Kedua pula mimpi daripada syaitan ialah mimpi-mimpi yang buruk. Ketiga pula ialah mimpi kerana psikologi. Contohnya jika terlalu banyak memikirkan sesuatu sehingga terbawa-bawa ke dalam tidur. Jadi, jangan terlalu percaya kepada mimpi.

S: Bagaimana untuk membantu rakan yang bergaduh? Antara mereka ada yang suka 'bawa mulut, panas baran dan sukar bekerjasama. Saya cuba boleh menyuruh rakan sabar.
J: Pertama, cuba memahami masalah di kedua-dua belah pihak, jangan dengar pihak rakan kita sahaja. Jika masih panas baran, ketika marah, pegang dada dan ucapkan 'Astagfirullah hal 'azim'. Cuba 'pause' dulu dan beristighfar berulang-kali. Bila dengar orang mengutuk kita pun, ucapkanlah istighfar. Langkah kedua, tapis dengan iman tindakan yang ingin kita lakukan. Fikirkan dahulu adakah baik atau buruk tindakan yang ingin kita lakukan. Jika tindakan itu sesuatu yang jahat hati kita akan gelisah dan kita malu jika orang tahu perbuatan itu. Jika sudah begitu, lebih baik tinggalkan. Langkah ketiga pula gunakan imaginasi. Bayangkan apa kesan tindakan kita kepada pihak lain. Contoh, jika ingin bergaduh, bayangkan apa kesannya kepada orang sekeliling. Jika kita bergaduh dengan seseorang, tidakkah rakan-rakannya akan menyerang kita pula? Setelah membuat ketiga-tiga langkah ini, buatlah pilihan yang baik. Sesungguhnya dalam hidup ini kita selalu membuat pilihan, jadi pilihlah yang baik-baik. Erti hidup itu pada membuat pilihan, sepertimana firman Allah dalam surah As-Shams, ayat 9-10 yang bermaksud:
[9] Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),
[10] Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).
Oleh itu cuba amalkan ketiga-tiga langkah tadi sebelum membuat sesuatu tindakan. Amalkan banyak senyum, tapi bukan sebarang senyum, senyum sambil sebut tiga (ikut dialek KL dan Selangor). Semoga dengan senyum tak jadi nak gaduh :D

S: Bolehkan orang Islam itu mencuri dan menggunakan barang dicuri itu untuk berdakwah?
J: Dalam Islam, matlamat tidak menghalalkan cara. Islam menghormati hak orang lain dan masih ada banyak alternatif lain untuk berdakwah.

S: Bolehkah mewarnakan rambut?
J: Pada asalnya, di zaman Nabi dulu ada sahabat mewarnakan rambut menggunakan inai. Tujuan mereka adalah untuk menampakkan seolah-olah tentera Islam muda-muda semuanya. Apa yang dilarang ialah mewarnakan uban dengan warna hitam kerana uban itu mengingatkan kita kepada mati. Jadi pada dasarnya hukum mewarnakan rambut harus, dengan syarat pertama: bahan pewarna tidak mengandungi najis, kedua: pewarna tidak menghalang air sampai kepada rambut dan ketiga: tengok keadaan. Contohnya jika tiba-tiba Ustaz Zamri mewarnakan rambut warna pink – sangatlah tidak sesuai. Begitu juga jika perbuatan itu menyerupai gaya atau perbuatan orang beragama lain, ianya boleh jadi haram. Terpulanglah pada semua untuk menimbangkan ketiga-tiga syarat ini dan buatlah keputusan sendiri.

Kesimpulan:
Ilmu itu amat penting sebelum kita bertindak atau beramal. Sebab itu Allah SWT menegaskan dalam firmannya “Adakah sama orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu?”. Tentulah tidak sama. Namun, orang yang berilmu sahaja juga tidak berguna jika tidak diamalkan. Allah juga berfirman “Beramallah dan amalan kamu itu Allah, Rasul dan orang -orang mukmin akan melihat. Amalan itu akan dikembalikan kepada alam ghaib dan penyaksian. Ketika itu kamau dikhabarkan satu persatu apa yang kamu amalkan”. Semua amalan akan ditunjukkan kembali kepada kita di hari akhirat. Ketika itu jika kita tiada amalan, kita akan merayu memohon untuk dikembalikan ke dunia. Tapi bolehkah? Tentulah tidak boleh. Jadi beramallah dengan ilmu yang ada.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab