Rukun & Pergerakan Dalam Solat (2) – Tanyalah Ustaz 12.05.2012


Ustaz Dr. Zahazan Mohamed

Bacaan surah Al-Baqarah, ayat 143, yang bermaksud:
Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).”


Semasa di Mekah, setelah solat difardhukan, kiblat diarahkan ka arah Baitul Maqdis dan itu menjadikan Kaabah berada di tengah-tengah dan dihujungnya ialah Baitul Maqdis. Namun, setelah berpindah ke Madinah, Nabi SAW tidak lagi dapat menjadikan Baitullah berada ditengah-tengah antara Baitul Maqdis dan sekaligus terhalang daripada menghadap kedua-dua Baitullah dan Baitul Maqdis serentak. Nabi SAW berasa sedih kerana baginda sangat cintakan Kaabah yang dibina oleh datuknya Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Setelah 14 atau 17 bulan, Allah turunkan ayat memerintahkan agar kiblat ditukar ke arah Baitullah. Peralihan berlaku ketika Nabi dan sahabat solat berjemaah di Masjid Qiblatain. Peralihan berlaku sehingga hampir 190 darjah, sehinggakan jemaah lelaki dan perempuan terpaksa bertukar tempat. Masjid ini merupakan salah satu tempat yang biasanya diziarahi dalam pakej Umrah. Tiada kelebihan tertentu melawati masjid ini, tetapi jika melawat Masjid Quba', ada hadis mengatakan jika pergi dalam keadaan berwuduk daripada rumah dan kemudian solat 2 rakaat di situ akan mendapat pahala seumpama mengerjakan umrah. Sebagai rujukan sebelum melakukan umrah atau haji, bolehlah rujuk dua buah buku yang sangat penting – 'Mekah – Sejarah dan Kelebihan' dan 'Madinah – Sejarah dan Kelebihan'. Buku-buku ini dipenuhi fakta menarik dan illustasi hasil tulisan Dr. Abdul Basit Abdul Rahman, seorang ustaz yang tidak asing lagi di negara kita.

Oleh kerana berlaku pertukaran kiblat ini, sahabat tertanya-tanya bagaimana keadaan orang-orang sebelum ini yang telahpun meninggal dunia dan solat ke arah Baitul Maqdis. Kisah yang sama berlaku juga kepada seorang sahabat yang menelefon semalam. Katanya sebuah masjid di KL telah tersilap arah kiblat, jadi bagaimana solat orang-orang disitu sebelum ini? Kadang-kadang perkara begini boleh berlaku dan kiblat agak lari daripada arah sebenar. Daripada surah Al-Baqarah, ayat 145, maksudnya: “Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui.” Oleh itu janganlah risau kerana Allah takkan mensia-siakan iman seseorang. Jadi tak perlulah kita saling berbalah. Lebih baik pihak masjid mohon bantuan jabatan agama dan mufti untuk menetapkan memberi arah kiblat yang tepat. Tak perlu robohkan masjid, cukuplah sekadar menutup mihrab yang lama dan alihkan arah karpet jika boleh, atau buat garisan baru dan buat tempat imam yang baru.

Antara perkara yang makruh yang dilakukan ketika qiyyam adalah meletak tangan di pinggang. Perlakuan ini seolah-olah bercekak pinggang dan sombong kepada Allah. Meletakkan tangan antara pusat dan dada bertujuan mendatangkan kusyuk dalam solat. Begitu jugalah kedudukan tangan kita ketika kita meninggal.

Siwak atau bersugi merupakan sesuatu yang Rasul SAW amat sukai, sehinggalah ketika hampir wafat sekalipun, baginda masih lagi pegang kayu siwak. Ada banyak kelebihan bersugi, antaranya mencerahkan mata, memudahkan menghafal Al-Quran dan menghilangkan kahak berlebihan. Nabi SAW sendiri pernah bersabda yang bermaksud, “Kalaulah tidak kerana memberatkan umatku, nescaya aku akan wajibkan mereka bersiwak.” Mereka yang pergi ke tanah suci, elok sekiranya bawa pulang kayu sugi dan perkenalkan kepada anak-anak kecil.

//Ustaz menunjukkan illustrasi pergerakan solat yang dipetik daripada buku 'Eksikopedia Solat'. 

Buku ini telah mendapat anugerah 'Buku Terbaik 2012'. Oleh itu, jadikanlah ianya sebagai hantaran perkahwinan atau hadiah kepada anak-anak supaya dapat menjadi rujukan berguna sekeluarga. Ulangkaji ilmu solat kita dari semas ke semasa. Jangan pandang ringan ibadah solat kerana ianya merupakan ibadah pertama yang akan Allah tanya. Dalam buku ini dikumpulkan tentang fiqah, falsafah, sejarah dan saintifik ibadah solat.

Soalan & Jawapan:
S: Adakah bersin atau batuk banyak kali boleh membatalkan solat?
J: Tak batal jika tidak sengaja. Tetapi jika sengaja berdehem-dehem, itu boleh membatalkan solat.

S: Jika menjadi imam dan kita sakit perut, perlukah memberhentikan solat?
J: Perkara makruh yang dilakukan ketika solat adalah menahan buang air besar atau kecil. Oleh itu, walaupun jadi imam, lebih baik keluar dan katakan pada jemaah 'Sempurnakanlah solat kamu'.Solat yang tidak kusyuk tiada nilai di sisi Allah. Seeloknya orang di belakang imam menggantikan tempat imam untuk meneruskan solat.

S: Batalkah solat seseorang yang mengangguk terlalu banyak kali ketika membaca Fatihah?
J: Pergerakan kepala tidak membatalkan solat kerana yang dimaksudkan berdiri tegak ialah tubuh badan kita. Tetapi jika mendongak ke langit, itu makruh hukumnya. Kita perlu tunduk dan lihat tempat sujud. Nabi SAW ada bersabda bahawa ketika solat perhatikan 2 benda hitam iaitu kala jengking dan ular. Oleh sebab dikatakan membuka mata ketika solat merupakan sunnah. Ramai imam mengatakan jika menutup mata hukumnya makruh, tetapi Imam Nawawi berkata sekiranya menutup mata boleh mendatangkan kusyuk, ianya tidak menjadi makruh. Begitu juga jika bangun solat tahajjud, sekiranya merasa lebih kusyuk dengan menutup lampu, tidaklah menjadi kesalahan solat sebegitu.

S: Adakah wujud pergerakan solat antara lelaki dan perempuan?
J: Benar, ada perbezaan dalam beberapa perkara seperti duduknya, sujudnya dan sebagainya. Di dalam buku 'Formula Solat Sempurna' ada ditunjukkan perbezaan ini. Perbezaan wujud kerana lelaki dan perempuan berbeza.

S: Jika seorang surirumah sedang solat, dan kemudian anak kecilnya datang duduk diribanya, adakah batal solatnya kerana ada kemungkinan ada najis dalam lampin anak itu.
J: Jika najis tidak keluar, tidak mengapa dan boleh ditolak anak ini perlahan-lahan untuk meneruskan solat. Tetapi jika najis itu terkeluar, perlu dibersihkan dahuu dan diulang solat.

S: Bolehkah kita membaca doa-doa lain selepas bacaan dalam sujud?
J: Dalam satu hadis sahih, Nabi bersabda, “Sedekat-dekat kamu dengan Tuhanmu adalah ketika kamu sedang sujud. Jadi perbanyakkanlah doa ketika itu”. Kita boleh doa apa-apa saja. Jika boleh berdoa dalam bahasa Arab, boleh dilafazakan, tetapi jika tidak boleh, berdoa dalam hati menggunakan Bahasa Melayu. Doa boleh dilakukan pada setiap kali sujud. Ketika sujud kita meletakkan diri sebagai seorang yang hina di sisi Allah.

S: Mohon pandangan ustaz tentang satu saranan melakukan doa tahiyyat akhir seperti berikut:
"Allahumma 'auzubika min 'azaabi jahannam, wa 'auzubika min 'azaabil qabri, wa 'auzubika min fitnatil mahyaa wal mamaat, wa min syarri fitnatil masiihid dajjal", maksudnya:
"Ya Allah ya tuhanku, aku berlindung dengan-Mu dari seksa Jahanam, dan aku berlindung denganMu dari seksa kubur, dan aku berlindung dengan-Mu dari fitnah orang yang hidup atau mati, dan aku berlindung denganMu dari fitnah al-Masih Dajjal"
J: Memang ada hadis Nabi SAW berkenaan doa ini. Doa ini memohon perlindungan daripada empat musibah – azab api neraka, seksa kubur, fitnah kehidupan dan selepas kematian dan fitnah dajjal. Nabi SAW juga menekankan yang doa pada waktu itu amat mustajab. Sheikh Muhammad Ali Jumaah mengatakan bahawa Mazhab Hambali mengutamakan berdoa sebelum memberi salam dan selepas memberi salam. Doa selepas solat juga merupakan antara waktu mustajab doa. Ada satu doa yang menjadi amalan Sayidina Abu Bakar dan Nabi SAW mengiktiraf doa ini. Doa ini ada saya kumpulkan dalam buku tulisan saya bertajuk '101 Doa Daripada Hadih Sahih'. Sila dapatkan di kedai buku terdekat.

S: Persoalan berkaitan dengan Qiyyam selepas takbir.
J: Rukun yang penting dalam solat ialah wuduk dan takbir. Takbir perlu dilakukan dalam keadaan berdiri tegak. Ada orang yang kerana ingin mengejar imam dan takbir sambil bergerak sebelum memasuki saf. Ini salah kerana perlu takbir dengan berdiri tegak di tempat solat.

S: Bagaimana mendapatkan kusyuk dalam solat?
J: Perlu ulang kaji semula cara solat kita.Kusyuk bersifat rohaniah dan ianya merupakan sesuatu yang kita tidak nampak. Ada satu hadis Nabi yang mengatakan bahawa di akhir zaman nanti, di dalam sesuatu jemaah, ada kemungkinan tiada seorang pun yang kusyuk.

S: Mohon penjelasan ustaz mengenai 'mencuri' dalam sembahnyang?
J: Ada satu hadis menyebut bahawa seburuk-buruk kecurian adalah mencuri dalam sembahyang, iaitu apabila pergerakan solat seseorang tidak dilakukan dengan sempurna. Seumpama kita bina bangunan, jika simen tak cukup, besi tak cukup maka akan runtuhlah bangunan itu. Begitu juga dengan solat yang dilakukan dalam keadaan tergopoh-gapah, solat itu tidak berkualiti. Rukun penting yang kita perlu pelajar ialah – Takmaninah iaitu berehat sebentar dengan kadar membaca paling pendek “Subhanallah”. Jika takmaninah lebih pendek daripada itu, solat tidak sah.

S: Ketika tahiyyat akhir, ramai orang yang ibu jari kakinya tak tegak (terpacak) termasuklah imam. Apakah hukumnya?
J: Memacakkan kaki ini berlaku ketika sujud dan duduk tawarruk ketika tahiyyat akhir. Ketika tahiyyat akhir, duduk tawarruk itu sunat sahaja. Cuma ketika sujud, perlu dijaga tujuh anggota agar menyentuh bumi. Sila rujuk buku buku 'Formula Solat Sempurna', tulisan Dr. Zaharudin Abdul Rahmanm yang juga ada versi Bahasa Inggeris di bawah tajuk 'Comprehensive Prayer Formula'.

S: Adakah nas yang menyebut tentang solat hormat waktu dan kemudian kita qada'.
J: Akan dijawab esok, InsyaAllah.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab