Usah Mengalah Dalam Mujahadah – Mukmin Profesional 24.09.2012
Ustaz Pahrol Mohd Juoi
Alhamdulillah Allah memilih kita untuk
sekali lagi berada di dalam majlis ilmu. Semoga Allah juga memberi
kita kekuatan untuk mengamalkan ilmu yang dipelajari.
Mutiara kata sebagai mukadimah bicara:
Apabila hati resah, pasti ada perintah
Allah yang belum dilaksanakan atau larangan Allah yang telah
dilanggar ataupun kedua-duanya sekali. Jesteru, beristighfarlah.
Paksa diri dan hati untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan
kejahatan. Ingatlah wahai diri – melakukan taat lebih mudah
daripada melakukan maksiat. Jika taat itu pedih, sesungguhnya maksiat
itu lebih pedih.
Kita sentiasa berhadapan dengan 2
perkara dalam kehidupan – perkara yang perlu dilakukan dan perkara
yang suka dilakukan. Contoh perkara yang perlu ialah membaca,
bekerja, beribadat dan seumpamanya dan perkara ini biasanya tidak
disukai hawa nafsu. Contoh perkara yang disukai pula ialah berehat
yang berlebihan, berhibur berlebihan, mengumpat dan seumpamanya.
Kedua-dua perkara ini bersifat berlawanan – kita tak suka buat
perkara yang kita perlu dan kita suka buat perkara yang kita tak
perlu. Orang yang berjaya dalam kehidupan ialah orang yang buat
perkara yang perlu walaupun tidak disukainya.
Definisi Islam amat mudah – buat apa
yang Allah suruh dan tinggal apa yang Allah larang. Namun, untuk
mengikutinya amatlah payah kerana nafsu menyukai yang berlawanan –
suka apa yang dilarang, tak suka apa yang perlu. Oleh sebab itulah
perlu adanya mujahadah dalam diri kita.
Ada dua sebab utama untuk kita
mujahadah:
Pertama: Tiada jalan lain untuk berjaya di dunia
dan akhirat selain daripada mujahadah.
Jalan itu pasti sakit, perit,
namun kita perlu melaluinya juga. Inilah satu-satunya jalan menuju
Allah, tiada jalan pintas yang lain. Inilah jalan yang paling panjang
dan sukar, dan ini jugalah jalan yang pendek dan mudah.
Ada satu kisah yang sesuai dengan tajuk
ini: Seorang tua melihat seorang anak kecil seolah-olah mencari
sesuatu di bawah sinaran lampu pada malam hari. Lalu dia bertanyakan
apakah yang dicari anak itu. Rupa-rupanya barang kepunyaan anak itu
terjatuh dan dia perlu mencarinya. Lalu ditanya lagi di mana barang
itu jatuh. Anak itu menunjukkan ke arah tempat gelap yang tiada
lampu. Orang tua itu pun kehairanan dan bertanya, “Jika jatuh di
sana, mengapa cari di sini?”. Dengan mudah anak itu kemudiannya
menjawab, “Di sini cerah untuk mencari, tetapi di sana gelap”.
Walaupun cerita ini agak lucu, inilah hakikat yang banyak berlaku
hari ini. Ramai antara kita yang membuat perkara yang mudah walaupun
sudah tahu yang perkara itu tidak betul atau tidak akan memberi
manfaat. Kita tahu jalan ke syurga itu sukar, namun kita cuba juga
mencari jalan yang lain yang kita pasti tidak akan bertemu redha Allah
padanya. Tiada jalan pintas menuju Allah.
Kedua: Untuk membuat kebaikan itu sukar, namun
untuk membuat maksiat pun sukar juga. Oleh sebab itulah, lebih
baiklah kita bersusah-payah buat kebaikan kerana ianya akan
mendatangkan pahala dan redha Allah. Sebaliknya bersusah-payah buat
maksiat akan menyusahkan diri di dunia dan di akhirat juga. Contohnya
– untuk tutup aurat bukanlah mudah kerana perlu pakai tudung,
memilih pakaian yang sesuai dan sebagainya. Namun untuk buka aurat
pun susah juga kerana mereka juga dikata orang, tidak selesa dengan
pakaian yang sempit dan sebagainya. Begitu juga untuk seseorang
bangun tahajjud malam pun sukar juga, namun untuk bangun malam dan
keluar mencuri pun sukar juga. Oleh itu, lebih baiklah kita
bersusah-payah pada jalan Allah kerana bantuan Allah pasti akan tiba.
Kenapa kita perlu mujahadah?
Allah pasti akan beri kemanisan dan
ketenangan dalam hati walaupun zahirnya nampak sengsara. Contohnya
para sahabat yang hidup dalam kesusahan demi menegakkan Islam. Berapa
ramai barisan sahabat yang mati syahid kerana Islam? Berapa ramai yang susah sehingga tidak makan dan minum, dan ketika meninggal pun tiada kain yang cukup
untuk menutup jenazah mereka. Zahirnya nampak susah, namun mereka bahagia kerana di dalam hati mereka ada Allah.
Jika kalah sekalipun dalam mujahadah, Allah akan
menilai usaha yang dilakukan. Kalah tidak mengapa, asalkan jangan
mengalah. Allah menilai atas niat di hati yang ingin mujahadah. Jika
kalah, kembali kepada Allah dan bertaubat, kerana Allah amat mencintai
orang yang bertaubat kepada-Nya.
Allah nilai jalan mujahadah sebaik kita
mengangkat langkah yang pertama, bukan hanya setelah kita sampai. Oleh
sebab itu dikatakan bahagia itu ada disepanjang jalan, bukan di
destinasi yang dituju sahaja. Allah juga janjikan bantuan dalan mujahadah.
Allah lebih sayangkan seorang hamba melebihi kasih-sayang seorang ibu
kepada anaknya. Yakinlah Allah tidak akan mensia-siakan perjalanan
kita yang perit menuju-Nya. Kekalkan baik sangka, dan jangan putus
asa.
Allah janjikan balasan syurga. Segala
susah-payah di dunia akan dibayar ketika di alam barzakh lagi. Ketika
melihat kubur sebagai salah satu taman syurga, segala keperitan yang
ditanggung di dunia akan lenyap serta-merta. Sebaliknya, jika ketika
di dunia dahulu ingkar pada Allah, setelah mati akan ditunjukkan
kubur sebagai salah satu kawah api neraka. Ketika itu, kelazatan
melakukan maksiat dan kemungkaran di dunia akan lenyap sama sekali.
Oleh itu, celikkanlah mati hati kita
dan terimalah sedikit kesusahan yang bersifat sementara demi
kebahagiaan yang kekali di akhirat nanti, InsyaAllah.
Senarai soalan dan jawapan:
S: Ramai orang ternama bukan Islam yang
berakhlak baik, contohnya seperti Mother Teresa dan Dalai Lama.
Mereka berjuang untuk membetulkan akhlak manusai tetapi mereka bukan
Islam dan tempat mereka di neraka. Bagaimana hubung-kait perbuatan
mereka dengan 'Law of Compesation'?
J: 'Law of Compensation' berlaku di
dunia dan di akhirat. Bagi mereka yang tidak beriman, mereka dapat
ketenangan dan kebahagiaan di dunia kerana kebaikan mereka. Namun,
tidak di akhirat. Sebagai analogi mudah – katakan ada seorang yang
bergitu aktif dalam usaha menyelamatkan haiwan yang pupus, namun
apabila dilihat, rupa-rupanya dia sendiri menghantar ibunya ke rumah
orang-orang tua. Adakah kita akan menghormati orang sebegini? Pastinya tidak. Jadi,
samalah seperti kes orang kafir yang baik. Mereka baik dengan makhluk
tetapi tidak baik dengan Pencipta makhluk.
S: Bagaimana pula orang yang membunuh
ramai orang awam atas nama Islam dan dikatakan mati syahid dan bakal
mendapat syurga?
J: Ini kisah zalim dan dizalimi. Jika
seorang Islam itu zalim, dan orang yang dizalimi adalah bukan Islam,
Allah akan berada di pihak orang bukan Islam. Oleh sebab itu, ada
banyak empayar bukan Islam yang Allah izinkan maju kerana mereka
berlaku adil. Oleh itu, Islam bukanlah tiket untuk menzalimi orang
lain. Jadi, saya tidak menyokong orang Islam yang membunuh tanpa hak.
Tetapi jika sedang berada dalam peperangan dan untuk memburu syahid,
itu dibolehkan tapi masih perlu mematuhi adab-adab berperang seperti
tidak boleh membunuh wanita dan kanak-kanak, tidak boleh membakar
pokok yang berbuah dan sebagainya.
S: Saya ditimpa ujian bertimpa-timpa.
Mulanya saya berjaya menghadapinya, namun selepas itu saya masih
terus diuji sehingga saya putus asa dan merasakan Allah tidak sayang
pada saya. Bagaimana untuk menguatkan hati dalam menempuh ujian dan
meyakini Allah menyayagi saya?
J: Kita perlu terima hakikat bahawa
hidup memang untuk diuji. Diuji bermakna kita masih hidup. Orang yang
Islam diuji, dan orang kafir juga diuji. Alhamdulillah sebagai
seorang Islam, ujian Allah pasti mempunyai maksud yang baik. Ada
sekurang-kurang 3 kesan positif ujian:
- Jika kita berdosa, Allah ingin ampunkan dosa kita.
- Jika kita taat, Allah ingin tambah pahala kita.
- Jika kita betul-betul cintakan Allah, Allah akan uji lebih lagi untuk meninggikan darjatnya (seprti mafhum sebuah hadis Nabis SAW).
Dalam pada itu, kita juga perlu ingat
dengan sifat Penyayang Allah, Allah takkan menguji sesuatu yang
diluar kemampuan seseorang. Namun, selalunya kita berasa seolah-olah
tiada kemampuan untuk menghadapai sesuatu ujian, dan kita juga
merasa seolah-olah Allah tidak sayangkan kita. Ini merupakan
perasaan semua orang sebenarnya. Mengapa? Perhatikan bagaimana
seorang bayi yang pada mulanya berbaring sahaja sehinggalah akhirnya
pandai berjalan dan berlari. Sebelum pandai berjalan, berbagai
kesukaran perlu ditempuhi, jatuh-bangun sehingga ada-kalanya terluka
dan perlu dibantu. Sebagai analogi – badan kita diberi vaksin (virus kecil) sebagai persediaan agar antibodi kita akan meningkat menghadapi virus
yang lebih besar. Begitulah dalam kehidupan – Allah uji agar
kekuatan kita meningkat. Kita perlu sabar dan redha ketika menghadapi
ujian dan berusaha menyelesaikannya. Jangan pula sabar tanda berbuat
apa-apa. Cari ilmu di sebalik ujian yang dihadapi. Perlu selalu ingat
bahawa bila Allah sayang, Allah akan uji.
S: Bagaimana menghindarkan perasaan
sia-sia kerana terpaksa buat sesuatu?
J: Berusaha untuk menjadi baik,
walaupun belum baik, lebih baik daripada tidak berusaha langsung.
Mula-mula buat memang susah biasanya. Apa satu pepatah: Buat dulu apa
yang kita tidak suka buat, sampailah ke tahap di mana kita boleh buat
apa saja yang kita suka buat – iaitu di syurga.
Kesimpulan:
Ada 3 golongan yang menghadapi
mujahadah:
- Orang yang mengalah – Belum apa-apa lagi sudah mengaku kalah.
- Orang yang sedang berperang – sedang bermujahad – mungkin kalah tetapi tidak mengalah. Syaitan adalah musuh yang tidak pernah tidur, dan nafsu pula sentiasa mengajak kepada kemaksiatan, oleh itu kita perlu sentiasa berjuang.
- Orang yang menang dalam mujahadah – inilah yang perlu dijadikan pemimpin kita.