Dahulukan Ibu Bapa (3) – Tanyalah Ustaz 21.10.2012
Ustaz Abdul Hadi Bakri Abdullah
Bacaan surah Al-Isra', ayat 14-15:
Ketika kecil, bila seorang anak
bertanya banyak kali, ibu bapa menjawab dengan sabar, walaupun
terpaksa mengulang berkali-kali. Namun, ketika ibu bapa sudah tua dan
merosot pendengarannya, anak mula hilang sabar apabila ditanya
berkali-kali oleh ibu bapa.
Mulianya manusia itu kerana ketika
menyusu, dia memandang wajah ibunya, tidak seperti binatang yang
menyusu dicelah kelangkang ibunya. Oleh itu, seorang anak perlu juga
meletakkan ibu bapanya di tempat yang mulia juga.
Ibu bapa pula perlu mendahulukan
memberi penekanan kepada pendidikan adab kepada anak-anak. Dalam satu
hadis, Nabi SAW bersabda agar:
“Ajarlah anak mu dengan 3 perkara
yang utama. Yang pertama ialah ajar supaya anak-anak kamu mencintai
aku (Nabi saw), yang keduanya ialah ajar anak kamu supaya kasihkan
ahli keluarga aku, dan yang ketiga ajarlah anak kamu baca Quran”.
Ibu bapa perlu mendidik anak adab yang
baik agar mereka mencintai kebaikan. Kenalkan mereka apa yang haq dan
apa yang batil agar mereka tahu membezakan dan mengambil keputusan
yang tepat. Ibu bapa mempunyai kedudukan yang ketiga selepas Allah
dan Rasul-Nya. Ibu bapa perlu mendidik anak agar mencintai Allah,
Rasul dan ibu bapa sendiri. Didikan ibu bapa penting agar anak
menjadi anak yang baik juga kepada ibu bapa setelah mereka besar
nanti.
Antara peranan ibu bapa dalam mendidik
anak adalah seperti berikut:
- Jangan mendesak anak dengan sesuatu yang diluar hak mereka. Buka ruang kepada mereka agar mereka dapat berbakti kepada ibubapa.
- Jangan sampai mendoakan anak menjadi derhaka – kesan buruknya akan terasa oleh ibu bapa sendiri juga. Ambillah pengajaran daripada filem 'Anakku Sazali' – mendidik anak ketika kecil, bukan setelah mereka besar dan mampu melawan.
- Pilih ibu yang baik untuk bakal anak-anak sepertimana hadis Nabi SAW yang menyebut: “ Pilihlah (pasangan) yang baik untuk tempat memproses nutfah (benih) kamu, kerana akhlak ibu dan bapa akan menurun (terwaris) kepada anaknya.” (Riwayat al-Tirmizi)
- Allah merahmati ibu bapa yang membantu anak berbakti kepadanya.Oleh itu, ibu bapa mesti berlaku adil kepada semua anak-anak – jangan memilih kasih di antara mereka. Perbuatan pilih kasih itu merupakan nafsu yang tidak baik dan tidak boleh dituruti.
Peluang membela ibu bapa yang tua
merupakan peluang keemasan untuk meraih syurga melalui mereka. Jangan
mengungkit, merungut atau berbuat tidak baik kepada mereka. Ibu bapa
juga perlu menghargai dan menyebut kebaikan yang anak lakukan agar
hati ibu bapa dan anak semakin dekat dan terpaut. Ibu bapa dan
anak-anak perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjaga dan
menjayakan hubungan.
Senarai soalan dan jawapan:
S: Saya mempunyai ibu bapa angkat yang
telah meninggal dan tidak mempunyai anak sendiri selain saya.
Bolehkah saya mendoakan dan berbuat baik kepada mereka?
J: Allah akan memberi tempat yang mulia
kepada ibu bapa angkat yang membela dan membesarkan anak angkatnya.
Doa kepada ibu bapa termasuk juga untuk ibu bapa angkat. Begitu juga
dengan amal kebaikan lain yang dilakukan, InsyaAllah akan sampai
seperti mana sampainya amalan anak soleh untuk ibu bapa kandungnya.
Selain itu, usahakan untuk melangsaikan hutangnya, tunaikan janjinya,
dan sambung silaturrahim dengan rakan-rakannya.
S: Ibu bapa masih sihat dan enggan
tinggal bersama anak-anak. Saya tinggal sejauh 900km daripada mereka
dan abang yang paling dekat duduk 80km daripada mereka dan dialah
yang banyak menjenguk dan melihat keperluan ibu bapa. Adakah saya
dianggap derhaka?
J: Walaupun tinggal berjauhan, gunakan
telefon untuk contohnya bertanya khabar setiap hari. Buat perancangan
untuk balik melawat mereka dengan kerap. Bawa mereka bercuti bersama
keluarga agar mereka lebih mesra dengan cucu-cucu. Ini bersesuaian
dengan hadis berikut:
Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah (ra)
katanya: Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) bersabda:
Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kamipun
berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata:
Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin.
Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin. Dan
ketika beliau turun (dari mimbar) kamipun bertanya: Ya Rasulullah,
kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum
pernah mendengarnya sebelum ini. Lalu baginda menjawab:
“Sesungguhnya Jibrail (as) telah
membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati
bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun
mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia
berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di
sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu
aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang
ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya
yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak
memasukkan dia ke dalam surga. Lalu aku pun mengaminkannya.
S: Apakah ganjaran membela ibu bapa
walaupun susah?
J: Allah akan pasti membalas jasa baik
anak yang berbuat baik kepada ibu bapanya. Allah janji bahawa anaknya
pasti akan berbuat baik kepadanya juga. Selain itu Allah akan beri
balasan baik di dunia seperti keberkatan rezeki, kelapangan dalam
setiap urusan, kesihatan dan sebagainya. Teruskan menjaga dan minta
mereka mendoakan dan redha kepada kita.
S: Saya dibela nenek, dan saya jarang
berjumpa atau memberi duit ibu kandung. Adakah saya dikira derhaka?
J: Jika semua pihak redha, tidaklah
menjadi kesalahan. Namun begitu, sebagai anak tidaklah sepatutnya
meminggirkan ibu kandung. Hubungilah sekali-sekala dan pergi
melawatnya. Ini mungkin merupakan satu bentuk ujian daripada Allah
agar semakin dekat dengannya.
S: Seorang ayah mengabaikan
anak-anaknya setelah isterinya meninggal dan membiarkan saudara-mara
yang membela mereka. Hasilnya menyebabkan anak menjadi benci kepada
ayah mereka. Adakah mereka dikira derhaka dan bagaimana untuk
membantu membetulkan keadaan?
J: Bapa tidak boleh buat begitu kerana
ianya mengundang perasaan benci daripada anak-anak. Namun, sebagai
anak, kita tiada hak untuk membenci atau mencela bapa. Jika anak
tidak dapat berbakti, jangan menyakiti atau menderhaka kepada mereka.
Allah akan tanya anak apa yang dilakukan, biarlah bapa dengan
kesilapannya sebelum itu.