Haji Mabrur (1) - Tanyalah Ustaz 22.10.2012
Ustaz Mohd Fauzi Mustafa
Bacaan surah Al-Hajj, ayat 27-18:
Haji mabrur memerlukan ketabahan untuk
mencapainya dan menjadi idaman setiap orang yang mengerjakan ibadat
haji.
Marbrur berasal daripada perkataan
'bir' yang bermaksud baik. Oleh itu, haji mabrur, mengikut Ibnu
Qoluyah, adalah haji yang diterima Allah Taala. Ada juga ulama
mengatakan bahawa haji mabrur adalah haji yang tidak dinodai walau
sedikit pun dengan dosa. Oleh itu, ianya tidaklah begitu mudah untuk
diperolehi. Allah berfirman yang bermaksud bahawa orang yang tidak
mendapat haji mabrur sekadar pergi ke Mekah untuk melancong sahaja.
Tiada seorang pun yang boleh mengetahui
dengan yakin bahawa hajinya mabrur atau tidak. Oleh itu, kita tidak
boleh sewenang-wenangnya menuduh haji seseorang itu tidak mabrur.
Walaubagaimanapun ada beberapa tanda haji mabrur:
- Setelah pulang, seseorang itu tidak suka lagi kepada maksiat yang pernah dilakukannya sebelum menunaikan haji.
- Setelah pulang, sesorang tidak lagi terpengaruh dengan kehidupan duniawi dan lebih mengutamakan dunia ukhrawi.
- Akhlaknya akan berubah menjadi seperti akhlak Nabi SAW yang lemah-lembut, pemurah, dan sebagainya.
- Lebih banyak mengingati mati.
Ganjaran haji mabrur dijanjikan syurga
terus, bukan sekadar pahala sahaja. Oleh itu, segeralah mendaftar
bagi yang belum mendaftar (minimum RM1,300). Jika daftar hari ini
(2012), giliran akan naik pada 2048. Oleh itu, terus buka akaun
dengan Tabung Haji untuk anak dan cucu kita yang baru lahir.
Segerakanlah untuk pergi haji dan uruskan kewangan dengan baik..
Cuba berubah menjadi baik sebelum
mengerjakan haji lagi – hadiri majlis ilmu, tutup aurat dengan baik,
lazimkan membaca Al-Quran dan seumpamanya.
Betulkan niat pergi haji kerana dalam
satu hadis Nabi SAW bersabda yang diakhir zaman nanti, orang kaya
pergi haji untuk melancong, orang biasa-biasa pergi haji untuk
berniaga dan orang terpelajar pergi haji untuk kemasyuran dan orang
miskin pergi haji untuk minta sedekah.
Senarai soalan dan jawapan:
S: Adakah benar orang yang pulang daripada haji diampunkan semua dosanya seolah-olah seperti bayi yang baru dilahirkan?
S: Adakah benar orang yang pulang daripada haji diampunkan semua dosanya seolah-olah seperti bayi yang baru dilahirkan?
J: Ya, jika ketika mengerjakan haji dia
tidak melakukan dosa-dosa rofas (berkaitan nafsu), fusuh (dosa dan
maksiat) dan jidal (berkaitan akhlak ketika mengerjakan haji). Ada
satu hadis sahih daripada Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa
Rasulullah S.A.W bersabda: “Barangsiapa menunaikan haji kerana
untuk mendapatkan keredhaan Allah dan dengannya tidak menyebut
perkataan-perkataan maksiat, tidak melakukan perbuatan-perbuatan
keji, akan kembali daripadanya bebas daripada dosa sebagaimana hari
di mana ibunya melahirkannya.”
S: Adakah patut menjual tanah untuk
pergi haji?
J: Jika tanah itu merupakan harta
tambahan (bukan tempat tinggal atau tempat mencari rezeki utama),
maka hukumnya boleh dijualkan untuk belanja pergi haji.
S: Saya bimbang tidak mendapat haji
mabrur? Mohon nasihat ustaz.
J: Bisikan sebegitu biasanya datang
daripada syaitan, terutamanya bisikan yang menyuruh kita
menangguh-nangguhkan ibadat haji. Oleh itu, jangan layan bisikan itu
dan teruskan niat mengerjakan haji. Mohon bantuan Allah untuk
menetapkan hati dan carilah rezeki yang halal untuk ke sana.
S: Apakah hukum seorang ayah yang pergi
haji tetapi tidak meninggalkan nafkah kepada anak yang ditinggalkan?
J: Jika seorang ayah yang menjadi ketua
keluarga mengabaikan tanggungjawab kepada keluarganya, maka dia telah
berdosa besar. Ada setengah ulama mengatakan yang hajinya sah, tapi
mabrurnya kurang. Ada orang berpendapat yang duit yang dibelanjakan
untuk haji mempunyai nilai yang lebih tinggi berbanding jika
dinafkahkan kepada keluarga. Ini tidak benar kerana dalam satu hadis,
Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Satu dinar yang engkau belanjakan
pada jalan Allah, satu dinar yang engkau gunakan untuk memerdekakan
hamba, satu dinar yang engkau sedekahkan kepada fakir miskin, satu
dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu, yang paling besar
pahala ganjarannya ialah yang kamu nafkahkan kepada keluargamu”
H.R. Muslim
Jangan berkira jika ingin pergi haji
kerana Allah janji akan gantikan 700 kali ganda. Salah satu tanda
haji tidak mabrur adalah terlalu berkira-kira dalam perbelanjaan.
S: Adakah disunatkan buat kenduri
sebelum pergi haji?
J: Mengikut ulama, tiada sunnah khusus
daripada Nabi SAW bekaitan hal ini. Namun, jika niat kita ikhlas,
tidaklah menjadi kesalahan. Menjamu orang makan merupakan sesuatu
yang digalakkan dalam Islam. Kenduri itu merupakan tanda kesyukuran
kita dan kita boleh mengambil peluang untuk berjumpa rakan, memohon
maaf dan meminta rakan-rakan mendoakan kemudahan mengerjakan haji.
S: Adakah anak-anak wajib menyediakan
belanja haji kepada ibu bapa sebelum mereka sendiri mengerjakan haji?
J: Haji adalah wajib kepada mereka yang
mampu. Jika anak mampu, maka mereka perlu pergi terlebih dahulu.
Setelah itu, jika masih mampu, bolehlah bantu ibu bapa yang kurang
mampu pula.
S: Ada pendapat ustaz bagi orang yang
membiayai orang lain pergi haji dengan alasan dia masih belum
bersedia, sibuk dan seumpamanya?
J: Mudah-mudahan dia mendapat pahala
daripada bantuannya. Namun, sepatutnya, jika dia mampu, dia sendiri
perlu pergi dahulu. Jika seorang anak mampu, lebih elok pergi sekali
bersama ibu bapa agar dapat membantu mereka di sana.
S: Wajibkah anak buat badal kepada ibu
bapa yang telah meninggal?
J: Jika arwah ibu bapa tidak mampu
ketika hidupnya, tidak wajib dikerjakan haji badal.