Haji Mabrur (2) – Tanyalah Ustaz 23.10.2012
Ustaz Mohd Fauzi Mustafa
Ketika berada di Mekah janganlah
merungut jika makanan tidak sedap. Kita pergi untuk mengerjakan haji,
bukannya untuk makan.
Imam Nawawi dan Imam Ghazali mengatakan
untuk mendapatkan haji mabrur, sebelum pergi haji seseorang perlu:
- Bertaubat kepada Allah dengan segala dosa yang pernah dilakukan. Jika contohnya jika pernah tinggal solat, puasa, bertaubat dan qadhalah semampunya. Lebih baik melazimkan beristighfar memohon keampunan daripada mengamalkan zikir-zikir lain.
- Minta maaf dengan ibu bapa, suami/isteri, anak-anak, keluarga, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling.
- Langsaikan hutang jika ada, kecualilah hutang yang dibayar ansuran seperti rumah atau kereta.
- Tinggalkan nafkah yang secukupnya bagi keluarga yang ditinggalkan.
- Jika ibu bapa masih hidup, mintalah doa keredhaan daripada mereka. Untuk haji sunat, wajib minta izin ibu bapa, tetapi tidak untuk haji wajib.
- Pastikan sumber rezeki halal 100%. Jangan ada sedikitpun sumber syubhah. Imam Syafie berkata jika sumbernya bercampur antara yang halal dan syubhah, maka hajinya sah tetapi tidak mabrur. Bagi Imam Ahmad pula, haji sebegitu tidak sah. Mungkin inilah sebabnya orang yang pergi haji tetapi setelah balik masih tidak berubah perangainya.
- Bawa duit lebih agar dapat dibelanjakan untuk membantu jemaah lain yang dalam kesusahan. Belanjalah rakan-rakan yang kelihatan kurang duit belanja. Pahala berbuat kebaikan di sana akan digandakan. Banyakkah bersedekah.
- Jika membeli-belah, jangan tawar-menawar sehingga bergaduh dan saling mencela antara satu sama lain.
- Belajar dengan sempurna tentang semua perkara berkaitan ibadat haji. Sesiapa yang beramal tanpa ilmu, sesungguhnya sia-sialah amalnya itu.
- Berkawan dengan orang-orang yang soleh agar kita terikut melakukan kebaikan dan dia boleh menegur jika kita berbuat kesilapan.
- Banyakkan berdoa ketika berada di Tanah Haram. Seeloknya lazimkan berdoa setiap ketika di sana. Ketika tawaf, banyakkan berdoa, janganlah tawaf diam sahaja. Siapa yang dberikan peluang untuk berdoa, sebenarnya dia telah diberi peluang kemujaraban doa. Tambahan pula jemaah haji merupakan musafir dan termasuk golongan yang mustajab doanya.
- Banyakkan bersabar dalam menghadapi karenah orang yang ramai.
Senarai soalan dan jawapan:
S: Jika ayah meninggal sebelum anak
bekerja, dah setelah anak berkerja, apakah yang perlu didahulukan –
anak mengerjakan umrah atau membuat haji badal untuk arwah ayah?
J: Syeikh Khatib Asy-Shabrini mengatakan jika seseorang itu mampu untuk mengerjakan umrah atau
haji, jangan ditunda-tunda lagi. Tiada masalah jika ditangguh kepada
orang yang telah meninggal kerana adalah lebih penting untuk orang
yang hidup mengerjakan ibadat. Begitu juga jika nama isterinya naik
dahulu, dan nama suami tidak juga naik walaupun setelah membuat
rayuan, maka dibolehkan isteri pergi dahulu. Namun, suaminya perlu
juga redha agar isteri dapat beribadah dengan sempurna.
S: Jika nama seseorang telah naik untuk
mengerjakan haji tapi masih berhutang sebanyak RM2000 dengan seorang
rakan, maka adakah sah haji yang dikerjakannya?
J: Hajinya sah, tetapi dia perlu minta
izin dengan pemiutangnya. Ulama membincangkan dan mengatakan
pemiutang mempunyai hak untuk menghalang seseorang itu daripada
mengerjaan haji. Orang yang berhutang itu dikira masih belum mampu
sebenarnya.
S: Apakah tujuan memotong kelambu
kaabah untuk dijadikan ubat?
J: Ini merupakan satu bentuk jenayah
yang berlaku di tanah suci. Kelambu kaabah itu milik kerajaan Saudi
Arabia. Hukumnya haram dan berdosa. Ulama telah menetapkan bahawa
adalah salah memotong, memindahkan, menjual atau membeli kelambu
kaabah. Bagaimana untuk mendapatkan haji mabrur jika berbuat begini?
Solat di Masjidil Haram mendapat ganjaran 100 ribu kali ganda pahala,
dan sesiapa yang berbuat dosa di Masjidil Haram, maka dosanya juga
digandakan. Oleh itu, berhati-hatilah.
S: Orang tua banyak menasihatkan agar
solat di tiang jin agar jin Islam dapat menjadi khadam kita. Betulkah
ustaz?
J: Rasanya itu dulu-dulu sahaja,
sekarang tidak lagi kedengaran cerita ini. Ini semua kepercayaan
karut dan haram mempercayainya. Tiada istilah tiang jin, dan tiada
jin yang ingin menjadi khadam kita. Manusia sendiri lebih tinggi
tempatnya daripada jin Islam. Jin Islam jika pergi ke Mekah, dia pun
ingin solat, tawaf dan mengerjakan haji seperti kita juga.
S: Ada orang berpesan jangan lupa ambil
batu daripada Mekah kerana dikatakan jika campak ke kolam, akan
membiak ikan, jika campak ke kebun, akan banyak berbuah. Apa komen
ustaz?
J: Itu kurafat dan bisikan syaitan
semata-mata. Nabi SAW dan sahabat tidak melakukannya. Umar sendiri
berkata yang beliau mencium Hajarul Aswad semata-mata kerana melihat
Nabi SAW melakukannya. Ulama mengatakan haram jika mengambil batu
daripada tanah haram dan wajib dikembalikan semula.
S: Apakah hukum mencium dan mengusap
pintu makam Rasulullah SAW?
J: Ada ramai jemaah buat begitu dan
mengatakan mereka buat sebagai tanda sayang pada Nabi SAW. Namun,
perkara ini tidak pernah dilakukan oleh sahabat-sahabat Nabi SAW
terdahulu. Untuk menunjukkan kasih-sayang pada Nabi SAW perlu ikut
sunnah Nabi SAW, tinggalkan larangannya, banyakkan berselawat,
berakhlak seperti akhlak Nabi dan belajar sirah Nabi SAW.
S: Apakah hukum mencium maqam Nabi
Ibrahim?
J: Maqam Nabi Ibrahim bukannya kubur,
tetapi bekas tapak kaki Nabi Ibrahim ketika membina Kaabah. Kita
dilarang mencium maqam itu. Apa yang disunatkan ialah solat di
belakang maqam Ibrahim setelah selesai mengerjakan tawaf. Tetapi
perlu tengok juga keadaannya, jika sesak, tak perlu dilakukan keran
hukumnya sunat sahaja.
Ya Allah, jadikanlah haji jemaah haji
kami haji yang mabrur, dosa mereka dosa yang diampunkan dan segala
usaha mereka, Engkau terimalah Ya Allah dan segala amalan mereka,
Engkau berkatilah Ya Allah.