Dahulukan Ibubapa (2) – Tanyalah Ustaz 20.10.2012
Ustaz Abdul Hadi Bakri Abdullah
Bacaan surah Luqman, ayat 14 dan 15:
Sambungan perbincangan semalam: Setelah
Allah huraikan kepayahan yang dialami ibu ketika mengandung, melahir
dan membesarkan, kita disuruh bersyukur kepada Allah dan kepada kedua
ibubapa. Ketaatan kepada ibubapa adalah selagi mereka tidak menyuruh
kepada perkara yang mensyirikkan Allah. Jika mereka menyuruh yang
demikian, anak tidak boleh taat tetapi anak tetap perlu berbuat baik
kepada mereka. Moga-moga, hati mereka akan lembut untuk masuk kepada
Islam.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
" Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka
Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa." Buat baik
kepada ibubapa merupakan 'ranking' kedua selepas solat. Oleh itu,
jangan sibuk buat amalan baik lain sebelum berbuat baik kepada ibubapa.
Senarai soalan dan jawapan:
S: Adakah berdosa seorang anak yang
tidak mendoakan ibubapa selepas solat?
J: Setiap kali selepas solat, kita
perlu mendoakan ibubapa juga. Ada juga ulama yang mensyaratkan agar
kita mendoakan keampunan diri, ibubapa, dan orang mukminin seluruhnya
agar doa dimakbulkan.
S: Bagaimana kesan jika seorang ibubapa
selalu mendoakan anak dan menjadikannya sebagai zikir?
J: Amat digalakkan. Nabi Ibrahim adalah
seorang yang sangat banyak mendoakan anak dan zuriatnya. Amalkan juga
doa daripada surah Al-Furqan, ayat 74:
S: Ibu saya sakit, namun sebagai anak
lelaki, saya bantu mencuci najisnya. Ibu dan saya berasa malu tetapi
saya tidak mahu berikan isteri melakukannya. Apa komen ustaz?
J: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah
ra katanya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi saw lalu berkata:
“Siapa yang paling berhak untuk aku melakukan ihsan dalam
persahabatan dengannya?” Nabi saw menjawab: “Ibu kamu.”
Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: “Ibu kamu.” Kemudian siapa
lagi? Nabi menjawab: “Ibu kamu.” Kemudian siapa lagi? Nabi
menjawab: “Bapa kamu.” Oleh itu, apa yang dilakukan itu betul,
seperti yang dituntut dalam hadis ini.
S: Isteri saya patuh pada ibubapnya,
tetapi kerana hasutan adik-beradiknya, ibubapa salah sangka dan tidak
mahu mendengar penjelasan isteri saya. Mohon nasihat ustaz?
J: Ada dua kes di sini – adik-beradik
tidak boleh membuat fitnah sehingga boleh memutuskan silaturrahim.
Isteri pula hanya perlu buat apa yang termampu. Isteri perlu mentaati
suaminya melebihi ibubapanya. Anak perempuan yang taat kepada suami
akan memberi pahala dan kebaikan kepada ibubapanya juga.
S: Bagi seorang isteri, selepas suami,
siapakah yang perlu didahulukan – ibubapa mertua atau ibubapa
sendiri?
J: Oleh kerana isteri perlu taat pada
suami, maka dia perlu mendahulukan ibubapa mertua. Syurga suami
terletak pada redha ibubapanya, oleh itu isteri perlu memainkan
peranan untuk menjernihkan hubungan dengan ibubapa mertuanya.
Kadang-kadang suami kurang ambil berat tentang ibubapanya, maka
isteri perlu membantu dan mengingatkan suami.
S: Ibubapa pernah sakit ketika Ramadhan
dan meninggalkan puasa. Adakah anak-anak perlu berpuasa sedangkan
fidyah telah dibayar.
J: Bayaran fidyah sudah memadai, tetapi
sebagai tanda berbakti kepada ibubapa, anak-anak atau waris boleh
juga untuk berpuasa.
S: Ketika hidup, ibubapa pernah
berpesan agar tidak melakukan tahlil kepada mereka. Jika anak-anak
buat juga, adakah berdosa?
J: Tahlil itu merupakan himpuanan zikir
dan doa. Doa anak yang soleh, InsyaAllah akan sampai kepada mereka
sebagai kebaikan. Oleh itu, jika nak buat pun tiada masalah asalkan
tidak dengan niat untuk melawan kata-kata mereka.
S: Bolehkah diamalkan doa daripada
surah Al-Arqaff, ayat 15?
J: Doa ini merupakan doa yang baik dan
diamalkan Sayyidina Abu Bakar sehingga ibubapanya mendapat hidayah
masuk Islam. Doa ini menzahirkan rasa syukur kepada nikmat yang Allah
beri kepada diri dan kepada ibubapa. Seterusnya kita mohon Allah beri
kekuatan untuk berbuat amal soleh. Kemudian, kita mohon Allah
perelokkan diri kita agar boleh menjadi contoh kepada zuriat.
S: Ada orang guna ibu untuk menjaga
cucu dan menbayarnya. Adakah ini patut dilakukan?
J: Ada dua kes – jika ibu yang suka
untuk menjaga cucunya, itu tidak mengapa. Tetapi, jika anak sengaja
menggunakan khidmat ibubapa untuk menjaga anak mereka pula, itu amat
tidak patut. Jika ingin ibubapa tinggal bersama, jangan bebankan
mereka dengan kerja rumah pula.
S: Saya diuji dengan ibubapa yang tidak
berlaku adil dan melebihkan adik-beradik yang lain. Mohon nasihat
ustaz.
J: Teruskan berbuat baik. Allah Maha
Melihat. Bila kita buat baik pada ibubapa, InsyaAllah anak-anak kita
akan buat baik kepada kita pula. Seperti yang disebut dalam sebuah
hadith: ”Berbuat baiklah kamu kepada kedua ibu bapa kamu, nescaya
anak-anak kamu akan berbuat baik kepada kamu“.