Keperluan Zakat & Sedekah (1) - Tanyalah Ustaz 17.10.2012
Ustaz Raihan Abdul Aziz
Surah Al-Mukminun ayat 4-6:
Kenapa perlu zakat? Tujuannya adalah
untuk membersihkan harta dan juga hati kita daripada sifat kedekut
dan bakhil.
Soalan dan jawapan:
S: Mohon ustaz jelaskan makna dan cara
mengira zakat pendapatan?
J: Ada orang kata zakat pendapatan ini
benda baru. Sebenarnya zakat perdapatan termasuklah gaji, royalti,
hasil sewa rumah, elaun, bonus dan sebagainya. Seperti mana pokok,
jika dicantas ianya akan semakin bercambah, begitu jugalah dengan
harta dan zakat. Zakat itu akan menyuburkan harta. Syarat untuk
dikenakan zakat pendapatan ialah Islam, bukan hamba, menjadi pemilik
sempurna harta, cukup nisab (dengan kadar 85g emas atau RM13000 di
Selangor pada tahun 2012), cukup haul setahun dan datang daripada
sumber yang halal. Kumpulkan semua hasil pendapatan dan jika melebihi
13,000, perlu dikeluarkan 2.5% sebagai bayaran zakat. Ada 2 cara
bayaran – diambil terus daripada jumlah yang melebihi nisab atau
ditolak dahulu dengan keperluan asas seperti perbelanjaan keluarga
dan sebagainya yang layak.
S: Jika pendapatan rumah sewa perlu
dikira sebagai hasil untuk zakat, bagaimana jika masih pelru membayar
pinjaman untuk rumah sewa itu?
J: Jika jumlah melebihi nisab, wajib
dikeluarkan zakat.
S: Adakah wang simpanan di bank, tabung
haji, atau caruman di koperasi atau dalam bentuk saham syarikat
dikenakan zakat?
J: Jika syarikat tersebut sudah
menunaikan zakat seperti Tabung Haji, maka pencarum tidak lagi perlu
membayar zakat pendapatan. Jika sebaliknya, pencarum wajib membayar
zakat sendiri jika jumlah melebihi nisab.
S: Bagaimana mengira zakat untuk wang
KWSP?
J: Syarat zakat adalah milik sempurna
dan duit KWSP miliknya tidak sempurna kerana kita tidak boleh
keluarakan sesuka hati. Bahagian yang kita boleh keluarkan -
contohnya untuk membayar rumah/pendidikan, maka mengikut fatwa yang
telah dikeluarkan, zakatnya wajib dikeluarkan serta-merta daripada
bahagian yang dikeluarkan. Jika duit sudah digunakan untuk memnbayar
rumah/yuran pendidikan, maka boleh gunakan duit lain untuk tunaikan
zakat. Yang penting, zakat mesti ditunaikan.
S: Bolehkah zakat dibayar kepada rumah
anak yatim?
J: Timbul persoalan kerana
kadang-kadang ada terdapat rumah anak yatim yang mewah, dan ada juga
yang daif. Rumah anak yatim biasanya tidak mempunyai pendapatan yang
tetap dan mereka menguruskan puluhan anak-anak yatim pada satu-satu
masa. Mereka termasuk bawah kumpulan yang berjihad fi sabilillah.
Oleh itu, mereka ini perlu dibantu dan boleh diberikan wang zakat.
S: Bagaimana zakat emas perhiasan yang
dipakai?
J: Jika emas itu sedikit (kurang
daripada kadar uruf) yang ditetapkan mengikut tempat – contohnya di
Kuala Lumpur – urufnya 150g, di Selangor 800g, dan di Kelantan pula
1 kg. Jika kadarnya kurang, tidak perlu dizakatkan. Jika lebih,
walaupun dipakai sekali-sekali, wajib dizakatkan. Pengiraannya ialah
2.5% darab harga semasa emas daripada jumlah yang melebihi jumlah
uruf.
S: Bagaimana pula dengan zakat emas
putih atau campuran?
J: Emas putih ialah campuran emas dan
logam lain, dengan kadar emas tulin sebanyak 33.3% sehingga 41.6%.
Fatwa yang telah dikeluarkan menyatakan bahawa jika kandungan emas
tulin melebihi 85g, dan cukup haul setahun, maka perlu dizakatkan.
S: Bagaimana pula dengan emas yang
disimpan di bank?
J: Ya, perlu juga dizakatkan. Allah ada
memberi amaran kepada mereka yang enggan mengerluarkan zakat
emas/harta bahawa di akhirat nanti emas/harta itu akan dilebur dan
diseterika ke dahinya, rusuk dan belakangnya. Oleh itu, kita perlu
jadikan ini sebagai peringatan. Zakat tidak akan mengurangkan harta,
dan orang yang menerima zakat disunatkan berdoa kebaikan kepada orang
yang memberi zakat.