Urus Niaga Dengan Allah (2) – Tanyalah Ustaz 14.10.2012


Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang

Bacaan surah Saff, ayat 10-12:

Allah mulakan ayat ini dengan, “Wahai orang-orang yang beriman”. Para sahabat berasa sangat terpanggil apabila Allah memulakan ayat dengan kalimah sebegini, kerana mereka betul-betul beriman. Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita terasa terpanggil?

Allah tahu jiwa manusia ini memang inginkan keuntungan dalam perniagaaan. Oleh sebab itu, Allah guna perkataan 'tijarah' yang bermaksud perniagaan. Keuntungan yang Allah nyatakan adalah keselamatan daripada azab neraka. Caranya adalah dengan beriman, dan berjihad menggunakan harta dan juga diri sendiri. Kenapa Allah dahulukan harta sebelum diri? Ulama tafsir menerangkan bahawa ramai manusia lebih sayangkan harta daripada diri sendiri. Kemudian Allah nyatakan bentuk keuntungan di akhirat dan juga di dunia. 'Kemenangan' yang Allah maksudkan dalam ayat ini adalah dengan kejayaan membuka kota Mekah.

Orang Barat telah berjaya menanam pandangan negatif terhadap perkataan jihad dalam Islam. Ada satu kisah seorang sahabat bernama Abdullah Ibnu Huzafah. Sekumpulan tentera Islam ditawan oleh Raja Rom, dan ketuanya ialah Abdullah Ibnu Huzafah. Dia dipanggil bertemu Raja Rom dan ditawarkan pembebasan dengan syarat masuk agama Kristian. Dia menolak dan kemudian ditawarkan dengan harta. Dia tetap menolak. Kemudian, dia ditawarkan pula dengan pangkat. Dia tetap menolak. Kemudian, Raja Rom menolak 2 orang tawanan Islam ke dalam api. Abdullah tetap berkeras dan menolak. Setelah itu, Raja Rom mengarahkan Abdullah dihumban ke dalam api. Setelah diseret, Abdullah menangis. Raja Rom pun gembira kerana menyangka Abdullah sudah berubah fikiran. Namun, setelah ditanya, Abdullah tetap mengatakan tidak. Dia lalu bercerita sebab dia menangis kerana berharap mempunyai nyawa sebanyak helaian rambut agar semuanya dapat disumbangkan kepada fisabilillah.Inilah sikap seorang yang betul-betul memahami erti jihad. Kemudian, Raja Rom pun meminta Abdullah mencium kepalanya dan Abdullah bersetuju dengan syarat semua tawanannya juga dibebaskan. Kemudian setelah mereka semua dibebaskan, khalifah Umar mendengan cerita ini dan berkata Abdullah yang lebih layak dicium kepalanya dan beliau dan para sahabat pun melakukannya.

Ibnu Qayyim menyatakan ada 13 martabat jihad yang terbahagi kepada 4 bahagian:
Menentang diri (nafsu) – untuk tambah ilmu, beramal dengan ilmu yang dipelajari, menyebarkan ilmu dan bersabar dengan menjaga ilmu dan hidayah.

Menentang syaitan – melawan bisikina jahat dan keraguan yang dibisikkan syaitan, melawan godaan buat maksiat.

Menentang orang kafir dan menentang orang munafiqin– melawan perbuatan yang menghancurkan Islam.

Sebagai pesanan sebelum bersurai – mari kira bersama berpuasa pada 9 Zulhijjah nanti.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Bagaimana jika seseorang lebih suka membaca Quran dan kurang mengerjakan solat sunat?
J: Tiada masalah. Imam Nawawi berkata bahawa zikir terbaik ialah ayat Al-Quran. Untuk menambah kualiti, cuba fahamkan isipati Al-Quran dan amalkan.

S: Bagaimana untuk menguatkan diri berhubung dengan Allah, sedangkan kita lemah dan lalai? Adakah puncanya kerana makanan atau keadaan sekeliling?
J: Betul, tapi faktor utama ialah kerana kelemahan iman. Dalam ayat tadi – Allah sebut “Wahai orang beriman” dan ini menunjukkan yang kita perlu beriman terlebih dahulu. Bagaimana untuk menguatkan iman? Carilah teman yang baik, hadiri majlis ilmu dan amalkan ilmu yang diperoleh.

S: Bagaimana menjalankan perniagaan dalam Islam? Bagaimana menghadapi keadaan pelanggan yang tidak membayar hutang?
J: Secara ringkasnya, untuk berniaga cara Islam perlu dilihat apa yang diniagakan dan cara meniaga. Barang yang dijual perlu jelas milik peniaga dan tidak boleh ada keraguan padanya. Untuk modal pula, boleh menghubungi pihak bank yang mengamalkan perbankan Islam.

S: Bagaimana cara membeli rumah dengan cara Islam?
J: Di Malaysia sudah terdapat banyak pilihan untuk membeli atau membuat pinjaman secara Islam.

S: Ramai orang seolah-olah malas berselawat ketika dalam majlis ilmu. Mohon ulasan ustaz?
J: Nabi SAW berkata orang yang bakhil adalah orang yang tidak berselawat apabila nama Nabi disebut. Cuma, jika dalam majlis ilmu yang bercerita dengan kisah Nabi SAW, ulama mengatakan cuma sebutan Nabi SAW yang pertama sahaja perlu dijawab selawat agar tidak menganggu fokus mendengar ceramah yang disampaikan.

S: Bagaimana jika seseorang berniaga sehingga meninggalkan solat?
J: Orang begini takkan dapat keberkatan dalam kehidupannya. Bukan sekadar kena jaga solat, tetapi perlu juga jaga aurat, batas pergaulan dan segala hukum di sisi syarak.

S: Adakah infak untuk masjid dikira sebagai urus niaga dengan Allah?
J: Ya, disamping itu, infak juga kepada pusat pendidikan Islam seperti pusat tahfiz, sekolah agama dan sebagainya. Disamping menonton majlis ilmu di TV, hadiri juga majlis ilmu di surau dan masjid.


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab